Tolong Sebarkan Demi Hak Wanita

Bismillahirrahmanirrahim. Saya Wan Empok (sangat-sangat jelas ini bukan nama sebenar. Saya sukakan nama klasik begini). Saya berusia 25 tahun, anak sulung dari 5 beradik.

Saya mahu bercerita tentang perjuangan bonda saya. Bonda saya berusia 50 tahun. Seorang guru skim ijazah yang sudah bergred tinggi.

Sepanjang 27 tahun berkahwin, bonda sayalah yang menanggung keseluruhan keluarga. Rumah, makan pakai, bil utiliti, pendidikan anak-anak dan semuanya. Ayah hanya menyediakan kereta (dahulu).

Gaji bonda berganda-ganda tinggi berbanding gaji ayah. Bonda ikhlas tanggung keluarga demi kebahagiaan kami. Tidak pernah bonda mengungkit segala perbezaan dan segala pengorbanan. Bagi bonda, rezeki bonda adalah untuk keluarga.

Keluarga kami amat bahagia dengan sikap bonda yang lemah lembut, pemurah, tidak berkira dan penyayang.

Di dalam memori saya dan adik-adik, tidak ada satu kenangan pun bonda memukul atau menjentik kami. Yang ada, hanyalah kenangan birat-birat dipukul ayah, padahal kami tidak nakal pun. Hanya salah-salah biasa sebagai kanak-kanak. Ayah memang baran.

Ayah pernah curang sekali (yang dalam pengetahunaan kami) sekitar tahun 2008. Bonda memberi peluang kerana ayah bersungguh-sungguh mengus melutut bertaubat tak akan khianati bonda lagi.

Bonda kurus kering merana waktu itu. Tetapi demi keluarga yang lengkap, bonda gagahkan diri untuk meneruskan hidup bersama ayah.

Hidup manis-manis sahaja selepas itu.

Tahun 2016, ayah curang lagi. Dia nikah sindiket dengan seorang perempuan berusia 45 tahun. Dengan majlis resepsi yang gilang gemilang.

Tidak perlu digambarkan kedukaan bonda dan kami. Hanya yang pernah alami akan tahu rasa itu. Patutlah beberapa hari sebelum itu, ayah banyak minta bonda transferkan duit konon-konon untuk modal bisnes.

Umpama digilis kereta api berkali-kali tetapi tidak mati-mati. Kelukaan dan cedera parah yang amat dahsyat.

Baik, di sinilah bermulanya perjuangan bonda. Kita mulakan dengan hal di mahkamah syariah. Bonda telah berhabis 5 angka untuk kos beberapa peguam.

Bonda failkan cerai secara baik, untuk ke prosedur hakam. Tetapi ayah tidak datang walaupun telah dua kali notis dihantar.

Bagi ayah, biar dia kena tembak pun dia tak akan ceraikan bonda. Apabila ayah tidak datang, maka kes ditutup. Bonda tidak dapat teruskan prosedur hakam kerana syarat prosedur hakam, defendan mesti hadir untuk pengakuan tidak akan ceraikan plaintif.

Kemudian, bonda failkan pula fasakh. Setiap kali buka fail, beribu ya kosnya, belum masuk kos setiap kali perbicaraan. Bonda tidak dapat menggunakan peguam percuma dari Biro Guaman kerana gaji bonda tinggi.

Bermula pula perbicaraan fasakh. Malangnya, ayah juga pasang lawyer untuk lawan bonda. Hairan benar, duit nafkah untuk kami satu sen pun tidak mampu beri, tetapi pasang lawyer untuk lawan kes mampu pula.

Peguam ayah, seorang lelaki seperti dia. Yang sangat obses pada poligami itu hak lelaki. Walau bonda telah memberikan bukti setebal 10 inci pun, tentang segala tanggungjawab ayah yang bonda galas, tetapi mahkamah masih percayakan peguam ayah (kes masih berlangsung ya, sudah hampir 3 tahun turun naik mahkamah).

Ayah akan memberikan bukti-bukti yang tidak kukuh seperti kononnya dia memberi nafkah by hand. Bonda pula sangat sistematik, semua ada dokumentasi termasuk salinan online banking.

Bukti gambar bonda dipukul dengan penuh kesan lebam di muka, laporan polis, laporan doktor semua lengkap. Tetapi dengan kelicikan peguambelanya, semua dokumen bonda dianggap tiada nilai. Hakim juga lekaki, bukan?

Sebab apa ayah berkeras tidak mahu ceraikan bonda?

Sudah termaktub di dalam hukum pencen di negara kita, jika pasangan meninggal maka segala faedah persaraan dan pencen bulanan secara automatik akan dapat kepada pasangan.

Walau jahat macam mana pun seorang suami, jika isteri meninggal, maka berjoli katak la sang sang biawak. Sudahlah sepanjang hayat isteri, suami makan hasil titik peluh isteri, sudah mati pun masih enjoy dengan duit isteri?

Bonda sudah buat wasiat, tetapi pengurus tadbir wasiat kata pencen bulanan tidak boleh diwasiatkan.

Sebagai makluman, gratuiti (ganjaran pencen) bonda saya mencecah 300k, dengan pencen bulanan 5k. Suami mana yang sanggup lepaskan lubuk emas?

Saya dan bonda telah pergi ke bahagian pencen di JPA untuk bertanyakan hal ini. Untuk tukar nama kepada anak atau adik beradik bonda, tetapi pegawai di kaunter menerangkan, memang telah termaktub begitu dalam pekeliling.

Menurut pegawai tersebut, anak di bawah umur 18 atau belum habis degree sahaja layak dapat 1/10. Ya tuan-tuan, 1/10 sahaja. Adik saya cuma seorang sahaja yang masih bersekolah.

Jika pencen bonda saya 5k, maka adik saya cuma akan dapat rm500. Dan 4.5k lagi ayah saya boleh tabur ke mana dia suka. Titik peluh bonda saya tu!!!

Saya mohon semua pembaca doakan bonda saya panjang umur dan dapat hak dia sebagai wanita. Saya juga mohon confession saya ini dipanjangkan kepada pihak berkenaan. Semoga yang adil-adil sahaja buat kita di bumi bertuah ini.

Buat pengetahuan semua, bonda saya pesakit kronik tetapi masih bekerja demi kelangsungan hidup. Doakan bonda kami dapat rasa bahagia dan mengecap manisnya keadilan sebagai seorang pejuang di hujung-hujung hayatnya.

– Wan Empok (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *