Untuk part I (https://iiumc.com/too-hurt-to-love-you/).
Assalamualaikum semua. Sebelum teruskan, aku nak ucap terima kasih pada brader yang tegur aku tulis ciba*. Seumur hidup aku percaya makna ciba* ialah celupar. Sebab orang padankan mulut dengan ciba*. Bila google rupanya bukan. Thanks bro. Aku sebenarnya anti carut. Family aku kalau mencarut kena tonyoh cili. Ayah aku pun bila memaki dia guna kata2 yang tajam menikam, bukan carutan kotor. Dari didikan ni hasilnya aku intolerate dgn orang bercakap kotor.
Maaf aku tulis panjang. Sebab aku tak pandai meluah. Bila aku tulis pendek2 bunyinya merungut dan orang tak paham apa yang sebenar aku nak sampaikan. Dulu aku jumpa kaunselor pun gitu jadinya. Kaunselor ingat aku nak merungut pasal bapak aku. Sudahnya dia layan endah tak endah. Mungkin keluarga dia bahagia so takbleh hadam dengan spoiled soul macam aku…walaupun dia kaunselor. Well, kaunselor pun manusia.
Tulisan yang ni aku cuba berlaku adil. Sebenarnya Ayah aku terlalu banyak kualiti baik sebagai anak, lelaki, suami, bapa, bahkan sebagai muslim. Walaupun tak suka dia mengamuk tapi aku tak nafikan segala kebaikan yang Ayah aku ajar.
1. Ayah aku kaki masjid. Bila pergi mana2 mesti dia cari masjid dan pastikan mudah nak solat. Sampai sekarang aku pergi mana-mana akan cari masjid atau surau. Make sure senang nak solat.
2. Bila bertamu ke rumah orang mesti Ayah bawak buah tangan. Sekarang aku pun segan pergi rumah orang tangan kosong. Kecuali memang tengah pokai tu takleh buat apa la.
3. Ayah aku suka menghubung silaturrahim. Ibu cerita dulu Ayah sanggup drive maghrib2 masuk felda cari kawan dia yang dah lama tak jumpa. Zaman dulu dengan takde waze tu Ayah aku berpegang pada alamat atas sekeping kertas je.
4. Ayah aku penyayang. Dari kecik Ayah suka peluk dan cium kami. Cium tangan, cium kepala. Kalau mak, cium bahu. Depan orang pun Ayah tak segan. Dari sentuhan Ayah tu boleh rasa perasaan dia mengalir. Aku fikir ini la yang mengikat hati aku pada Ayah, di sebalik baran dia yang melukakan. Sekarang aku teruskan ‘ritual’ memeluk dan mencium ni pada anak-anak buah kesayangan aku pulak.
5. Ayah aku gagah berani. Tak takut hantu. Tak takut binatang. Lipas tu dia cubit je terbelah dua. Manusia lagi la dia tak takut. Dalam kereta Ayah ada kayu cota polis tu. Ayah sentiasa siaga kalau orang jahat muncul nak buat naya. Ayah pandai berenang. Aku pernah nak lemas mandi laut, Ayah yang selamatkan. Aku sentiasa rasa selamat bila ada Ayah (kecuali time dia ngamuk). Aku nak doa dapat suami macam ni. Tapi takut Allah bagi pakej lengkap dengan baran sekali macam Ayah.
6. Ayah aku sangat caring dengan orang tua dia. Dulu arwah atuk aku sakit lumpuh. Ayah yang bawak atuk ke mana-mana, belikan ubat. Tengah malam buta atuk panggil pun Ayah datang. Itu contoh baik yang aku belajar untuk berkhidmat pada Ayah balik.
Cukup la 6 ni aku tulis. Banyak2 pun tak guna sebab in a split second semua akan hilang bila baran Ayah datang. Tengah peluk2 kejap lagi kena tempeleng. Tengah gelak2 tiba2 kena hamun, kena lempang. Kegagahan yang dia guna untuk melindungi keluarga tiba2 jadi keganasan terhadap keluarga.
Ya aku hidup dalam suasana keliru macam tu. Hasilnya aku pun cepat meletup. Cepat salah faham. Terus nak marah kasi settle time tu jugak. Sikap2 negatif ni buat aku susah nak survive dalam dunia pekerjaan. Alhamdulillah sejak practice sabar baru aku tau… Okey je berbeza pendapat bukan makna aku salah dia betul. Salah faham boleh je settle esok, bukan mesti harini tengah marah tu kena settelkan.
Aku tau bukan semua readers boleh faham luahan aku ni. Ada simply cakap ‘maafkanlah mak bapak, nanti lelama ko faham kenapa dia buat camtu.’ Sorry, you got me wrong. Aku bukan cakap pasal dendam. Pasal maafkan ke tidak. Aku maksudkan kesan emosi & psikologi.
Bayangkan Ayah aku pegang sebotol asid, bila marah dia curah asid kat aku. Kulit aku lecur. Marah, curah lagi. Jari aku pulak cair bercantum satu sama lain. Marah, curah lagi. Bibir aku pulak cair melekat. Curah lagi, mata aku pulak rosak. Akhirnya aku jadi manusia yang buta, bisu dan cacat. Buruk rupa. Orang takut. Kecacatan ni buat aku takbleh survive.
Orang dah maju ke depan aku masih meraba2 bergelut dengan diri. Puncanya bapak aku sendiri yang suka ‘curah asid’. Tak kisah aku cedera asalkan dia puas. Maafkan bapak… Aku tak tau maafkan tu apa. Yang aku tau ialah sentiasa lupakan keganasan dia supaya aku boleh terus sayang dia. Over and over again. Sakit, lupakan dan balik rumah macam takde apa berlaku.
Tapi macam mana aku lupa pun, kesannya dalam. Parutnya kekal. Walaupun lupa aku tetap dah jadi baran. Aku tulis ni supaya mak bapak generasi baru berhenti ‘curah asid.’ Berhenti ‘cacatkan’ anak-anak kita. Selama ni kita ingat kesan emosi takde pape. Rupanya emosi lagi penting dari fizikal. Orang takde tangan pun boleh berjaya kalau EQ dia bagus. Tapi orang sempurna macam aku, hancur bila EQ takde.
Sekarang Abang aku pulak tengah ‘cacatkan’ anak dia. Yusra, puteri sulung Abang yang cerdik & petah bercakap. Sebelum aku pergi merantau, Yusra ceria dan becok. Belajar pasal macam2 benda keliling dia. Satu masa aku terpaksa mintak dia senyap sebab aku dah tak larat nak jawab soalan dia bertalu2 dekat sejam. Nampak la dia bijak & eager nak explore dunia.
Lepas aku balik, Yusra dah jadi budak lain. Diam, dingin. Gambar-gambar dia pun dah tak senyum. Bila jumpa aku, salam, terus duduk diam2 tak bercakap dengan sesiapa dah. Nampak macam behave tapi aku kenal Yusra. Tu bukan diri dia! Aku tanya kakak ipar, kenapa dengan Yusra? Kak ipar cerita Abang aku selalu mengamuk pukul Yusra.
Bila marah dalam kereta, Abang bawak laju2 ‘cucuk’ belakang orang. Pantang orang silap dia press minyak pergi kejar. Tak peduli dia anak bini menangis kat sebelah. Yusra dah takut, kata Kakak ipar. Aku mula2 tak percaya sebab Abang aku penyabar orangnya. Abang tak pernah pukul aku & kakak. Tak pernah mengamuk macam aku & kakak. Takde mengamuk tukar2 kerja macam aku. Abang sempurna di mata aku. Aku dengar je la cerita kakak ipar tu.
Satu hari Abang sekeluarga datang rumah Ayah. Diam2 kakak ipar selak baju Yusra tunjuk lebam besar kat perut dia. Abang aku cubit sebab Yusra menangis waktu ngaji. Ternganga aku. Sebaknya… Aku peluk Yusra. Yusra buat muka dinding takde perasaan. Kali yang lain, aku tegur calar kat pipi adik Yusra yang masih baby. Kak ipar kata Abang aku picit mulut baby nak paksa makan. Ya Allah… Apa dah jadi dengan Abang aku ni? Begitu pun, aku tak campur tangan. Aku terlalu hormat dengan Abang dan aku fikir biarlah dia urus sendiri keluarga dia.
Hari lain, ada jamuan kat rumah Abang. Bukan main seronok Yusra dengan sepupu2 dia. Dah lama tak nampak dia seronok macam tu. Tapi kejap lagi dengar dia menangis menjerit2 cakap nak bunuh sepupu dia. Ya Allah! Aku terus peluk Yusra. Baca Fatihah kat telinga sampai dia cool down.
Ya Allah, dia baru darjah dua dah pandai nak bunuh orang. Apa agaknya yang bergumpal dalam hati dia sampai jadi gini sekali? Kak ipar cakap, Yusra memang tak pandai berkawan. Dia asyik mengamuk je takde budak nak kawan dengan dia. Kat sekolah pun mengamuk sampai kakak ipar aku malu. Cikgu2 tau Abang aku ustaz tapi anak kuat mengamuk. Kesiannya… Aku nampak aku dalam diri Yusra. Dia dah jadi aku.
Ni yang aku maksudkan the cycle continues. Korang masih fikir aku cakap pasal dendam, pasal maafkan bapak lagi? Budak kecik tak pandai dendam. Dia cuma buat apa yang mak bapak dia buat. Sampai hati kita, sebagai parents, bentuk anak kita dengan buruk hingga orang benci dia. Sampai hati kita kan…
Aku start tegur Abang. Nasihat dia jangan dera anak. Takkan Abang nak Yusra benci Abang cemana Abang benci Ayah? Bila ditegur, Abang aku merungut, ‘Susahnya nak besarkan anak sekarang. Kita dulu campak macam tu je… boleh je hidup’. Sayu aku dengar.
Aku tau Abang memendam kesedihan terhadap Ayah. Abang ‘didik’ Yusra sama macam Ayah ‘didik’ Abang. Aku kena ubah minda Abang supaya dia nampak perbuatan tu salah. Aku minta Ibu juga nasihatkan Abang. Alhamdulillah Abang aku berubah pelan2. Yusra tetap dingin dah tak ceria macam dulu. The damage is done. Tapi aku harap masih sempat nak bendung baran dia jangan teruk macam aku.
Last sekali, peranan pasangan dalam situasi keluarga macam ni. Aku tabik kakak ipar aku menangis2 pun dia berani confront Abang. Dia kata kalau Abang aku cederakan anak lagi, dia nak report polis. Aku sokong! Tentulah aku sayang Abang tapi kalau dia taknak ubah sikap, nak kekal macam bapak, elok la dia masuk lokap. Jangan nak rosakkan anak2 dia pulak. Aku kecewa Ibu memilih untuk diam dan biar kami hidup dalam curahan asid. Malas nak komen banyak. Aku dah tulis pasal Ibu dalam confession lepas tapi orang tak faham dan kata aku play victim.
Aku nak copy komen Puan Norizan Mamat:
Makcik nak nasihatkan pada orang lain. Yang mempunyai pasangan yang toxic.
Jika bertemu dengan pasangan yang berperangai buruk, jangan fikirkan hanya diri kita. Jangan fikirkan kita mampu hadap, jadi kita teruskan untuk mengejar syurga kita. (Kalau sabar dapatlah syurga – aku tambah)
JANGAN !
Kesian kepada anak-anak yang terpaksa mengikut pilihan kita tanpa rela.
Fight !
Kita ada 3 pilihan :
1. Mengubah sikap pasangan.
2. Mengubah diri kita.
3. Jangan ubah apa apa, berundur.
Jangan diam bertahan! Kesian kat anak. Diam bertahan adalah pilihan yang paling buruk berbanding sikap pasangan yang buruk. Jika kita tiada anak, suka hati lah nak bertahan sorang-sorang.
Couldn’t agree more. Semoga readers dapat sesuatu dari pengalaman aku. Aku doakan korang jadi ibu bapa yang baik, rahmah dan berhemah pada anak-anak.
Thanks admin dan semua pembaca.
– Hani (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit