*AMARAN – Penulisan ini panjang. Sekiranya anda skrol ke bawah artikel ini, ini bermaksud anda telah pun setuju untuk membaca artikel ini walaupun panjang dan kisah penceritaan sebegini amat sesuai untuk audiens yang gemar membaca sahaja. Artikel ini juga mempunyai sedikit campuran dengan terma perubatan dan perkataan berbahasa Inggeris. Terima kasih.
==============================
Saya ada seorang sahabat. Sahabat yang saya jumpa di Kolej Matrikulasi dulu. Nama dia adalah Faisal. Dia adalah seorang yang sangat-sangat Happy-Go-Lucky. Kalau sembang dengan dia, memang tak pernah tak gelak terbahak-bahak. memang lawak. Lepas tu, dia selalu post sesuatu yang positif di Friendster dia dulu. Sejak kebangkitan Facebook juga, dirinya masih sama. Dia masih seperti dulu, sentiasa gembira, positif dan suka melawak. Dia bekerja sebagai seorang jururawat di sebuah hospital kerajaan.
Saya dengan dia selalu berhubung antara satu sama lain, menggunakan WhatsApp (tetapi menjadi kurang aktif sebab dia sudahpun ada anak, dan berkeluarga). Tapi, setiap kali saya menghubungi dia, atau ajak berjumpa di mamak atau mana-mana kedai makan, dia masih sama macam dulu.
Kadangkala, dia belanja saya makan dan saya memang mengenali bukan setakat dia sahaja, tetapi isteri dan anaknya dia sekali. Dia memang tak pernah berubah saya tengok. Di kala saya sedang diserang dengan panic attack, atau depression, kadangkala saya rasa cemburu dengan kehidupan dia.
Masakan tidak, dia ada gaji. Ada karier, ada keluarga dan lain-lain. Saya cemburu lebih kepada pemikiran saya yang membuat andaian bahawa kehidupannya tiada masalah. Dia rajin solat berjemaah, dan antara orang yang memang tak balik diantara solat maghrib dengan Isyak, bersama dengan isterinya, Yasmin di Masjid (Baru-baru ni, saya dapat lihat gambar dia di masjid bersama anaknya yang kini sudah berusia 7 tahun). Dia stay untuk membaca Al-Quran diantara solat maghrib dan Isyak, jika dia tidak bekerja syif petang.
Lebih kurang 3 minggu lepas, saya melepak bersama dia, isteri dan anaknya di kedai mamak. Itupun kerana dia ada perkara yang dia mahu bincangkan dengan saya, lebih kepada meminta pendapat dan idea, disamping berborak kosong. Memang masih sama, dan memang pasti akan bergelak tawa mendengarkan loyar buruknya. Memang jika nak buat perbandingan diantara dia dengan saya, daripada segi loyar buruk tu, memang saya tak terlawanlah kiranya.
Kemudian, lebih kurang 10 hari lepas, saya ke sebuah hospital kerajaan, ke wad psikiatri untuk menziarahi salah seorang sahabat saya bernama Azizol iaitu sahabat dalam Facebook yang rajin bertanya mengenai penyakit mental yang dialaminya kepada saya, iaitu Bipolar Disorder.
Saya ada kesukaran untuk bertemu dengannya memandangkan kerana secara jujurnya, kebanyakkan rakan-rakan saya di media sosial ni saya tak pernah bertemu pun. Semua kenal atas talian sahaja dan isteri Azizol lah yang menghantar satu mesej di Facebook kepada saya kerana katanya, Azizol teringin nak berjumpa dengan saya. Dia dimasukkan ke wad dan permintaan isterinya itu adalah supaya suaminya itu sekurang-kurangnya berasa sedikit gembira kerana akan ada orang yang mengambil berat tentang dirinya. Untuk kebanyakkan pesakit mental, reassurance daripada segi sokongan orang lain itulah yang paling penting.
Lagipun, Azizol bukan hendakkan apa-apa dari saya atau nasihat pun (kerana secara jujurnya, saya memang tidak layak memberi nasihat kepada orang lain, maksud saya, ada ramai lagi orang di dunia ni yang lebih layak untuk memberi nasihat daripada saya), tetapi, dia hanya nak berjumpa secara face-to-face sebab Azizol ni sentiasa follow Facebook saya sejak daripada Facebook yang pertama lagi sebenarnya (Ini Facebook saya yang ketiga tau sebab 2 akaun saya dah pun saya delete dulu).
Memandangkan hospital tu susah nak cari parking, maka, saya ambil inisiatif untuk ke sana menggunakan GrabCar. Saya terserempak dengan isteri Azizol ni yang tengah tunggu waktu melawat, kita-kira lagi beberapa minit di ruang menunggu. Di situ, saya lihat ramai juga orang lain, yang merupakan waris pesakit yang sedang menunggu masa untuk berjumpa dengan pesakit. Tanpa membuang masa, saya pun terus ke arah dia, dan saya periksa lagi beberapa kali profile Facebook Azizol ni yang ada gambar dia dan isterinya untuk saya betul-betul confirm, yalah, sebab takut salah orang kan.
Tapi, sementara menunggu waktu melawat tu sampai, saya duduk sahaja di kerusi ruangan menunggu pelawat tu sambil berborak kosong dengan isteri Azizol ni. Tetapi, pada masa yang sama, saya perasan ada seorang wanita yang duduk selang 1 baris daripada tempat duduk saya kelihatan sangat familiar. Saya macam tak boleh nak cam siapa, lagipun, saya tak pakai cermin mata masa tu. Lama jugalah saya fikir, siapa dia ni ya. Macam pernah tengok, tapi dimana ya (*suara Yassin Senario ).
Lepas beberapa minit saya berfikir, barulah saya perasan perempuan tu adalah Yasmin rupanya, isteri Faisal. Saya pun minta keizinan untuk bangun dan jalan ke depan daripada isteri Azizol dan terus saya tegur Yasmin.
“Eh, Yasmin kan? Buat apa di sini?”, saya tegur dia.
“Oh, Dr Shark rupanya. Dr buat apa di sini?”
“Saya melawat kawan saya ni. Yasmin buat apa kat sini? Aqil (nama anak mereka) sihat?”
“Sihat. Ni Dr, Faisal kena masuk wad”. katanya.
“Eh, sebab apa?”, saya jawab
“Dia cuba nak bunuh diri Dr. Saya nampak picagari dengan botol vial ubat ni (tidak boleh diberitahu nama ubat ni di sini kerana amat sensitif). Saya tahu dia dah bersedia nak suntik diri dia sendiri sebab memang nampak ada glove tu untuk dijadikan tourniquet”
>>Info – Tourniquet adalah salah satu alat yang digunakan untuk mengikat tangan pesakit untuk tujuan menimbulkan urat vena (vein) supaya prosedur pengambilan darah mahupun memasukkan brannula/cannula untuk pemberian ubat secara intravena. Salah satu amalan yang dipraktikkan adalah dengan menggunakan sarung tangan getah (latex glove)<<
“Masha Allah, ya Allah. Akak, if you don’t mind telling me, kenapa dia jadi macam tu?”
Masa ni saya nampak dah mata Yasmin ni dah mula berair. Saya rasa serba salah sebab saya sendiri ni pun main tanya je sesuka hati sebab saya tak bersedia masa tu, walhal saya tahu je langkah-langkah yang betul untuk bertanya dan memastikan orang tu tak sedih atau offended. Kesilapan saya di sini adalah kerana saya tanya terlalu direct dan berterus terang.
“Saya tak tahu doktor, Sejak beberapa tahun lepas lagi, ni dah kali keempat dah dia cuba nak bunuh diri. Dia memang ada Major Depressive Disorder (MDD) sejak saya berkahwin dengan dia lagi. Kami tiada apa-apa masalah dengan perhubungan kami, termasuk dengan keluarga kami, saya dapati dia stres dengan benda yang berlaku di tempat kerja dia”
Ya Allah, masa ni perasaan saya memang sangat teruk. Saya kenal Faisal ni memang dah lama, tapi saya tak pernah tahu dia ada MDD. Saya sibuk ber’pompang-pompang’ di Facebook, berkongsikan sebanyak mungkin tips dan fakta mengenai sakit mental, tapi saya gagal untuk membantu orang yang saya rapat, mahupun seseorang yang merupakan ahli keluarga saya sendiri. Saya rasa diri saya ni jadi seseorang yang gagal.
Saya mahukan orang ramai memahami MDD, tapi diri saya sendiri gagal mengesan sifat kawan saya sendiri yang suka berpura-pura (pretentious) gembira apabila berjumpa dengan saya mahupun di laman media sosial ini. Faisal memakai topeng gembira dan Happy-Go-Lucky di luar, dan dia memakai topeng ni bertahun-tahun lamanya. Hanya isterinya sahaja yang tahu apa wajah sebenar di sebalik topeng berkenaan.
“Abang (Faisal) pernah beritahu saya supaya jangan bocorkan apa-apa mengenai dirinya. Dia takutkan stigma, dia takutkan orang lain pandang serong pada diri dia, dia takut tak ada orang nak berkawan dengan dia kalau orang lain tahu dia ada depression. Dia takut kena buang kerja kalau dia ada depression”
Saya dengar Yasmin bercakap dan saya sendiri pun terdiam. Saya tak boleh nak cakap apa-apa kerana terlalu banyak benda yang bermain-main di fikiran saya. Walaupun masa tu saya dah ditenggelami oleh perasan self-guilt, namun, saya perlu menyembunyikan rasa kecewa dan sakit dalam hati ni kerana saya perlu kelihatan normal dan okay untuk berjumpa dengannya. Yalah, takkan saya nak menziarahi orang yang sedang sakit, tapi saya sendiri pun tengah sedih kan?
Saya bangkit, meminta kebenaran kepada Yasmin dan isteri Azizol untuk ke tandas. Nampak di situ bahawa isteri kepada Azizol dan Yasmin sendiri dah mula bersembang antara satu sama lain. Yalah, mereka mengalami ujian yang lebih kurang sama. Saya ke tandas untuk membasuh muka dan cool off dulu. Saya tak boleh buat muka sedih atau kecewa. Setelah selesai, saya pun masuk kedalam wad tersebut dan dapat lihat ramai juga pelawat yang lain di situ.
Saya berjumpa dengan Azizol. Berborak-borak, bersembang dan memberi kata-kata semangat dengan dia. Saya gembira apabila saya melihat Azizol tersenyum. Isterinya pun sama. Entah berapa puluh kali dia mengucapkan terima kasih kepada saya dan berapa puluh kali saya cakap “takpe, takpe, its okay”. Saya beri dia satu buku nota kecil dan pen untuk dia menulis apa yang dia lalui sepanjang tempoh dia berada di dalam wad. Pada saya, menulis ni satu perkara yang membolehkan seseorang itu mengalih perhatian dirinya daripada terus-menerus untuk berfikir perkara yang negatif.
Kebanyakkan insan-insan yang telah pun didiagnos menghidap sakit mental, mereka mempunyai daya pemikiran dan kecelaruan daripada segi mental yang kita selalu dengari sebagai obsessive thought atau overthinking. Salah satu teknik yang terbaik adalah melalui distraction dengan menjadikan otak seseorang itu sentiasa dipenuhi dengan perkara atau tugas yang berada di hadapan mereka (keeping their mind occupied or mental escapism).
Selepas itu, saya terus bangkit daripada kerusi, ke arah katil Faisal. Saya melihat dia sedang bercakap dengan isterinya dengan air mukanya yang sentiasa tersenyum. Taktala dia menoleh dan ternampak saya, wajahnya berubah. Awalnya, dia macam terkejut. Saya senyum sahaja sambil berjalan ke arah dirinya. Saya menghulurkan tangan untuk bersalam dan belum sempat saya bercakap, dia terus memotong percakapan saya
“Siapa beritahu kau aku ada kat sini bro?”
Saya tersenyum dan menerangkan bahawa tiada siapa pun yang beritahu apa-apa tentang dirinya yang dimasukkan ke wad. Kebetulan sahaja. Dia bersalam saya dengan tangan kirinya memandangkan terdapat jarum di tangan kanannya yang membuatkan dia tidak selesa untuk banyak bergerak. Dia menggenggam erat tangan saya dan melihat dalam-dalam mata saya.
“Kau okay?”, saya bertanya.
Dia diam sahaja dan beberapa saat kemudian, saya nampak air mata mulai berjurai daripada kedua-dua belah matanya. Dia ingin bercakap, tapi suaranya tersekat-sekat. Saya mendiamkan diri sahaja kerana saya tahu, untuk orang seperti Faisal, dalam keadaan dia sebegini, dia memerlukan masa untuk berfikir dan menyusun ayat satu per satu.
Persepsi dan tanggapan dirinya pada saya ada 2 sahaja, iaitu sama ada dia ingin berkongsikan sesuatu tentang perihal bagaimana dia boleh masuk ke wad atau dia mendiamkan diri sahaja kerana dia takut saya akan memarahi dirinya kerana tidak pernah menceritakan apa-apa perkara pun walaupun sebelum ini saya ada bertanya dengan dia beberapa kali, iaitu permintaan yang sama saya tanya kepada mana-mana sahabat rapat saya.
“Kalau ada apa-apa dan nak minta tolong daripada segi hal-hal berkaitan perubatan, atau kalau tak faham apa yang doktor cakap, tak kira doktor tu bercakap dengan isteri kau ke, anak kau ke, atau diri kau sendiri, mohon kau tanya sahaja kepada aku. Insha Allah aku akan cuba fahami apa yang terjadi dan aku tukarkannya kepada sesuatu yang mudah difahami”
Itulah ayat yang saya selalu gunakan, tidak kira sama ada sahabat baik saya ini mempunyai latar belakang perubatan ataupun tidak. Itu sahaja yang mampu untuk saya beri kepada sahabat-sahabat rapat saya. Nak membantu pasal duit, pasal kerja, pasal perkara lain, memang saya belum mampu lagi setakat ini.
Daripada situlah, Faisal terus menceritakan segalanya. Bagaimana dia boleh ada depression, bagaimana dia terfikir untuk cari jalan keluar dengan melakukan perkara-perkara yang membahayakan dirinya dan lain-lain. Saya diam, dan tidak menyampuk, dan mengangguk sahaja. Sebenarnya, dalam keadaan seseorang pesakit itu berada dalam situasi breakdown, burnout dan lain-lain, pemberian nasihat seperti suruh bersabar dan memberi cadangan dan pendapat tentang permasalahan seseorang dengan cara menceritakan kepadanya bahawa diri kita atau orang lain suffer lagi teruk daripada dia, ataupun solusi bermodalkan air liur merupakan salah satu perkara yang paling buruk boleh dilakukan oleh seseorang.
Sebelum anda nak marah saya, anda perlu memahami satu perkara yang mana saya selalu pesan kepada orang lain yang mempunyai mana-mana orang terdekat yang mempunyai masalah mental iaitu, cara percakapan, cara respon dan cara melayan orang yang sakit mental ini jauh berbeza dengan cara untuk bercakap dengan orang yang stres dan normal. Kita kena ambil kira keadaan seseorang itu, sama ada clinical depression/MDD ataupun sekadar episod stres yang normal dan yang dialami oleh seseorang sebaik sahaja berhadapan dengan perkara yang memberi stres kepada mereka seperti dimarahi oleh bos mahupun pergaduhan kecil dengan orang lain.
Episod stres dan kemurungan sebenarnya dialami oleh semua masyarakat di dunia ini, namun, clinical depression, major depressive disorder, generalised anxiety disorder, Bipolar Disorder, Schizophrenic disorder dan lain-lain merupakan satu jenis penyakit. Penyakit akan sentiasa memerlukan rawatan. Rawatan yang dimaksudkan ini tidak bermaksud dalam bentuk ubat-ubatan sahaja, khususnya buat pesakit mental. Rawatan yang dimaksudkan in termasuklah sokongan moral, kaunseling, cognitive behavioral therapy (CBT), psychotherapy, occupational therapy dan lain-lain.
Cara berdepan dengan pesakit, cara memberi nasihat dan teguran juga berbeza. Ini sebenarnya bukan benda baru. Ini sebenarnya adalah hasil daripada kajian perubatan yang terus menerus mengenai penyakit mental dan mendapati bagaimana cara yang betul untuk merawat pesakit mental. Silap kata, pesakit boleh jadi lebih teruk dan hujungnya, mereka akan melakukan perkara yang tidak masuk akal seperti murder suicide, self-inflicted injury dan lain-lain. Jika anda tidak yakin, anda diam dan dengar sahaja luahan seseorang itu. Jika anda tidak mahu mendengar luahan dia, anda jauhkan diri anda daripada dia, atau anda bersembang mengenai perkara yang langusng tiada kaitan dengan isu dan krisis yang dialami oleh pesakit.
Faisal seorang yang mempunyai latar belakang perubatan. Faisal merupakan salah seorang sahabat saya yang cukup suka untuk ke surau menunaikan solat berjemaah. Faisal merupakan seseorang yang tidak pernah meninggalkan bacaan Yassin pada malam jumaat, biarlah ketika dia sedang bertugas sekalipun. Jururawat yang bekerja dengan wad yang sama dengan Faisal semuanya mnyai tanggapan dan interpretasi yang sama untuk Faisal, iaitu walau macamana sibuk sekalipun, dia pasti akan mencari masa untuk membaca Al-Quran mahupun solat berjemaah.
Kisah Faisal ini sebenarnya memberi tamparan yang amat kuat kepada diri saya. Saya mengaku saya sahabat baik dengannya, tetapi saya tidak pernah nak tahu keadaan dia bagaimana. Saya tak sedar dia copy and paste dan mengambil screenshot semua artikel saya berkaitan sakit mental untuk dia baca dan simpan. Jawapan yang dia berikan kepada saya ketika saya cuba bertanya tentang mengapakah dia tidak mahu berkongsikan perkara ini kepada saya walaupun dia tahu saya selalu berkongsi informasi mengenai sakit mental ini adalah:
“Aku tahu kau sendiri pun mengalami banyak krisis dan kau sendiri pun sakit. Aku tahu dan ingat adakalanya kau sendiri pun mempunyai masalah kewangan sehinggakan kau tak mampu membeli ubat-ubatan untuk merawat diri kau sendiri. Aku tahu kau akan burnout dan cepat breakdown memandangkan kau berada pada titik paling rendah dalam kehidupan kau. Apabila aku tahu setiap apa yang kau alami, aku sentiasa sebut nama kau dalam doa aku. Aku cuba membantu daripada jauh.
Perbuatan aku untuk tidak berkongsikan apa-apa yang aku alami ini sebenarnya pun satu bantuan untuk diri kau bro. Aku tak nak tawarkan apa-apa nasihat kerana aku tahu, bukan kita tak tahu pasal cara-cara nak cuba keluar daripada masalah ini dan apa yang kita perlu lakukan, cuma akan ada masa yang menyebabkan kita incapacitated dan tidak berupaya untuk melakukan semua itu walaupun kita tahu apa yang perlu dibuat. Niat aku adalah tak mahu menambah serabut lagi otak kau kerana aku sendiri tahu apa yang kau alami…”
Memang jawapan yang diberikan itu amat menyedihkan sehingga saya sendiri pun agak sukar nak mengawal emosi semasa berada di hadapannya. Saya memeluk tubuh dia dan menepuk beberapa kali di belakangnya dan bercakap
“Terima kasih. Kaulah sahabat aku dunia dan akhirat bro”
Saya berdiri dan meminta diri selepas beberapa minit bersembang dengannya. Itulah kali pertama saya bercakap dengannya tanpa ada rasa nak ketawa atau tergelak. Saya ke katil Azizol, dan bersalam dengannya sambil berkata beberapa dorongan untuk dia kekal kuat. Saya kemudiannya meninggalkan hospital dan menempah Grab untuk pulang semula.
Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, otak saya ligat berfikir. Itulah kali pertama saya lihat wajah sebenar sahabat saya ini. Sebelum ini dia memakai topeng kegembiraan dan Happy-Go Lucky. Luaran tampak gembira, kehidupan tak nampak bermasalah, namun, manalah ada insan yang tidak mempunyai apa-apa masalah. Aforisme bahasa Inggeris “don’t judge a book by its cover” betul-betul terbukti kebenarannya. Manusia adalah salah satu spesis yang mempunyai kemahiran berpura-pura. The great pretenders.
Dan satu lagi, orang yang membantu kita ini, ada yang memang betul-betul memberikan bantuan kepada kita dan kita tahu mengenainya. Ada juga insan-insan yang tidak berkemampuan untuk membantu diri kita secara terang-terangan, namun, tak henti-henti mendoakan kesejahteraan kita daripada jauh. Kedua-dua kumpulan orang ini amat saya hargai. Justeru, sebelum kisah ini berakhir, saya ingin mengambil peluang di sini untuk mengucapkan terima kasih buat semua sahabat yang membantu saya sama ada secara terbuka mahupun secara tersembunyi dan tidak saya ketahui.
Untuk Faisal, terima kasih sahabat :-)
Notakaki :
Kesemua nama watak di dalam kisah ini telahpun ditukar sepenuhnya. Dialog yang benar-benar terjadi saya ubah sedikit memandangkan saya tidak ingat 100% setiap ayat yang diungkapkan semasa kejadian ini berlaku. Beberapa perkara saya ubah dan modified agar membolehkan artikel ini mudah difahami dan menjadi menarik untuk bacaan anda. Kesemua perkara yang telah saya dedahkan di sini sudahpun saya dapat persetujuan daripada pihak-pihak yang terlibat menerusi written consent.
– Ilzanno Sharky (https://www.facebook.com/drsharky88)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit