‘Topeng’ Suami

Aku X. Sudah berkahwin beberapa tahun dengan seorang suami ‘bertopeng’. Yang mana aku sendiri terpedaya hingga aku menerima lamaran suami untuk memperisterikan aku tanpa banyak soal.

Semua kerana terpesona dengan karekternya. Orangnya bekerja di sebalik tabir dunia hiburan yang menjanjikan indahnya hidup, dia peramah, mudah mesra. Dikelilingi perempuan cantik, vip, model-model.

Oh, tapi dia ‘bertopeng’.

Tapi siapa sangka perkahwinan menjadi gelanggang untuk suami menunjukkan kuasanya.

Dan… pesona yang kulihat pada suamiku itu kini lenyap. Hilang.

EPISOD CACI MAKI

Seawal pernikahan, aku telah mula dicaci maki dengan panggilan kesat seperti pukimak, bodoh, sial, babi.

Kesalahan aku?

Sebab aku tanya siapa perempuan itu, siapa perempuan ini.

Kerana aku singkap apa sahaja yang aku jumpa di ruangan media sosial suami aku.

Kantoi.

Aku bukan cemburu buta. Sebab itu aku bertanya.

Aku bertanya dalam keadaan waras. Kerna aku punya hak. Bukan secara menempelak. Aku punya hak untuk bertanya kerana aku tidak kenal siapa mereka dan kenapa mereka berhubung dengan suami aku dalam keadaan yang membuatkan aku curiga.

Tetapi reaksi suami aku?

Caci maki.

EPISOD BALING BARANG

Slowly selepas episod caci maki, dia mula baling barang, campak apa sahaja yang berada dalam genggaman atau berada di hadapan dia. Barang-barang dia sendiri seperti handphone, komputer riba pun sanggup dia pecahkan atau rosakkan kerana nafsu amarah.

Boleh kata semuanya pecah berderai, retak, termasuk hati aku, berkecai.

Kesalahan aku?

Kerana bertanya, kerana mempersoalkan hubungan suami dengan perempuan-perempuan itu. Aku ingin bertanya kepada pembaca yang bergelar isteri, adakah kamu boleh berdiam diri apabila timbul keraguan serta bukti?

EPISOD HITAM : NAIK TANGAN

Dari caci maki, baling barang terus berlarutan menjadi naik tangan.

Aku ibarat ‘punching bag’ suami aku. Sepak terajang, tumbuk, tampar, semua aku dah rasa. Walau aku minta belas kasihan, suami terus memukul tanpa simpati. Malah lebih kuat. Malah lebih rancak pukulan demi pukulan.

Aku takut.

Aku lari.

Akhirnya aku lari ke dalam bilik, tapi aku tak dapat menguncinya. Aku duduk di penjuru bilik dalam keadaan kesakitan, aku berpeluk tubuh menangis kerana menahan sakit. Lebam bengkak semua menjadi ‘hiasan’ tubuh badan aku yang kecil ni.

Dan episod-episod hitam itu berterusan. Seperti menjadi satu ‘hiburan’ buat suami.

Aku tidak boleh bertanya, tak punya hak untuk persoal. Apa sekalipun, baik soal perempuan, baik soal keluarga suami yang sememangnya sangat membenci aku kerana mereka tidak menerima kehadiran aku dalam keluarga mereka.

BODOHKAH AKU?

Semua episod caci maki, baling barang dan naik tangan itu, sentiasa berakhir dengan tangisan suami yang meminta maaf, mengatakan dia tidak sedar, dia insaf dan tidak akan mengulanginya lagi. Dia berkali-kali meminta aku jangan pergi tinggalkan dia.

Aku?

Bodohkah aku memaafkan suami demi pengharapan agar suami berubah? Aku berpegang prinsip biar kesilapan berlaku sekarang dan bukan di kemudian hari. Aku berpegang pada prinsip setiap manusia buat kesilapan, dan aku memaafkan suami. Memang aku nampak perubahan suami sedikit demi sedikit, tetapi tidak bertahan lama.

Dan keadaan berulang-ulang.

Suami masih sama keadaannya hingga ke hari ini. Malah, hampir bertitik noktah. Suami masih tidak insaf.

Masih ego. Masih bongkak.

Tiada siapa akan percaya bila aku katakan aku adalah ‘punching bag’ suami. Kerana karekter suami yang mesra, baik dengan keluarga, rakan-rakan dan orang lain.

Memang ada manusia yang bertukar topeng apabila dengan pasangannya. Walau mereka kelihatan normal baik pada pandangan mata masyarakat dan keluarga mereka.

Pinjamkanlah telinga anda, bahu untuk bersandar pada orang seperti aku. Kami tidak mereka-reka cerita. Kami hanya cuba menjadi pasangan yang punya hak untuk bertanya jika ada keraguan. Layakkah kami dipukul dimaki? Layakkah kami diadili sebagai punca kenapa mereka berkelakuan sebegitu kerana bandingkan bagaimana mereka melayan orang lain?

Jangan dinilai lelaki hanya kerana layanannya pada ibubapa dan adik-beradiknya.

“Pilih suami, tengok bagaimana dia layan ibunya dan keluarganya”

Relevan lagikah ayat ini?

Belum tentu dia tak caci maki pukul ibubapa dan adik beradiknya, sudah cukup menggambarkan dia tidak akan bertukar menjadi syaitan apabila dengan isterinya.

Aku berharap agar suatu hari nanti ‘topeng’ suamiku akan tersingkap. Atau… aku sendiri akan singkapkan ‘topeng’mu itu.

Suamiku… Semoga Allah swt memberi petunjuk buatmu.

Kau minta aku pergi, dan aku akan pergi. Jauh.

Aku pergi dulu.

Jaga diri.

– X (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *