Topik yang agak ‘taboo’ untuk diperkatakan: Fertility. (Kesuburan)
———
Disclaimer : Saya bukan doktor. Sebarang info yang kurang tepat, mohon maklumkan kepada saya.)
.
Tidak semua orang yang mengalaminya kuat untuk berbincang mengenai topik ini secara terbuka. Namun, setelah berfikir panjang, saya pilih untuk berkongsi dengan niat untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.
Adalah lumrah untuk setiap pasangan yang berkahwin menginginkan zuriat yang sihat, comel dan sempurna. Tetapi, tidak semua dikurniakan nikmat tersebut.
Lain orang, lain bahagiannya. Ada yang bunting pelamin, ada yang menunggu sekejap, ada yang menunggu lama berbelas-belas tahun, dan ada yang tidak dikurniakan zuriat langsung.
Bercakap tentang usaha, sudah pasti pelbagai usaha yang termampu telah dilakukan oleh setiap pasangan yang berkeinginan untuk memiliki zuriat.
Saya ingin berkongsi tentang perjalanan saya hingga Allah berikan saya nikmat mengandung dan insyaAllah melahirkan seterusnya mendidik anak ini menjadi insan yang soleh.
Pada zaman persekolahan, period saya lancar setiap bulan. Tiada masalah. Hinggalah saya melanjutkan pelajaran ke univerisiti, saya menghidap senggugut yang teruk. Hari pertama period saya terpaksa cuti sakit. Tak boleh bangun. Berjalan ke toilet asrama pun terhuyung-hayang hingga nyaris langgar tembok.
Keadaan berlarutan hingga peperiksaan akhir tahun asas, saya sakit pada hari peperiksaan. Saya ke klinik dan doktor berkata, ovari sebelah kiri saya kelihatan seperti bengkak. Saiznya lebih besar dari ovari sebelah kiri. Beliau berikan ubat tahan sakit dan anti inflamatory.
Seperti yang dijangka, keputusan peperiksaan saya menurun.
Masuk tahun pertama di universiti, keadaan tidak berubah. Setiap kali period, saya terpaksa cuti sakit. Tidak tahan dengan keadaan itu, saya mengadu kepada emak dan ayah di kampung. Kami ke sebuah hospital swasta dan berjumpa dengan seorang doktor sakit puan yang akhirnya mengesahkan saya mempunyai cyst di ovari kiri. Cyst itu membesar setiap kali period, kerana itulah saya mengalami sakit yang teramat sangat. Cyst itu mengandungi sel endometrium (yang turun sebagai darah kotor) tetapi darah terperangkap dalam kantung cyst kerana tiada jalan untuk keluar, tidak seperti darah dalam rahim yang boleh keluar sebagai period. Oleh kerana ia tidak dapat keluar, ia terus berkumpul dan semakin membesar. Dan semestinya semakin sakit setiap kali datang period.
Pada mulanya, kami cuba berubat cara kampung. Minum air ibu kunyit dan campur sedikit kapur selama 3 malam berturut-turut. Apabila ke doktor semula untuk follow up, cyst mengecil. Alhamdulillah.
Namun, saya sakit semua selepas beberapa bulan. Terus emergency laparoscopy (tebuk 3 lubang di kiri, kanan perut dan bawah pusat). Masa ni saya masih di universiti.
Kemudian jodoh tiba, saya terangkan kepada dia berkenaan sakit yang saya alami, dan kata-kata doktor yang saya berkemungkinan mengalami isu fertility (kesuburan) yang mungkin mengakibatkan kesukaran untuk mendapatkan zuriat. Saya cerita semua beri dia faham kerana saya tidak mahu menderita dikemudian hari dimadukan atau diceraikan atas alasan zuriat. Saya fobia, saudara keliling saya yang bermadu semuanya dilayan buruk dan tidak bahagia. Malah ada yang sampai disihir oleh madu. Saya minta dia ceritakan juga kepada ibu bapanya. Semua kerana sebab di atas.
Fast forward, jodoh kami panjang. Belum lagi inai habis di jari, saya perlu menjalani pembedahan lagi, kali ini besar cyst sudah sebesar bola tenis dan perlu bedah secara c-section sebelum ia terlambat dan pecah. Apabila pecah, ia boleh menyebabkan kemandulan (kata doktor) kerana toksik dari cyst akan merebak ke peranakan, usus akan melekat-lekat.
Alhamdulillah, selamat. Kata doktor, dari hanya cyst, ia menjadi endometriosis. Kami berusaha untuk mendapatkan zuriat secara normal. Namakan sahaja jamu, ubat, makcik urut handal, semua kami cuba. Namun, rezeki masih belum berpihak kepada kami.
Selang 2 tahun, saya ke salah seorang doktor pakar sakit puan yang senior, terkenal. Sakit lagi, kena operate lagi, buat kali ke 3. C-sect lagi. Kali ini dah jadi fibroid. Selesai pembedahan, selepas 6 bulan, kami buat IUI, juga tak berhasil.
Pada tahun ke 5 perkahwinan, kami membuat keputusan untuk buat IVF. Selang 2 tahun dari pembedahan ke 3, saya di diagnose ada lagi fibroid sebesar bola tenis. Kali ini doktor wanita yang mengamalkan pendekatan makanan sunnah. Kata doktor ini, saya perlu jalani pembedahan buang fibroid dahulu sebelum teruskan dengan IVF. Dikhuatiri fibroid tersebut akan mengganggu proses IVF.
Lalu, saya jalani pembedahan kali ke 4 secara c-sect dengan pasrah dan dengan harapan selepas itu saya boleh mengandung.
Sepanjang 5 tahun, sebarang isu berkaitan anak, orang bertanya, orang sindir, saya mengadu kepada suami. Suamilah yang sentiasa mengingatkan saya untuk bersabar dan semua ini adalah ujian dari Allah. Saya bersyukur dikurniakan suami yang memahami, dan juga mertua yang sangat memahami.
Namun, langit tidak selalunya cerah. Tiba-tiba saya sedar perubahan suami. Sering bercerita tentang seseorang di ofis. Saya buat teori dan test, jika 7 hari berturut-turut dia menyebut tentang si polan, there must be something wrong.
Setelah diasak, saya juga kenal si polan, suami saya mengaku yang dia ada niat untuk berkahwin lagi. Dengan alasan masih tiada anak, dia perlukan anak untuk mewarisi legasi perniagaan yang dibina. Dia tidak mahu saya habiskan umur tua keseorangan jika dia ‘pergi’ dahulu. Saya tahu semua itu hanya alasan. 5 tahun berkahwin tanpa zuriat, rutin harian yang sama, sudah hilang ‘spark’ dalam perkahwinan.
Hati saya luluh…suami yang selama ini jadi dahan tempat saya bergantung, dahan itu seolah-olah tiba-tiba patah. Saya tiada lagi tempat bergantung untuk sokongan dari segi emosi…
Saya bernasib baik kerana si polan tidak tahu apa-apa, tidak tahu dan tidak perasan akan motif suami saya. Si polan juga tidak membalas apa-apa. Saya kira mungkin kerana si polan masih muda. Saya bersyukur sangat…
Pergaduhan, pertengkaran memang berlaku selepas itu. Namun, setelah kedua-duanya bertenang, kami duduk dan meluahkan semuanya. Saya ingatkan semula yang suami telah berjanji dan terima saya serta sanggup hidup berdua jika tiada zuriat. Suami mengaku semua yang berlaku adalah kesilapannya, dan dia sedar semua itu adalah ujian untuk dirinya…
Alhamdulillah selepas itu hubungan kami bertambah kuat. Usaha untuk mendapatkan zuriat juga diteruskan. Kami buat IVF buat kali pertama, namun bukan rezeki kami. Sedih, menangis, meraung, semua ada. Kami terlupa untuk bertawakkal. Masa tu rasa confirm akan jadi. Kami tersilap. Kami lupa DIA.
Selepas setahun, kami cuba lagi IVF di klinik yang berlainan. Kali ini kami betul-betul buat persediaan mental, solat hajat banyak-banyak, doa banyak-banyak, supaya jika bukan rezeki kami lagi, kami lebih redha dan bersedia.
Alhamdulillah, IVF kali kedua ini berjaya. InsyaAllah ulangtahun perkahwinan ke 8 ini akan disambut bertiga.
Saya belajar satu perkara. Biarlah apa pun orang nak kata sementara kita belum dikurniakan zuriat. Paling penting, hubungan dengan suami dan ibu bapa. Asalkan hubungan dengan suami baik, insyaAllah tiada apa yang boleh menggugat (kecuali hanya dengan izin ALLAH SWT.)
Kepada rakan-rakan endosisters, TTC (trying to conceive), jangan berputus asa. Kita diuji dengan ujian kesihatan, juga diuji dengan ujian dalam rumahtangga. Mungkin ada endosisters yang lain alami dugaan yang lebih hebat lagi. Allah Maha Melihat dan Maha Mendengar. Setiap rintihan dalam doa, setiap usaha kita Allah tahu. Jika tidak mampu untuk buat IVF, usahalah semampu boleh. Saya doakan anda semua akan memperoleh zuriat satu hari nanti, untuk bantu kira di akhirat, untuk jadi pengikat kasih sayang dalam rumah tangga.
Your fellow endosister.
– Wani.
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit