Nama saya Hazi (bukan nama sebenar) tahun ni umur saya baru sahaja 19 tahun. Saya cuma nak berkongsi kisah saya. Sebelum tu, saya adalah seorang pesakit bipolar yang telah disahkan oleh Seorang pakar psikatrik.
Saya nak terangkan pun saya tak berapa faham istilah saintifik dan maksud sebenarnya tapi yang pasti saya ini seperti orang meroyan. Saya sifatkan diri saya sebegitu kerana ada fasa-fasa tertentu yang saya terpaksa hadapi dalam sesuatu jangka mangsa.
Fasa manic gembira, marah sedih, kemurungan dan kembali gembira. Macam mana saya boleh dapat personaliti seperti ini? Banyak faktor dan ada juga faktor genetik dalam keluarga saya ada pembawa genetik masalah mental.
Faktor lainnya ialah keluarga saya sendiri. Saya datang dari keluarga yang bahagia, sempurna pada awalnya. Saya ada 5 adik beradik, ibu bapa saya dua-dua bekerja. Hidup kami serba cukup. Tapi, segalanya berubah sejak 8 tahun lepas.
Ada ahli keluarga saya seorang penagih, suka memukul, suka meminta duit, suka menyebabkan keluarga dalam masalah, suka mencuri. Barangan dalam rumah semakin berkurang. Apa yang ibu bapa saya buat? Mereka terlalu membiar, sampai tidak dapat dirawat lagi.
Abang saya menjadi penagih yang tidak ada gunanya lagi dalam masyarakat. Sampah masyarakat. Keluarga saya benar-benar terjejas, dia sampai tahap memukul kedua orang tua saya dan nenek saya juga.
Ditambah pula, ibu saya menjalinkan hubungan dengan lelaki lain selama 3 tahun tanpa pengetahuan ayah.
Ayah pula yang sakit dan tiada duit akibat esovensi. Kereta dari 4 buah, tinggal 1 buah sahaja. Rumah terpaksa jual.Saya dan adik benar-benar terganggu pelajaran dan emosi. Adik saya berhenti sekolah seawal 14 tahun.
Walau bagaimanapun, saya terus belajar, keputusan SPM saya cemerlang. Saya belajar bersungguh-sungguh. Saya ulang kaji pelajaran diruang tamu, saya tiada bilik sendiri. Abang saya bawa kawan-kawan mengisap dadah dalam bilik. Saya dapat tawaran matrikulasi.
Saya sangat kecewa kerana ibu bapa saya tak mampu membayar yuran pendaftaran sebanyak 700 lebih. Saya kecewa. Saya bertekad untuk kerja sahaja.
Sudahlah tiada transport untuk ketempat kerja, saya sanggup naik bas dan jalan kaki. Saya terus kuat sebab saya sedar saya tiada apa-apa lagi.
Rezeki tidak diduga, saya dapat tawaran belajar ke sebuah Universiti tempatan. Saya tekad kumpul duit untuk bayar wang pendaftaran. Namun tidak berjaya, duit gaji saya digunakan untuk beli barang basah dirumah, gaji saya hanya RM30 sehari.
Alhamdulillah, kakak dan sedara mara saya turut tolong bayarkan duit pendaftaran. Di Universiti pula saya tidak dapat memohon apa-apa biasiswa atau pinjaman. 100 peratus di sponsor oleh kakak dan sedara mara.
Saya memang tidak bermewah di U, saya makan ala kadar. Kadang-kadang tidak makan. Bila saya balik ke rumah mak ngah, barulah dapat rasa masakan yang sedap- sedap.
Ibu bapa saya sangat jarang beri duit belanja. Boleh kata 2 kali sahaja selama setahun itu. Saya berjuang. Ikat perut. Kerja sambilan, bayar duit buku yang beratus- ratus. Teman lelaki saya ada juga membantu.
Saya hampir tidak larat. Sentiasa dihimpit emosi. Saya rasa keliru. Sampai satu tahap saya bercadang untuk bvnvh diri dengan mengelar tangan menggunakan pisau.
Malam sebelum saya ingin membvnvh diri itu, saya ada call teman lelaki saya luahkan segala yang saya simpan, saya suruh dia cari wanita lain, saya ni sudah gila, saya katakan yang saya rindu rumah, rindu adik saya.
Saya minta dia pergi rumah saya dan cari adik saya sebab saya nak cakap dengan adik saya buat kali terakhir. Dia langsung tak tahu niat saya yang nak akhirkan hayat itu. Saya menangis dan merengek macam orang gila meroyan.
Dia tidak tahu segala beban yang saya tanggung, segala sakit yang saya rasa. Dia tinggalkan saya akhirnya, kerana dia luahkan yang dia rasa kosong pada saya, tambah pula saya ini bersikap tidak menentu, bila saya marah…
Saya marah sampai memaki, kemudian saya ok pula dan bersikap seperti tiada apa yang berlaku. Saya cukup kesian dengan dia. Saya redha dia pergi, saya buatkan dia pergi tinggalkan saya supaya dia tidak ters3ksa menghadap sakit saya ni.
Sehingga kini, saya hidup penuh tersiksa. Emosi yang sarat. Saya pendam segalanya. Tetapi selepas saya tahu penyakit bipolar yang saya hidapi ini, saya memilih untuk berseorangan dan sibukkan diri supaya tidak terlalu memikirkannya.
Tambahan pula, ibu bapa saya sudah bercerai dan abang saya ada dipenjara, adik saya yang terlibat dalam masalah sosial. Keluarga yang porak peranda.
Saya rasa berkecamuk, sekali sekala fasa d3pr3ssion tu menjadi sangat lama. Saya bed ridden, layu. Banyak kali juga thought of suicide tu datang menjengah.
Doakan saya terus kuat. Saya berjuang berseorang, tanpa ada seseorang pun yang mengetahui isi hati saya. Saya terus kuat hingga hari ini sebab adik dan ayah saya sahaja.
– Hazi (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit