Toxic Family: Sejauh Manakah Yang Kau Rasa?

Assalammualaikum warga IIUM Confession. Hai nama aku Kim. Ya bukan nama sebenar. Aku berumur 27 tahun ini.

Aku macam korang juga, silent reader. Cuma hari ini, terdetik dalam hati, teringat peristiwa 10 tahun dahulu selepas aku terbaca confession seorang sahabat tentang toxic family.

Aku dilahirkan dalam keluarga yang susah. Anak ke-4 dari 12 beradik.

Dari aku kecil, sebut saja apa pun, penyepak, terajang, penyapu, rotan, tali pinggang, paip getah sehingga ke batang besi dari kerusi yang patah, semua pernah hinggap pada badan aku. Aku ibarat ‘punching bag’ dalam keluarga.

Abang dan kakak-kakakku, adik2 semua dimanjakan, cuma tanpa sebab kenapa, hanya aku yang diperlakukan sebegini.

Aku dibuang sekolah ketika tingkatan 3 akibat merokok. Iya, aku diperkenalkan dengan rokok pada tingkatan 1 akibat kekecewaan yang dihadapi.

Boleh bayang tak betapa teruk aku kena pukul waktu tu? Betapa hina diri ni dimaki, disumpah. Iya, itulah kehidupan seharian aku.

Aku mula bekerja KFC ketika 16 tahun, pergi kerja dipaksa, balik kerja dimaki dengan ayat hanya tahu makan tidur saja. Sampai lah aku berumur 17.

Iya, detik dan saat ini, pada 10 tahun yang lalu, masih segar dalam ingatan, hari terakhir aku melihat wajah ibu, ayah, keluarga aku.

Aku dihalau, dibuang oleh keluarga tanpa sebab dan munasabab yang aku ketahui, malam kejadian, aku disepak diterajang hingga belakang kepala aku bertemu dinding.

Masih segar bayangan beg dan baju aku dicampak keluar dari rumah. Dan masih jelas jeritan yang menempik di ruangan telinga pada saat itu.

“Kau keluar dari rumah ni, mulai sekarang kalau aku nampak muka kau lagi dekat sini, mati kau aku kerjakan anak tak guna.”

Berbekalkan sebuah beg, 2 helai baju, sehelai seluar, dan baki duit yang ada hasil kerja rm70, aku membawa diri, tidak lagi toleh kebelakang.

Penat, kecewa, sedih, marah, sehinggakan aku rasa tiada lagi harapan. Aku berlari membawa diri di tengah padang di kegelapan malam, semalaman aku menangis tanpa henti, betapa seksanya sampai aku persoalkan pada tuhan, kenapa aku dilahirkan ?

Aku tekad, aku pergi membawa diri ke Utara tanah air, dengan bantuan kawan yang setia, aku bawa diri jauh disana. Setiap hari aku tunggu mesej, panggilan, mungkinkah ada lagi harapan ?

Aku terjebak dengan dadah pada permulaan hidup aku disini, terukir pelbagai tatu dibadan kerana saat itu aku hilang kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Sehingga satu hari terdetik dalam hati untuk pulang, pulang ke pangkuan jalan. Aku berubah, alhamdulillah aku masih diberi hidayah. Aku baiki hidup aku sedikit demi sedikit.

Sehingga ke hari ini, 10 tahun telah berlalu, aku hidup sendirian, tak ada seorang pun datang mencari aku. Aku yang hanya sehelai sepinggang, hari ini aku ada segalanya.

Aku hidup bahagia walau tanpa keluarga disisi, semuanya aku usahakan sendiri. Cuma aku belum bernikah.

Aku tak ada gambar ibu yang melahirkan aku, yang ada cuma kenangan walaupun pahit masih tersimpan dalam hati. Aku harap aku tak pernah lupa wajah ibu. Apa ibu sihat, cukup makan, dijaga? Entah iya entah tidak.

Mungkin ada yang tanya macam mana aku hidup tanpa redha ibu dan ayah, ya jujur aku sendiri tidak tahu. Cuma berbekalkan azam dan kekuatan, aku bertarung untuk teruskan hidup walau jalanku penuh onak dan duri.

Wahai ibu, saat aku dipukul, dihina, dimaki, engkau hanya berdiam, mungkin kerana engkau tak mampu untuk berbuat apa2. Aku cuba faham disetiap tindakan engkau. Sehingga ke hari ini, aku memaafkan engkau.

Jujur aku rindu ibu. Aku cuma berharap, jika masih ada jodoh, Tuhan pertemukan aku denganmu ibu, jika tiada, maafkan aku kerana lahirku begini, tak pernah aku pinta untuk jadi begini, takdir Tuhan yang menentukan.

Family kau toxic? Renungkan semula, seteruk manakah yang kau rasa?

– Kim (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *