Sebelum aku nak mulakan confession aku, aku nak story background aku sikit. Aku sekarang seorang ibu kepada 2 cahayamata. Lulusan sarjana muda. Alhamdulillah dikurniakan suami yang sangat prihatin dan penyayang.
Kisah aku bermula dari aku kecil lagi. Aku dibesarkan dalam adik beradik yang ramai. Aku anak tengah. Parents aku not highly educated. Bapa tak habis darjah 6, ibu sampai darjah 6 saja. Kitorang adik beradik memang dibesarkan dengan caci maki kedua orang tua.
Walaupun ibubapa kitorang tak sampai tahap memukul sampai berbirat², tapi caci makian mereka yang membuatkan kitorang as anak² makin lama makin keras hati dengan mereka.
‘Bodoh, babi, anak tak guna, sial, anak sial, bangang’ ni semua antara makian yang selalu bermain dimulut ibubapa aku.
Dari aku kecil, tak pernah aku dengar ibubapa aku bercakap baik². Selalu bercakap macam nak bergaduh. Kalau berbincang pun, akan jadi bergaduh juga.
Lebih² lagi bapa aku makin kurang deria pendengaran, diajak pasang alat dekat telinga tu pula, tak mahu. Sejenis yang panas baran kalau menunggu lama di hospital kerajaan.
Masa aku sekolah kebangsaan, aku hairan, kenapa lah ibubapa aku tak macam ibubapa kawan² aku.
Alhamdulillah dari sekolah rendah lagi prestasi pembelajaran aku memberangsangkan, jadinya kawan² aku ialah budak² yang pandai² yang mana orangtua mereka kerja bagus² dan apa yang kawan² aku nak, senang saja mereka dapat.
Tak macam aku. Sebab latar belakang keluarga aku yang pada masa tu ialah keluarga yang susah, apa yang aku minta, memang akan dipandang sepi.
Masa aku tahap 1 sekolah kebangsaan, pada waktu itu ibubapa aku lebih banyak memaki kakak² dan abang² aku. Mungkin ketika itu aku kecil lagi, jadinya mereka kurang menganggap aku dan adik² bebanan. Mungkin.
Kemudian apabila aku masuk tahap 2 sekolah kebangsaan, bermulalah hamburan mereka terhadap aku. Pantang ada benda yang tak kena, terus makian la yang menjadi zikir mereka.
Hal ini membuatkan aku berfikir. Kenapa ibubapa aku berperangai sebegini??? Tak boleh ke kalau cakap benda baik²???
Semasa aku UPSR, aku dapat 5A. Aku dapat lihat waktu itu, ibu aku tersangatlah gembira. Bapa aku pula??? Dia sejenis yang tak pernah gembira dengan pencapaian akademik aku. Apetah lagi ucapan tahniah dari mulutnya.
Yang dia selalu bisingkan ialah dia penat mencari rezeki untuk kami sekeluarga, padahal kami sekeluarga sering membantu dia dalam mencari rezeki.
Sejak dari keputusan UPSR ku itu, ibuku mula memberikan fokus lebih kepada aku. Fokus yang macam mana? Fokus yang sehinggakan menjadi beban.
Dia mula membentuk aku untuk menjadi anak yang paling sempurna dimata orangtua. Sehinggakan adik beradik aku yang lain mengejek aku anak kesayangan. Ejekan adik beradikku yang lain itu sangat membuatkan aku terasa.
Ketika aku di tingkatan 3, aku mula sedar bahawa perangai ibubapaku ini memang tidak boleh diubah. Aku yang harus berusaha untuk menjadi anak yang mereka mahukan.
Bermula dari saat itu, aku berubah menjadi seorang yang tidak perlu disuruh, sudah segera melakukan seperti yang mereka mahukan.
Langit tidak sentiasa cerah, rupanya makin aku cuba untuk buat yang terbaik, makin banyak pula kesalahan aku yang mereka cari. Pada masa ni aku sangat rasa nak lari dari rumah ketika itu.
Selepas aku peroleh 8A dalam PMR, aku sudah mula atur strategi untuk mohon duduk asrama, tetapi nasib aku kurang baik, aku tak dapat melayakkan diri untuk duduk asrama.
Jadinya aku masih dengan usaha aku untuk terus memuaskan hati kedua orang tuaku dengan membuat segala kerja² rumah, menolong bapaku mencari rezeki untuk keluarga.
Apa cerita adik beradik aku yang lain???? Mereka tidak ‘tryhard’ seperti aku. Mereka lebih suka mengelak untuk dimaki hamun dengan cara keluar rumah atau duduk sahaja di dalam bilik.
Ingat duduk dalam bilik boleh bernasib baik ke??? Tidak juga. Mereka dimaki² dan dibebel² juga. Cuma adik beradikku yang lain tidak ambil pusing.
Selepas aku tamat SPM, aku memohon ipt² diluar negeriku. Alhamdulillah permohonanku diterima. Ibuku berat untuk melepaskan aku. Tetapi aku memang tekad. Tekad mahu keluar dari rumah itu, belajar jauh² dengan harapan agar aku dirindui.
Ye betul, aku dirindui. Tetapi setiap kali aku balik kampung, perkara yang sama masih lagi terjadi.
Sehinggakan setiap kali cuti sem, pasti ibuku akan bergaduh, bertikam lidah denganku sehinggakan membuat aku trauma untuk menghabiskan cuti sem di rumah. Maka nya setiap kali cuti sem, aku mula cari kerja ‘partime’ di kawasan sekitar kampus.
Tipu lah ibuku tidak memujuk untuk pulang ke rumah. Aku pulang, tapi tidak lebih dari 2 minggu aku harus menjauhkan diri aku semula dengan keluarga ku sebelum bermula sebarang pergaduhan.
Adik beradik aku yang lain dari yang sulung, sampai ke bongsu, belum ada lagi yang pernah menjejakkan kaki ke menara gading. Ada yang sampai diploma, ada yang sampai spm, ada juga yang tak habis spm. Kiranya aku lah anak harapan kononnya sebab berjaya ke menara gading.
Tapi macam tajuk confession aku, disebabkan selalu aku dimaki hamun, aku bawa diri, mohon ipt yang jauh dari mereka dengan harapan agar mereka rindu aku.
Ye betul mereka rindu. Tapi bila aku balik ke rumah, maki hamun mereka tetap akan kena hadap bila ada perkara yang tak kena di mata mereka terjadi.
Bila berjauhan, aku dapat kekalkan keharmonian hubungan aku dengan ibu. Aku selalu telefon ibu. Bagaimana dengan bapa??? Bapa aku seorang yang keras hati, susah untuk dinasihatkan. Maka nya aku akan telefon dia untuk sekadar bertanya khabar.
Sejak aku buat macam ni, aku perasan ada perubahan pada ibu ku. Dalam pada aku sering telefon dia, sering juga aku beri nasihat padanya. Alhamdulillah ibuku kini makin berubah menjadi seorang yang kurang memaki hamun. Tetapi ayah ku sehingga kini masih panas baran.
Apa cerita adik beradik aku yang lain???? Separuh dari mereka tinggal dekat dengan ibubapa ku. Betul la kata pepatah, “jauh bau harum, dekat bau busuk”. Sehingga kini ibubapa ku sering bertengkar dengan anak² yang tinggal berhampiran dengan mereka.
Nak buat macam mana. Mungkin mereka belum diberi hidayah untuk lebih belajar menghargai yang ada dekat dengan mereka. Aku sentiasa tak putus doa mendoakan mereka agar sikap mereka ini dapat dikurangkan sebelum mereka dijemput ilahi.
Untuk pengetahuan semua, ibu aku seorang yang sangat menitikberatkan ilmu akhirat. Tetapi bapaku sebaliknya. Maka nya terjadilah huru hara begini di dalam rumahtangga ibubapa aku sehingga kini.
Disebabkan perangai ibubapa aku ini lah yang membuatkan aku meneliti betul² calon pasangan hidup aku yang mana aku perhatikan si dia sejak tahun pertama aku di IPT lagi.
Alhamdulillah suami aku seorang yang mengamalkan ajaran islam sebaiknya dan yang paling aku sangat suka tentang dia, dia bukan perokok. ️
Sekian confession aku. Aku harap sesiapa yang ada ibubapa toxic mungkin boleh ambil sedikit info dari confession aku ni. Semoga kau orang bakal dapat bertemu kebahagiaan kau orang.
– Shamsiah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit