Trauma Dengan Pengasuh

Assalamualaikum semua. Aku Mia, seorang isteri dan ibu kepada bayi lelaki yang diberi nama Ali.

Dulu aku seorang wanita berkerjaya tetapi semasa dalam tempoh berpantang aku memutuskan untuk berhenti kerja.

Aku bergaji besar, malah lebih besar dari suami. Simpanan aku juga banyak dan aku memutuskan untuk menjalankan perniagaan dari rumah.

Enam bulan berniaga, aku boleh kata perniagaan aku tak ada untung langsung. Duit simpanan aku pun semakin susut.

Aku boleh kata hanya mampu bertahan dua tiga bulan je lagi memandangkan komitmen aku tinggi. Suami hanya mampu membayar separuh sahaja kerana gaji dia tidaklah besar mana.

Majikan lama aku ada mengajak aku bekerja semula, tetapi aku trauma. Aku trauma untuk menghantar anak aku kepada pengasuh kerana dahulu aku pernah mengalami gangguan semasa kecil.

Masa aku kecil dulu, keluarga aku sangat susah. Boleh kata kais pagi makan pagi. Ibu dan ayah terpaksa menghantar aku ke pengasuh yang paling murah sekali di kawasan perumahan aku.

Sebenarnya dia bukan pengasuh pun, dia jiran sebelah rumah aku. Dia yang offer nak jaga aku memandangkan dia pun tau keluarga aku susah masa tu.

Pengasuh tu anak dara, aku boleh kata umur dia masa tu baru 20 tahun. Aku panggil dia Kak Anne (bukan nama sebenar). Kak Anne ni tinggal dengan mak dan 5 orang lagi adik beradik dia, semua lelaki.

Mak dia selalu tak balik rumah, aku tak pasti mak dia kerja apa. Ayah dia orang indonesia, memang aku tak pernah nampak sepanjang aku duduk rumah dia.

Ibu selalu pesan pada aku untuk sentiasa berkelakuan baik di rumah Kak Anne, kalau dia taknak jaga aku ibu tak tau nak hantar pada siapa lagi. Aku boleh kata aku ni anak yang baik, aku sentiasa dengar apa yang ibu pesan.

Depan ibu dan ayah dia baik, tapi belakang aku boleh kata perangai dia macam syaitan. Aku tak berapa ingat apa yang jadi, tapi memori hitam masih melekat dalam ingatan aku.

Setiap hari aku dibuli dan dimarahi. Cubit tu aku boleh kata makanan ruji untuk aku. Dulu rambut aku panjang, jadi bila dia marah aku dia akan tarik rambut aku. Tarik sekuat hati sampai aku menangis.

Adik-beradik dia semua tak bersekolah, ada yang bekerja dan ada yang jadi kutu rayau. Bekal yang ibu bagi pun kadang-kadang mereka makan, dan hanya bagi aku nasi sahaja.

Benda yang paling aku tak boleh lupa ialah perbuatan jijik dan kotor adik dia yang ketiga pada aku. Setiap hari aku ditinggalkan di ruang tamu seorang diri pada waktu tengahari.

Waktu tengahari biasanya Kak Anne suruh aku tidur dan dia masuk ke dalam bilik. Walaupun aku belum tidur, dia biar je aku seorang kat depan tu.

Tapi macam aku cakap, aku budak baik. Dia suruh aku baring, aku baring walaupun mata aku terkebil-kebil. Adik dia yang ketiga yang kami panggil Didi akan datang pada aku pada masa tu, biasanya pada hari dia tak kerja.

Dia akan tindih aku dan gosokkan anu aku pada dia. Aku tak faham, tapi aku tau benda tu tak baik. Jadi bila aku tau dia nak datang, aku tutup mata rapat-rapat untuk pura-pura tidur tapi dia buat jugak.

Akhirnya benda tu kantoi dekat Kak Anne tapi nak tau apa tindakan Kak Anne? Dia suruh adik dia buat depan dia dan adik-beradik dia yang lain. Mereka bergelak ketawa tengok si Didi ni buat macam tu.

Aku takut, sedih dan keliru masa tu. Didi ni berhenti buat bila adik Kak Anne yang kedua ni tegur tak baik buat aku macam tu.

Bila aku dah besar, aku ada tanya ibu tentang ni. Ibu kata masa aku kecil, aku tak pernah ngadu apa-apa. Tapi ibu tau aku selalu dibuli sebab kadang-kadang ibu mengintai dari tingkap masa nak ambil aku.

Kali terakhir aku duduk rumah dia masa aku berumur lima tahun. Aku tak ingat apa yang berlaku, tapi aku ingat Kak Anne tolak aku dan kaki aku tersadung zink karat.

Berdarah-darah kaki aku dan nasib baik ayah sampai tak lama kemudian. Kaki aku luka dan luka tu lama nak baik sampai berkudis.

Kak Anne bagi tau ayah aku lasak sangat, tapi ayah musykil sebab ayah kata aku bukan anak yang lasak.

Masa kaki aku berkudis tu, ayah hantar aku balik kampung. Nenek yang jaga aku sampai baik. Bila dah baik, aku menangis-nangis tak nak ke rumah Kak Anne.

Ibu dan ayah akur dan tak lama kemudian kami pindah ke rumah nenek memandangkan nenek pun tinggal seorang diri. Cuma jarak perjalanan ke tempat kerja agak jauh, mujur masa tu ayah dah ada motor.

Banyak kali ibu minta maaf sambil menangis sebab tak tau mereka perlakukan aku sampai macam tu sekali. Ayah sampai sekarang tak tau, sebab aku tak nak ayah sedih macam ibu. Aku faham, masa tu hidup kami terdesak dan susah.

Sampai sekarang aku masih ingat perbuatan mereka pada aku dan sejujurnya aku belum memaafkan mereka. Aku pernah cakap pada ibu, selagi parut kudis ni tak hilang, selagi tu aku tak maafkan dorang.

Dan sekarang trauma ni menghantui diri aku. Aku takut nak hantar anak pada pengasuh. Walaupun anak aku lelaki, aku takut sebab bayi lelaki pun ramai yang menjadi mangsa seks sekarang.

Tapi aku perlu bekerja untuk membantu ekonomi keluarga, dan yang penting untuk beri yang terbaik pada anak aku.

Masa aku taip ni pun aku menangis, sebab aku terlalu takut dan trauma. Walaupun muka mereka pun aku dah lupa, tapi perbuatan jahat dan terkutuk mereka masih melekat dan kekal dalam ingatan aku.

– Mia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *