Trauma Dilempang Cikgu

Terima kasih admin, sudi siarkan kisah aku. Hai. Aku Putri (bukan nama sebenar) Usia 30an dari utara.

Kisah tular cikgu lempar anak murid buat aku triggered nak ceritakan kisah aku sendiri. Bagaimana trauma waktu kecil mengubah seluruh hidup aku. Semoga jadi pengajaran buat cikgu dan ibu bapa.

Kisah ini aku pendam sendiri. Aku langsung tak pernah cerita pada sesiapa. Ini rahsia aku. Tetapi bila teringat, aku masih menangis.

Alhamdulillah, sedari kecil aku dianugerahkan ‘otak pandai’. Aku lancar membaca pada usia 5tahun. Aku menghafal sifir 12,sifir 13 malah sifir 15 pada usia 6 tahun.

Waktu itu, hujung-hujung 80an. Bijak kan aku?

Kisah perit ini terjadi selepas aku berpindah ke sekolah baru. Aku, 11 tahun. Darjah 5. Di sekolah rendah lama, aku antara pelajar cemerlang.

Aku tidak pernah bermasalah. Tidak pernah ponteng. Selalu siapkan kerja sekolah. Paling teruk hukuman aku pernah kena ialah, bising dalam kelas. Hahahaha…

Baik kan aku?

Jadi, bila berpindah ke sekolah baru, aku bawa attitude yang sama. Dengan mak ayah, aku tak pernah melawan. Begitu juga dengan adik beradik.

Aku kakak. Aku selalu mengalah. Mana aku pernah tinggikan suara. Kalau keluar main pun, dari jam 6 hingga 7 petang saja. Punyalah baik. Hahhahahha..

Di sekolah baru, prestasi aku cemerlang seperti biasa. Seperti biasa, aku ingin menjadi sebagai seorang pelajar contoh dalam kelas.

Sentiasa nak jadi orang pertama yang hantar kerja sekolah dan berlumba-lumba nak jawab soalan cikgu. Ye. Aku memang anak dan murid yang baik.

Tetapi, semuanya berubah selepas satu peristiwa ini. Kejadiannya pada hari raptai majlis penyampaian anugerah sekolah. Hari tersebut, aku of course la antara murid cemerlang yang akan naik ke pentas.

Eh, aku dari tadika sentiasa dapat no 1 tau. Setiap tahun wajib naik pentas. (selit sikit, hehehe) So, seperti dijangka aku antara murid cemerlang yang menerima anugerah.

Di dalam dewan aku beratur senyap. Tatkala kawan-kawan berlarian, aku patuh pada arahan cikgu. Aku kan budak baik. Nama dipanggil. Aku naik ke pentas.

Tetapi, salah aku, aku berdiri di posisi yang salah. Mungkin senget sikit. Entahlah, lupa dah aku pun. Satu dua kali, cikgu yang menyampaikan hadiah, menyuruh aku berdiri dengan betul.

Tak tahu kenapa, aku tak dapat faham kehendak beliau.

‘Nak berdiri macam mana lagi? Rasa betul dah.’

Sambil aku tengah berfikir, tiba-tiba,

‘PANG!!’

Aku dilempang kuat oleh cikgu itu sambil diherdik dan dimarah. Masih aku ingat beliau jerit pada aku, Bodoh!

Seluruh dewan sepi. Aku? Hanya diam. Tergamam mungkin. Mana pernah aku dirotan atau dilempang sebegitu. Aku kan budak baik.

Selepas itu, aku hanya diam dan terus naik ke kelas. Entah aku menangis atau tidak, aku pun sudah lupa. Dada aku sakit. Terkejut sangat-sangat. Dan malu.

Kemudian, ada seorang cikgu, datang pada aku. Salah seorang cikgu yang mengajar aku. Cikgu itu datang untuk memujuk aku.

“Sakit tak?”

Aku hanya menggeleng. Sungguh aku tak rasa apa-apa kesakitan waktu itu.

“Kenapa Cikgu H marah?”

Aku menggeleng lagi tanda tidak pasti.

“Cikgu rasa Cikgu H penat kot. Dia tak bermaksud nak marah. Dia tak sengaja tu”

Aku hanya angguk dan diam.

Dalam pemikiran aku, aku masih tidak faham. Aku budak baik. Tetapi kenapa masih kena lempang. Siap diherdik bodoh! Setelah sesi memujuk, aku dibiarkan saja dikelas. Sedangkan murid lain diwajibkan berada di dewan.

Loceng berbunyi, tamat sekolah aku terus balik. Sampainya di rumah, aku diam. Aku takut nak ceritakan mak. Ye lah. Nanti aku dicop sebagai budak jahat.

Jadi, aku diam sajalah. Pada hari itu, ayah balik awal. Mungkin pihak sekolah menelefon. Aku hanya geleng bila ayah tanya, “Ada apa-apa kakak nak cerita kat ayah?”

Sejak itu, aku banyak berdiam. Di sekolah mahupun dirumah. Memori selepas itu kabur. Aku hanya ingat aku ditampar sahaja. Tahun seterusnya tahun UPSR, aku dinaikkan ke kelas paling cemerlang.

Tetapi aku sudah tidak teruja lagi untuk belajar. Malah aku tidak lagi mengejar untuk menjadi orang pertama yang jawab soalan cikgu. Waktu itu aku tidak faham kenapa aku makin lemah dalam memahami apa cikgu ajar.

Berulang kali cikgu ajar, aku masih tak dapat. Matematik, English, Sains, Bahasa Melayu, semuanya makin susah bagi aku. Aku tidak lagi mendapat no yang teratas. Padahal dari darjah 1, paling teruk aku dapat no 3.

Waktu itu, aku masih budak. Aku anggap, pelajaran tahun 6 sangat susah dan aku makin bodoh. Mungkin minda separa sedar aku sudah terpahat perkataan BODOH itu. Dalam begitu, mujurlah keputusan UPSR aku masih cemerlang.

Fast forward. Aku diterima masuk asrama penuh. Tetapi aku langsung tidak cemerlang seperti yang aku jangka. Result hanya ditengah-tengah.

Waktu itu aku masih tak faham kenapa aku belajar tak pandai-pandai. Lambat faham. Mungkin betul aku ni bodoh. Aku mula nakal sikit-sikit.

Lambat ke sekolah. Bergaul dengan budak nakal. Macam-macam lagilah. PMR, result aku biasa saja. Straight 9B. Begitu juga SPM. Tidak gagal. Tetapi tidak juga cemerlang. Selepas habis universiti pun begitu.

Aku tak sangka trauma itu menghantui aku bertahun-tahun. Malah, sejak hari itu aku selalu diserang panik attack. Dada selalu sakit dan tangan berpeluh. Aku senang takut. Result universiti pun hanya biasa-biasa saja.

Tetap di atas 3cgpa namun aku langsung tidak teringin nak mengejar kecemerlangan. 4 flat? Takpayahlah. Aku teringin, tapi taknak. Pelik kan. Kerjaya pun begitu.

Sedangkan kawan-kawan aku, ramai ada kerjaya hebat-hebat. Doktor, pensyarah, cikgu, pakar perubatan, tetapi aku hanya kerja sebagai pembantu kedai.

Di sudut hati aku, aku terkilan tidak dapat kejar cita-cita aku untuk menjadi doktor. Aku sedih sebab aku tahu aku boleh tapi entah kenapa aku tidak mampu nak capai.

Entahlah. Teruk sangat trauma yang efek pada hidup aku dulu. Mungkin sebab tiada closure pada kejadian itu. Cikgu H nampak macam langsung tiada kesal apa yang terjadi.

Tetapi walau betapa teruknya trauma menimpa aku, hampa jangan risau. Sekarang, Alhamdulilah, aku bahagia. Income aku 5-6 angka setiap bulan walau tiada kerjaya hebat. Aku ada bisnes dan produk sendiri. Rumahtangga aku pun bahagia. Syukur.

Cuma, cerita aku di sini sebagai pedoman untuk cikgu dan ibu bapa. Jika anda cikgu dan rasa tidak dapat terima tekanan dalam mendidik anak murid, berhentilah. Tolong cari kerjaya lain.

Cikgu perlu ada jiwa yang besar dalam dada. Cikgu perlu sayang anak muridnya. Cikgu, tugasnya berat. Bukan sekadar makan gaji tetapi pikul amanah yang besar.

Cikgu, mendidik kerana sayang. Bukan sebab kerja semata-mata. Sebab itulah dari dulu cikgu diibaratkan lilin membakar diri. Kanak-kanak ni jiwanya suci.

Bila aku tengok video tular itu, aku mula berpinar. Sakit. Dada aku sakit. Aku terkena panik attack. Terbayang-bayang akan riak muka murid tersebut dan kawan-kawannya yang jelas ketakutan. Aku tak dapat bayang apa kesannya nanti.

Tolong ye cikgu. Sayangi anak-anak kami.

Tegas itu bagus. Tetapi tegaslah dengan kasih sayang.

Apapun aku salute pada cikgu-cikgu yang sedaya upaya jalankan amanah dengan penuh ikhlas dan kasih sayang. Terima kasih. Terima kasih jua pada cikgu S, yang sudi memujuk aku pada hari kejadian itu.

– Putri (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *