Trauma Gangguan Seksual & Orang Tua Gatal

Salam pembaca semua. Kisah yang aku nak share ni dah lama aku pendam. Jadi luka dan trauma kat aku walaupun kejadiannya dah berpuluh-puluh tahun terjadi.

Aku Camelia, 30an. Aku terpanggil nak tulis kisah ni lepas baca kes pembunuhan dan rogol kanak-kanak orang Asli, adik Nuraina Humaira tu.

Berbakul-bakul kata seranah keluar dari mulut aku, sebab aku paling benci kes-kes macam ni. Dan selalunya lepas baca kes-kes gini aku akan terbayang semula apa yang aku lalui dulu. Cuma, aku selamat sebab tak sampai kena rogol.

Dulu aku tak faham pun maksud “TRAUMA”. Aku biar semua kenangan-kenangan pahit tu berlalu macam angin, seiring aku dewasa. Tapi.. rupanya, trauma ni masih berbekas kat jiwa dan memori kau walau kejadian tu sudah lama.

Kau boleh bayangkan dengan terperinci momen tu, macam baru berlaku semalam. Dan bila ada kes-kes yang sama, akan mudah ‘trigger’ semula trauma tu.

Sekarang ni aku pun ada anak perempuan yang semakin meningkat dewasa. Tahun depan dah nak masuk tingkatan 1. Setiap kali aku tengok dia, kerisauan aku terlalu besar. Aku bayangkan semua kejadian-kejadian yang pernah aku lalui, trauma sangat nak lepaskan anak aku ke dunia yang sangat menakutkan ini.

Bayangkan zaman aku kecik-kecik dulu pun dah wujud manusia-manusia pedo gini, apatah zaman 2024 ni. Berganda-ganda manusia psiko, gila seks, pedo. Kesannya aku jadi ibu yang over protective. Sebab aku taknak dia lalui semua yang pernah aku lalui dulu.

Sikit pengenalan tentang aku, masa kecik dulu aku jenis budak aktif, lasak dan kuat bermain. Kulit aku pun tak putih, tak gelap. Sawo matang gitu. Masa aku darjah 3, aku beli burger depan kawasan rumah, Ada abang-abang melepak main gitar, tapi depa baik.

Aku ingat ni sorang abang ni cakap kat aku, “Dik.. adik ni comel lah. Dah besar mesti cantik!” itu pujian pertama yang aku dengar, sampai sekarang aku ingat.. haha.. tapi abang tu tak gatal pun. Kata-kata jujur dia tu betullah.. dah besar ramai je puji aku cantik. Bukan aku perasan, dah orang puji-puji aku pun percaya jelah.

Jadi, kisah aku bermula masa darjah 4 . Ada kenduri belah mak aku, dan ramai sedara mara datang dari kampung, tumpang tidur rumah aku. Salah sorang tu aku panggil Pakcik Mat. Dah 30an tapi tak kawin lagi. Yang aku perasan tiap kali dia datang rumah aku, mesti mak akan tidur hujung kaki aku. Masa tu rumah lama, aku pakai kelambu. Masa tu akak pun tak tahu kenapa.

Masa hari kenduri kami ke rumah saudara mak. Di belakang rumah tu ada macam rumah lama yang terbengkalai. Pakcik Mat ni bagi aku RM5 dan ajak aku pergi rumah tu. Zaman dulu rm5 tu banyak gilerrr rasanya. haha..

Aku ni pun bodoh je kan, pi ikut dia. Lepas tu dia arahkan aku buka seluar, dan ada benda yang dia arahkan lagi aku buat. Aku macam tak reti nak melawan, aku tahu benda tu macam ada yang tak kena, tapi aku ikut je arahan dia.

Nasib la tak kena rogol sebab tak lama lepas tu ada budak-budak lain datang main kat situ. Terus berdesup aku lari macam lipas kudung. Bila ingat balik kejadian ni aku selalu maki diri sendiri, bodoh betul pi ikut buat apa! huhu.

Sejak tu aku memang takut gile tiap kali dia datang rumah aku. Mujurlah lepas tu tak jadi apa-apa dah. Aku rasa mak aku pun tahu perangai sebenar dia, sebab tu mak aku akan jadi over protective tiap kali dia datang rumah aku.

Masa aku darjah – aku kena gangguan seksual dengan suami kepada kakak saudara aku. Sebab tu aku nak ingatkan pembaca semua, kebanyakan pemangsa adalah dari orang terdekat. Jangan percaya dan serahkan anak korang bulat-bulat pada sedara mara. Letak sedikit curiga dan sangsi tu.

Dia ni aku namakan Jebon lah. Memang dia suka layan aku dan adik-adik, bagi aiskrim,jajan, bawa jalan-jalan. Sekali pandang kita rasa, ‘Oh penyayangnya dia, suka budak-budak”. Tapi jangan tak tahu, ada udang di balik mee.

Jebon ni tiap kali mak aku pergi kerja, dia akan datang. Konon singgah nak minum la, ada meeting tadi so singgah rumah aku. Tapi yang orang tak tahu, tiap kali dia datang dia peluk-peluk aku. Bangang betul!

Aku tengah masak telur kat dapur, dia datang dari belakang dan peluk aku kemas-kemas. Dia cakap aku cantik, dia suka aku. Padahal aku baru darjah 6 kot. Lepas tu aku bergelut nak lepaskan pelukan dia. Dia cium pipi aku, nasib aku jenis lasak dan kuat. Berjaya aku lepaskan diri.

Ada sekali tu dia datang dan terus masuk bilik. Dia panggil aku masuk, masa aku intai depan pintu dia tengah baring atas katil aku. Dia suruh aku masuk picit tangan dia. Masa tu otak aku ligat berfikir, “Ni kalau aku masuk ni mesti jadi apa-apa!”. Aku cakap taknak pastu terus aku cabut lari keluar rumah.

Tiap kali nampak dia aku benci gile. Aku pernah je bagitahu kakak saudara aku apa yang Jebon buat kat aku, dia tak percaya dan bela suami dia. Dia kata Jebon tu suka budak-budak. Memang kepala Jebon betul.

Dua-dua manusia ni dah pun dapat balasan masing-masing. bila aku tengok depa jadi camtu, aku cakap dalam hati, “Allah dah balas dah semua dosa kau!”.

Kisah aku tak terhenti kat situ. Masa aku tingkatan 2, ayah aku rapat dengan kawan dia ni, aku panggil Pakcik Kim la, sebab muka dia macam cina-cina sikit. Dia selalu datang rumah aku bawa makanan & mainan untuk kami adik beradik. Kira rapat tu dah macam saudara mara gitu. Pakcik Kim ni dah bercerai dengan bini dia. Masa ni aku duduk asrama.

Baiknya Pakcik Kim ni sampai dia rajin lawat aku dekat asrama, bawa outing dan jalan-jalan, Jauh asrama aku dengan rumah aku dan rumah dia adalah 4 jam perjalanan. Masa tu aku bodoh jugalah, fikir baiknya Pakcik Kim ni datang bawa aku outing.

Dia kata dia ada meeting berdekatan sekolah aku, so dia singgah jenguk aku. Dia bawa aku shopping barang-barang makanan dan pakaian. Dia kata Camelia nak apa ambil je, pakcik belanja. Suka giler aku masa tum beli barang makanan sampai penuh troli. Masa shopping tu dia akan rangkul bahu aku sambil aku tolak troli.

Masa tu aku fikir dia penyayang macam seorang ayah. Tak sempat aku nak sangka buruk kat dia, sebab orangnya baik,nampak alim (hampeh betul). Ada banyak kali jugalah dia datang lawat aku kat asrama. Ada orang ingat dia tu ayah aku.

Sampailah satu hari, aku tak tahu apa jadi dekat rumah..tiba-tiba pakcik aku jumpa guard dekat sekolah aku. Pakcik aku tunjuk foto Pakcik Kim. Dia kata dekat guard, orang ni kalau datang nak jumpa budak perempuan ni (masa tu aku ada sekali dekat pondok guard tu), jangan benarkan. Kalau dia degil juga, kami report polis!

Masa tu aku tak tahu pun apa jadi. Sampai lah bila aku dah berkawin dan ada 3 orang anak, entah macam mana sedara aku sebut hal ni. Aku baru tahu rupanya masa tu Pakcik Kim tu nak dekat aku, nak kawin dengan aku rupanya.

Gila apa? Aku baru form 2 masa tu. Dia kata kat parents aku dia sanggup tunggu aku habis belajar apa semua. huhu.. Aku tak tahu apa jadi dengan dia ni sekarang, moga dia pun dapat balasan macam jantan-jantan yang lain tu.

Bila aku fikir-fikir balik, Allah lindungi aku dan mungkin doa mak aku menjaga aku dari semua kejahatan tu. Mujur masa keluar dengan Pakcik Kim tu dia tak culik aku, atau buat benda-benda tak sepatutnya. Seram bila ingat balik..

Itu semua kisah-kisah masa aku sekolah rendah. kenangan buruk yang aku tak mampu lupakan sampai sekarang. Bila masuk universiti, memang lah ramai je lelaki mengorat, aku tak layan. Memang aku jual mahal dan benci giler lelaki jenis gatal-gatal yang datang mintak nombor phone. Sebab aku trauma dengan lelaki-lelaki spesies miang ni.

Kadang masa tunggu bas nak balik universiti, ada lelaki datang minta nombor telefon. Aku cakap, “Sorry, saya tak berkawan dengan lelaki yang kenal tepi jalan”. haha. Dia kata aku sombong.. lantaklah.. aku belajar lebih baik digelar sombong asal dapat melindungi maruah diri.

Bab lelaki muda mengorat ni biasa je bagi aku. Cuma yang aku rimas bila ramai lelaki tua ajak kawin. Ya Allah, rimas gila, nak muntah pun ada. Mana aku pergi, mesti ada lelaki tua yang berkenan dan ajak kawin. Aku ngan mak aku pergi kedai kereta terpakai, nak beli keta untuk kegunaan aku dekat universiti.

Owner tempat tu suka kat aku, beria ajak kawin siap pergi rumah aku jumpa mak ayah. Adik aku gelakkan je tengok orang tua gelenyar nak kawin. Dia bawa adik laki aku naik mercedes dia, pergi beli makanan nak belanja family aku. hahaha..

Lepas tu ada juga beberapa kes sama, orang tua berkenan kat aku. Kalau yang muda-muda ni minat biasa je, call-call je.. senang aku putuskan, Aku cakap maaf saya dah ada pakwe. Camtu je aku reject. Tapi yang tua-tua ni, bila depa berkenan lain macam. terus nak datang rumah jumpa mak ayah aku. Ingat aku terdesak sangat ke nak kawin.

Last sekali kisah aku dan orang tua, sebelum aku menikah. Kira-kira 15 tahun lalu. Masa tu aku baru habis belajar dan kerja dekat company di KL. Bos aku ni tua dah, dalam 50an gitu. Memang baik, soft spoken.

Dia selalu belanja staff makan. Kadang dia puji aku cantik, kalau aku masuk ofis dia memang susah nak keluar. Macam-macam dia ajak borak, isu itu ini. Yang kelakarnya, aku bodoh juga masa ni. Aku fikir dia baik ‘macam seorang ayah’. Sama masa aku fikir tentang Pakcik Kim dulu.

Sampailah satu hari, P.A dia bagitahu aku bos nak lamar aku. Gila betul, macam nak muntah aku rasa masa tu. Dia tak main-main, dia pujuk aku.. kalau aku setuju dia nak pi rumah jumpa mak ayah aku. Aku sedih gile masa tu.. ko ingat aku tak laku ke sampai nak kena kawin ngan orang tua?

Masa tu aku sedih juga, kenapa ramai orang tua suka kat aku? entah-entah jodoh aku memang dengan orang tua.. huhuhuhu.. Sedih gila aku masa tu. Aku cakap dengan bos, aku dah ada pakwe, hujung tahun nanti kami kawin. Padahal takde pun. Time tu lagi aku sedih sebab aku baru putus cinta masa tu. Bos cakap kalau hujung tahun ni aku tak kawin jugak, dia nak pergi rumah aku, nak melamar!

Alhamdulillah Allah dengar doa aku. Dalam aku serabut dok fikir bos aku yang kemaruk nak jadikan aku bini nombor 2 dia.. tiba-tiba satu hari ada staff baru melapor diri. Ehem.. ehem.. dialah jodoh aku yang Allah hantar pada saat & waktu yang tepat. Kenal tak sampai 6 bulan, tup tup dia dengan beraninya ajak aku kawin.

Tak main-main, serius dan sangat firm dengan keputusan dia. Kini dah nak masuk 15 tahun usia perkahwinan kami. Lelaki terbaik yang melindungi, menjaga dan menyayangi aku sepenuh hatinya.

Sejak kahwin, sampai sekarang aku tak pernah kerja di pejabat lagi. Aku kerja freelance, dari rumah. Sesekali keluar meeting dan jumpa orang. Sebab aku paling takut kerja ofis ni. Risau kena ganggu dengan spesies2 gatal macam pakcik-pakcik yang pernah aku jumpa. Aku rasa selamat kerja dekat rumah je.

Cuma kerisauan aku bila tengok anak gadis aku yang semakin membesar. Cantik dia.. aku selalu cakap kat suami, semoga dia pandai jaga maruah diri. Kalau kena macam aku, kena pandai ambil tindakan supaya maruah tak tergadai.

Pada dia pun banyak kali aku pesan, bila dah dewasa.. akan ada ramai lelaki yang hadir, yang mengorat. Aku pesan pada dia jangan layan lelaki yang gatal-gatal, yang ada kelakuan buruk nak pegang2 kita. Pilih lelaki macam papa kamu. Sebijik macam papa! Dia gelak je bila aku pesan pasal ni.

Pada yang ada anak gadis, mohon berhati-hati dan jangan terlalu percaya pada saudara mara sendiri! Dunia sekarang makin dahsyat dan kejam. Semoga Allah lindungi anak-anak kita, baik lelaki dan perempuan dari segala fitnah akhir zaman.

Selalulah doakan anak-anak kita, agar Allah jaga dan lindungi saat kita tak mampu berada disisi mereka.

Salam Kasih Sayang, 

– Camelia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *