Aku mempunyai keluarga yang bermasalah sejak aku kecil lagi. Mak dan ayahku bercerai ketika aku berusia 7 tahun.
Aku mempunyai 4 orang adik dan aku merupakan anak sulung perempuan. Ayah aku tidak memberi nafkah sedikitpun untuk kami adik beradik sehinggalah kami besar.
Mak ku telah berkahwin baharu semasa aku berumur 9 tahun. Dari awal lagi aku tidak suka dengan perkahwinan mak ku.
Hasil perkahwinan baharunya mak ku mempunyai 4 orang anak. Namun, seorang anak telah dijadikan anak angkat kerana mak dan ayah tiriku tidak mempunyai kewangan yang stabil.
Dalam membesarkan kami adik beradik dengan tanpa nafkah dari ayah kami sendiri ibuku bekerja keras. Ayah tiriku pun bukan orang senang, kerja kuli sahaja.
Pada awal perkahwinan mereka semuanya baik sahaja. Namun setelah bertambah anak yang baharu menyebabkan kewangan makin kurang stabil.
Aku berasa sangat kecewa kerana apabila aku ingin meminta wang untuk bayaran sekolah seringkali tidak dapat. Dalam hal ini, aku selalu menggunakan duitku sendiri (hasil pemberian orang denganku).
Apabila aku remaja, aku juga mencari kerja sampingan untuk mendapatkan wang. Wang ku juga sering dipinjam oleh ibuku jika dia tidak mempunyai wang. Kami adik beradik juga kurang mendapat kasih sayang daripada ibuku sendiri.
Aku sangat kecewa kerana apabila aku mendapat apa-apa anugerah di sekolah ibuku langsung tidak mempedulikanku malah bangun sekolah pun aku bangun sendiri. Aku sudah terbiasa berdikari dari kecil.
Dari segi kewangan juga aku simpan semua duit yang diberi orang kepadaku. Apabila aku sekolah menengah aku mempunyai biasiswa. Segala perbelanjaan sekolahku sering tertangguh dan dibayar menggunakan duit biasiswa tersebut.
Apabila aku sudah bekerja, ayah kandungku mula mencari aku. Dia mencariku sebab hendak meminjam wang kepadaku dengan jumlah yang banyak (3k). Baru 1-2 bulan bekerja mana nak dapat dengan jumlah yang dimintanya.
Semua tanggunganku ke tempat kerja pada awalnya ditanggung oleh suamiku kerana belum mendapat gaji lagi. Aku bekerja di kawasan pedalaman. Malas nak fikir aku block nombor ayah kandungku. Setelah aku mendapat gaji serta tunggakan aku memberi sedikit wang kepada ibuku.
Pada mulanya masih ok lagi. Aku cuma kecewa ibuku langsung tidak memyimpan sedikit wang hasil dari pemberianku. Kalau ada wang mesti dibelanjakan untuk makan luar dan belanja orang makan. Malah, membeli barang yang tidak berfaedah. Aku hanya perhati dari jauh saja.
Aku berkata begini bahawa apabila ibuku tidak ada wang dia akan bertanya tentang pemberian wang aku kepadanya lebih awal dari tarikh gaji.
Aku sangat kecewa kerana pemberianku kepadanya bukanlah jumlah yang sedikit. Aku sendiri pun berjimat kerana ada hutang kereta dan rumah malah anak ku sendiri.
Anak ku dijaga oleh mak mertua ku kerana faktor kawasan kerja aku menaiki perahu, aku tidak berani mengambil risiko juga.
Suamiku membayar upah kepada ibunya kerana menjaga anak kami. Kami terpaksa berjauhan kerana aku masih tidak dapat pindah hinggalah tahun keenam aku bekerja.
Namun, tahun kelima aku bekerja ibu dan ayah tiriku telah bercerai kerana ibuku meminta fasakh atas sebab ayah tiriku tidak memberi nafkah serta mempunyai masalah mental. Ibuku terus berpindah ke bandar mengikut adik lelakiku yang kedua.
Dalam hal ini, aku dan adik ku berkongsi wang untuk pembayaran rumah sewa untuk mereka. Malah aku tidak pernah culas dan tidak pernah kurangkan sedikit jumlah wang yang aku berikan kepada ibuku setiap bulan.
Bila di bandar, ibuku tidak dapat bekerja dengan orang atas faktor jauh dan tidak mempunyai kenderaan.
Adikku juga ada memberi belanja kepada ibu dan adikku namun aku faham gaji adik aku bukan besar pun.
Aku juga kecewa mereka tidak sedikit pun menyimpan wang malah adik-adikku yang lain diberi kemewahan seperti telefon yang canggih, seringkali makan luar. Bagi aku, jika tidak mampu tidak perlu semua itu.
Adik ku yang nombor tiga berusia 24 tahun pun duduk rumah sahaja langsung tidak membantu. Apa la salahnya mencari kerja sampingan untuk nrnbantu. Aku sangat pelik kerana usia mereka aku sudah bekerja sana sini sebelum aku mendapat kerja tetap.
Langsung sedikit rasa bersalah pun tiada dalam diri mereka malah menghabiskan duit sahaja. Aku sendiri pun berjimat, jarang-jarang makan di kedai. Balik ke rumah sendiri pun paling-paling 2 minggu sekali untuk jumpa anak dan suami.
Baru-baru ini aku sangat kecewa bil air rumah sewa ibuku mencecah RM 400 (tunggakan 3 bulan) . Aku berasa sangat marah. Dia langsung tidak pernah memberitahu masalah tersebut kepadaku.
Aku tahu sebab adik lelakiku yang memberitahu kerana meminta tolong untuk aku membayar setengah daripada jumlah tersebut.
Jadi dalam hal ini, aku sering kali berfikir apakah tindakan aku? Aku sendiri ingin berkeluarga walaupun sekarang aku baru mempunyai seorang anak.
Jika aku sudah berpindah dan mempunyai rezeki anak lagi akan datang takkanlah sampai ke beranak pinak aku menghadapi masalah ini.
Adik-adikku langsung tidak berfikir untuk membantu ibuku juga. Takkan la aku nak angkut adik-adikku empat orang duduk sebumbung denganku. Apa pulak perasaan suami ku. Dahla hasil rumah kami duduk sekarang juga atas nama dia sebab kami berkongsi bayar.
Kalau bayaran atas nama aku sendiri sudah tentu aku tidak mampu juga agaknya. Malah, banyak peruntukan rumah kami adalah bantuan dari bapa mertua ku sendiri juga.
Aku sangat bersyukur kerana mempunyai keluarga mertua yang sangat baik dan memahami keadaan aku dan suamiku. Layanan yang diberikan keluarga mertuaku juga sangat baik.
Betul kata orang hidup ni ada positif dan negatif seperti hidupku yang mempunyai keluarga yang porak peranda namun mendapat keluarga mertua yang sangat baik. Aku seringkali bersyukur dan selalu menangis memikirkan semua ini.
Suamiku hanya tempat luahanku namun aku juga ingin mendapat nasihat daripada pihak luar sebab aku masih trauma kerana sampai bila-bila masalah ini tidak akan selesai. Aku sering berfikir, mampukah aku menjaga ibuku suatu hari nanti?
Jika adik-adikku masih tidak membuka mata untuk berubah siapa lagi nak menbantu mereka? Dahla mereka tidak biasa hidup susah macam aku lalui zaman kecilku.
Seorang pun langsung tidak macam sikap aku sejak kecil kerana diberi kemewahan dan dimanjakan. Mereka sangat untung kerana aku masih ada untuk menanggung tapi sampai bila?
– Aku Keliru (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit