Assalamualaikum semua. Terima kasih kerana sudi membaca confession saya.
Saya Mira (nama tipu tipu), umur 25, surirumah, mempunyai seorang anak berusia 1 tahun 3 bulan. Masih belum pandai berjalan. Berat masyaallah. Terpaksa dukung ke sana ke sini.
Saya banyak kali terfikir untuk tidak ada anak selepas melahirkan anak saya yang sulung ini kerana saya merasakan perit di setiap peringkat untuk ada anak.
Peritnya mengandung dari trimester pertama (morning sickness), trimester kedua (Pelvic Girdle Pain) hingga trimester ketiga (Sakit kaki sakit belakang tak senang tidur dsb nya).
Peritnya bersalin (seluk seluk, Contraction, jahit). Peritnya berpantang (penat melahirkan, penat menyusukan, penat berjaga malam).
Keperitan menjaga seorang anak tidak terhenti di situ sahaja. Malah berterusan sehingga ke hari ini.
Anak saya fully breastfeeding. Malam malam saya akan berjaga menyusukan anak.
Pergerakan saya agak terbatas kerana anak tidak mahu ditinggalkan walaupun sekejap. Dan saya merasakan keletihan yang sangat melampau.
Sudah beberapa kali saya tumpas dengan emosi saya. Saya mula rimas. Saya menjerit pada anak saya. Saya rasa hendak memukul anak saya.
Saya meluat dengan tangisan dan rengekan anak saya. Saya marah anak saya sekuat hati saya kerana dia menangis tidak henti-henti.
Saya stress semua benda saya tak boleh buat. Rumah bersepah. Kain baju tak berbasuh, tak berlipat. Rumah tidak bersih dan kemas seperti dulu.
Badan saya selalu sakit sakit kerana menyusu badan. Duduk dalam keadaan statik tidak bergerak untuk beberapa jam.
Saya banyak bergantung kepada suami. Seperti yang saya katakan tadi, kerja rumah semua saya tidak dapat laksanakan sepenuhnya. Semua suami saya yang selesaikan.
Alhamdulillah direzekikan suami yang rajin dan sangat membantu. Dan dari sini juga saya merasakan diri tidak berguna kerana tidak mampu membuat perkara yang mudah.
Oleh itu saya berasa takut untuk menambah anak lagi kerana tidak sanggup menghadapi keperitan itu.
Ramai yang berkata, “alah anak baru seorang takkan dah stop”. ” Trauma tu sekejap je nanti ada lah lagi tu”. Iya saya trauma.
Dan saya betul betul tidak mahu anak lagi.
Saya mahukan kehidupan saya yang dulu. Aktif bersukan, bergerak ke sana ke sini dengan bebas tanpa perlu mendukung anak. Berjalan jalan ke tempat yang saya suka selama yang saya suka.
Saya sudah berapa kali cuba memujuk hati saya agar saya dapat buang perasaan selfish ini.
Saya tahu ini adalah modal saya untuk mendapatkan pahala. Saya tahu betapa besarnya pahala seorang ibu mengandung, melahirkan dan membesarkan seorang anak.
Saya tahu satu hari nanti Allah akan membalas dengan sebaik baik balasan. Saya tahu. Tapi saya tak kuat.
Saya takut saya berlaku kasar terhadap anak saya. Saya takut bila anak bertambah, emosi saya bertambah teruk. Saya takut anak saya bencikan saya. Saya takut anak saya menjadi anak yang derhaka.
Jadi, saya ingin bertanyakan kepada semua. Adakah kalian pernah merasakan trauma seperti ini? Apakah yang membuatkan kalian menambah anak lagi?
Setakat ini saja luahan hati dan perasaan saya.
Mohon jangan kecam saya. Emosi saya agak terganggu.
– Mira (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit