Trauma Mental Fizikal Dengan Keluarga Toksik

Terima kasih kerana siarkan kisah aku ni. Disebabkan aku kerap diserang panic attack, dan anak lelaki aku mula menunjukkan tanda-tanda kemurungan dan Anxiety, aku rasa aku perlu menulis di sini. Ini safe space aku. 

Aku seorang ibu tunggal berumur 30 an, mempunyai 2 cahaya mata. Dah lama aku berpisah dengan bekas suami. 

Aku datang dari keluarga yang toksik. Luaran nampak baik, dihormati, beragama, tapi sangat toksik. Toksik yang bagaimana? Segala jenis toksik. Termasuklah toxic positivity. 

Dan salah satu sebab kenapa perkahwinan aku hancur adalah campur tangan mak, abang sulung aku sendiri. 

Aku dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan pelajaran. Sejak kecil dibandingkan dengan adik beradik yang lain. Kami semua berjaya masuk universiti, membanggakan orang tua, hakikatnya adik beradik lain juga rosak mental mereka. Termasuklah aku. 

Anak sulung, abang aku memang anak kebanggaan orang tua. Sekarang bekerja hebat berjawatan tinggi. Umurnya 40 an dan mempunyai banyak aset. 5-6 buah rumah termasuk tanah tak silap aku. Kereta pun beli secara tunai. 

Kiranya mak aku mahu adik beradik lain ikut contoh abang aku tu. Jangan membazir, tak boleh berjalan sana sini, makan berjimat, janji ada harta. 

Sedangkan kami adik beradik ada fahaman yang berbeza. Lebih suka hidup bersederhana dan bahagiakan keluarga. 

Bukan setiap bulan berjimat sangat sebab nak bayar hutang Bank. Yelah dah aset terlampau banyak kan? Gaji berpuluh ribu pun habis begitu sajalah kalau dah semua nak selesaikan hutang Bank. 

Mak abah aku sayang gila abang sulung aku ni. Apa saja cakap dia mesti mak dengar dan ikut. Bila dia tak setuju dengan adik adik, dia cucuk mak aku. 

Bila mak aku sound kami adik beradik, kami ada hujah kami sendiri. 

Kerja kami, semua dipandang rendah oleh abang aku. Tak ada masa depan katanya. Suruh kerja yang lain yang lebih terjamin. 

Entahlah bagi aku kami tak kacau orang. Kerja halal, boleh bayar komitmen, simpan sikit, jadilah. Kenapa perlu ikut cakap orang lain dan hidup dalam tekanan?

Semua decision kehidupan kami ditentukan oleh mak aku, dan abang sulung aku la yang jahat ni. 

Abang sulung aku ni dari kecil dia baran. Umur 13 pun berani dia maki hamun pakcik makcik aku. Dia memang jenis kepala angin. 30 tahun kemudian baru dia baik semula dengan pakcik aku tadi. 

Semua dia saja yang betul. Dia pukul, dia salah pun kami adik beradik kena minta maaf. Sebab dia sulung dia kaya dia berjaya. 

Dan perangai dia ni jenis tak ada siapa berani tegur . Dia buat apa pun kami semua kena sabar. Memang makan hati dan memang betul betul toksik. Lagipun dia kan Bank keluarga. Eh, Bank mak aku la kot.

Kami adik beradik tak pernah pakai duit dia. Mak bapak aku tu pun bukan tak ada duit pencen sendiri. 

.
.

Bulan lepas ada satu kejadian, 

Kebetulan kami semua pulang ke kampung waktu cuti sekolah. Abang aku ni memang dia dah kepala angin. Anak aku terjatuhkan pinggan. Dia jerit mengamuk siap pakej mak aku tambah marah lagi. 

Aku pula jenis kalau anak silap terjatuhkan pinggan, pertama aku check ada siapa-siapa cedera tak? Aku minta semua le tepi dan aku selesaikan. 

Bukan cara maki hamun. 

Tapi aku pujuk anak aku. Aku cakap tak apalah nanti kita minta maaf pada tok sebab terpecahkan pinggan. 

Masa minta maaf siap mak aku tarik anak aku suruh minta maaf dengan pakcik dia yang baran tadi. 

Untuk apa?

Esoknya, 

Anak abang aku yang lain bergaduh dengan anak abang sulung aku ni. Berebut barang je pun. Bergaduh budak kecil.

Abang aku tu dia punya barang dia pergi jerkah anak sedara aku tu sebab ketuk kepala anak dia dengan buku nipis. Nipis tu 4 page saja. 

Dah la jerkah macam tak ada hari esok, dia tendang lagi anak sedara aku yang baru 5 tahun tu?

Mungkin dia paling pandai, paling kaya, tapi dalam hal ni dia paling bod**. 

Menangis teruk anak sedara aku. Aku cuba tenangkan. 

Yang lagi menyakitkan hati mak aku sebelahkan abang sulung aku. 

Katanya kalau salah mak ok je hukum begitu. Tu pasal la anak anak mak yang lain membesar rosak otak otak kami. Sudahlah suka bezakan anak-anak, takutkan lagi anak kesayangan.

Kami adik beradik pun kena pukul kena maki hamun tu biasa. Tu pasal menurun kat abang sulung aku tu

Dan kejadian terajang tadi tu disaksikan oleh anak-anak aku sendiri. Bila anak sedara aku balik rumah mengadu pada mak dia, mestilah mak dia siasat dulu kejadian sebenar macamana kan?

Jadi anak aku pun cuma cerita apa dia nampak. 

Mak minta rahsiakan hal ni dari kakak aku. Katanya aku mesti jadi pendamai. Jangan keruhkan keadaan kata mak aku. 

Bila aku nasihat suruh cakap kat abang sulung aku, untuk pergi minta maaf, mak bapak aku marahkan aku. Katanya taulah apa mereka nak buat. 

Tapi mak aku silap. 

Apa saja hal serang secara fizikal ni aku takkan dengar cakap mak aku. Bagi aku kali ni abang sulung aku sendiri kena minta maaf. Memang melampau

Kami adik beradik yang lain banyak diamkan diri buat hal sendiri. Tak keluar kemana pun sebab sakit hati. 

Sekalitu esoknya abang sulung aku datang kat aku, 

“Apa yang ko bagitau dieorang sampai semua orang pulau aku?”

“Aku tak cakap apa apa. Anak dia yang cerita sendiri. Mak tak bagi masuk campur”

Sekali dia cakap hubungan aku dengan dia sebagai adik beradik dah putus. Terus dia naik hantu. Kemudian dia angkat kerusi nak baling kat aku. 

Mak aku tahan dia. 

Kemudian aku tanya apa silap aku? Kenapa lepaskan marah kat aku??

Dia nampak anak lelaki aku yang beritahu makcik dia perkara sebenar tadi, dia cekak leher baju anak aku dia nak tumbuk anak aku. 

Mak aku halang. 

Dia cekak lagi dan cuba nak tumbuk lagi. Aku jerit dan tepis sekuat hati sebab jangan siapa pun usik anak aku. 

“Aku ni dah tak berlaki. Tak ada yang nak protect aku. Jangan sesekali sentuh anak aku! Apa salah dia? Dia tak tahu apa apa!”

Kemudian abang aku yang sulung jerkah aku, 

“Ko tak berlaki sebab perangai ko macam bab*!!!”

Kemudian dia baling penyidai towel kayu, berkali kali ke arah aku. 

Aku naik hantu aku baling semula tapi tak kena. Aku cuba tendang dia. Tak kena. Memang sakit sangat apa dia buat ni. 

Lepas tu terus aku masuk bilik sambil menangis sekuat hati. Mak aku suruh diam malu kat jiran, aku tak peduli. Kenapa nak malu kat jiran? Memang aku saja ke kena diam dalam hal ni?

Mak aku paksa aku berhenti menangis. Macam mana nak berhenti menangis aku sedang sakit?

Abang aku yang baran tadi cuba nak terangkan patutnya aku kena nasihat kakak aku supaya datang jumpa dia. 

Apahal kakak aku kena jumpa dia ?

Kalau dia yang salah tendang anak sedara aku, dia yang perlu minta maaf!

Struggle aku anak beranak selepas kejadian tu. Mak aku suruh aku bersabar dan maafkan. Katanya abang aku tu banyak masalah tempat kerja. 

Aku yang kena bersabar??

Kami anak beranak trauma sampai ke hari ini. Anxiety dan kemurungan sebab dia tau?

Memang toksik betul. Nasihat lemah lembut terpaling agama menggunakan nama nabi. Tapi pernah ke faham kesakitan kami?

Sepatutnya mak abah aku, adik beradik aku protect aku anak beranak. Sebab aku tak bersuami. Bukan cederakan begini. 

Abang aku tadi terus angkat kain baju balik ke KL. Dia nak bercakap dengan aku, aku jerit dan tak mahu lagi ada kaitan dengan dia. 

Esoknya aku balik dengan anak-anak aku. Berperang dengan emosi nak buat laporan polis. Banyak bengkak dan lebam pada badan aku. Aku ambil semua gambar kecederaan. 

Adik beradik lain halang aku untuk buat laporan polis. Mereka minta aku bertenang dan jauhkan diri. 

Tapi mak aku tu masih minta kami semua maafkan dan jangan putus silaturahim. Dia tak berani nak nasihat pun abang aku, yang adik tak berharta tak ada apa ni saja sentiasa kena maafkankan dan move on. 

Sampai saat ni aku masih struggle sebab aku tetap baik dengan mak bapak aku. Aku call mereka. Sebelum balik pun aku minta ampun siap siap dah. 

Mak aku merayu minta masuk dalam wasap group. Aku masuk dan parking nama saja. Aku tengok abang aku tu lansung rasa tak bersalah dengan perbuatan dia. 

Aku memang tak mampu jumpa dia lagi dah. Trauma sangat. Kami anak beranak maafkan perbuatan dia. Dia ada baik dia. Tapi untuk dekat dengan dia tengok dia memang tak mampu dah. Tak tahu berapa lama mungkin selama-lamanya. 

Kalau mak aku pakai ayat permintaan terakhir suruh berbaik pun aku tak mampu dah. Yang berdosa menzalimi tetap begitu. Tak berubah. 

Yang sakit yang dizalimi ni akhirnya disalahkan sebab menjauhkan diri. 

Memang toksik. 

Parenting mak ayah dulu-dulu memanglah tanpa ilmu. Tapi jangan sakitkan anak cucu lagi kalau pernah silap dulu. 

Semoga kita mak ayah jangan sesekali membezakan anak-anak. Mana yang salah, hukumlah. Jika dibiarkan rosak jadinya. Layan sama rata. Bukan lebihkan anak-anak sebab dia berharta. 

Jangan menyakitkan anak menantu kita dengan cara kita masuk campur berlebihan hal rumah tangga mereka. Perlu tahu limit sebagai orang tua. 

Buat yang ada baran melampau, kalau dah sampai merosakkan mental dan mencederakan anak isteri dan orang lain, jumpalah dengan psychiatrist. Dapatkan rawatan. Baran tu merosakkan generasi seterusnya kalau tak hentikan. 

Entahlah. Aku memang kecewa dan sangat penat.

Semoga Allah beri kekuatan kesabaran dan ketenangan buat kami anak beranak, dan beri kefahaman pada mak dan abang aku yang perbuatan anak dia tadi menyakitkan kami dan beri kesan buruk dalam hidup kami. 

– Mariam (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *