Trauma Rotan Di Sekolah

Assalamualaikum. Aku tak ada cerita best, cuma terkenang nostalgia zaman mula2 masuk darjah satu dulu.

Aku masuk ke sekolah yang dekat dengan rumah, berlainan dengan kakak aku yang darjah 4 dia sekolah jauh sikit (dekat dengan tempat kerja bapak). Sekolah yang aku masuk ni banyak budak nakal, tapi sebab mak aku boleh ulang alik ambil aku dari sekolah lepas tu terus hantar sekolah agama, kira senanglah sikit sebab masa ni aku x pandai bawak basikal jauh2 lagi. Mula2 masuk kelas biasalah mak aku teman dan tunggu kat luar kelas sampailah waktu rehat bawak bekal kami makan sekali. Aku ingat lagi lepas makan tu mak aku tanya tau tak mana tandas semua sebab mak aku risau aku terberak ke terkencing dalam seluar sebab tak tau kat mana tandas dan takut nak bagitau cikgu (insiden yang pernah berlaku di tadika dulu). Yang bestnya mak aku dah siap2 seluar spare dalam beg manalah tahu kalau ada “eksiden” dalam kelas. Aku ingat lagi mak aku bagitau cikgu kelas aku Cikgu Amni dulu, “Kalau Fadli ni nakal ke tak dengar cakap ke, cikgu rotan je dia macam cikgu rotan anak sendiri. Saya boleh berikan rotan. Nak cubit ke nak pulas telinga ke nak pukul ke, pukul lah kalau dia tak dengar cakap” wah, berderau darah bila dengar.

Ok… back up sikit…. mak aku ni garang ya amat. Kalau kat rumah tu tak payah ceritalah berapa kali kami kena rotan sebab sepahkan rumah tak dengar cakap semua. Mak aku memang setiap awal tahun dia akan jumpa guru kelas dan cakap benda yang sama kat semua guru kelas aku, depan aku. Aku memang takut dengan mak aku jadi aku tak berani nak buat nakal depan dia. Tapi disebabkan aku ni malas dan payah sikit nak belajar, memang tak dapat lari dari kena bebel. Aku ingat lagi masa aku darjah tiga… pertama kali aku tiru homework kawan sebab aku tak tahu buat dan malas fikir. Sejak dari tu aku meniru kawan buat kerja rumah. Bila aku tak dapat tiru, aku hentam je jawapan. Jadi disebabkan jawapan tak konsisten, kejap nampak pandai sebab jawapan tiru tu betul, kejap nampak bodoh sebab jawapan aku hentam tu salah, aku kantoi meniru kawan dan cikgu aku repot kat mak. Apa lagi berbirat badan aku kena rotan masa balik, padahal kat sekolah cikgu dah ketuk buku lima dengan pembaris kayu yang panjang tu (pedih siot). Lepas tu aku tak berani meniru lagi, biarla jawapan salah ke apa, aku memang buat sendiri. Tapi penyakit malas belajar tu masih ada lagi

Yang aku nak cerita ni masa aku darjah 5… kami ada guru disiplin nama Cikgu Rosdi, dia ni memang komando habis, rotan kat pinggang setiap masa, dan dia tak akan teragak2 rotan siapa yang dia nampak tanpa apa2 warning. Masa ni aku dah jadi jahat sikit sebab kawan dengan budak2 jahat. Bab belajar aku steady, tak top tak low, tapi bab ponteng memang nombor satu. Rajin je aku volunteer nak cari cikgu padahal aku panjat pagar lepas tu lepak hisap rokok. Aku ponteng pun tak lama, habis tinggi dalam setengah jam je aku hilang. Ada lah satu hari tu aku baru je habis memonteng, aku panjat pagar lepas tu naik tangga lah nak masuk kelas. Nak ditakdirkan masa tu Cikgu Rosdi tengah naik sekali tangga tu, jadi terkantoi kitorang panjat tangga dari pagar. Dia kejar siap hoi hoi, apa lagi kitorang lari la lintang pukang. Dua orang member aku masuk tandas, dan memang kantoi lah kena tangkap. Aku pandai sikit, aku masuk kelas lepas tu buat muka selamba. Duduk dalam kelas senyap2 lepas tu aku nampak cikgu Rosdi berlalu sambil mencari aku. Fuh, sipi.

Tapi kawan aku yang dengki tu repot nama aku kat Cikgu Rosdi. Tak lama la, kira dalam setengah jam lepas tu dia masuk kelas. “MANA FADLI?” pehhhh, berderau darah aku. Aku berdiri senyap je. Lepas tu dia buat signal jari macam “mari sini” lepas tu aku pun ikut dia. Belum sempat aku keluar kelas, ZAPPP dia rotan bontot aku depan seluruh kelas. Rotan dia bukan yang jenis nipis2 tu, tapi lebih kurang tebal jari telunjuk jugak lah. Berdesing kalau kena kulit. Dan dia suruh aku terus berjalan ke pejabat dia. Sementara aku berjalan tu, dia selang selikan dengan alunan rotan mengenai seluar aku. Kiranya dari kelas aku ke pejabat dia, satu sekolah boleh nampak aku terlompat2 berjalan sambil kena rotan. Sampai pejabat dia, aku nampak kawan aku dah muka merah sebab menangis. Berbirat tangan aku hari tu sebab dia rotan berkali2, pulas telinga cubit mulut sekali. Aku mengaku aku menangis. Dalam tengah menangis tu Cikgu Rosdi telefon mak aku. Dia suruh aku cakap sendiri dengan mak aku, apa yang aku buat hari tu. Kau bayangkan la dalam kesakitan dalam tengah menangis tu, menggigil aku bagitahu mak yang aku ponteng kelas dan hisap rokok. Dalam telefon aku ingat lagi mak aku cakap “Ya Allah” dan dia beritahu dia akan datang sekolah.

Kami tunggu dalam pejabat dia sampailah penjaga kami sampai. Mak aku yang sampai dulu sebab rumah dekat. Serius hati aku rasa macam nak pecah tengok mak aku menangis bila Cikgu Rosdi bagitahu aku ponteng dan merokok. Lepas tu dalam geram, mak aku rembat rotan Cikgu Rosdi dan rotan aku lagi depan staf pejabat, depan Cikgu Rosdi dan depan kawan2 aku. Aku menangis mintak ampun dan maaf sampailah mak aku penat. Habis lunyai aku dikerjakan oleh mak. Bekas2 lebam semua ada, mak aku main tibai tak kiralah kena kaki ke kena kepala ke apa sampai aku terguling2 mintak dia berhenti. Sampailah staf2 pejabat tu tenangkan mak aku baru dia berhenti betul2.

Bila balik rumah pulak, bapak aku bebelkan lagi aku. Serius trauma kena rotan tu tak berapa sangat, tapi bila tengok mak aku rotan aku sambil menangis tu memang sangat traumatik untuk aku sebab mak aku tak pernah menangis disebabkan dia ni bengis dan garang orangnya. Sepanjang minggu tu aku tak pergi sekolah dan berkurung je dalam bilik sambil menangis. Mak aku tak nak cakap dengan aku sepanjang minggu tu. Aku tak tahu macam mana nak bagitahu perasaan kena ignore dengan mak sendiri. Tak kira macam mana aku merayu mak aku tetap tak hiraukan aku. Bapak aku je yang layankan aku suruh aku berubah.

Lepas insiden tu, hari Isnin kemudiannya aku tak nak pergi sekolah lagi sebab aku tahu Cikgu Rosdi akan buat perhimpunan bagitahu pasal budak yang ponteng dan merokok tu. Aku tak nak dengar, jadi aku datang hari Selasa. Selasa tu dan hari2 berikutnya aku jadi pendiam, dan aku nekad nak berubah. Aku malu dengan kawan2 sekelas semua, tapi disebabkan masa aku tu sangatlah banyak sebab aku x bercakap dengan orang, aku jadi ulat buku. Belajar memang kaw2 sampailah prestasi pelajaran aku meningkat dengan sangat mendadak. Dari nombor 21, dapat nombor 1. Lama juga mak aku tak tegur aku, dalam dua minggu lebih gitu. Tapi satu hari lepas aku balik sekolah dia tegur aku dengan nada biasa dia “Acik makanlah nasi dulu sebelum mandi”. Fuh, masa tu rasa nak menangis sebab gembira mak aku dah tegur aku balik, tapi aku buat2 cool jawab biasa je. Hari Raya baru aku menangis sampai berhingus mintak maaf dengan mak pasal hal tu.

Alhamdulillah berkat insiden traumatik tu aku berubah jadi orang yang lebih baik. Syukur aku diterima masuk MRSM dan dapat melanjutkan pelajaran ke UM dan tahun depan aku grad, Insyaallah. Aku tak tahulah kalau tak kerana rotan Cikgu Rosdi tu, tak tahulah kalau aku akan berubah sampai mcam ni sekali. walau bagaimanapun, aku bersyukur sebab aku diberi peluang untuk berubah. Amin.

– Fadli

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit