Terima kasih admin jika confession ini diterima. Aku hanya ingin berkongsi cerita aku dengan semua. Aku Nisa berumur 30an sudah berumah tangga dan mempunyai anak-anak.
Aku berasal dari keluarga yang hidupnya cukup-cukup makan. Namun, itu bukan alasan untuk aku tidak sambung belajar dan pembelajaran aku berjalan dengan sempurna hingga aku menjejakkan kaki ke IPTA.
Semasa belajar, aku dilamar seorang lelaki dari keluarga yang amat berbeza dari keluargaku. Berbeza dari segi education keluarga dan harta. Kami menikah dan suami aku menanggung semua kos pengajian aku di universiti termasuk di peringkat master dan PhD.
Hidup kami amat indah, walaupun kami tidak pernah bercinta dan kenal sebelum kahwin kerana diperkenalkan oleh keluarga, namun semakin lama kami mengenali antara satu sama lain, semakin dalam ikatan kasih sayang antara kami.
Suami seorang yang sangat baik terhadapku. Memberi sepenuh sokongan kepadaku dalam pembelajaran, rajin membantuku dalam urusan rumah tangga, selalu membawaku bercuti ke luar dan dalam negara. Selalu membuat kejutan romantis untukku.
Agamanya juga cukup baik bagiku kerana beliau cukup solat 5 waktu dan mampu menjadi imamku. Soal nafkah pula tidak pernah culas.
Beberapa tahun kemudian, perniagaan suamiku sedikit merosot dan kami cuba menukar cara hidup yang mewah mengikut kemampuan kami.
Banyak komitmen hidup yang suami perlu tanggung dan kami tidak lagi berbelanja barang-barang branded mahupun bercuti ke luar negara. Aku pula mula mencari pendapatan sendiri dan suami juga bekerja part time untuk menambah sumber pendapatan.
Kami amat struggle. Sudah beberapa kali aku hampir give up dengan rumah tangga kerana bagiku suami kurang berusaha. Aku kerap bermasam muka kerana penat dengan urusan rumah tangga kerana suami selalu out station.
Namun, kami tidak pernah berperang sehingga ke perceraian kerana suami seorang yang sangat penyabar dan sentiasa berusaha memujukku semula. Ampunkan aku wahai suami kerana aku isteri yang tidak bersyukur.
Setelah tiga tahun kemerosotan kewangan dan hutang yang bertimbun masih belum habis diselesaikan, kami sekali lagi diturunkan ujian kerana suamiku jatuh sakit. Setelah membuat pemeriksaan, suami disahkan menghidap tumor.
Ujian kami bertimpa-timpa. Sepanjang suami tidak sihat, aku terpaksa mengurus rumah tangga seorang diri. Penat dan lelah hanya Allah yang tahu.
Rawatan susulan suamiku masih berjalan dalam pemantauan saiz tumor dan kami hidup seperti biasa. Struggle dalam kewangan, namun makan minum pakaian masih cukup. Cuma tidak mewah.
Hari ini, sakit suami menyerang lagi. Kali ini aku menyaksikan pertama kali suami terkena sawan semasa tidur. Aku tidak mampu melihat kesakitan suami. Suami dimasukkan ke ward beberapa hari untuk pemantauan.
Kali ini suami tidak disarankan untuk memandu kerana risiko sawan berulang. Aku redha dengan ujian ini. Namun, kali ini amat memberi kesan kepadaku. Setiap kali kami tidur, aku tidak mampu melelapkan mata dan asyik terjaga. Risau jika suami kembali sawan.
Situasi seluruh badan terkejang-kejang, mulut berbuih bercampur darah dan suara tersekat sekat menghantui aku. Kemudian, aku akan menangis setiap kali tidur bila teringat kejadian itu. Aku takut untuk tidur. Aku takut ianya berulang.
Semasa confession ini ditulis juga jam menunjukkan pukul 3 pagi. Aku masih belum boleh melelapkan mata. Terlalu banyak yang aku fikirkan. Bila melihat wajah suami tidur disebelahku, aku jadi sayu. Aku sering menangis.
Umur kami masih muda dan kami diuji sebegini. Aku takut kehilangan suami. Aku takut untuk menjalani hidup untuk menjaga anak-anak seorang diri. Kehidupan yang sebegini, tidak pernah aku bayangkan. Aku redha.
Aku cuba ubah rutinku supaya lebih dekat dengan Allah. Perbanyakkan amalan sunat dan sering berdoa kepada Allah. Aku berdoa sepenuh hati akan kesembuhan suamiku. Aku redha. Tapi, adakah normal perasaanku begini?
Setiap malam aku risau bila waktu tidur. Risau suami tidak bangun-bangun lagi. Risau jika sakitnya menyerang lagi. Asyik menangis dan kurang bercakap dengan orang luar.
Aku kesian dengan keadaan suamiku. Aku tahu aku perlu kuat disamping suami dan perlu sangat kuat untuk anak-anak. Namun, aku kadang-kadang kalah dengan perasaan sedih.
Aku mohon doa para readers yang membaca confession ini, semoga Suami aku kembali diberi kesembuhan yang sempurna dan sawan tidak berulang lagi. Semoga Allah membuka pintu rezeki kepada kami untuk permudahkan kami melangsaikan hutang-hutang kami.
Aku tidak sanggup melihat suami sakit lagi. Aku tidak sanggup melihat anak-anak ku membesar tanpa ayahnya. Aku juga tidak bersedia jika nyawa kami ditarik sebelum sempat kami melesaikan hutang-hutang.
Selain aku menagih doa orang ramai untuk kesembuhan suami. Aku juga risau dengan kondisi diri sendiri.. aku seolah-olah trauma dengan kejadian pagi itu. Aku sentiasa risau bila suami tiada didepan mata. Aku sentiasa berdebar-debar.
Setiap kali masuk tidur, aku akan mula berfikir macam-macam kemungkinan.. kemudian aku menangis seorang diri. Aku tahu aku perlu kuat demi anak-anak dan kandungan.
Aku tahu, ujian ini adalah kecil jika dibandingkan dengan ujian orang lain. Namun fikiran dan kerisauan melampau melebihi segalanya. Adakah aku perlukan rawatan psychology?
Bantu aku, beri aku kata-kata semangat supaya aku kuat dan normal kembali. Terima kasih.
– Nisa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit