Trauma Yang Tidak Hilang

Ingin ku buka satu kisah yang terpahat rapi dalam ingatanku. Aku telah lama cuba melupakan kisah hitam ini.

Namun setiap kali kisah tentang UEL muncul di media sosial, badan ini menggigil, hati ini mendidih, mata berair dan dada mula berombak.

Aku dilahirkan berdua sahaja perempuan didalam keluargaku. Adik-beradikku ramai lelaki. Arwah babah meninggalkan kami ke alam barzakh ketika aku mula meningkat ke sekolah menengah.

Dan di situlah bermulanya rentetan kisah aku. Ibuku bekerja juga membantu arwah babah ketika itu.

Alhamdulillah, kami masih dikurniakan rezeki walaupun kurang sedikit ketika babah telah pun pergi.

Hilang sudah tempat aku bermanja memandangkan hanya aku dua beradik sahaja yang perempuan dalam keluarga.

Kebergantungan emosi ibu terhadap keluarganya setelah babah tiada sangat tinggi. Hampir setiap minggu ataupun dua, tiga hari sekali; pasti ibu membawa kami semua ke rumah nenek sebelah ibu.

Dan kakak ibu yang aku panggil Mak Ngah tingal rumah berdekatan dengan rumah nenek.

Ibu semakin rapat dengan Mak Ngah kerana setiap kali kedatangan kami, pasti kelibat Mak Ngah anak beranak akan muncul.

Aku semakin rimas… Kerana setiap kali kedatangan kami, aku pasti merasakan aku diekori. Rumah orang dulu kala, luasnya bukan seperti rumah sekarang yang berlaga bahu.

Itulah permulaan anak Mak Ngah merapati aku… Aku dimanjai, diletakkan atas pahanya dan dipanggil manja. Beberapa kali aku masih menghormatinya sebagai abang sepupu,

Namun kejelikan berlaku setelah berlaku satu perkara di mana dia meminta aku memegang bahagian sensitifnya dari luar seluar; aku menurutkan saja.

Ketika itu aku masih naif, kurang memahami erti semua itu, memandangkan aku selalu mencebok adik-adik lelakiku. Aku sangkakan itu normal.

Setahun berlalu, dan aku makin memahami gelagat anak Mak Ngah itu. Aku cuba menjauhi, namun sukar.

Ada saja kesempatan yang dibuat oleh si dia. Dia akan menggesel padaku ketika aku sedang membuat minuman buat makcik dan pakcikku.

Pernah aku suarakan pada ibu, tapi aku dimarahi dan dikatakan ibu aku yang perasan lebih.

Maka, aku diamkan. Tambahan pula dia itu belajar di sekolah tahfiz terkenal, sedangkan aku hanya pelajar sekolah biasa. Mana mungkin pekertinya sebegitu, bukan?

Setiap kali pulang ke rumah nenek, aku akan cuba menjauhi dia.

Pernah aku katakan yang aku menyukai perempuan seperti aku, telahanku agar si dia menjauhiku.

Berita gembira bagiku bilamana ku dengar si dia dapat melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti agama yang terkenal di luar negara. Dapatlah aku bernafas lega.

Aku dapat belajar dengan tenang di sekolah dan berjaya menyambungkan pelajaran di universiti tempatan selepas itu.

Ku pendekkan cerita, setelah dia tamat belajar; maka pulanglah dia ke tanah air dan bekerjalah dia di dalam bidangnya.

Telahanku dia mungkin telah berubah memandangkan dia sudah dewasa dan juga setelah mendengar pengakuanku yang aku tidak menyukai lelaki satu ketika dahulu.

Rupanya sebaliknya yang terjadi. Saat peluang terbuka luas, dia akan mendatangiku… Kali ini lebih dari dulu, aku dipegang dan dibelai bukan pada tempat sepatutnya.

Kemuncak kejadian berlaku bilamana ibu meminta bantuan dia untuk mengambil dan menghantar aku.

Telah aku berkeras dengan ibu akan ku cari pengangkutan awam, namun ibu lebih percayakan siswazah agamawan tersebut. Aku pasrah.

Namun Allah swt itu maha berkuasa, aku tidak berasa perasaan apa-apa ketika dia cuba mendatangiku secara paksa; malah timbul perasaan jelikku pada dia.

Aku bingkas bangun dan cuba menolaknya keluar dari bilikku. Rumah ketika sunyi sepi tiada orang memandangkan masih lagi waktu pejabat.

Allah masih sayangkan aku kerana aku diujiNya, Allah hadirkan adik aku pulang kerana tidak sihat badan dari tempat kerja. Dia segera pulang setelah melihat adikku menyapa dan aku lega buat seketika.

Sejak peristiwa aku melawan si dia, pelbagai tohmahan dilemparkan pada ku.

Di kata aku ini sukakan jantan, di kata aku yang cantik kalau tidak kahwin mesti ada sesuatu dengan memusingkan segala fakta dengan hujah agama.

Aku semakin melawan ibu kerana terlalu percayakan kata-kata dia. Iyalah, aku ini belajar di universiti pun kursus liberal di mata orang tua.

Dan dia itu kursusnya di universitinya boleh terus masuk syurga bak kata orang tua. Perasaan sebak usah dikata tatkala difitnah.

Nasibku bertambah malang pada awalnya apabila dapat kerja dekat dengan rumah ibu namun dengan kuasa Allah yang Maha Agung, si dia ditukarkan kerja di tempat yang jauh dari kampung kami sebelum aku berkhidmat.

Ditakdirkan dia bakal berkahwin dan putus tunang setelah diketahui kecurangan dia oleh si tunang. Pun begitu, dia berkahwin dengan si gadis lain.

Ku tahu isterinya tidak bahagia disebabkan pernah dicanang didalam keluarga besarku yang dia ada kekasih lain. Namun ku tidak memberikan apa-apa komen.

Kerana setelah itu, isteri dia telah dituduh tidak tahu menjaga maruah sang suami oleh adik-beradik dan pakcik-makcikku. Diam begitu sahaja dan si isteri mendapat pandangan serong di dalam keluarga besarku.

Begitulah kuatnya penangan orang beragama di dalam keluargaku.

Dan bertahun selepas itu, sampailah jodohku. Aku pilih temanku bukan jenis orang berjubah, berjanggut, bersijil agamawan, bukan orang sekampung, bukan senegeri dan bukan juga senegara. Biarlah rahsia.

Aku gembira kini bersama anak-anak dan suamiku di tempat asing. Aku berharap si dia bertaubat, kerana aku masih dengar akan suara-suara sumbang mengatakan dia begitu begini.

Untuk pembaca-pembaca, trauma itu adalah realiti yang tidak pernah hilang. Itulah yang terjadi padaku.

Aku tidak cuba mendapatkan rawatan dari doktor pakar sakit jiwa kerana ku tidak tahu ketika itu bagaimana caranya. Bukan senang untuk mangsa pergi membuat laporan, kerana itu semua perlukan kekuatan.

Begitulah aku, kalaupun aku pergi melaporkan kepada polis; tidak mungkin aku akan dapat sokongan moral dari keluargaku.

Sepertinya nanti aku akan jadi sudah jatuh ditimpa tangga pula. Maka, biarlah aku jatuh, tidaklah pula aku mahu ditimpa tangga itu.

Jangan kerana dia yang berpakaian jubah agama, ada penampakan cahaya nur di mukanya seperti ahli syurga, terus kita menjadi penyokong tanpa berfikir menggunakan akal.

Jangan pula kita terus melabel sekiranya wanita itu tidak menutup aurat sebagai penggalak nafsu lelaki, kerana aku sejak awal yang bertutup litup juga tidak mampu menutup nafsu dia, sang lelaki itu.

Janganlah kita membuat komen di media sosial tanpa berfikir panjang. Kelak nanti akan dibicarakan di akhirat, padahnya sendiri tanggung.

– Güle güle (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *