Hi, assalamualaikum IIUMC readers. Saya disini nak meminta pendapat ataupun cadangan yang boleh diberikan, dengan cara matang dan dewasa untuk saya selesaikan isu saya ini.
Saya seorang perempuan berumur 25 tahun. Sedang bekerja, lulusan degree bahagian marketing. Saya ada kekasih, yang saya kenal ketika umur 18 tahun selepas saya tamat spm.
Waktu tu, saya bekerja sebagai part-timer dekat salah sebuah kedai di sebuah complex membeli belah. Waktu tu kami berkerja bersama, dia berumur 20 tahun. Dia seorang yang terus bekerja selepas habis zaman spm dia dulu dan tidak menyambung pelajaran.
Saya akan kenalkan latar belakang dia sedikit. Dia anak tunggal daripada pasangan cina mualaf (ayah dia) + melayu tulen (ibu dia). Dia tidak berpendidikan tinggi, spm dia pun tak begitu memuaskan.
Dia pernah menyambung pelajaran ketika umur 22 tahun dalam peringkat sijil kemahiran selama setahun dan sebelum itu (sewaktu dia berumur 18-22 tahun) dia bekerja sahaja.
Dia sudah mempunyai motor dan kereta yang sudah habis bayar, dan mempunyai rumah di atas tanah dia sendiri. Tanah yang ibu dia belikan atas nama dia. Dan sekarang dia masih bekerja.
Dia juga mempunyai rupa paras yang kacak. Berkulit putih, berambut hitam lebat, berbibir merah dan bermata coklat.
Perkara baik yang saya nampak dalam diri dia dari pertama kali saya berkenalan dengan dia, ialah dia rajin dan comitted dalam mencari duit. Dia juga pandai menabung, mencari duit dan membuat budget dalam setiap perbelanjaan.
Lepastu dia juga seorang yang sangat baik, penyabar, tak merokok, tak pernah pergi ke club malam/ minum minuman keras, menghormati orang, tak kedekut, suka menolong orang, pemurah, tak cemburu buta dan sangat sangat memahami.
Dia juga seorang yang sentiasa ada sekiranya saya perlukan dia atau pun kalau family saya perlukan apa apa bantuan. Dan satu satunya perkara yang tidak cukup sewaktu saya kenal dia adalah, dia tak reti membaca al quran.
Tapi semasa umur saya 18-20, hubungan kami lebih kepada “cinta monyet” yang mana ada on off yang berpanjangan.
Nak dijadikan cerita, pada awal perkenalan kami sewaktu saya berumur 18 tahun tu, saya pernah main telefon dia dan waktu itu pernah “terkantoi” satu perkara yang dia pernah “buat” dengan bekas teman wanita dia.
(Malas nak tulis, korang faham faham ajelah) sewaktu umur dia 19-20 tahun. Yang mana pada waktu tu, berlaku semasa kami sudah mula berkenalan “rapat” dan saya rasa seperti dia cuma nak mempermainkan saya saja.
Walaupun sebenarnya pada waktu tu kami cuba masih berkenalan, tapi saya rasa macam ditipu dan dikhianati oleh dia. Macam dia berkawan dengan saya pada waktu tu, adalah cuma untuk melupakan bekas kekasih dia saja.
Lepas kantoi perkara tu dengan saya, saya mintak dia jelaskan tujuan sebenar dia berkawan dengan saya, sama ada dia cuma nak “perkara pekara” macam tu saja ke atau pun dia memang ikhlas nak berkawan dengan saya?
Tapi jawapan dia, dia memang ikhlas nak berkawan dengan saya. Start ni, saya mula ada trust issues dengan dia.
Lepas perkara “kantoi” tu berlaku, saya dah mula ada trust issues yang sangat sangat tinggi dekat dia. Semua perkara yang dia buat, saya persoalkan, setiap perkara yang dia bagitahu, saya tak percaya.
Walaupun sebenarnya dia dah mengaku yang apa yang berlaku waktu dia dengan bekas teman wanita dia dulu, adalah sebab dia terlalu ikutkan nafsu dia.
Dia bersama dengan bekas teman wanita dia hanya untuk memuaskan nafsu dan bukan atas dasar cinta. Selama hampir 2 tahun saya dengan dia waktu tu, saya sedar yang saya terlalu mengongkong dia.
Contohnya saya tak bagi dia berkawan dengan mana mana perempuan langsung, atau berhubung dengan mana mana perempuan langsung.
Saya buat macam tu, bukan sebab saya cemburu ataupun saya kongkong tak tentu pasal, tapi saya cuma taknak dia berkawan dengan mana mana perempuan lagi sebab saya taknak dia buat perkara sama yang dia pernah buat dengan bekas wanita dia.
Sebab kes tu, saya rasa dia meninggalkan kesan trauma untuk percayakan dia lagi.
Walaupun pada hakikatnya saya tahu dan saya nampak yang memang dia betul betul dah berubah lepas kantoi tu, saya masih tak percaya dekat dia, setiap benda saya persoalkan.
Bukan tu saja, saya perli dia sekali. Contohnya bila dia cakap yang dia tengah makan lunch dengan kawan sekerja dia, saya akan cakap “yela tu, entah entah makan dengan (sebut nama bekas kekasih dia).”
Walaupun dia dah hantar gambar, dia dah tunjuk location dia pun saya masih akan cakap macam tu. Atau saya akan cakap itu gambar recycle, walaupun saya tahu dan saya kenal muka kawan kawan tempat kerja dia tu.
Sampai la umur saya 20 tahun, dia dah mula tak tahan dengan sikap saya dan dia mintak untuk kami berpisah.
Bila reflect balik pada diri sendiri, saya pun sedar kalau siapa siapa pun yang ada dekat tempat dia, mesti la tak akan tahan bila kita memang dah betul betul nak berubah tapi tak habis habis kena perli, kena soal, masih tak percaya.
Waktu tu, saya betul betul terpukul sekali dengan tindakan dia yang mintak kami untuk berpisah. Sebabnya saya bukannya tak nampak perubahan, saya nampak tetapi saya yang terlalu menghukum dia.
Sampai saya sedar yang sikap saya waktu tu, terlalu berlagak seolah olah saya ni suci dari segala dosa.
Tapi, lepas saja kami berpisah dia mula bercakap dengan seseorang, dan lepas tu saya mula fikir yang sebenarnya dia dah lama curang dengan saya.
Saya fikir yang dia mintak kami berpisah adalah sebab dia ingin bersama dengan perempuan tu. Saya mula fikir yang dia masih sama, tak berubah. Jadi kami pun berpisah selama setahun.
Selepas setahun, kami akhirnya berbaik semula dan bercadang untuk menyambung semula hubungan kami yang terputus tu. Atas alasan daripada saya yang saya masih sayangkan dia, dan dia tak berjaya jumpa perempuan yang dia selesa untuk menceritakan baik buruk dia.
Sebabnya, yang tahu tentang sisi gelap dia semasa muda waktu tu cuma saya seorang sahaja, dan saya masih sudi untuk terima dia walaupun saya sudah tahu sisi gelap dia.
Dia cakap, dia tak nak berkenalan dengan orang baru lagi, sebabnya orang baru tu belum tentu boleh terima dia selepas tahu tentang sisi gelap dia.
Selama kami berpisah, dia juga tidak berhubungan istimewa dengan perempuan lain, kecuali dengan niat untuk berkawan sahaja.
Selepas kami berbaik, dia mula bawa saya untuk berjumpa keluarga dia, berkenalan dengan seluruh ahli keluarga dia. Selepas saya berkenalan dengan keluarga dia, baru saya faham kenapa dia mempunyai cara hidup yang begitu.
Dan waktu tu, saya tersedar yang cara kami dibesarkan dan didik tidak sama.
Saya juga tersedar, yang waktu berlakunya isu dia dengan bekas wanita dia tu, sewaktu dia berumur 19-20 tahun. Umur yang sangat muda, yang orang panggil “darah panas” untuk mencuba pelbagai perkara terutamanya bagi lelaki.
Saya mula bertemu dengan keluarga dia sewaktu umur saya 21 tahun, sehingga hari ini. Semakin hari, tahun berganti tahun saya mula nampak cara bagaimana keluarga dia hidup.
Dan dalam masa saya dah mula bertemu dengan keluarga dia, dia pun mula menceritakan tentang keluarga dia. Banyak yang dia ceritakan, yang dia kongsi.
Salah satunya, dia pernah ceritakan tentang bagaimana ayah dan ibu dia berkenalan dan berkahwin. Ibu dia pernah terlanjur dengan ayah dia yang waktu tu masih belum peluk islam dan ibu dia pernah mengandung anak luar nikah tetapi gugur.
Selepas itu baru ibu bapa dia berkahwin, dan dapat dia sebagai anak. Ibu bapa dia, tak berapa peduli tentang pelajaran, tak peduli tentang ilmu.
Dia pernah cerita kepada saya, waktu dia nak ambil spm, ibu bapa dia tak peduli dan langung tak tolong untuk kejutkan dia waktu hari peperiksaan, dan menyebabkan dia hadir lewat sewaktu spm dulu.
Dia tak dibesarkan dalam keluarga yang balance-kan ilmu agama dan ilmu dunia. Dia tak di didik dengan ilmu yang cukup daripada dia kecil.
Dia juga tak di ajar cara untuk solat, dan selama ini dia hanya belajar daripada kawan kawan dan ustazah di sekolah.
Sewaktu dia kecil, dia pernah meminta yuran RM10 untuk membayar ustazah mengaji, tetapi tak dihiraukan oleh ibu bapanya. Ayah dia seorang mualaf, tetapi langsung tidak mempraktik kan tentang kehidupan islam daripada dulu.
Benar apa yang orang kata, kehidupan kita semasa muda boleh membawa ke hidup anak anak kita pula sewaktu mereka muda.
Saya mungkin bertuah, kerana diberikan di didikan cukup daripada kecil sehingga saya membesar dengan persekitaran yang baik baik. Tapi, tak semua orang bernasib baik seperti saya.
Saya mungkin di uji dengan cara diberikan kesenangan hidup, untuk Allah lihat sejauh mana saya akan pakai cara hidup saya ni untuk membantu orang.
Dan dia di uji dengan cara susah, untuk Allah lihat bagaimana usaha dia untuk mencari jalan jadi seseorang yang lebih baik dan keluar daripada kehidupan begitu. Mungkin sebab itu kami berdua dipertemukan.
Tetapi dalam lepas kami berbaik sewaktu umur saya 21 tahun tu, saya masih dengan sikap yang sama iaitu masih menjadi toksik terhadap dia.
Saya persoalkan kepada dia meminta kami berpisah dan dia juga yang meminta kami untuk berbaik? Adakah sebab dia dah tak ada mana mana perempuan yang dia boleh jadikan kekasih jadi dia cari saya semula sebab dia tahu yang saya masih sayangkan dia?
Begitu lah saya, sentiasa persoalkan keikhlasan dia terhadap saya. Sepanjang hampir 4 tahun kami bersama semula ni, saya mempunyai semua akses kedalam sosial media dia termasuk la apple id dia yang dia pakai. Saya terlalu tak percayakan dia,
Sehingga dia membeli sebuah lagi iphone untuk saya, dan dia masukkan apple id dia di dalam iphone tu untuk saya track segala gambar/ location/ nota dan sebagainya yang dia tuliskan dalam telefon yang dia pakai kerana dia betul betul jujur dan tidak menghindari apa apa daripada saya.
Setiap kali dia tak reply messages saya, saya akan mula mengungkit lagi tentang kisah silam dia. Seolah olah saya akan kata, kalau dia tak tahan dengan saya, silakan pergi dan cari perempuan lain. Tapi belum tentu perempuan tu boleh terima dia seperti mana saya terima dia. Toksik kan?
Tapi dia tak pernah peduli, kerana dia kata sebab dia tak pernah berlaku curang, dan tak pernah berhubung dengan mana mana perempuan bukan untuk urusan penting jadi dia tak peduli dengan segala tuduhan yang saya buat.
Tetapi boleh juga saya jamin, sekiranya perkara ini berlaku dalam hubungan orang lain dan terjadi kepada lelaki lain,
Memang dah lama mereka angkat kaki daripada terus bertahan dalam hubungan begini. Saya juga telah memadam semua kenalan perempuan dalam telefon dia, dan tidak membenarkan mana mana perempuan untuk berhubung dengan dia.
Kalau ada perempuan yang berhubung dengan dia, Saya akan marah dan kata dia curang kepada saya, walaupun perempuan tu sekadar menghantar “hi”.
Bagi saya, dia sendiri yang memberikan nombor telefon kepada perempuan perempuan itu, walaupun sebenarnya kawan kawan tempat kerja dia yang suka “menjual” nombor telefon dia daripada dalam group kerja.
Selama saya berkenalan dengan dia, tak pernah sekali pun dia meninggikan suara atau marah saya sekiranya saya menuduh atau menungkit apa apa dari masa silam dia.
Kawan kawan rapat saya, pernah menasihati saya sekiranya saya tidak percayakan dia apa gunanya saya berhubungan dengan dia untuk bertahun tahun lamanya sekiranya tiada kepercayaan?
Tetapi sebenarnya, saya bukan lah tak percayakan dia tetapi saya lebih kepada suka menuduh dia tentang perkara yang tak betul. Selepas kami berbaik ketika umur saya 21 tahun tu, dia tak pernah berlaku curang ataupun apa apa yang melibatkan orang ketiga.
Dan sejak itu juga, saya mempunyai segala akses semua platform sosial media dan apple id dia. Bak kata orang, belum jadi bini dan mengongkong sampai macam ni sekali.
Dan pada tahun ini, dia mengajak saya kawin memandangkan kami telah bercinta untuk tempoh masa yang lama dan umur pun semakin meningkat.
Selama kami bersama, dia tak pernah sekali pun meminta untuk berpegangan tangan ataupun meminta untuk sentuh saya, kecuali kalau saya yang menghulurkan tangan untuk pegang.
Dia betul betul menghormati saya. Saya juga pernah cuba untuk ‘menggoda’ dia untuk tengok bagaimana dia akan bertindak, tapi dia menolak dan kata bahawa dia sangat sangat menghormati saya,
Dan dia nak kami berdua halal dahulu sebelum melakukan perkara perkara yang tak sepatutnya. Dia tak nak ulang lagi kisah silam yang sama, sebab dia kata benda tu terlalu susah untuk dilupakan.
Dia juga mula belajar mengaji sewaktu berumur 24 tahun, sehingga kini dia sudah mahir membaca al quran. Saya nampak perubahan yang sangat baik pada diri dia, sehingga menyebabkan saya soalkan kembali kepada diri saya, layak ke saya untuk dia?
Saya juga pernah meminta dia untuk meninggalkan saya sebelum ini, kerana saya rasa dia terlalu baik buat saya, saya juga rasa sangat insecure. Tetapi dia masih bertahan dan berkata yang selama ini, saya yang ada bersama dia, dia sayangkan saya sepenuh hati dan tak mahu berpisah.
Adakah saya ini terlalu mempunyai masalah trust issues dengan dia, walaupun sudah bertahun tahun ataupun sebenarnya saya ini toksik?
Saya sedar, kita sepatutnya memaafkan dan melupakan kisah lalu. We don’t live on the past anymore. Tapi saya selalu fikir, macam mana kalau kami sudah berkahwin, saya masih dengan perangai ini?
Kerana semua ini berlaku adalah kerana satu penipuan yang dilakukan oleh dia semasa saya berumur 18 tahun.
Takkan lah kerana satu perkara itu, saya perlu menghukum dia sehingga hari ini dan seterusnya? Takkan la kerana perkara itu sahaja, saya butakan mata untuk lihat segala kebaikan dia yang lain?
Apakah yang boleh saya lakukan untuk saya buang perangai ini dari dalam diri saya ya? Sudah hampir 8 tahun kami bersama, saya masih lagi begini.
Adakah saya layak untuk dia? Adakah lelaki sebaik dia layak untuk menjadikan saya menjadi isteri dia, ataupun sebenarnya dia deserves untuk dapatkan seseorang yang lebih baik daripada saya? Terima kasih semua.
– Reana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit