Tuhan Bantulah Aku!

Assalamualaikum. Aku rasa terpanggil untuk menulis luahan hati yang telah lama aku pendam.

Aku berusia awal 40an. Bekerja tetap. Mempunyai paras rupa yang biasa-biasa. Aku juga pernah berkahwin tetapi jodoh ku tak panjang. Dah hampir 5 tahun usia perpisahan antara aku dan ex.

Sebab apa kami bercerai. Biarlah hanya aku yang tahu. Aku ditakdirkan tiada rezeki anak bersama dengan ex kerana kami tinggal berjauhan.

Sejak berpisah, aku terlalu sukar untuk membuka pintu hati ini kerana risau pisang berbuah dua kali sehinggakan aku dipertemukan dengan seorang lelaki, A yang umurnya beberapa tahun lebih muda dari aku dan seorang bujang.

Aku terima dia sebagai kawan pada mulanya. Tapi makin lama kami jadi semakin rapat. Dia sangat pandai mengambil hatiku.

Kami berkawan, dan hampir setiap hari call atau vc sebagai suatu rutin harian. Sehinggakan suatu ketika, aku terbau, rupanya dia sudah punya teman wanita yang dikenalinya sebelum aku.

Aku terus minta putus dengan A kerana aku tak mahu wanita tersebut disakiti, kerana aku juga tak mahu disakiti seperti dia. Aku kalah dengan emosi.

Selalu menangis sendiri mengenangkan nasib mengapa dipertemukan dengan orang yang tidak setia sedangkan aku seorang yang sangat setia. Aku tak pandai bermain kata-kata, bagiku andai aku setia, pastinya jodoh ku nanti juga seorang yang setia.

Waktu berlalu dan aku tenang hidup sendiri. Setelah beberapa bulan, A kembali pada ku, mulanya sukar untuk ku terima. Tapi A meluahkan rasa kecewanya ditinggalkan kekasih yang sangat disayangi. Aku sekadar tempat untuk A meluahkan rasa.

Disebabkan pernah hadir rasa sayang padanya, aku sedia mendengar luahan masalah A. Dan semakin hari A semakin rapat dengan ku.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Kami sentiasa berhubung setiap hari.

Suatu hari, aku bertanyakan A tentang hubungan kami. Dan banyak kali juga aku minta A untuk berjumpa dengan family aku. Tapi seribu satu alasan dia bagi. Katanya, kalau ada jodoh, pasti tak kemana.

Aku tak puas hati dengan jawapan A dan aku tetap terus bersabar.

Sehinggakan suatu hari, A semakin berubah dan kami semakin jauh. Aku banyak berdoa pada Allah andai A jodohku, maka Kau dekatkanlah dia pada ku. Tapi jika dia bukan jodohku, jauhkanlah kami tanpa ada rasa benci.

Semakin hari kami selalu bertengkar dan aku selalu menangis dan terus menangis kerana hati ini disakiti dan tak dihargai. Kadang-kadang aku bingung kenapa aku diuji sebegini, tapi aku cuba untuk redha atas segala ketentuan Ilahi.

Aku nekad untuk block nombor dia supaya aku mampu untuk lupakan dia. Walaupun terlalu sukar sebab kami dah hampir 2 tahun lebih berkawan. Aku ingatkan dialah yang terakhir untukku tapi ternyata aku silap.

Sedih mengenangkan nasib diri. Aku juga ingin bahagia seperti pasangan yang lain. Punya anak dan pasangan yang menyayangiku sepenuh hati. Dengan usia sebegini, aku tak tahu apa usaha yang boleh aku buat untuk bertemu dengan jodohku.

Aku mohon rakan-rakan pembaca doakan supaya aku dipertemukan jodoh yang baik dan menghargai diriku sepenuh hatinya. Mungkin ada doa dikalangan pembaca yang akan diperkenankan oleh Allah. Terima kasih atas doa-doa kalian.

Buat A yang pernah hadir dalam hidup ini, semoga bahagia bersama dengan insan yang tersayang dan jadilah teman lelaki dan suami yang baik untuk isteri awak nanti.

– Puteh (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *