Salam sejahtera, semoga semuanya sihat-sihat belaka pada musim PKP ni.
Tujuan aku menulis di sini bukanlah untuk membuka aib atau mencari publisiti, cuma mahu para pembaca mendoakan kehidupan aku sekeluarga dilimpahi kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Aku berumur 20-an, merupakan anak bongsu daripada empat beradik. Yang sulung ialah abang A, kedua: kakak, ketiga: abang B dan keempat: aku. Abang sulung dan kakak dah berkahwin dan bahagia bersama keluarga kecil mereka. Jadi, aku dan abang B tinggal bersama mama dan abah di rumah.
Abah seorang bekas businessman, sudah tidak lagi bekerja sejak aku di sekolah menengah. Mama pula seorang Guru Agama di salah sebuah sekolah swasta yang terkenal di bandar.
Sepanjang kehidupan aku selama 20 tahun lebih ini, tidak pernah sekali pun kami sekeluarga solat berjemaah.
Ya, tidak pernah walaupun mama aku Guru Agama. Tidak pernah sekali pun kami ada ‘family session’ untuk berkongsi cerita bersama, tidak pernah sekali pun kami meluangkan masa makan bersama, tidak pernah sekali pun kami baca al-Quran bersama.
Banyaklah lagi perkara yang kami tidak pernah buat bersama sekeluarga, di saat keluarga lain melakukannya bersama.
Aku tak tahu kenapa, setiap kali melihat keluarga lain, aku rasa sedih. Sedih sebab aku tak pernah merasai apa yang orang lain rasa. Rasa dicintai ahli keluarga, rasa bahagia hidup bersama keluarga, rasa ada tempat berbual dan bertukar cerita. Rasa seperti ada abang2 dan kakak.
Oh ya, kami empat beradik, memang seperti lantai dengan bumbung. Semuanya membatu, tidak bercakap walaupun dalam rumah.
Abah dan mama? Keduanya sibuk dengan pekerjaan masing-masing. Sangat sibuk, sehingga tidak ada waktu untuk kami bersembang, hatta pada musim PKP ni. Walaupun abah sudah tidak bekerja, tapi abah masih menjadi penasihat rakan-rakan businessnya.
Kadang-kadang tu, aku cuba untuk ‘pecahkan tembok’ yang ada, dengan cuba mulakan perbualan dengan abah dan mama. Tapi sayang, setiap kali aku bercakap, mama tak pandang muka aku. Dia akan dengar sambil menaip di handphone.
Hm, dia dengar ke aku cakap apa? Aku selalu keliru. Kalau aku tanya ke, minta pendapat ke, mama cuma jawab, “hm, nantilah mama busy.” ataupun “lah, kau kan dah besar. fikirlah sendiri.”
Hm. Ya, mama aku memang bahasakan dirinya menggunakan kau-aku. Begitu juga kami adik-beradik.
Dah lama aku pendam perasaan ni. Sejak di sekolah rendah lagi. Perasaan ingin sebuah keluarga yang normal, keluarga yang bahagia, keluarga yang boleh jadi tempat pertama aku cari, lebih-lebih lagi mama dan abah.
Aku ada mama dan abah, tapi macam tiada. Aku ada abang-abang dan kakak, tapi… hm entahlah. Waktu aku di sekolah rendah, abang2 dan kakak aku sudah mula masuk asrama. Rezeki mereka ditempatkan di sekolah yang hebat.
Alhamdulillah apabila tiba giliran aku memasuki alam sekolah menengah, aku juga telah terpilih untuk memasuki sebuah sekolah agama yang hebat dan terkenal. Sekolah yang menjadi rebutan ramai orang.
Namun, mama sekerasnya menghalang aku untuk bersekolah di situ, juga sekolah berasrama penuh yang lain yang aku dapat. Aku keliru dan tertanya. Kenapa ya agaknya mama tak bagi? Mama tak bangga ke dengan aku? Hm. Mama cuma izinkan aku untuk bersekolah di sekolah harian biasa, tanpa asrama.
Aku sedih. Hati aku masa tu rasa macam dah hancur sangat. Tapi aku akur dan cuba positifkan diri setelah menonton satu klip video motivasi. Penceramah tu ada sebut, “tempat kamu belajar tidak menentukan kejayaan masa depan kamu”.
Aku bangkit sendiri dan cuba mencari hikmah, mungkin mama nak peneman di rumah. Sebab adik-beradik yang lain semua di asrama dan sudah di universiti. Kalau aku duduk asrama, mesti mama sunyi. Itu je yang aku fikir. Aku fikirkan mama.
Sepanjanglah kehidupan aku dari sekolah rendah sehingga menengah, aku bersendirian tanpa adik-beradik yang lain di sisi. Aku tak ada kawan nak berbual. Mungkin disebabkan faktor itu, aku membesar menjadi seorang yang pendiam. Tapi aku suka berkawan untuk ubat rasa sedih.
Sampailah memasuki alam universiti, aku rasa satu perasaan yang bahagia sangat! Sebab semua yang aku impikan untuk buat bersama keluarga, aku dapat lalukan bersama kawan-kawan. Daripada seorang yang pendiam, aku menjadi ramah dan sangat aktif.
Oh ya, alhamdulillah result SPM aku cemerlang dan aku ditakdirkan sambung belajar di sebuah negara empat musim (abah izinkan aku sambung pengajian di luar negara).
Jadi, kehidupan aku waktu tu memang bersama kawan-kawan. Masak bersama, solat berjemaah, belajar bersama, berbual, bergelak mesra, saling menguatkan, saling menasihati dan sebagainya. Aku bahagia, demi Allah!
Dipendekkan cerita, semua yang aku rasa tu hilang macam tu je selepas aku tamat belajar. Aku kembali kepada ‘kehidupan asal’ aku yang serba membatu. Aku jadi kembali diam, bersama persekitaran yang sepi.
Aku keliru. Apa yang patut aku buat? Mama dan abah masih menjadi orang yang sama, tidak hiraukan ahli keluarga. Hm..jahat ke aku cakap macam tu? Maafkan aku ya Allah.
Jujur, aku sangat cemburu dengan orang lain. Lebih-lebih lagi apabila semua orang menceritakan hikmah PKP bersama ahli keluarga mereka.
Ya, aku tahu aku patut bersyukur dengan apa yang aku ada sekarang, malah itulah yang ustazah sekolah rendah aku pesan yang aku ingat sampai sekarang.
Alhamdulillah, terima kasih ya Allah untuk semua nikmat yang kau pinjamkan. Cuma itulah, kadang2 aku rasa macam tak boleh nak berhadapan dengan mama sebab setiap kali mama bercakap, akan ada rasa sakit di hati.
Mungkin sebab aku selalu teringat-ingat kehidupan aku masa kecil dulu, di mana mama dan abah tak pernah mengajar kami untuk mengungkapkan perasaan sayang antara ahli keluarga.
Mana pernah kami cakap, “adik sayang mama”, tidak pernah juga aku dengar “mama sayang kakak” atau “abah sayang adik” atau “abang sayang mama”. Tak pernah. Aku sedih. Entahlah, masa menaip ni pun rasa sedih sangat sampai tak tahu nak jelaskan macam mana.
Allah… berdosakah aku ada rasa sakit itu? Bukan aku yang menjemputnya bertamu. Hilangkanlah perasaan ini. Sedari umur 10 tahun lagi aku berdoa supaya Allah tautkan hati kami dan limpahkan kebahagiaan kepada kami sekeluarga.
Ya, itulah doa yang aku panjatkan sejak kecil. Walaupun sudah bertahun lamanya doa itu aku titipkan setiap kali solat, tapi aku percaya pada kuasa doa!
Kepada semua pembaca, aku mohon sangat. Dengan keberkatan bulan Ramadan ini, dengan kerendahan hati aku memohon semua mendoakan kebahagiaan aku sekeluarga.
Doakan mama, abah, abang A, kakak, abang B dan aku sendiri dilembutkan hati, diberi ketenangan dan ketenteraman jiwa, disatukan kembali hati-hati kami, dieratkan hubungan kekeluargaan kami dan semoga Allah mengurniakan kasih sayang-Nya serta memberkati dan merahmati keluarga kami, aamiin.
Terima kasih semua sudi baca sampai habis. Aku juga doakan semoga doa2 kalian kembali kepada kalian juga, aamiin.
Yang lemah tiada daya,
– Kasih (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit