Tuhan Jagakan Aku

Hampir 2 tahun berlalu.. Penulis masih lagi berjuang dengan kemelut kehidupan. Mungkin artikel ini bakal dicemuh, dihentam dan dipandang jelek oleh sesetengah pembaca.

Apapun pandangan para pembaca penulis tetap akan ambil iktibar jika nasihat tersebut benar-benar berguna buat penulis. Buat yang mencemuh, penulis maafkan segalanya. Sememangnya penulis silap, berdosa besar dan patut menerima kritikan-kritikan masyarakat.

Sebelum bulat hati untuk membuat confession ini, berkali kali penulis pesan pada diri untuk hentikan niat membuat luahan yang agak terbuka ini walaupun pembaca takkan tahu identiti penulis.

Dengan serendah- rendah hati dan sejuta kemaafan, izinkan penulis untuk menyambung confession ini.

Penulis cuma berharap untuk mendapatkan nasihat, pandangan dan jika ada yang mengenali kenalan senasib dengan penulis, bantulah mereka. Mereka cuma perlukan sokongan. Itu sahaja.

September 2020

Sebaik sahaja penulis mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran di sebuah universiti, penulis terpaksa berjauhan dengan keluarga demi impian dan ibu bapa penulis. Sepanjang berada di sana kehidupan penulis tidak seindah dan selancar para mahasiswa yang lain.

Penulis banyak berseorangan. Bukan kehendak penulis tapi sejujurnya penulis bukanlah seorang yang mudah didekati disebabkan sikap penulis yang kurang mahir dalam berkomunikasi dengan kenalan yang baru. Tapi itu bukan diri penulis.

Hanya yang benar-benar kenal dengan diri penulis akan tahu segalanya.

Tak dapat dinafikan, disebabkan kesunyian yang semakin membuak buak dan tekanan daripada keadaan hidup yang berbeza dengan mahasiswa-mahasiswa yang lain, penulis mula mencari kenalan daripada aplikasi “online”.

Bermula dengan niat hanya untuk berbual di laman sosial akhirnya menjurus kepada sesi bersua muka. Penulis seorang lelaki dan kenalan baru penulis juga seorang lelaki.

Bodohnya diri penulis walhal sudah jelas kelihatan lelaki tersebut yang penulis namakan Akil ( bukan nama sebenar ) tidak ikhlas untuk berkawan dengan penulis.

Malah, dia memasang niat yang lebih daripada tujuan sebenar penulis. Sebelum kami bersua, berkali-kali penulis cuba husnudzon dan tepis segala prasangka yang wujud dalam diri semata-mata penulis enggan kehilangan Akil, kenalan baru penulis.

Semasa berada di sebuah restoran, bermacam-macam ayat manis dan janji diberi kepada penulis.

“Abang tahu Isma (Mr H) perlukan sokongan untuk berhadapan dengan semua cabaran yang Isma hadapi. Tak salah kan kalau abang nak buktikan perasaan sayang dekat Isma?

Bagi abang buktikan dengan cara kita ‘bersama’. Abang janji takkan buat lebih-lebih. Cukup sekadar benda yang ringan.”

Syaitan sentiasa cuba untuk memusnahkan keturunan Nabi Adam dan Siti Hawa. Penulis hanyut dengan bermacam-macam lagi kata-kata manis yang diberikan, lebih daripada apa yang penulis sampaikan pada perenggan sebelumnya.

Dan sejujurnya penulis juga dibuai dengan tipu daya nafsu. Tanpa berfikir panjang & perasaan ibu bapa, penulis turuti kehendak Akil.

“Abang kena balik cepat ni. Ada urusan kena settle, tadi kawan ada wasap abang. Isma balik naik grab boleh?”

Penulis hanya mengangguk. Masih bingung dan tak percaya semuanya berlalu dengan begitu pantas. Harapan penulis untuk menolak sekeras-kerasnya perbuatan kaum Nabi Luth akhirnya hancur dengan sekelip mata.

Penulis tidak lagi sesuai untuk digelar sebagai Fighter. Rasa diri begitu jijik, kotor. Pendek kata, penulis sangat kecewa dengan diri penulis.

“Abang nak nombor telefon Isma boleh? Taknak chat dekat apps tu dah.” (memandang penulis daripada cermin sambil membetulkan rambut di depan cermin)

“By the way, Thank You for today.” Satu senyuman terukir di bibir Akil.

Usai membersihkan diri dan mengemas barang-barang, penulis terus membuat tempahan Grab untuk pulang ke kampus.

Disebabkan pandemik yang melanda negara sehingga kini, pengawal keselamatan hanya benarkan Grab untuk menghantar penulis sehingga di pintu pagar kampus.

Badan rasa lemah. Rasa sedih dan kecewa dengan diri. “Tuhan masih sayangkan aku? Layak ke aku jadi penghuni syurga? Kalau mak ayah aku tahu, mesti diorang bencikan aku. Aku dah tak ada sesiapa selain daripada diorang.

Dah tak ada benda yang nak diperjuangkan. Aku dah buat homos*ksual yang sekeras-kerasnya ditentang oleh ajaran agama. Patut ke aku tamatkan hidup aku? Aku bukan lagi di kalangan orang-orang yang bermujahadah melawan nafsu songsang.”

Bermacam-macam fikiran menghantui diri penulis. Hanya terus berjalan tanpa hala tuju. “Lebih baik aku mati daripada aku teruskan hidup.

Aku keji, aku ahli neraka, walaupun aku berazam untuk tinggalkan semua ni, kejadian tadi tetap akan jadi sebahagian daripada sejarah hidup aku. Maafkan Is mak ayah. Is terpaksa tamatkan kehidupan ni demi kebaikan Is, mak dan ayah.”

Penulis membuka locker dan mencapai beberapa pil ubat untuk ditelan. Ya, penulis tekad untuk overdose. “Tiada apa lagi yang nak diperjuangkan.”

Beberapa “missed calls” dikirim oleh ibu penulis. Satu pun tak dijawab. Bukan niat penulis untuk merisaukan keluarga tapi disebabkan overdose tadi, kepala penulis rasa sangat sakit, berkali kali muntah.

Hanya mampu terlentang di atas katil. Suhu badan penulis mula meningkat sehingga penulis menggigil kesejukan. Andai ajal penulis sudah tiba, penulis reda dengan ketetapan Ilahi.

Meski mungkin tiada ruang lagi untuk penulis pulang ke pangkal jalan, sepanjang masa penulis masih berharap supaya taubat penulis diterima.

Ajal dan maut di tangan Tuhan.

Oktober 2020

Pagi itu, penulis mendapat beberapa notifikasi daripada nombor yang tidak dikenali. Walaupun pengirim tidak memperkenalkan diri, penulis sudah tahu identiti pengirim melalui pesanannya.

“Assalamualaikum Isma. Abang minta maaf pasal haritu ya. Mungkin Isma rasa kecewa dan tertekan tapi percayala yang abang sayangkan Isma. Abang tak nak ganggu Isma sebab tu baru sekarang abang wasap. Tapi abang cuma nak luahkan apa yang abang rasa. Abang rindukan Isma.”

Penulis enggan membalas pesanan tersebut. Apapun yang berlaku penulis mesti sedar dengan realiti kehidupan. Kami takkan dapat bersama. Penulis sudah tekad untuk hadapi kehidupan yang sunyi.

Mungkin itu takdir penulis daripada zaman kanak-kanak sehingga kini. Memiliki sebuah keluarga sudah memadai buat penulis.

1 minggu kemudian, penulis mula rasa simpati dengan terus berdiam diri.

“Waalaikumussalam. Abang apa khabar? Terima kasih bagi Is tenangkan diri dan terima semua benda yang dah jadi. Apapun perasaan abang terhadap Is, Is hargai sangat-sangat dan terima kasih jugak sebab sudi kenal dan terima Is untuk jadi sebahagian daripada hidup abang.

Terima kasih sudi dengar segala cabaran hidup Is. Tapi Is nak minta maaf. Kita takkan boleh teruskan cara hidup macam ni. Abang tahu kan kenapa? Jujur Is buat keputusan macam ni bukan sebab ada pengganti/ pilihan yang lain.

Wallahi Is tak ada sesiapa selain keluarga. Is nak kita bahagia dunia dan akhirat. Bukan hanya di dunia. Is tahu abang pun banyak hadapi cabaran hidup dan abang berhak dapat kebahagiaan yang kekal bukan yang bersifat sementara.

Kita tak boleh terus lari daripada realiti kehidupan. Walau jauh mana kita lari, takkan ada apa yang berubah. Is mengaku sangat susah dan seolah-olah dah mustahil untuk kita buang naluri songsang ni tapi kita lawan perasaan ni untuk diri kita.

Terlalu banyak dugaan hidup kita di dunia ni. Is yakin kita akan rehat dengan bahagia dan tenang di alam kekal abadi.

Walaupun kita takkan jumpa dah, doa Is buat abang sentiasa Is titipkan. I know you can do this too! Terima kasih dan maafkan segala salah silap Is sepanjang kita berkenalan.”

Dengan helaan nafas yang agak panjang, pesanan tersebut selamat dihantar kepada Akil. Mungkin sudah tertera di Luth Mahfuz untuk penulis kekal hanya bersama dengan Allah sepanjang masa. Reda itu lebih menenangkan. Alhamdulillah, Akil akur dengan keputusan penulis.

Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Selepas turunnya hujan yang lebat, pasti Allah hadiahkan sebuah pelangi buat kita untuk kembali tersenyum. Buat semua yang menghadapi cabaran/ dugaan-dugaan hidup, tersenyumlah dan teruskan membuka langkah kembali kepadaNya.

Hidup dan mati kerana Allah. Walaupun penulis sudah terjebak dengan hubungan sejenis yang ringan, penulis amat terharu kerana Allah jagakan penulis.

Kalaulah Akil dan penulis tidak dipertemukan, mungkin penulis terjebak dengan lebih jauh dalam homos*ksual ini. Penulis bersyukur kerana Allah masih pelihara diri ini.

Atas doa ibu dan bapa yang sentiasa menyayangi penulis. Sungguh penulis sedih melihat kenalan-kenalan yang kini berjuang dengan HIV disebabkan perilaku hubungan sejenis.

Walau apa jenis dugaan hidup, kembalilah kepada Dia. Siapalah diri ini yang begitu kerdil, hina dan sentiasa bergelumang dengan dosa ini.

Terima kasih atas doa, nasihat dan sokongan yang dititipkan oleh pembaca. Yang baik dijadikan teladan, Yang buruk dijadikan sempadan.

Sejuta kemaafan penulis ucapkan andai confession kali ini menyentuh sensitiviti mana-mana pihak dan tidak lupa juga setinggi-tinggi penghargaan buat admin jika sudi menyiarkan confession ini.

Fii hifzillah wa amanillah. :D

– Mr H (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *