Salam Sejahtera, aku mulakan luahan ini dengan pernyataan bahawa aku bukan orang yang baik seperti piawai masyarakat utama di sini iaitu Melayu Muslim.
Ya aku melayu muslim yang lahir dan dibesarkan dalam keluarga yang berpendapatan rendah di kampung. Apa yang akan aku luahkan selepas ini mungkin akan membuat orang tertentu tersinggung aku mohon maaf dari awal jika begitu.
Membesar sebagai lelaki yang kurang keyakinan diri kerana penampilan dan rupa yang kurang menarik adalah bahagian utama dalam hidup aku.
Aku juga mengalami masalah pergaulan dan pertuturan yang juga akan aku ceritakan selepas ini juga bahagian besar dalam kehidupan aku.
Pergolakan dalaman yang tidak memenuhi kehendak masyarakat utama di sini menyebabkan aku jadi dan kelihatan seperti tidak bahagia.
Seingat aku, aku membesar sebagai lelaki yang dipandang rendah kerana tidak mahir bercakap dan membuat kerja teknikal seperti seorang lelaki biasa.
Penampilan yang kurang menarik juga menyebabkan aku tidak ramai kawan dan selalu keseorangan.
Tapi aku boleh belajar dengan baik dan dan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.
Cuma kelemahan aku membawa diri dalam kalangan masyarakat dan agak pasif sering menyebabkan aku disisihkan. Aku tak sukakan keadaan yang tegang, aku tak boleh berfungsi dengan baik.
Keadaan ni memberi impak yang besar dalam hidup serta kerjaya disebabkan pembawaan diri dan kehendak orang yang tidak dipenuhi. Aku dilihat sebagai seorang yang tidak mahir bekerja kerana banyak buat silap.
Disebabkan aku bekerja dalam bidang kesihatan impak dari tidak mahir boleh menjejaskan kesihatan orang lain, jadi aku sering dimarahi.
Keadaan ini berkait rapat dengan cara aku membesar dan pergolakan dalaman yang diabaikan selama ini.
Aku jadi resah dan murung kerana sering sakit akibat kata-kata menyakitkan dari orang lain. Aku abaikan perkara ini berlama-lama kerana tidak tahu kepada siapa dan di mana nak meluah. Aku rasa tak selamat.
Aku dapat rasa ramai tak suka sebab sisi aku yang lain. Sikap semulajadi aku yang tidak pandai menyembunyikan pergolakan dalaman dan begitu lurus dilihat sebagai biadap oleh orang mungkin.
Macam aku nyatakan sebelum ni aku bukan orang baik, aku sebenarnya lelaki yang sukakan kaum sejenis.
Baru-baru ini aku dapat tahu masalah pergaulan, mengurus diri dan pertuturan adalah ciri autisme bersama adhd melalui diagnosis psychologist dan psychiatrist.
Penjelasan terbesar kepada bahagian hidup aku yang tak terurus, resah dan murung.
Apa yang aku cuba nak nyatakan di sini kelainan wujud walaupun tidak nampak. Jika seseorang kelihatan lain cuba pandang seseorang dari sudut kasih sayang.
Mungkin ada bahagian dari diri mereka yang mereka sendiri pun belum tahu cara mengurus yang menyebabkan keadaan mereka jadi begitu.
Hindari andaian dan kata-kata yang menyakitkan kerana tak menjadikan keadaan makin baik pun. Kalau anda peduli, cuba perhati dan fahami keadaan orang barulah pendekatan kita kena pada tempatnya.
Jangan terburu-buru menjatuhkan hukum. Ini dapat banyak membantu. Paksaan tidak akan berkesan kalau tak disertai dengan kefahaman, kalau anda rasa memaksa itu perlu pun.
Aku masih bergelut tapi aku akan teruskan hingga aku dapat kecapi rasa tenang. Aku rela jika apa-apa yang berlaku akibat dari diri sendiri.
Untuk mereka yang masih cuba faham diri dan masih mencari diri moga terus kuat.
Harapan aku, moga aku terus kuat, jadi lebih baik dan aku akan temui orang yang membuatkan hidup aku menjadi lebih bahagia.
Terima kasih jika luahan ini tersiar
– aspie monkey (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit