Aku Tulip, sudah berkahwin, mempunyai 2 orang anak, iaitu seorang anak perempuan berusia 4 tahun dan anak lelaki berusia 5 bulan.
Sejak kecil, ibu bapaku menerapkan bahawa kata-kata kesat & makian adalah perlakuan yang tidak baik.
Pantang aku mencarut dek terikut kawan, pastinya ibu aku akan cilikan mulut aku.
Memandangkan bapaku merantau di negeri orang, aku dibesarkan dengan persekitaran yang sihat (bebas kata-kata kesat).
Walau bagaimanapun, setelah bapaku pencen, nenek sebelah bapa tinggal bersama kami sekeluarga. Nenek gemar mencarut. Baik perbualan, perbuatan & latahan pasti diselitkan dengan kata-kata kesat.
Aku benci sikap nenek kerana adik-adikku yang masih kecil turut terdedah dengan perlakuan nenek. Adakalanya aku merungut kerana ibu bapaku tidak pernah mengajarku mencarut.
Aku minta bapa menegur nenekku. Walau bagaimanapun, teguran bapa sekadar mencurah air ke daun keladi. Kata-kata kesat & carutan umpama zikir di mulut nenek.
Entah kenapa, aku sudah terbiasa. Kadang kala, bila aku marah, walau berseorangan, aku turut terikut beberapa kata carutan yang diperkatakan nenek tanpa sengaja.
Saat aku tersedar, aku menyesal kerana terlepas cakap walaupun tiada sesiapa yang mendengar.
Tidak lama selepas itu, aku berkahwin. Suami aku sangat baik. Cuma, ibu mentuaku juga seperti nenek. Kata-kata kesat & carutan adalah zikir yang meniti di mulut mereka.
Aku mendengar saat ibu mentuaku mengeluarkan kata-kata seperti:
“Aku sepak kau karang!”
“Buas macam beruk la kau ni!”
“Aku terajang juga budak ni karang.”
“Adik, pergi sekeh kepala mama tu. Lupa buat susu adik.”
“Terajang abah tu adik, kacau adik main.”
Tidak kurang pula nenekku:
“Ni nak makan ubat bagi tak mampus dah.” *Bila disuruh makan ubat darah tinggi*
“Haram jadah sungguh.” *apabila barang jatuh / terlanggar sesuatu.
“Betina ni macam beruk.” *Apabila anak ku agak lasak. Bukan niatnya menghina. Cuma perkataannya kasar.
Korang boleh faham tak apa perasaan aku?
Bukanlah secara langsung anak aku diajar mencarut atau menggunakan kata-kata kesat atau melakukan benda yang tidak beradab. Cuma, kata-kata secara tidak langsung itu begitu mengganggu bagiku.
Korang pernah dengar tak?
Tak kan pernah wujud orang yang mulut jahat tetapi hatinya baik.
“Aku ni, mulut je jahat. Tapi hati aku baik.”
Macam tak kena kan? Entahlah.
Sekarang ini, perkara ysng membuat aku terpanggil untuk menulis adalah, aku ada masalah dengan diri aku.
Aku sudah kerap terikut-ikut perlakuan yang aku benci tanpa sedar & kini kerap aku berbahasa kesat ketika memarahi anakku.
“Kau nak kena sepak dengan Ibu?”
“Kau ni pekak ke? Ibu larang tak dengar?”
“Hidup kau memang asyik menyusahkan ibu.”
“Kau memang nak mampus dengan ibu ke?”
“Siallah kau ni. Semak ibu dengan kau.”
Tidak cukup dengan itu. Aku menjadi panas baran, suka memarahi anak aku yang menguji kesabaran.
Bukan itu sahaja. Aku selalu naik tangan, sepak terajang anak aku apabila aku tak dapat mengawal kemarahan aku. Aku pukul anak aku. Cuma tak patah & lebam. Tapi sakit la jugak.
Apabila aku sedar, cepat-cepat aku istighfar. Aku menangis sendiri. Aku menyesal. Tetapi, penyesalan yang sia-sia kerana hal ini akan berulang saat anakku buat hal & membuat aku marah.
Selalunya, hal ini terjadi saat suami tiada di rumah. Aku mengamuk habis.
Pengakhirannya, aku akan terduduk menangis memohon maaf setelah menyakiti anakku. Anakku menangis tidak kesakitan & tidak mengerti situasi yang terjadi.
Saat suamiku ada di rumah, apabila kemarahanku meluap-luap, aku cuba kawal. Sampai 1 tahap, aku minta suami yang handle anak. Saat itu, aku tidak jadi mengamuk & berjaya menenangkan diri.
Aku tidak pasti hal ini berkait dengan persekitaran aku (nenek & ibu mentua).
Bukan tujuan aku menuduh. Aku ceritakan supaya korang boleh bagi pandangan sama ada ia saling berkait atau tidak Aku tidak sedar baranku ini sejak bila.
Aku rasa sesuatu tak kena dengan diri aku. Adakah aku mempunyai masalah jiwa?
Nak kata tekanan yang melampau, aku tiada masalah besar. Hidupku biasa-biasa sahaja. Suamiku sangat baik budi bahasanya & tidak pernah menyakitiku.
Cuma, setiap kali anak aku buat hal, meragam, kesabaran aku tak dapat dibendung & pastinya mereka menjadi tempat melepaskan amarahku dengan kata-kata kesat & pukulan. Korang jangan kecam aku. Sungguh aku sayang anak-anak aku.
Aku tak tahu apa penyelesaiannya. Aku cuba bertaubat, berdoa & memperbaiki solat setiap kali kejadian ini berlaku. Aku berdoa agar ia tidak berulang lagi.
Tapi, saat kemarahan aku dirangsang, sukar untuk aku jelaskan. Aku sendiri tak faham dengan diri aku.
Aku pernah mengadu pada suami. Tetapi suami hanya mengatakan bahawa aku terlalu bertindak mengikut perasaan & menasihati aku untuk mengawal perasaan itu. Aku cuba kawal, tetapi ia tetap terjadi.
Perlukah aku berjumpa pakar psikologi/psikiatri? Aku tak tahu lah aku ni ada masalah hati atau masalah mental.
Tapi, aku tahu yang diriku memang bermasalah kerana aku benci bahasa kesat, carutan & makian sejak kecil. Dan kini? Aku sebagai pelakunya.. Entah mengapa..
– Tulip (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit