Tuntutan Hadhanah

Saya tertarik dengan satu ‘confession’ di IIUM dari ‘confessor’ Umiey yang bertajuk “Cerai Bukan Jalan Terbaik” 

(https://iiumc.com/cerai-bukan-jalan-terbaik/). 

Saya juga mengalami nasib yang sama seperti Pn Umiey iaitu bercerai dan menjadi ibu tunggal anak satu. Beza kes penceraian saya dengan kes penceraian Pn Umiey ialah sebab penceraian saya bukan kerana orang ketiga, dan bekas suami yang menuntut hak penjagaan anak di Mahkamah Tinggi Syariah.
Dengan pengalaman sebagai ibu tunggal atau janda dalam masa 10 bulan ini, kehidupan saya banyak ‘up and down’. Syukur saya dikelilingi ahli keluarga dan sahabat-sahabat, kawan-kawan yang baik dan positif. Saya juga pada mulanya seperti Pn Umiey, menyalahkan diri sendiri dan takut menghadapi masa depan apabila memikirkan tiada teman hidup dan beban memegang status janda pada pandangan masyarakat. Ibu saya selalu berpesan, pandang ke hadapan (move on) dan juga jaga akhlak sebab masyarakat kita ada yang masih lagi berpandangan negatif kepada perempuan yang bergelar janda. Kawan baik saya juga pernah mengingatkan saya, jangan salahkan Allah, jangan salahkan diri sendiri. Anggaplah ini taqdir hidup yang saya perlu lalui, dan Allah mahu memberikan saya rezeki anak melalui perkahwinan yang hanya mampu bertahan selama 6 tahun 4 bulan.

Lama-kelamaan saya dapat ‘move on’ dan melalui hidup dengan tenang. Ada juga ujian besar yang menimpa saya dari segi pekerjaan, namun saya redha dengan segala ujian yang Allah berikan. Saya suka membaca ayat-ayat dari Ustazah Yasmin Mogahed (penulis buku ‘Reclaim Your Heart’), Mufti Ismail Menk dan Dr Bilal Philips yang sangat bermotivasi. Saya harap Pn Umiey dan pembaca yang senasib dengan kami juga dapat ‘move on’ dan berazam untuk memperbaiki hidup ke arah yang lebih baik.

Tujuan ‘confession’ saya ini bukanlah mahu berkisarkan kepada masalah penceraian saya. Tetapi mahu berkongsi dengan pembaca berkenaan tuntutan hak penjagaan anak yang dituntut oleh bekas suami (plaintif) dan saya (defendan).

Sedikit background mengenai kehidupan kami. Saya dan bekas suami ditemukan melalui keluarga dan 10 bulan selepas itu kami berkahwin. Saya dan bekas suami selama ini berkahwin selama jarak jauh (PJJ) kerana saya bekerja jauh di Borneo manakala bekas suami di salah satu negeri di Semenanjung. Sepanjang perkahwinan, saya yang selalunya balik ke rumah suami. saya pernah hampir keguguran di Borneo pada minggu ke-9 kehamilan, tapi bekas suami tak datang ziarah atas alasan ‘threaten miscarriage’ itu adalah kecuaian saya sebab banyak berjalan dan buat kerja-kerja rumah. Syukur Allah selamatkan kandungan saya.

Hanya apabila saya sedang sarat mengandung 7 bulan baru dapat berpindah ke tempat kerja ke-dua, sama negeri tapi lain daerah, memakan masa hampir 3 jam juga dengan memandu kereta. Rezeki anak bila dapat pindah. Bila lepas bersalin, saya tidak diizinkan untuk membawa anak ke daerah tempat kerja saya atas alasan saya bekerja tidak tentu masa dan banyak ‘traveling – out of office’. Pada mulanya memang ada ‘argument’ saya dan bekas suami sebab saya menyusu badan dan saya mahu jaga anak sendiri dan mahu bekas suami yang ‘traveling’ pula ke rumah saya. Bekas suami tidak setuju dengan cadangan saya. Oleh kerana tidak mahu bertikai dengan bekas suami, saya merelakan anak ditinggalkan dengan bekas suami.

Panas yang disangka berpanjangan rupanya hujan di tengahari. Akhirnya, perkahwinan yang dibina selama 6 tahun 3 bulan tidak dapat dipertahankan lagi dan penceraian saya yakin ialah jalan terakhir untuk kami. Kami tiada persefahaman seawal perkahwinan dan juga bekas suami yang tidak memandang saya lagi sebagai isteri selepas melahirkan anak.

Di dalam borang tuntutan cerai yang dituntut oleh bekas suami, bekas suami menuntut 2 perkara untuk dijadikan perintah mahkamah iaitu:
1. hak penjagaan anak diberikan kepada bapa
2. sebarang tuntutan oleh bekas isteri hendaklah dibuat sebelum lafaz cerai. Apa jua tuntutan selepas lafaz cerai oleh bekas isteri dan pihak berkepentingan adalah tidak dilayan.

Di Mahkamah Rendah Syariah, sebelum bekas suami melafazkan cerai ke atas saya di hadapan Hakim Syarie, saya merayu di depan hakim untuk menghalang tuntutan-tuntutan bekas suami atas dalil dalam Surah At-Talaq ayat 6. Hakim juga memperbetulkan bekas suami saya bahawa hak penjagaan anak hendaklah dituntut di Mahkamah Tinggi Syariah bukan semasa lafaz cerai. Hakim juga bertanya kepada bekas suami apa maksud tuntutan ke-2, bekas suami saya jawab yang dimaksudkan dengan tuntutan itu ialah supaya saya mengatakan terlebih dahulu apa yang mahu dituntut berkait harta sepencarian iaitu rumah dan kereta. Kenyataan bekas suami saya ini juga diperbetulkan di mahkamah iaitu bekas isteri tak boleh buat tuntutan apa-apa sebab masih lagi berstatus isteri. Maka, tuntutan bekas suami dibatalkan. Selepas masing-masing pihak berpuas-hati, bekas suami pun melafazkan cerai Talak 1 Raj’ie ke atas saya.

Di dalam tempoh ‘iddah, saya masih lagi berulang-alik ke rumah bekas suami untuk berjumpa dan bermalam dengan anak. Pada bulan ke-dua iddah saya, saya didatangi oleh peguam yang mewakili bekas suami berkenaan tuntutan hadhanah (hak penjagaan anak). Saya belum ada peguam secara rasmi pada ketika itu dek kerana status saya yang masih di dalam ‘iddah. Manalah tahu, jika suami mahu ruju’ semula (nota: mengikut Mazhab Shafie, jika suami mahu ruju’ walaupun tanpa persetujuan isteri, ruju’ itu dikira sah, contoh kes penyanyi Syura, cuma di Malaysia ruju’ itu hendaklah didaftarkan). Saya memang dapat mengagak yang bekas suami akan buat tuntutan hadhanah tapi tak sangka secepat itu iaitu ketika masih di dalam tempoh ‘iddah. Tarikh sebutan pertama di Mahkamah Tinggi Syarie dalam keadaan saya masih dalam ‘iddah dan saya belum lagi melantik peguam. Saya memohon untuk sebutan di Mahkamah Tinggi Syariah ditangguhkan selepas tempoh ‘iddah selama 3 kali suci habis.

Saya sedar tiada harapan untuk kami ruju’ atau nikah semula kerana memang nampak jelas bekas suami saya ‘menentang’ saya di Mahkamah Tinggi. Dan saya juga sedar bahawa bekas suami menganggap anak kami yang kini berusia 2 tahun adalah miliknya mutlak. Bermula sejak anak saya lahir bila saya tidak diizinkan untuk membela anak saya sendiri. Banyak kes penceraian yang saya lihat, hak hadhanah anak yang belum mumaiyyiz jatuh kepada ibu, tetapi nampaknya tidak jadi automatik jatuh kepada saya. Saya sebenarnya takut saya kehilangan satu-satunya anak saya.

Saya sudah melantik peguam untuk kes hadhanah ini dan peguam saya mengatakan selagi bekas suami tidak mengatakan akhlak buruk (contoh ada skandal/curang), maka hak hadhanah jatuh pada ibu cuma dalam kes saya ini, oleh kerana bekas suami sudah buat tuntutan dan anak memang tinggal dengan dia selama ini, maka saya kena lawan. Buat masa ini, kes hadhanah masih lagi berjalan di Mahkamah Tinggi, dan saya masih lagi ulang-alik setiap minggu untuk ambil dan hantar semula anak saya pada hujung minggu. Agak memenatkan kerana bekas suami hanya tunggu saya ambil dan hantar sahaja ke rumah beliau. Saya ada juga meminta pada peguam saya supaya hak lawatan saya dipanjangkan, tapi selepas berbincang antara peguam saya dan peguam bekas suami saya, nampaknya bekas suami saya berkeras untuk hak lawatan saya hanyalah 2 hari 2 malam sahaja. Seolah-olah keputusan sudah ada di tangan beliau. Kata peguam saya, takpelah mengalah dulu, jangan bermain api. Tapi ada juga bulan lepas saya bermain api dengan mengambil anak saya selama 10 hari, memang bekas suami suruh hantar anak balik juga. Mengingatkan pesanan peguam saya, maka saya minta maaf kepada bekas suami dan berjanji akan memulangkan anak saya pada minggu hadapannya.

Kes saya masih berjalan. Saya memohon pada Allah agar saya diberi kekuatan, kesabaran dan ketabahan sepanjang tempoh perbicaraan ini. Ini belum lagi masuk tuntutan nafkah ‘iddah, nafkah mut’ah dll yang bekas suami tidak beri kepada saya. Namun buat masa ini, saya fokuskan dahulu kepada tuntutan hadhanah.

Untuk bekas suami saya, hak talaq ialah hak suami, tapi hak hadhanah adalah hak isteri selagi bukan nusyuz/curang. Untuk para suami di luar sana, didiklah diri sendiri, isteri dan keluarga – jangan diberatkan hukuman ke atas isteri, mudahkan jalan isteri ke syurga (ini pesanan Dr Fadzillah Khamsah sebenarnya). Untuk isteri-isteri, jaga rumahtangga, akhlak dan juga pertingkatkan ilmu mengenai ilmu perundangan keluarga Islam.

Untuk ibu tunggal atau janda, ketahui hak-hak selepas bercerai, jaga akhlak – jangan biarkan masyarakat mencemuh kita, Saidatina Khadijah sebelum berkahwin dengan Rasulullah SAW juga adalah seorang janda yang pernah diceraikan beberapa kali oleh bekas-bekas suaminya. InsyaAllah, Allah akan memberikan ganti yang lebih baik. ‘Be strong and stay amazing.’

Post terbaru Dr Bilal Philips hari ini ialah: “Having complete trust in Allah is such a stress reliever. Because when you don’t get what you want, you just know Allah has a better plan! You don’t need a Plan B with Allah! Trust Him!”

– Hannah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit