Tyrion in Game of Throne vs Aku di Tempat Kerja

Aku yakin ramai yang pernah sayup-sayup dengar drama bersiri Game of Thrones ni, dan aku pasti mereka yang gigih ikut Game of Thrones agak kecewa dengan pengakhirannya.

Jangan risau, jangan bimbang, tiada spoiler, boleh teruskan membaca. Aku tak akan mengesyorkan kau untuk menonton drama ni, sebab drama ni terlampau banyak adegan yang ganas dan s3ksual. Tapi kau boleh belajar dari watak-watak penting Game of Thrones di Youtube, seperti aku.

Salah satu watak kegemaran ramai adalah Tyrion Lannister. Dia lahir di kalangan ahli keluarga yang membenci dirinya, terutama ayahnya. Hidup dalam rasa bersalah kerana ibunya meninggal dunia semasa melahirkan dirinya.

Si kerdil ini bertahan lebih lama dari watak yang lain, malah dia berjaya menjadi salah satu watak penting dalam Game of Thrones. Bagaimana Tyrion yang sering dibuli dan dipijak ni berjaya menentukan arah Game of Thrones?

Sedar dengan fizikalnya yang cacat, dia menajamkan mindanya dengan membaca buku dan meningkatkan kemahirannya dalam mempengaruhi orang lain.

Tyrion tak pernah lupa yang dirinya kerdil, kerana menurutnya satu dunia takkan pernah lupa yang dia tu si kerdil, jadi dia terima malah bangga dengan dirinya, sehingga tiada siapa pun yang boleh menggunakan kekerdilan dirinya sebagai kelemahannya.

Untuk aku yang bekerja dengan orang atasan bukan muslim dan dalam industri yang masih berbolak-balik dengan keizinan puntuk memakai tudung semasa kerja, tudung merupakan lambang kelemahan di mata mereka.

Dalam industri ni, masih banyak lagi tempat yang tak mengizinkan pekerja admin & office memakai tudung. Pada mereka, tudung itu seolah-olah suatu tembok yang menghalang pemakainya maju ke hadapan.

Betapa salahnya mereka. Aku memakai tudung dengan penuh bangga, memberi penjelasan dengan sabar pada mereka yang bertanya dan mempersoalkan aku.

Aku masih ingat seorang pakcik ni cakap: “Awak, kalau awak tak pakai tudung mesti awak lagi cantik taw.” Dan aku balas: “Uncle, I ni pakai tudung ke tak pakai tudung dah memang cantik. Wakakaka!”

Seperti Tyrion Lannister yang sentiasa mempunyai punchline & comeback terbaik apabila berlawan kata.

Akhirnya, aku yang berpewatakan sebegini yang berjaya mengharumkan nama tempat aku dengan memenangi pertandingan berprestij yang diadakan oleh brand syarikat aku bersama wakil dari Indonesia & Singapore.

Tyrion Lannister ialah salah satu watak yang memaparkan kehebatan intektualnya, dalam bahasa yang mudah – Dia genius. Dia hebat dalam mempengaruhi orang lain untuk buat apa saja yang dia nak.

Macam mana dia buat tu? Dengan bertanya: ‘Apa yang kau nak?’ pada orang tu. Selalunya, kita hanya akan rasa semangat untuk buat sesuatu yang memberi nilai pada diri kita, tak kisahlah sebab pangkat, duit, pengaruh atau kepuasan diri.

Dan Tyrion pula bijak dalam menyesuaikan matlamatnya pada nilai kau. Jika kau mahukan duit, dia akan bayar. Jika kau mahukan persabahatan, dia akan beri.

Apa sahaja yang kau nak, walaupun kau tak cakap, dia dapat baca dan dia akan beri hanya apabila kau sanggup buat apa yang dia minta. Kalau kau mampu buat apa yang Tyrion buat, kau akan berjaya mempengaruhi orang lain untuk buat apa yang kau nak.

Dan aku menggunakan Teknik Tyrion apabila aku perlu meminta bantuan dari department lain. Department Finance aku sangat berkira dengan masa & tenaga mereka.

Disebabkan terlalu sibuk, mereka jarang melayani email. Kalau aku nak minta mereka menyelesaikan masalah seperti proses bayaran tertunggak, pembaharuan lesen, dan sebagainya, aku terpaksa berjumpa dengan mereka face-to-face bersama dokumen yang diperlukan dan berbincang.

Mereka akan membebel, mereka akan membuat alasan yang kadang-kala tak munasabah untuk elak.

Tapi aku dapat baca nilai mereka, sebenarnya mereka tak suka buat kerja lebih yang akan mengambil masa mereka sebab mereka ada banyak kerja lain. Dan aku hanya nak selesaikan masalah yang akan mengganggu operasi. Masing-masing ada kepentingan masing-masing.

Aku mulakan perbincangan dengan: “Okay Ms. Jenny, I nak minta you proses bayaran untuk service ni secepat mungkin sebelum mereka decline connection kita. Apa yang you nak I buat?”

Mereka akan terus bagi jawapan, contohnya aku perlu dapatkan invoice original dari contractor atau aku perlu isi borang Payment Requisition. Dan aku siapkan semua yang dia minta secepat mungkin supaya dia dapat proses bayaran tu ASAP.

Kau boleh nampak yang aku datang pada staff Finance aku dengan permintaan dan bukan masalah, dan aku terus tanya apa yang aku boleh buat untuk dia supaya aku dapat apa aku nak.

Berbeza dengan sesetengah orang yang datang dengan masalah, contohnya “Contraktor ABC nak decline connection kalau kita tak bayar cepat, macam mana ya?” (Staff finance kau kena fikir pulak macam mana nak bayar contractor tu cepat)

Atau “You tolong deal dengan contractor ni, dia nak kita bayar bayaran yang tertunggak tu.” (Again, staff finance kau yang kena hadap contractor yang dia tak pernah jumpa).

Akhirnya masalah kau lambat giler selesai, atau lagi teruk staff Finance kau terlupa dan salahkan department kau sebab tak hantar dokumen yang berkaitan (walaupun mereka tak inform pun kau kena hantar document apa).

Boss aku pelik macam mana aku boleh deal dengan Department Finance dan mereka laju selesaikan masalah aku. Dan department lain lagi suka bekerjasama dengan aku sebab aku senang untuk berurusan dan efficient.

Generasi sekarang wajib belajar teknik ni bila internship/ praktikal atau bekerja sebab kau takkan dapat belajar melalui lecture atau buku.

Dalam Game of Thrones, Tyrion sentiasa menadahkan telinga mendengar kisah orang lain, malah dia akan meminta orang sekelilingnya menceritakan kisah mereka, lalu dia cuba menyelami dan memahami perasaan orang tu walaupun dia sendiri tak pernah melaluinya.

Berbeza dengan watak yang lebih famous – Jon Snow, yang sering melihat semua perkara dari pandangannya sahaja. Walaupun si kerdil ni sering dipandang hina oleh orang lain, tapi dia mempunyai empati yang tinggi.

Empati ialah apabila kau cuba meletakkan diri kau pada situasi orang lain. Kenapa kau kena memahami orang lain? Sebab kau takkan dapat pengaruhi orang yang kau tak faham, kecuali kalau kau psychopath atau sociopath.

Di tempat kerja aku, ada seorang Assistant Manager (dari department lain) yang agak rapat dengan aku. Dia selalu ajak aku lepak dan belanja aku makan. Ada satu kali ni dia minta tolong aku untuk selesaikan masalah department dia, dan aku bantu.

Kemudian dia datang lagi meminta tolong, walaupun bukan skop kerja aku, aku tetap bantu tapi boss aku lambat sikit bertindak. Assistant Manager tu tak henti-henti telefon dan mesej aku, walaupun aku tiada kuasa untuk buat apa-apa.

Bengang dengan perangai Assistant Manager tu yang suka memaksa-maksa, aku berterus-terang yang aku tidak selesa dengan perangai dia yang pushy dan aku dah beritahu dia bahawa kerja tersebut adalah di luar bidang kuasa aku.

Kalau dia nak selesaikan masalah dia secepat mungkin, dia patut berurusan dengan boss aku dan bukannya aku.

Dia pula balas: “Saya tak rasa saya pushy, tapi saya rasa awak perlu dimotivasi agar awak boleh improve diri awak. Saya cuma beri peluang pada awak untuk naik ke level lain, untuk jadi lebih baik. Tapi kalau awak tak rasa macam tu, takpelah.”

Selama ni, dia tak pernah tanya skop kerja aku apa dan tak cuba memahami kedudukan aku pada waktu itu. Yang dia nak masalah dia kena settle. Dia tak beri cadangan atau cara dia boleh bantu. Dia beri masalah, dan aku kena tolong dia selesaikan.

Alasan dia kononnya nak naikkan level aku pun mengarut, sebab dia bukan boss aku, dia tak tahu dan tak pernah ambil tahu aku sekarang di level mana. Kalau dia gunakan Teknik Tyrion di atas, mesti masalah dia lagi cepat selesai.

Kehandalan kau bukan terletak pada berapa banyak maklumat kau ada, tapi bagaimana kau gunakan maklumat tu. Selepas Tyrion berjaya mengenalpasti keinginan orang yang dia perlu pengaruhi, dia bijak menggunakan maklumat tersebut.

Dia bercakap dengan bahasa dan ayat yang senang difahami oleh orang itu. Apabila Tyrion bercakap dengan orang kebanyakan, dia menggunakan bahasa yang ringkas agar orang tu mudah memahami apa yang dia cuba sampaikan.

Contoh, kau nak bercerita tentang Kewangan. Strategi dan gaya kau bercakap dengan orang yang sudah mempunyai duit perlu berbeza dengan orang yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bahasa yang kita gunakan untuk bercakap dengan orang bandar dan orang kampung juga berbeza.

Satu perkara yang kau wajib ambil dari karangan aku yang panjang nak mampus ni adalah: PENGARUH itu bukan dengan memaksa orang lain pada benda yang mereka tak nak.

PENGARUH itu dengan menunjukkan yang mereka akan dapat apa yang mereka nak, dengan mengikuti kau.

Artikel ni diinspirasi oleh youtuber Charisma on Command, dan aku pun teringin nak buat versi BM untuk orang kita. InshaAllah aku akan cover watak Margaery Tyrell dan keluarga Stark (termasuk Jon Snow).

– Blogger ProsesPendewasaan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *