Ubah Suami Yang Malas Solat

Assalamualaikum dan salam sejahtera pembaca semua. Setelah sekian lama jadi pembaca setia di sini, saya terasa ingin berkongsi.

Pengalaman sebagai isteri di mana suaminya dulu culas solat, namun kini Alhamdulillah semua telah berubah. Dan terasa nak berkongsi bila terbaca komen para isteri pada posting berkaitan suami yang tidak solat, dan mereka nyatakan bukan tugas isteri untuk mengajar suami.

Namun tiadalah salahnya jika seorang isteri mampu mengajar dan merubah suami ke arah kebaikan. Maaf tulisan ini agak panjang.

Kami berkahwin sudah berbelas tahun. Kisahnya ialah semasa saya baru berkahwin dengan suami, saya tahu dia solat tapi tidak sempurna, ada waktu solat yang dia selalu tinggalkan contohnya subuh.

Yang selalu nampak dia solat adalah waktu Maghrib. Zuhur dan Asar, mungkin jarang kerana dalam waktu bekerja. Namun jika di rumah, jarang saya melihat dia di tikar sejadah waktu Zuhur dan Asar itu. Melainkan saya tegur untuk dia solat.

Saya ceritakan dahulu, latar belakang suami dari keluarga biasa yang moden, tinggal di kotaraya. Ahli keluarganya dulu kurang titikberatkan tentang hal solat dan aurat. Berbanding saya daripada keluarga yang tegas bila melibatkan solat, baca al Quran dan hukum agama yang lain.

Begitu juga dengan bacaan al Quran suami, bacaannya sangat lemah pada saya, walaupun dia kenal huruf jawi serba sedikit namun bacaannya kurang baik jua. Dia cuma mampu baca al Fatihah dan beberapa surah lazim sahaja dengan lancar.

Suami juga tidak pernah ke surau atau masjid, melainkan pada hari raya atau ada kematian sahaja. Solat berjemaah di surau atau masjid tidak pernah jadi agenda utama dalam seharian, walaupun surau dekat sahaja (boleh jalan kaki).

Saya sedar semua perkara ini, namun saya sentiasa berdoa pada Allah, Allah yang pegang hati-hati manusia jadi tidak mustahil untuk Allah ubah yang jahil jadi celik.

Kekurangan suami yang ketara adalah dari sudut itu, namun suami seorang yang baik, sentiasa melayan saya dengan baik dan tiada masalah dengan itu.

Apa pun saya cuba usahakan pelbagai cara supaya suami ingat untuk solat. Apa yang saya buat, antaranya:

Bila tiba waktu solat, saya bentangkan sejadah siap-siap, walaupun belum tentu dia nak solat.

Saya tahu tindakan ini tidak cukup kuat untuk menggerakkan hatinya untuk solat, namun sedikit sebanyak dia akan terasa sendiri bila sejadah terbiar begitu sahaja. Jadi bila dah lihat sejadah dibentang, dia akan tersedar sendiri dan terus solat.

Saya pernah ceritakan hal ini pada ibu mertua. Saya tahu beliau terharu dan bergenang airmatanya. Ibu mertua ucapkan terima kasih dan mohon maaf pada saya. Tapi saya tidak menyalahkan sesiapa pun, mungkin ibu mertua rasa bersalah. Namun solat ini tanggungjawab masing-masing.

Saya pernah perli suami tapi dalam nada lembut, sewaktu pagi sebelum dia keluar nak pergi bekerja. Saya tanya begini: “abang nak pergi cari rezeki, tapi abang lupa nak solat dan mintak doa pada yang beri rezeki?” Masa tu dia pandang saya sambil terdiam seketika.

Saya rasa dia terkesan dengan kata-kata itu. Sebab tak lama selepas itu, saya lihat dia mula solat Subuh walaupun ada juga miss nya. Namun ada juga perubahan Alhamdulillah.

Saya mula ajak dia berjemaah. Sebelum ini kami solat berasingan sahaja. Walaupun bacaannya kurang lancar dan surah pendek sahaja yang dia mampu, saya tetap paksa dia jadi imam solat saya.

Bila masuk waktu solat, saya ajak dia berjemaah dulu. Bila nak keluar bersama, saya ingatkan dia untuk selesaikan solat dan berjemaah dahulu.

Percayalah, bila suami jadi imam solat kita, itu adalah satu penghormatan buat dia sebenarnya. Saya rasa ini banyak membantu kami selesaikan masalah di dalam rumahtangga, terutamanya bila kami bergaduh.

Bila ada selisih faham atau perbalahan, solat tetap kena solat berjemaah dan perlu bersalam dan bermaafan di akhirnya. Jadi yang tengah panas akan sejuk, yang tengah marah akan hilang marah.

Suami ada akui, turning point dia nak berubah dan jaga solatnya juga salah satunya ialah bila dia lihat saya sendiri juga sudah mula lalai, abaikan solat.

Masa tu dia sedar yang dia dah bawa saya jauh dari Allah bila saya turut sama abaikan solat, terutama bila kami keluar bersama. Masa itu dia tersedar, betapa salahnya dia membiarkan saya sebegitu.

Saya akui, disebabkan kemalasan suami untuk tekankan hal solat, saya dulu turut terbuai sama dengan kelalaian.

Kadang jika kami keluar shopping atau ke kedai, kami lupakan waktu solat jika waktunya telah masuk, memikirkan leceh nak solat di surau pasaraya atau masjid. Itu dululah, sewaktu kami masih lalai.

Saya tahu dia sedang berusaha dan struggle untuk ubah ke arah kebaikan bagi diri dia dan saya juga. Di setiap hujung solat, saya sentiasa berdoa supaya Allah beri kekuatan dan pegang hati dia untuk berubah.

Saya ada belikan buku berkaitan cara solat yang betul dan buku iqra’, dengan harapan dia dapat baca dan perbetulkan mana yang kurang. Tapi biasalah, cita-cita itu ada namun terbatas dengan masa dan alasan.

Sehinggalah negara kita dilanda Covid19 dan PKP, itulah turning point bagi dia. PKP lah titik permulaan suami benar-benar berubah, bila kami berdua banyak masa di rumah (wfh) dan saya tegaskan pada dia, saya nak ajar dia mengaji dengan betul, disebabkan ada banyak masa.

Sejak dulu lagi saya berniat nak ajar dia mengaji, usia pun makin banyak jadi bila lagi ada peluang nak mengaji dengan betul. Jadi bermula PKP, setiap waktu solat kami akan berjemaah bersama.

Jadi tiada alasan untuk tidak solat sebab kami kena berjemaah bila tiba waktu solat, suami kena jadi imam di rumah sebab tak kemana-mana.

Selepas solat, saya akan buka buku iqra’ dan ajar dia dari mula. Saya ajar dari kenal huruf, sebutan makhraj yang betul, mengeja, sehinggalah ke hukum tajwid.

Alhamdulillah, syukur bila dia boleh ikut dari iqra’ 1 sehingga dia bersedia untuk baca al Quran pula. Selesai dengan buku iqra’, saya hadiahkan al Quran buat dia kebetulan di hari lahirnya.

Itulah hadiah paling bermakna dia kata. Maka bermulalah episod saya bantu dia mengaji al Quran, Alhamdulillah walaupun bacaannya lambat, namun banyak kemajuan dan boleh diperbaiki.

Semasa PKP, suami jadi berminat nak mengaji dan sentiasa ikuti rancangan My Quran Time di tv. Saya ajar dia untuk sentiasa rajin dengar bacaan ayat al Quran, supaya senang dia nak betulkan bacaan juga.

Dia makin rajin dengar bacaan al Quran di Youtube berbanding dulu lebih gemar dengar lagu. Hampir kebanyakan masa dia pasang bacaan al Quran di telefonnya.

Sebenarnya bukan senang bila seorang suami nak rendahkan egonya untuk belajar dari isteri, apatah lagi bila nak belajar solat atau mengaji.

Saya tahu suami semakin berubah, yang penting berubah ke arah yang lebih baik. Saya guide dia mengaji dan tegur setiap kali ada bacaannya yang kurang betul.

Ada juga sesekali suami hampir berputus asa bila bacaannya banyak silap, namun saya tetap yakinkan dia yang dia mampu baca dengan baik juga akhirnya nanti.

Alhamdulillah akhirnya suami berjaya khatam al Quran walaupun agak lambat, selepas PKP. Suami dapat baca dengan lebih lancar semasa jadi imam berjemaah kami.

Tiadalah yang lebih mengharukan bila saya menjadi saksi semua ini. Usia bukan penghalang, tiada apa yang mustahil dengan izin Allah dan usaha tanpa putus asa.

Di samping perbetulkan bacaan dan solat suami, dalam masa yang sama saya turut perbaiki diri sendiri. Saya sendiri yang dahulunya sangat berat nak baca al Quran, hanya baca Yasin di malam Jumaat sahaja, kini lebih kerap mengaji bersama suami. Syukur.

Ibu mertua turut ikut perkembangan mengaji suami, dan tidak putus-putus ucapkan terima kasih pada menantunya ini, kerana saya tidak putus asa bantu anaknya.

Ibu mertua banyak menyalahkan mereka sendiri sebagai orang tua yang tidak berjaya mengajar anaknya, namun saya menidakkannya kerana saya percaya inilah jalan Allah pilih untuk ubah suami dan diri saya. Jalan ini yang Allah lorongkan untuk saya berbuat baik pada suami dan keluarga.

Saya rasa kemuncaknya bila kami berdua diberi peluang untuk mengerjakan umrah bersama. Selepas tamat semua PKP, rezeki yang tidak disangka bila Allah jemput kami berdua menjadi tetamuNya.

Allahu saya dan suami bagai tidak percaya, terutamanya bagi suami, kerana inilah kali pertama dia akan menjadi tetamu istimewa. Saya pernah tunaikan umrah bersama keluarga sebelum itu.

Rasa sebak, terharu, terutamanya suami yang nyatakan dia berasa takut pun ada. Dia selalu tanya kenapa Allah pilih untuk jemput dia, adakah dia layak sedangkan dia masih jauh lagi, baru berjaya mengaji dan baru nak istiqamah solat.

Saya katakan pada dia, itulah hadiah Allah nak beri terutamanya pada dia, asbab kerajinan dan ketekunan dia nak berubah, nak perbetulkan solat dan bacaan al Quran. Mengalir juga airmata dia, bila saya jawab begitu.

2 minggu sebelum berangkat, setiap malam suami bangun solat tahajjud dan taubat. Suami sangat gembira bila dapat menjejakkan kaki ke sana, begitu juga saya. Masih banyak yang perlu kami perbetulkan.

Di hadapan Kaabah saya berdoa, agar suami tetap teguh hatinya untuk istiqamah dengan solat dan agar dia sentiasa minat dan lancar membaca alQuran. Begitu juga untuk diri saya dan keluarga.

Antara surah yang suami suka dan sungguh-sungguh cuba hafal bila bacaannya dah semakin baik, ialah surah ar Rahman dan al Fajr.

Direzekikan kami untuk solat di hadapan Kaabah dan surah-surah kesukaannya ini dilantunkan oleh imam ketika itu. MashaAllah memang sangat syahdu, laju bercucuran airmata. Saya tahu suami pasti gembira dan menangis juga ketika itu.

Pulang dari Haramain, banyak perubahan pada suami yang saya lihat. Saya sendiri juga dalam proses perbaiki diri. Alhamdulillah suami kini rajin berjemaah di surau, pulang dari kerja suami akan segera bersiap untuk berjemaah Maghrib atau Isya’ di surau.

Selalunya Isya’ kerana kami akan berjemaah bersama waktu Maghrib. Saya akan ikut dia ke surau pada setiap Khamis. Begitu juga jemaah Subuh di surau atau masjid pada hujung minggu, suami akan cuba tidak ketinggalan. Di surau dan masjid dia banyak belajar juga. Alhamdulillah.

Suami katakan, dia rindu pada suasana di Haramain, jadi sekurangnya berjemaah di surau atau masjid sedikit sebanyak akan mengingatkan dia dengan suasana di sana.

Di sana, semua jemaah melazimi solat sunat setiap kali sebelum dan selepas solat fardhu (rawatib). Kini kami terus amalkannya, terutamanya bila suami mengimami solat di rumah.

Dan di sepanjang pengetahuan saya, sekembalinya kami dari sana, saya lihat suami tidak tinggal untuk bangun lebih awal sebelum subuh, untuk solat tahajjud dan solat sunat yang lain. Malah mengalahkan saya sendiri, namun menjadi semangat untuk saya turut sama sertai dia.

Kini bila kami keluar bersama, kami akan dahulukan solat terlebih dahulu, dan jika masuk waktu sewaktu kami di luar, kami akan berhenti sebentar untuk solat di surau atau masjid.

Dulu terasa payah namun kini jadi mudah, bila hati redha dan berkehendak. Jika kita sendiri yang tak nak, semua akan jadi susah.

Kini suami banyak hafal surah lain yang lebih panjang, tidak lagi hanya surah lazim untuk dibacakan semasa mengimami solat kami.

Alhamdulillah. Jika di dalam kereta, suami lebih gemar pasang al Quran. Kadangkala suami minta saya bacakan ayat al quran dan terjemahan setiap ayat, sambil dia dengar semasa dia memandu.

Dan setiap hari kami akan peruntukkan masa untuk baca Yasin dan al Mulk bersama sebelum melelapkan mata. Syukur ya Allah atas perubahan ini.

Bagi saya, mengaji dan solat ini seiring. Bila kita perbetulkan solat kita, kita rasa nak perbetulkan juga mengaji al Quran kita, kita sedang perbetulkan kehidupan kita, Allah sedang bantu kita.

Iman kita ini pun ada pasang surutnya. Rasulullah s.a.w bersabda: “Perbaharui iman kamu!”, Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana kami boleh memperbaharui iman kami?”, Baginda bersabda: “Perbanyakkan ucapan La ilaha illallah” (Hadis riwayat Ahmad).

Jadi dengan makna yang lain, perbanyakkan solat kerana di dalamnya ada kalimah suci ini.

Terima kasih membaca coretan panjang ini. Alhamdulillah. Kini kami lebih tenang dengan perubahan yang baik ini. Untuk para isteri yang sedang usaha perbaiki solat suami dan juga diri sendiri, moga diberi kekuatan dan moga Allah bantu.

Tidak ada salahnya untuk kita bantu mengajar, sama-sama bantu suami, dalam masa yang sama kita bantu diri kita juga. Di akhirnya syurga juga tujuan kita, tempat kita mahu bersama, insha Allah.

Tiada yang mustahil dengan kekuasaan dan keizinan Allah. Doakan kami berdua teguh dan istiqamah untuk solat dan mengaji al Quran. Terima kasih.

– Isteri Dia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. hmm.. terbalik pula sy puan, sy sebenar kurang bab ilmu agama, pilih suami sbb dia mcm pandai agama, tapi nthlah bila lepas kahwin baru tau, pagi2 dia susah bangun subuh.. kena sy selalu kejut.. kalau sy xkejut dia xkn bgn sendiri.. sy penatlah puan.. sy ni iman xde la kuat sgt.. mengaji Al Quran pun xhbs, ingat lepas kahwin suami blh tlg ajar tp kita pula kena didik dia setiap pg.. ntahlah.. kadang penat juga , dh 3 tahun kahwin .. sama je pesan ke nasihat ke marah ke sama je..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *