Assalamualaikum semua…terima kasih admin kerana masukkan cerita aku dalam confession aku.
Aku ada beberapa masalah aku yang ingin ditanya. Aku tidak pandai nak menulis. Harap korang faham apa yang aku ceritakan dan minta pandangan semua.
Aku adalah seorang suami dan bapa kepada anak2 aku. 3 tahun yang lepas aku telah menjatuhkan talak kepada bekas isteri aku. 10 tahun aku hidup bersama bekas isteriku.
Tapi apakan daya jodoh kami setakat itu sahaja. Sejujurnya aku sangat gembira ketika itu susah dan senang bersama. Kami dikurniakan 2 anak perempuan yang sekarang berumur 6 tahun dan 8 tahun.
Aku melafazakan talak kepada ex aku kerana dia ada skandal di tempat kerja. Ini bukan satu fitnah sebelum aku melepaskan dia tanpa aku redha penceraian ini, aku selidik sedalam dalamnya.
Aku memikirkan anak aku yang masih memerlukan belaian seorang ibu. Aku masih mempertahankan rumahtanggaku.
Tetapi setelah satu per satu Allah tunjukkan, aku tak boleh terima dan bersabar lagi apa yang dia buat di belakangku. Untuk makluman semua, semua manusia tidaklah sempurna.
Aku cuba untuk menjadi suami terbaik dan soleh. Aku bekerja normal dan EX aku bekerja kilang dan aku lah yang buat kerja rumah dengan membantu EX memasak untuk anak2, membasuh baju, kemas rumah, mengasuh anak dan banyak lagi yang tak perlukan aku perincikan.
Nafkah rumah, bil, anak, dan makanan semua aku tak pernah abaikan. Aku makan nasi lemak pun aku tak kisah, Kadang2 diriku pun tidak cukup yang penting aku tunaikan nafkah yang Allah amanahkan.
Cuma kekhilafan diriku aku tak dapat memberi nafkah tunai kepada isteriku dan tak dapat memberi barang2 kemas kepada isteriku sebab untuk diriku pun kadang2 tak cukup.
Ceritanya bermula begini, aku dah Nampak perubahan EX ku 6 bulan sebelum penceraian. Aku masih fikir positif.
Satu hari, aku masih ingat lagi hari Jumaat, lepas selesai solat Jumaat aku balik rumah dan aku lihat EX aku dalam kesedihan, aku tanya dia masalahnya dan jawapan aku dapat amatlah sedih bagiku.
DIA RINDUKAN SEORANG LELAKI LAIN BUKAN DIRIKU. Aku namakan LELAKI itu T. Punah harapan aku yang ku bina selama ini. Terbayang wajah anak tanpa belaian seorang ibu.
Selepas itu satu per satu Allah tunjuk aku selongkar beg tangannya aku jumpa resit2 yang T belikan barang2 untuknya.
T membeli peralatan rumah menggunakan kredit kadnya. Rupanya dia telah menyewa kondo mewah yang semua ditanggung oleh T.
Aku mengadu nasibku kepada mak dan abangnya. Mereka seperti beranggapan dah memang tiada jodoh. Mereka seperti meredhai kecurangan yang berlaku.
Akhirnya aku lafazkan talak kepada EX ku. 3 bulan aku depress, berat badanku turun mendadak. Siapa kata lelaki kuat. Hahaha.. Aku mengambil tanggungjawab menjaga anak2 ku.
Sebabnya aku tahu semua aset yang dimiliki oleh EX aku sekarang semuanya ditanggung oleh T. Selepas bercerai terus EX aku tukar kereta mewah RM1XXk lebih sedangkan dia operator kilang jer.
Kalau aku lepaskan tanggungjawab anak2ku dah semestinya anak2ku akan ditanggung oleh T sedangkan mereka masih mempunyai ayah.
Aku faham kalau diikut kan anak2 perlukan kasih sayang ibu lebih dari seorang bapa. Tetapi aku perlu mendidik anak2 supaya mereka menjadi anak2 solehah.
Aku tak rasa diriku sempurna tetapi aku cuba yang terbaik untuk anak2 ku. Aku kesian dengan anak2 aku mereka tak rasa belaian seorang ibu.
Aku terpaksa belajar untuk pakaikan tudung ketika hendak ke sekolah. Bila ke sekolah aku lihat pelajar perempuan bertudung cantik terletak sedangkan anak aku sebaliknya. Maklumlah lelaki yang siapkan.
Aku pendekkan cerita, selepas beberapa bulan aku kenal dengan isteriku sekarang. Aku selidik dia adakah dia boleh menerima anakku dan bagi aku bila kita dah pernah berumahtangga malas untuk bercinta kembali, lagipun boleh menyebabkan kemaksiatan berlaku.
Aku ambil keputusan terus berkahwin dan bercinta selepas kahwin. Dia seorang janda yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 14 tahun. Anaknya dia dijaga oleh ayahnya.
Sebelum menikahinya aku dah maklumkan kepadanya bahawa anak dia tak boleh tinggal bersama kita sebab anak aku perempuan.
Aku bukan rumah besar dan anak2 ku terbatas auratnya dengan anak tiriku. Setakat nak datang cuti sekolah aku tak halang.
Dia setuju dengan cadangan itu. Lagipun aku pilihnya sebab aku tahu dia pernah melalui fasa menjaga anak kecil dan senang untuk bonding bersama anak2 ku nanti.
Bab duit Isteriku tidak berkira dengan anak2ku tetapi bab kerja rumah. Akulah yang akan membasuh baju anak2 ku, iron baju sekolah anak2ku.
Aku tak mengungkit tapi aku pun manusia biasa, aku berkerja manakala isteriku surirumah kerja2 rumah aku terpaksa mengadap. Aku lah yang kemas rumah, sapu sampah, basuh baju, jemur baju dan lipat baju semua aku yang lakukan. Dia hanya memasak sahaja.
Bab menegur anakku. Aku memberi kebenaran untuk dia menegur anak2 ku jika mereka melakukan kesalahan.
Tetapi setiap perkara anakku lakukan salah dimatanya. Sampai mak aku pun menegurku isteri terlalu garang dengan anak2ku tetapi tidaklah sampai memukul. Sampai aku pun stress.
Aku tak backup anak2 ku. Tetapi semua mereka lakukan tak kena susah juga. Anak2 ku macam dah berjauhan dengannya. Masa mula kahwin anak2ku rapat dengannya.
Kadang2 aku berfikir betul ker aku pilih jalan ni. Anak2 ku jadi mangsa keadaan. Aku dan isteriku sering bergaduh sebab anak2 ku.
Kalau bukan aku yang ambil berat tentang anakku siapa lagi. Aku dah cakap dengan isteriku, aku tak akan buang anak2 ku. Mereka masih perlukan perhatian ibu bapa.
Maaflah kalau korang kurang faham dengan penulisan aku… Aku harap korang boleh mendoakan aku supaya aku kuat dan boleh melalui ujian2 hidup ini….
– Haikal (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit