Assalamualaikum. Selamat hari raya semua. Aku seorang kakak sulung, umur 28 tahun, sudah hampir 4 tahun berkahwin. Tulisan aku ini sekadar untuk menceritakan perjalanan hidupku yang semakin tua.
Semasa kecil, aku membesar dengan keluarga yang bermasalah. Ibu bapa yang sentiasa bergaduh. Aku anak sulung dari 4 orang adik beradik. Semua perempuan. Masa umur 11 tahun, mak aku pernah tinggalkan kami dengan bapa selama 2 tahun. Dia cuma bawa adik bongsu aku. Masa tu mak aku curang, dan berpisah dengan bapa. Dia bawa lari berpuluh-puluh ribu wang simpanan bapa.
Kami yang tinggal dengan bapa merasa sangat sakit dengan pemergian mak, dan sakit itu bertambah ketika melihat bapa bertukar-tukar perempuan dibawa ke rumah. Kami menyaksikan dosa-dosa bapa. Adik-adik aku masih kecil waktu itu, belum faham apa-apa. Tapi aku faham. Dan aku sangat tersiksa. Namun aku bersyukur sebab bapa tidak pernah mengabaikan makan minum kami semua. Cuma satu saja masalah bapa; dia kaki perempuan.
Semasa ketiadaan mak, bapa ambil orang gaji untuk jaga kami. Awalnya kami gembira, tapi lama-lama bertukar jadi sedih dan benci sebab bapa ada hubungan sulit dengan orang gaji tu juga. Pernah orang gaji tu bergaduh dengan perempuan simpanan bapa yang lain yang bapa bawa ke rumah.
Akhirnya orang gaji itu berhenti kerja dan kami pun tidak terurus. Akulah yang menguruskan adik-adikku. Aku belajar masak, cuci baju, dan buat semua kerja-kerja rumah. Aku selalu ponteng sekolah sebab tiada orang yang menguruskan adik-adik. Aku tidak seperti kanak-kanak lain yang riang gembira bermain dengan kawan-kawan.
Lama-kelamaan, aku terbiasa hidup seperti itu dan aku tidak berharap mak kembali kepada kami. Yang ada, hanyalah perasaan benci. Benci mak, benci bapa. Aku cuma terus kuat untuk adik-adikku. Aku berjanji pada diriku, aku akan jaga adik-adik. Aku janji yang aku takkan ikut perangai mak dan bapa.
Selepas 2 tahun, mak muncul kembali dan menikah semula dengan bapa. Aku sudah remaja, masuk sekolah menengah. Namun waktu itu, perasaan tidak seperti dulu. Aku tidak begitu gembira dengan kepulangan mak. Tapi aku cuba buka hati ini, ikhlaskan hati. Semua kerana adik-adik aku. Mereka sangat rindukan mak. Bermula waktu itu, terbukalah lembaran baru dalam hidup kami.
Hari demi hari, adik-adikku meningkat remaja. Adik bongsuku yang mak bawa pergi dulu sudah pandai membuka cerita tentang kelakuan mak yang dulu. Adik cakap dulu masa berpisah dengan bapa, mak tinggal serumah dengan kekasih curangannya, dia juga menyaksikan semua dosa-dosa mak, sebagaimana kami menyaksikan dosa-dosa bapa dulu. Ya Allah, hanya Allah yang tahu sakitnya perasaanku waktu adik menceritakan semuanya. Kami adik-beradik semua menangis mengenangkan kisah silam itu.
Semakin hari, mereka semua membesar menjadi gadis yang cantik. Tapi perangai tidak secantik wajah mereka. Masa aku sambung ijazah dekat uni, jauh dari mereka, mereka selalu buat hal. Selalu ponteng sekolah, bergaul dengan budak nakal, bertukar-tukar boyfriend, pendek kata, adik-adik aku “rosak”!
Waktu itu, aku rasa akulah kakak yang paling sedih dalam dunia ni. Saat aku tahu satu persatu mereka kehilangan keperawanan, aku rasa hendak meraung semahu-mahunya. Perasaan itu tidak tertanggung rasanya! Aku rasa aku tidak dapat menjaga adik-adikku. Aku memang tidak mengharapkan mak & bapa untuk memberi sepenuh perhatian kepada adik-adik, sebab mereka pun bermasalah.
Waktu itulah mak & bapa aku mula insaf. Mungkin mereka sedar dengan kesilapan masing-masing. Mereka mula solat, berpuasa, pergi masjid. Sebelum tu, jangankan solat 5 waktu, solat jumaat yang seminggu sekali pun bapaku tak buat. Sejak dari itu, perasaan benci yang ku pendam terhadap mak & bapa semakin pudar.
Sekarang, Alhamdulillah mak & bapa dipanjangkan umur. Aku sayang mereka, terutamanya bapa aku. Bapa aku sekarang bukanlah yang dulu lagi, berubah 360°. Tapi mak aku masih ada sedikit perangai lama, terlalu cintakan harta & suka memaki hamun. Mungkin sayangku kepada mak belum sepenuhnya 100% sebab aku selalu terkenangkan kisah lalu, betapa peritnya hidupku bersama adik-adik semasa ditinggalkan.
Ketiga-tiga adikku semua membesar menjadi anak-anak yang memberontak. Melawan & tidak mendengar kata. Mereka hanya mahu mendengar nasihatku. Kalau aku bagi nasihat, merekaa sedar sehari dua sahaja, lepas tu jadi nakal balik. Setiap kali mak & bapa menasihati mereka, mereka akan menjawab & selalu mengungkit kisah silam. Aku jadi bingung, stress dan rasa hendak lari dari masalah keluarga ini. Hinggalah aku dipertemukan jodoh dengan suamiku.
Suamiku orang biasa-biasa sahaja. Kerja kuli-kuli sahaja, lahir dari sebuah keluarga yang susah, tidak tinggi pendidikan akademik, namun cukup pendidikan agamanya. Walaupun ramai orang yang mempersoalkan latar belakang suamiku, aku tidak peduli semua itu sebab bagi aku, harta & pendidikan tidak menjamin kebahagiaan & keberkatan.
Setelah berkahwin, aku rasa tenang. Aku rasa bebanan yang aku pikul selama ini semakin ringan. Aku gembira sebab Allah hadiahkan sahabat terbaik untuk aku, sentiasa menenangkan aku ketika mendengar adik-adik aku buat hal lagi. Sentiasa menggembirakan aku semasa aku sedih.
Sekarang, adik-adik aku masih begitu. Mungkin ini ujian atau mungkin juga kifarah untuk mak & bapa aku atas dosa-dosa mereka selama ini. Tapi aku tidak boleh menilai berlebihan, sebab setiap manusia melakukan kesilapan dan setiap manusia juga boleh berubah. Aku tetap harus menghormati mak & bapa sebab mereka adalah orang yang melahirkan aku ke dunia ini. Aku juga tidak tahu nasibku di masa akan datang.
Kepada pembaca, terima kasih sudi meluangkan masa membaca luahan ini. Doakan aku & suami dikurniakan rezeki zuriat. Doakan juga agar adik-adikku berubah. Aku sangat menghargai sekiranya ada bagi tips & nasihat macam mana cara melembutkan hati adik-adik aku. Terima kasih.
– Kakak sulung (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit