Ujian Gay

Terima kasih sekiranya post ini di-approve. Saya disini nak berkongsi sedikit sebanyak pengalaman mempunyai perasaan atau nafsu kepada kaum yang sama jantina a.k.a. Gay. Semoga post ini dapat dimanfaatkan sesama kita.

Saya mengaku saya punya nafsu dan perasaan terhadap jantina yang sama. Saya mula perasan perkara ini sekitar zaman remaja saya. Tapi tidak pernah walau sesaat, saya berbangga atau menyokong nafsu saya ini. Saya tak pernah menyokong golongan LGBTQ kerana saya tahu apa itu dosa pahala. Alhamdulillah, saya masih punya kesedaran itu.

Cumanya, saya terkilan dan sedih kerana tidak mampu punya hidup bahagia seperti manusia yang lain. Punya pasangan normal yang boleh jadi tempat mengadu, menangis, berkasih dan menyayang. Bukan tak pernah cuba untuk menjadi normal dan menyukai jantina yang berlawanan, malahan setiap hari saya berdoa dan berharap nafsu saya dapat diluruskan. Berdoa agar saya dapat hidup normal berpasangan dengan jodoh yang ditetapkan Allah S.W.T.

Saya sering membaca komen2 yang memaki hamun golongan gay ini dan menyuruh mereka untuk kembali menyukai jantina yang sepatutnya. Alangkah indahnya dunia ini, jika apa yang dikatakan itu mudah untuk dilakukan. Sekiranya senang untuk mengubah nafsu dan hati, saya pasti ramai yang telah kembali normal.

Walaupun saya sebegini, saya tak pernah lagi terlibat dengan sebarang hubungan seks sebab saya masih berpegang kepada iman saya yang lemah dan rapuh. Adakalanya, saya rasa seperti mahu menerima hakikat yang saya tak mampu menyukai jantina berlawanan. Saya mahu bak kata orang, “embrace” nafsu saya ini dan hidup bahagia dalam kesonsangan. Tapi Alhamdulillah, Allah S.W.T masih sayang pada hamba-Nya yang hina ini.

Saya juga pernah jatuh hati pada jantina yang sama bukan kerana fizikalnya tetapi pada perilakunya yang baik. Sama seperti mereka yang normal, saya juga teringin berpasangan tapi sudah pasti saya dibenci sekiranya orang itu tahu perasaan dan nafsu saya yang hina ini. Sedih dan terseksa kerana terpaksa pendamkan perasaan supaya tidak diketahui dan dibenci. Saya pernah cuba untuk menyukai dan bercinta dengan jantina berlawanan. Tapi hasutan syaitan dan nafsu itu terlampau kuat dan selalu mengelirukan hati. Saya risau sekiranya saya berkahwin, tapi pasangan dapat tahu saya punya nafsu pada jantina yang sama, sudah pasti porak peranda rumah tangga. Saya tidak mahu menyeksa pasangan saya.

Tapi, adakah ini bermakna saya tidak akan dapat rasa kebahagiaan di dunia? Saya tahu, ini adalah ujian Allah S.W.T terhadap hamba-Nya. Tapi saya juga manusia, imannya naik turun. Saya juga mahu bahagia. Saya juga mahu berpasangan. Walaupun dunia ini sementara dan ujian saya ini bukanlah seperti diuji dengan penyakit bahaya, tapi percayalah sakitnya amat terseksa.

Kekadang, saya bersyukur kerana diuji. Tuhan tidak menguji sekiranya kita tidak mampu. Tapi, sedih dan seksa itu kekadang buat diri ini rasa amat hina dalam kalangan masyarakat.

Janganlah kalian menganggap kami suka atau bangga punya nafsu sebegini rupa. Saya akan sentiasa menentang fahaman LGBTQ dan tidak akan “embrace” nafsu ini. Saya akan sentiasa cuba melawan nafsu walaupun adakalanya saya mahu putus asa. Semoga ujian ini, besar hikmahnya diberi oleh Allah S.W.T. Semoga mereka yang telah tersasar jauh, kembali ke jalan yang diredhai Allah S.W.T.

Semoga golongan ini berjumpa dengan jodoh yang Allah S.W.T tetapkan. Semoga jodoh itu mampu membimbing kami ke syurga, insyaAllah. Teruskan berdoa agar Allah S.W.T perluruskan nafsu hina ini.

– Hamba yang Berdosa

Hantar confession anda di sini ->Ā www.iiumc.com/submit