Ujian Itu Membawa Kepada Aku Yang Sekarang

Adakalanya aku duduk berseorangan aku termenung jauh. Aku mengimbas kembali saat aku berusia 6 tahun, Darjah 5, Tingkatan 4, ketika aku berada di universiti, dan kini aku di sini berusia awal 30-an. Alhamdulillah Allah masih memberi aku nafas sehingga hari ini.

Hai semua. Perkenalkan aku Haura telah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan yang comel. Aku ingin mengajak kalian kembali ke memori aku tika aku masih kecil hingga aku dewasa.

Aku mempunyai 3 orang adik beradik dan aku merupakan anak sulung. Tika aku berada di sekolah rendah aku ada satu perasaan cemburu bila melihat ibu dan ayahku melebihkan adik beradikku sehinggakan aku merasakan aku anak yang terpinggir.

Tapi tidak, makin lama aku membesar baru aku faham ibu dan ayah aku bukan meminggirkan aku akan tetapi mereka menjaga maruah aku sebagai perempuan. Mereka garang dengan aku kerana aku seorang perempuan.

Dahulu tika aku berada di bangku sekolah rendah dan menengah, mereka amat melarang keras aku dari bergaul dengan mana-mana lelaki.

Dan kini bila aku teringat moment itu, aku rasa bersyukur kerana ibu dan ayah sebenarnya prihatin ke atas aku.

Ketika aku berada di Tingkatan 5, aku ada berkawan rapat dengan seorang lelaki yang sebaya dengan aku. Tapi sayangnya, dia bukan lelaki yang baik.

Dia lebih suka melihat aku free hair daripada pakai tudung. Benarlah satu ayat ini ” Bila dia bukan yang terbaik untuk kita, Allah akan jauhkan kita daripada si dia.” Di saat aku ingin berubah menjadi lebih baik, Allah jauhkan lelaki itu daripada aku.

Akhirnya tamatlah sesi persekolahan aku dan pada usia 18 tahun aku memasuki universiti untuk menyambung pelajaran.

Zaman universiti aku adalah satu perjalanan aku untuk berubah. Ya, tika inilah aku cuba memakai pakaian muslimah. Bertudung labuh, memakai stokin dan handsock, dan cuba menanam sifat malu dalam diri.

Aku tidak bergaul sangat dengan rakan sekelas lelaki hatta rakan lelaki dari kelas lain. Aku hanya berkawan rapat dengan perempuan dan lebih banyak membuat hal sendiri.

Kalau diikutkan ada sahaja peminat di universiti akan tetapi aku tidak melayan kerana waktu itu bukan untuk aku bercinta dan bersosial. Sehinggakan ada juga lelaki yang ingin berkenalan denganku di Facebook.

Maka bermulalah episod ujian. Di mana ketika aku melanjutkan pelajaran, aku mendapat ujian yang cukup berat iaitu disihir oleh lelaki yang ingin denganku tetapi aku tidak mahukannya. Lelaki ini bukan satu universiti denganku dan berusia 5 tahun lebih tua daripadaku.

Bagaimana kami kenal? Dia merupakan rakan kepada sepupuku. Sepupu ada menceritakan kepadaku yang Hadi (nama samaran) ingin berkawan denganku. Aku cuba beri laluan atas sekadar kawan dan kerana dia adalah rakan kepada sepupu tapi lain pula yang jadi.

Pada mulanya kami hanya berkawan biasa dan secara jujurnya aku tiada perasaan ingin bercinta dengan Hadi. Makin lama entah bagaimana perasaan sayang dan kuat cemburu mula timbul. Dari tak suka terus suka sangat sehingga aku takut kehilangan dia.

Bagaimana aku tahu aku disihir? Kisahnya sangat panjang, aku hanya mampu buat kesimpulan yang ringkas. Dalam tempoh aku berkawan dengannya rakan-rakan housemate aku banyak menegur aku mengatakan rupa parasku semakin lain dan tidak berseri.

Sehinggalah pada cuti semester pertama, aku pulang ke kampung, aku ada bergaduh dengan Hadi di dalam talian sambil terjerit2 semacam orang hilang akal. Ibuku masuk ke bilik dan mengatakan “Kenapa ibu tengok kakak, nampak lain? Macam bukan kakak.”

Di sini lah semuanya terbongkar. Ibu dan ayahku membawa aku ke pusat perubatan Islam, jumpa dengan bermacam orang demi untuk pulihkan aku.

Aku ingat lagi pesanan ustaz ” 30% ada pada kami yang merawat, tapi 70% lagi ada pada diri kamu. Hanya kamu sahaja perlu usaha lebih untuk sihat dari sihir pengasih ini.” Bila aku teringat kejadian ini, sangat perit. Perit bila tergila-gilakan seseorang secara paksa.

Alhamdulillah berkat doa-doa ibu ayah, berkat aku bangun Tahajud setiap malam mohon hajat daripadaNya, aku pulih 100%. dalam tempoh sebulan. Syukur Ya Allah. Aku betul-betul pulih.

Selepas aku pulih, perasaan tergila-gilakan dia tiada, lenyap begitu sahaja. Aku seolah-olah tersedar daripada mimpi.

Aku menjadi lebih tenang daripada dulu. Alhamdulillah aku berjaya hadapi ujian ini. Di saat aku ingin berubah menjadi lebih baik, Allah beri ujian agar aku lebih dekat denganNya.

Habis sahaja belajar, aku dapat pekerjaan yang baik dan aku berkahwin dengan seseorang yang aku baru kenal melalui orang tengah yang aku sayangi. Namun begitu, perkahwinan itu tidak bertahan lama.

Ada lagi ujian untuk aku di mana aku berhadapan dengan suami yang bermasalah dan hasil perkahwinan itu juga aku dikurniakan seorang anak. Kami akhirnya bercerai selepas 3tahun lebih bernikah.

Tapi secara jujurnya aku tidak menyesal dengan penceraian itu kerana lebih baik aku mencari kebahagiaan aku sendiri daripada hidup dalam hubungan toksik. Apabila mental health seorang ibu itu sihat, akan melahirkan juga anak-anak yang sihat perkembangannya.

Maka aku lalui lagi ujian dengan cuba tabah menjadi seorang ibu tunggal yang bermaruah dan terhormat. Aku tidak mahu orang memandang negatif pada aku risau aku menyondol pasangan mereka.

Maka, aku merahsiakan status aku kecuali orang yang aku percaya sahaja mengetahuinya terutamanya ahli keluarga. Aku menjadi lebih tenang hidup dalam dunia aku bersama si kecil.

3 tahun lebih berdua dengan anak, bohonglah tiada ujian. Allah uji aku bertemu dengan orang yang salah lagi di mana lelaki tersebut merupakan rakan Sekolah Menengahku yang menipu statusnya.

Aku ingat dia bujang tiada sesiapa rupanya sudah bertunang tapi part ini dia yang menguratku dahulu dan hebatnya Allah mengkantoikan perkara itu kepadaku. Alhamdulillah aku selamat lagi daripada lelaki tak guna.

Selepas hujan memang betul adanya pelangi. Tup tup! Aku tak sangka Allah kurniakan aku rezeki bertemu jodoh lagi. Kali ini aku mengahwini seorang lelaki bujang yang aku pun ada perasaan padanya, begitu juga dia kepadaku.

Kami berkawan tidak lama, tapi perasaan selesa dan rasa saling melengkapi membawa kami kepada pernikahan dan yang paling penting dia boleh menyayangi anakku seperti aku menyayangi anakku.

Alhamdulillah suami yang sekarang lebih baik daripada yang dahulu. Betullah kata hikmah ini “Bila Allah ambil sesuatu daripada kita, Dia akan berikan yang lebih baik.” Mungkin kali ini Allah berikan aku rasa kemanisan dan kebahagiaan asbab kesabaran aku dahulu.

MasyaAllah. SubhanaAllah. Sepanjang hidup aku tidak lari dari ujianNya. Tapi kini bila aku teringat kembali, aku berjaya hadapi ujian itu. Allah Maha Baik, Allah Maha Penyayang kepada hambaNya.

Allah lah yang membimbing aku untuk terus sabar dan teguh di jalanNya. Bila diuji, carilah Allah. Allah ada segalanya yang kita tiada, maka minta apa sahaja pada Dia.

Ingatlah firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 87: “Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat Allah hanyalah orang-orang kafir.” (QS. Yusuf [12]: 87).

Walaubagaimana teruk pun ujian yang kita lalui, jangan sesekali kita berputus asa untuk teruskan hidup dengan membunuh diri, menghilangkan tekanan dengan meminum arak, pergi ke kelab malam dsb. Ini bukan jalan terbaik untuk dapat Rahmat Allah.

Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa dikehendaki oleh Allah kebaikan, maka Dia akan mengujinya.” (HR Bukhari 5213)

Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperoleh keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja.

Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya” (HR Muslim)

Lihatlah teguran Allah dan Rasulullah SAW di atas, semuanya memberikan peringatan yang baik kepada kita hambaNya. Allah uji kerana sayang. Sayang dan rindu keluh kesah hambaNya.

Semoga Allah meredhai kita semua, menuntun kita untuk sentiasa taat di jalanNya. Berusahalah untuk menjadi yang terbaik agar kita tidak menyesal di sana.

“Dicintai manusia itu biasa, tetapi dicintai Allah dan Rasulullah itu amatlah luar biasa.” Sungguh bertuah siapa yang mendapatkannya.

Terima kasih pembaca . Maaf andai coretan ini tidak sempurna untuk dibaca. Semoga bertemu lagi.

Salam Sayang,

– Haura (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *