Ujian Memandu

Assalamualaikum semua, saya Kelambu. Tujuan saya menulis ini bukanlah untuk meluahkan perasaan tetapi hanyalah untuk menceritakan pengalaman saya mengambil ujian memandu.

Pengalaman ini sebenarnya lebih kepada kegagalan saya dalam ujian memandu. Oleh itu, saya hanya akan highlightkan detik-detik kegagalan saya.

*Sebelum itu, saya ingin jelaskan bahawa belajar memandu dan ujian litar menggunakan kereta kancil merah. Hanya Ujian jalan raya sahaja menggunakan kereta Viva (baru beli)*

1. Ujian Pertama

Ujian pertama bermula dengan ujian litar.

Dipendekkan cerita awal-awal lagi saya sudah gagal dekat bahagian bukit. Percubaan pertama naik bukit dia mengundur balik. Naik balik kali kedua pun undur balik. Jadi automatik gagal sebab dah dua kali percubaan.

Ujian jalan raya.

Sebelum mulakan perjalanan saya dah ada masalah dengan handbreak. Handbreak dia agak ketat dan sukar untuk diturunkan. JPJ pun ada tegur sebab benda mudah pun saya gagal buat. Saya ambil banyak masa juga dekat handbreak ni sebelum saya berjaya.

Perjalanan dimulakan dengan melalui jalan pertama. Jalan yang saya lalui melibatkan turun bukit, kemudian belok kekanan dan naik balik bukit.

Masa jalan yang turun bukit tu saya memandu dengan agak laju dan apabila ingin belok kekanan kereta jadi tak seimbang. Kereta hampir nak terbalik dan akhirnya terus mati. JPJ suruh turun dan dia pandu balik kereta. Jadi, saya gagal bagi ujian jalan raya.

Seterusnya selepas kegagalan ujian kereta saya pergi ke ujian motor. Sejujurnya saya tak berapa yakin dengan motor tetapi alhamdullilah saya berjaya lulus hanya dengan sekali percubaan.

2. Ujian kedua

Masa ujian litar kali kedua ni, saya rasa nak pitam tengok keadaan kereta kancil. Ada dua sebab yang membuatkan saya rasa begini. Pertama, gear tanpa kepala. Kepala gear dekat kereta tu dah tak ada, tinggal batang je.

Bayangkan macam mana nak tukar gear kalau pegang batang. Kedua, kerusi statik. Kerusi pemandu dah tidak boleh kedepan dan masalahnya saya ni pula rendah. Saya tak sampai nak pijak 3 benda dekat bawah tu. Pijak dekat hujung kaki je dan saya tak ingat bahagian mana tapi saya gagal ujian ini.

Ujian jalan raya pula,

Sebelum melintas keluar ke jalan besar kereta saya perlu berada di sebelah kiri tetapi dengan yakinnya saya menunggu di sebelah kanan yang merupakan jalan masuk.

Sekali lagi saya melakukan kesalahan besar dan gagal serta merta. Ujian kali ini sekejap sahaja kerana hanya bertahan tidak sampai 10 minit pun. Saya gagal sebelum naik ke jalan besar. Kali ini pun JPJ bawa pulang kereta.

3. Ujian ketiga

Ujian litar kali ini agak bagus sebab saya berjaya sehingga parking. Tetapi, semuanya musnah apabila kereta saya terlanggar bahagian tepi parking tu. Jadi saya gagal ujian litar buat kali ketiga.

Ujian jalan raya pula tiada apa sangat sebab kali saya berjaya pandu sampai habis. Bila dah sampai institusi baru JPJ bagitahu saya banyak buat salah yang menyebabkan markah jadi kurang. Gagal lagi buat kali ketiga.

4. Ujian keempat

Alhamdullilah, akhirnya saya lulus untuk ujian litar. Walaupun ada satu pada bahagian Z saya sangkut sikit tapi JPJ pejam mata. Rezeki boleh lulus. Saya berjaya lulus ujian litar pada percubaan keempat.

Ujian jalan raya pada awalnya bermula dengan tenang. Tapi entah macam mana saya boleh terlanggar sebuah kereta yang parking dekat tepi jalan di kawasan taman perumahan tu (institusi memandu di dalam taman perumahan).

Memandangkan kesalahan mandatori jadi saya gagal dan ujian kali ini adalah yang paling pendek, iaitu tidak sampai 5minit. Tak sempat nak naik highway pun.

5.Ujian kelima

*Selepas gagal ujian keempat, mommy ada berjumpa dengan seorang ustaz di kampung dan memintanya untuk buat air tawar (ada baca2 ayat alquran). Ustaz tu kata mungkin saya terlalu gemuruh dan dia suruh saya minum setiap hari sampailah hari ujian seterusnya.

Ujian kali ini hanya melibatkan jalan raya. Jalan untuk ujian kali ini sama macam ujian pertama. Jalan bukit-bukit tu. Cuma kali ini advance sikit sebab saya berjaya turun bukit, kemudian belok kekanan. Sebelum naik bukit balik saya perlu berhenti kerana ada lampu isyarat. Ok disini ceritanya bermula.

Sejujurnya masa mengambil ujian ini saya baru sedar bahawa kegagalan saya selama ini banyak disebabkan oleh salah faham terhadap penggunaan gear. Cuma ketaranya pada ujian ini.

Menurut pemahaman saya yang tak berapa nak faham ni, setiap gear ada penggunaannya tersendiri. Dalam fikiran saya gear ketiga digunakan ketika naik bukit. Ceritanya, dari gear 1 di lampu isyarat tadi saya terus ke gear 3 apabila naik bukit.

Apabila tukar je gear, kereta terus semput nak naik bukit dan akhirnya mati. Sekali lagi, JPJ suruh turun dan dia bawa pulang kereta. Saya gagal lagi untuk ujian kali ini.

6. Ujian keenam

Daddy dan mommy hadir menemani pada ujian kali ini. Sebelum memulakan ujian, daddy pergi jumpa dengan pegawai JPJ dekat situ dan bercakap dengan beliau (sebenarnya tidak boleh ye).

Saya dipanggil untuk giliran yang pertama dimana sepatutnya saya yang ketujuh. JPJ bagi saya pilih jalan mana yang saya suka dan semestinya saya pilih jalan yang paling senang. Apa yang pasti bukan jalan yang ada bukit-bukit tu, cukuplah dua kali gagal dekat situ.

Ceritanya, masa sampai dekat satu simpang ni, saya sepatutnya kena berhenti dulu untuk memberi laluan kepada kenderaan lain yang tiba. Tetapi itulah, saya redah je tak tengok dah kereta lain dan hampir sikit je lagi nak bertembung dengan lori.

Tapi alhamdullilah, nasib baik ada brek bawah kaki JPJ tu jadi dia sempat brek. Kalau tak mungkin dua-dua dah arwah dan ikutkan juga saya gagal lagi kali ini.

Tapi tidak, saya akhirnya lulus diatas dasar simpati dan belas ehsan.

Maka saya berjaya lulus dan memperoleh lesen memandu selepas mengharungi beberapa episod ujian. Ujian memandu terakhir ini juga merupakan kali terakhir saya memegang stereng.

Kata orang selepas dapat lesen selalunya orang akan jadi gian untuk memandu ataupun dalam bahasa kasarnya gila stereng. Tetapi ‘gila’ itu tidak berlaku kepada saya.

Tahun ini juga genaplah enam tahun saya memiliki lesen memandu yang juga sudah tiga kali diperbaharui namun ia hanyalah sekadar hiasan yang setia menghiasi dompet kelabu ini.

– Sengkuang Kelambu (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *