Ujian Penuntut Ilmu

Assalamualaikum. Sebelum tu terima kasih kepada admin kalau siarkan confession aku ni. Aku perkenalkan diri aku sebagai Mariam. Ya aku seorang perempuan. Aku berusia awal 20-an.

Aku merupakan seorang student di IPTA di luar negara di sebuah tanah arab. Memandangkan sekarang musim Covid-19 dan cuti semestar aku pulang ke Malaysia.

Mungkin aku hanya ingin meluahkan apa yang aku rasa. Aku harap ada yang sudi membaca tulisan aku ini.

Sepanjang cuti ni jujur aku katakan, aku terasa seperti terlalu banyak aku membuang masa, banyak menghabiskan masa dengan gajet. Walhal tujuan aku pulang untuk berkhidmat kepada ibubapa.

Aku bukan lah tidak tolong ibubapaku, tapi ada waktu yang aku terasa malas, aku lebih suka untuk membuang masa bermetime dan berkurung di dalam bilik.

Sungguh aku rindu untuk berada di tanah arab tempatku belajar. Di sana aku terlalu sibuk, terlalu sibuk dengan menuntut ilmu dan majlis ilmu kerana bagiku title seorang ‘penuntut ilmu’ itu satu amanah yang besar dan mahal sekali.

Ditambah dengan bertebarannya para masyaikh dan kelas2 pengajian di masjid2, pusat2 pengajian dan juga di kuliah.

Bagi aku, bila kita duduk bertalaqqi di hadapan ulama’, bukan setakat ilmu yang kita peroleh, tetapi akhlak dan ahwalnya akan kita peroleh sekali.

Ditambah dengan keberkatan daripada tempias para ulama’ yang alim lagi faqih, juga berakhlak mulia.

Juga aku rindu diri aku yang dulu, sewaktu aku di tanah arab tersebut, setiap hari alhamdulillah dengan istiqamah aku dapat lakukan ibadah2 sunat, istighfar, selawat, zikir, wirid, dhuha, tahajud dll.

Terasa mudah untuk aku lakukan. Mungkin kerana suasananya. Sungguh aku rindu.

Di Malaysia, bagiku sukar untuk aku menjaga segala amalan itu, aku juga tidak tahu kenapa, demi Allah sungguh sukar untuk istiqamah.

Bahkan solatku di hujung2 waktu. Dan yang wajib pun kadang2 aku terbabas. Dan setelah itu aku sedar, aku hanyalah seorang insan yang lemah.

Allah yang selama ini mempermudahkan dan merezekikan aku untuk beribadah. Kalau bukan kerana izin-Nya, tidak akan mampu untuk aku beribadah.

Jadi setelah itu, aku memperbanyakkan doa untuk dipermudahkan urusan beribadah kepada Allah. *Boleh cari Ustazah Asma Harun.

Dan setelah itu, aku juga belajar, ilmu itu yang pertama, namun adab yang perlu didahulukan.

Tidak guna juga jika berilmu tetapi tidak beramal. Tidak guna jika berilmu tetapi di dalam hati masih ada penyakit hati seperti perasaan riya’, ujub, dan ke’aku’an.

Tidak boleh merasakan “aku lebih baik” dari sesiapapun. Jika merasakan “aku lebih baik”, tiada bezalah dirimu dengan iblis, kerana iblis diusir dari syurga kerana merasa lebih baik dari Nabi Adam ‘Alaihi salam.

Aku juga belajar, akhlak yang baik itu segalanya. Jadi aku cuba untuk hiasi diri dengan akhlak.

Akhlak yang baik menenangkan diri dan juga sesiapa yang melihatnya. Akhlak yang baik dapat menarik orang lain untuk mendekati islam. Itulah islam yang sebenar.

Kedamaian, keamanan dan kesejahteraan. Sebagaimana Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم diutuskan kepada ummat ini untuk Rahmat sekalian alam.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم sebagai qudwah hasanah, contoh tauladan yang baik. Dan Rasulullah صلى الله عليه وسلم berakhlak dengan akhlak Al-Quran. Moga kita dapat mencontohi keperibadian Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Aku juga diuji dengan ujian nafsu, ya kadangkala aku tewas dengan nafsu sendiri. Aku mempunyai masa silam yang buruk yang menyebabkan aku terjerumus ke arah itu.

Namun nafsuku ini berkaitan dengan diri aku sahaja, tidak melibatkan orang lain. Aku sering bermaksiat sendirian, secara sembunyi2.

Ya aku sedih dengan diri aku sendiri. Di tanah arab tersebut alhamdulillah secara istiqamah aku dapat menjauhi maksiat tersembunyi yang selalu menghantui diriku.

Sebelum aku pulang ke Malaysia, aku sudah berdoa bersungguh2 kepada Allah supaya Allah pelihara diri aku, pelihara segalanya dan juga pelihara aku dari melakukan dosa itu.

Namun aku gagal, sungguh aku termakan dengan nafsuku sendiri, juga pujukrayu syaitan. Walau aku bertaubat berkali2, aku selalu kembali melakukan maksiat yang sama.

Sungguh aku sedih dengan diriku, kerana aku seorang penuntut ilmu yang belajar agama, tetapi aku sendiri kalah, bagaimana aku ingin berdakwah dan mengajak orang lain ke arah kebaikan sedangkan diriku sendiri selalu tewas. Sungguh tidak layak aku rasakan.

Tetapi aku tau aku harus kuat, kerana semua ini ujian buat diriku, aku cuba untuk melawan dan bermujahadah melawan nafsuku.

Kerana aku tau aku tidak boleh berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun. Aku bukan ingin membenarkan dosa2 aku, tetapi aku ingin tekankan di sini, rahmat, kasih sayang dan pengampunan Allah jauh lebih besar dari segala2nya.

Jangan pernah berputus asa walau semua dosa di dunia ini, sekecil2 dan sebesar2 dosa kita pernah lakukan, Allah Yang Maha Pengampun.

Dan Allah menyukai hamba-Nya yang melazimkan taubat. Taubat sungguh2 dan berazam tidak mahu melakukannya lagi. Moga Allah berikan kekuatan kepada kita semua. Aamiin.

Dan benarlah kata ulama’, “Jika kita tidak sibukkan diri kita dengan kebaikan, kita akan disibukkan diri kita dengan perkara yang sia-sia”.

Aku cuba sibukkan diriku dengan membaca buku, mengaji Al-Quran, menolong ibubapaku, mendengar ceramah, bermuhasabah diri, memperbaiki diri dan membuat perkara yang berfaedah.

Bagi yang menagalami situasi seperti aku, jangan biarkan diri terus hanyut dan hanyut. Jangan duduk bersendirian, dan sibukkan diri dengan perkara2 yang bermanfaat. In Sya Allah Moga Allah pelihara.

Juga aku belajar, berkhidmat lah sungguh2 kepada kedua ibubapa sementara mereka masih hidup, dengarlah luahan mereka, senangkan hati mereka, permudahkanlah urusan mereka. Cuba dan cuba. Kita tidak tahu sampai bila Allah meminjamkan mereka untuk kita.

Dan kita patut bersyukur kerana masih dikurniakan ibubapa. Kerana ada orang, dia tidak pernah merasa kasih sayang ibubapa.

Aku tahu sukar untuk tidak meninggikan suara di hadapan mereka, tidak bertangguh, tidak menyakitkan hati mereka, tetapi kita perlu cuba dan usaha. In Sya Allah moga Allah mempermudahkan.

Juga tidak lupa untuk sentiasa mendoakan mereka setiap hari setelah solat fardhu. In Sya Allah akan dimurahkan rezeki kita.

Aku juga tahu di usia muda ini sebagai seorang pelajar, juga masih belum berkahwin, sering diuji dengan ujian perasaan.

Perasaan ingin disukai, disayangi oleh yang berlainan jantina. Perasaan ingin berkahwin, risau tentang masa hadapan, jodoh dan ajal. Sabar, semuanya telah tertulis di dalam Luh Mahfuz Allah.

Dan Allah lah yang memegang rahsia itu dan Maha Tahu, dan Allah jugalah yang merancang segala2nya tentang hidup kita. Kita perlu percaya dan yakin kepada Allah.

Perbetulkan niat kita, diri kita, perbaiki segalanya dari sudut ilmu, amal dan akhlak. In Sya Allah, Allah akan pertemukan dengan seseorang yang tepat. Juga moga Allah memberikan kita pengakhiran hidup yang baik, Aamiin.

Segala masalah di dunia ini, pasti ada penyelesaiannya. Tatkala diri kita diuji dan terasa berat, lelah dan tidak mampu, ingatlah kepada Allah, mengadulah kepada Allah,

Allah menguji hamba-Nya tanda Allah sayang dan rindu kepada hamba-Nya. Dekatkan diri kembali kepada Allah Sang Pencipta Dunia. Moga Allah menunjukkan jalan dan mempermudahkan segalanya.

Juga tatkala kita terasa kosong dan gelap, kembalilah kepada Allah. In Sya Allah akan mendapat ketenangan. Nilai ketenangan itu sungguh mahal.

In Sya Allah aku akan pulang tidak lama lagi. Tolong doakan aku, moga aku dapat menjadi yang lebih baik dari dulu dan dapat memperbaiki diriku.

Dan aku harap aku dapat menjadi orang yang baik tidak kisah di mana pun aku berada. Baik di Malaysia atau tanah arab. Atau walau dimanapun Allah meletakkan aku di dunia ini, moga aku dapat sentiasa dekat dengan Allah.

Aku juga mendoakan kalian moga sentiasa dipermudahkan segala urusan dan sentiasa dalam lindungan-Nya.

Maaf jika confession ni tidak memberi manfaat. Moga kita dapat memperbaiki diri kita. Terima kasih kerana sudi menbaca sehingga akhir.

– Mariam (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *