Assalamualaikum buat semua pembaca iiumc. Terlebih dahulu, ingin aku perkenalkan diri aku sebagai Suri. Aku seorang isteri dan ibu kepada 2 orang anak. Umur aku awal 30-an. Aku seorang ibu yang bekerja dari rumah atau nama lain suri rumah bekerjaya.
Sebenarnya, aku sudah 3 tahun berhenti kerja dari sektor swasta kerana ingin menumpukan perhatian kepada rumah tangga. Bukan aku tidak suka bekerja, tetapi waktu itu, anak sulungku mengalami masalah kesihatan. Kerana itu aku memilih untuk berhenti kerja demi memberi perhatian kepada anak aku.
Alhamdulillah.. kehidupan kami sekeluarga bahagia walaupun semuanya serba sederhana. Pendapatan suami aku tidakla besar, tapi cukup untuk menampung keperluan kami 4 beranak. Tetapi, disebabkan aku berhenti kerja dengan hutang yang masih belum habis dibayar (kereta dan ptptn), aku memilih untuk bekerja dari rumah.
Dengan pendapatan aku sebagai peniaga online dapatla aku membayar hutang yang ada, berbelanja dan membuat sedikit simpanan untuk diri sendiri dan anak2. Tak banyak tetapi mencukupi. Suami aku ada juga memberi wang nafkah setiap bulan untuk perbelanjaan aku, tetapi aku gunakan sebagai “duit saku”.
Untuk hutang aku, memang aku cari duit sendiri. Tidak mahu membebankan suami sebab seluruh perbelanjaan keluarga termasuk belanja dapur dan yuran tadika anak semua dia yang tanggung. Kadang kereta aku pun dia yang tolong isikan minyak & bayar service. In shaa Allah tahun depan semua hutangku akan langsai. Tak sabar rasanya untuk rasa “financial freedom”.
Walaupun kami nampak ok dari segi “financial” dan bahagia dalam perkahwinan tetapi kami juga tak terlepas dari ujian dalam rumah tangga. Sama macam pasangan lain, setiap pasangan pasti ada ujian tersendiri. Ada yang di uji dalam hubungan suami isteri, hubungan dengan mertua, di uji dengan ketiadaan zuriat, di uji dengan masalah kewangan. Dan kami pula di uji dalam membesarkan anak.
Mungkin pada orang lain isu membesarkan anak ini isu biasa. Tetapi tidak pada aku dan suami. Bagi kami, anak selain rezeki, ia adalah “amanah” dan “tanggungjawab”. Setiap apa yang dilakukan kita sebagai ibubapa akan dipersoalkan di akhirat kelak. Maka, mendidik dan membesarkan anak bukan tugas mudah.
Aku dan suami dikurniakan dua anak yang dikategorikan “high needs baby”. (Korang boleh google apa itu high needs baby) . Atau dalam bahasa melayunya anak yang sentiasa nak kan perhatian “sangat lebih” dari lahir. Biasanya sikap ni akan berakhir dalam 2-3 tahun. Nak menjaga anak “high needs baby” ni Masha Allah perlukan kesabaran yang maha tinggi.
Untuk anak sulung, Alhamdulillah.. hanya setakat umur 10 bulan je dan semuanya kembali normal. Senang nak uruskan. Tapi anak kedua aku, dah masuk 2 tahun pun keadaan masih sama cuma dah baik sikit berbanding tahun pertama dulu. Kadang dah habis ikhtiar aku dan suami cuba memahami sikapnya yang sentiasa berubah-ubah.
Suka menangis, mengamuk, tantrum, susah nak tidur. Mengamuk dan menjerit tak kira tempat. Mood pun susah nak baca. Hari ni lain, esok lain. Hari ni benda ni feveret dia, esok boleh pula tak nak. Tahun pertama, memang aku asyik menangis sebab aku rasa gagal sebagai ibu.
Aku rasa sedih sebab tak boleh nak handle anak sendiri. Stress, penat dan macam-macam lagi. Kadang diri aku sendiri pun tak terurus. Walaupun umur aku baru awal 30-an, aku dah nampak macam “makcik-makcik” yang berumur 40-an. Self confidence aku jatuh merudum dan aku juga alami postpartum depression.
Pernah aku tak tidur sebab dia asyik menangis dan tak nak tidur. Dalam pantang pun aku “bentan” sebab tak cukup rehat. Pernah aku tinggalkan dia sekejap dekat pengasuh bila emosi aku dah teruk dan badan aku tersangat letih. Tetapi dia meraung menangis non stop 2-3 jam sampai pengasuh pun tak tahu nak buat apa.
Sudahnya, terpaksalah aku ambil balik dari pengasuh dan jaga. Kami dah bawa dia berubat secara moden dan islam. Semuanya ok. Dia sihat dan normal. Semua cakap benda ni akan berubah bila dia dah besar sikit. Macam-macam teknik tentang bayi yang aku belajar dan apply tapi semuanya bersifat sementara. Hari ni mungkin boleh pakai teknik ni, selang 2 minggu dah tak jadi kena cuba cara lain.
Bila ada ibu-ibu yang bercerita tentang anak yang hyperaktif, asyik menangis, suka mengempeng, tak boleh berengang, aku sangat memahami kerana aku berdepan situasi yang sama. Anak aku hanya nak berkepit dengan aku sepanjang masa.
Dah 2 tahun ni pun kalau aku hilang sekejap depan mata dia dah nangis meraung. Ayah dia dukung pun dia tak nak. Selalu sangat aku masak sambil dia menangis dekat kaki. Huhu… itu belum lagi bila bawa berjalan. Dia akan menangis sepanjang jalan taknak duduk dalam carseat.
Aku kadang sampai takut nak bawa berjalan rumah orang. Takut tak boleh control dia pecahkan barang rumah orang. Tapi aku bersyukur sebab suami aku sangat memahami. Dia banyak bantu buat kerja rumah dan uruskan hal lain. Bab anak je tak boleh nak tolong sebab kalau dia dukungpun anak aku akan menangis macam kena pukul.
Hari-hari aku berdoa agar Allah permudahkan urusan aku dalam membesarkan anak. Aku sayang sangat-sangat anak-anak aku. Aku bersyukur sangat dengan rezeki Allah bagi ni walaupun aku di uji dengan ragamnya yang sangat menguji kesabaran. Aku tak nak jadi ibu yang gagal mendidik dan membesarkan anak. Aku tak nak jadi ibu yang pemarah atau panas baran.
Kadang-kadang aku tewas juga dengan emosi dan anak sulung aku selalu jadi mangsa pukulan aku. Aku sedih. Aku kecewa dengan diri aku. Dari seorang yang periang aku jadi pemarah. Sikap yang nak sangat jauhkan dari diri aku. Apa yang aku boleh buat hanya sabar dan terus berdoa.
Aku dah mula daftarkan diri untuk hadiri seminar keibu bapaan islam dan pengurusan emosi. Aku harap sangat aku dan suami boleh tangani masalah ni. Aku pasti ada hikmah dengan setiap ujian yang Allah beri.
Aku harap tak ada yang berkata aku tak bersyukur dikurniakan anak. Aku bersyukur. Sangat bersyukur. Aku berhenti kerja pun untuk jaga anak-anak aku walaupun waktu tu aku struggle juga dengan komitmen bank yang belum habis di bayar.
Aku sayangkan anak-anak aku sangat-sangat. Aku harap sangat para ibu yang pernah berdepan situasi anak “high needs baby” ni lebih-lebih lagi suri rumah berkongsi pengalaman dengan aku. Terima kasih sudi membaca.
– Suri (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit