Assalamualaikum. Terima kasih admin jika luahan ini disiarkan.
Ringkas saja luahan aku. Aku luah disini sebab orang tak tahu siapa disebalik cerita ni.
Aku seorang isteri dalam penghujung 20, beranak satu hasil perkahwinan bersama suami yang sudah masuk 4 tahun.
Kami suami isteri bekerja di sektor swasta, seorang di bidang mekanikal dan di pengurusan.
Aku juga seorang anak sulung kepada seorang ibu yang sedari aku lahir memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa, sehingga anaknya 5.
Alhamdulillah aku dikurniakan suami yang sangat baik, bertanggungjawab, rajin, lemah lembut & memahami.
Kerja di bidang pengurusan wang ini, penat mental. Walaupun kerja di bidang mekanikal penat fizikal, apa yang aku hanya perlu buat bila habis waktu bekerja hanyalah jaga anak.
Dari memasak untuk makan malam (cum in lunch aku esoknya), basuh jemur dan lipat kain, sapu dan mop rumah semuanya Alhamdulillah suami yang ringankan tangan untuk buat.
Aku hanya buat jika aku ada masa hujung minggu. Kalau aku malas, aku order saja dan suami tak pernah merungut.
Jadi, bila aku hanya duduk semestinya aku akan mengisi masa untuk video call ibu di kampung. Ibu okay je kami borak biasa. Tapi telinga aku ni sebenarnya bingit.
Walaupun di bibir jawab “Alhamdulillah” tapi aku tak suka orang bandingkan hidup seseorang.
“Kakak masak apa hari ini?”
“Kakak tak masak bu. Abang masak tu kat dapur. Kakak tak larat”
“Untungnya kakak ada suami rajin. Mama dulu jangan harappppppp semua mama buat sendiri”
Dialog yang sama, dibalas dengan ayat yang sama hampir setiap hari, nada suara yang tinggi seperti disengajakan untuk pendengaran papa.
Sama keadaan kalau dia tahu suami aku yang kemas rumah. Lagi panjang mulutnya memuji menantu dia kalau depan mata dia nampak suami aku mengemas.
Ibu dan wanita di luar sana, ujian setiap orang itu berbeza.
Alhamdulillah aku bahagia, bersyukur ada suami yang ringan tulang. Tapi ketahuilah hidup aku bukan seperti puteri.
Suami ringan tulang kerana dia sendiri sedar yang dia tidak mampu bahagiakan aku dengan kebendaan. Dia hanya dapat gaji minimum mekanikal. Bukan dia tak mahu buat kerja lain.
Pernah saja dia cuba meniaga waktu malam tapi bila dia nampak aku tunggang langgang dengan anak kecil, dia buat keputusan untuk biarlah dia yang buat kerja rumah selepas waktu kerja hakiki habis.
Gaji aku dikira tinggi di bandar Johor ni. Jadinya barang dapur yang basic dia beli, tambahan akulah yang keluar duit.
Bawa anak berjalan, taska anak, bayar kereta, minyak kereta & motor, makan luar semua aku yang keluar duit. Sungguh aku ikhlas.
Tapi aku jadi ralat setiap kali ibu melampau puji suami tapi dengan niat membuka aib suaminya sendiri iaitu papa. Papa kerja kerajaan.
Wahai ibu, pernah ke papa tak pernah bagi ibu duit? Papa sentiasa ada duit. RM100 untuk 2 hari beli barangan basah kalau aku seorang balik 2 hari 1 malam tu papa sentiasa bagi.
Ibu, pernah ke ibu tak cukup duit untuk teruskan harian? Ibu tak perlu fikir pun tu semua sebab semua ditanggung.
Kami ni belum masuk bulan baru duit gaji dah kering lepas bayar semua komitmen. Tengah bulan masih mesej papa untuk pinjam seratus dua.
Aku kadang nak bidas ayat ibu tapi aku tak nak ibu terluka.
Di umur senja ni pun papa masih usahakan kebun selepas balik kerja sebagai persediaan untuk pencen. Ibu, tak nampak ke hidup ibu juga papa dah senangkan? Bersyukurlah.
– Rerama (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit