Saya seorang ibu. Mempunyai lima orang anak. Sewaktu anak masih kecil, seringkali saya memandang anak-anak yang telah besar, dengan tanggapan, mudahnya menjaga anak yang telah besar. Tidak perlu bangun tengah malam untuk menyusukan anak. Tidak perlu melayan ragam anak hendak berdukung atau mengamuk mahukan permainan. Tidak perlu berjaga sepanjang malam tatkala melayan rengekan mereka sewaktu demam.
Tapi saya silap, di tahap mana pun seorang anak itu, pasti ada ujiannya. Bila mereka di tadika, mereka mula bergaul dengan kawan-kawan sebaya, dan balik rumah, mengadu kawan ambik barang, cikgu marah, dan merajuk tidak mahu ke sekolah. Ibu jugalah perlu menenangkan dan memujuk si anak.
Bila meningkat remaja, mulalah si anak tertarik dengan jantina berbeza. Risau ibu bila memikirkan bagaimana si anak di sekolah. Risau mereka terlibat dengan gejala-gejala sosial yang kian membimbangkan. Jiwa remaja seringkali cenderung melakukan perkara yang tidak terlintas di pemikiran orang dewasa. Sesak dada ibu bila dapat panggilan dari sekolah. Terasa bagai gunung menghempap ke dada kami. Anak ibu terlibat dengan kesalahan disiplin.
Di sini saya coretkan sesuatu untuk si anak.
Assalamualaikum.
Untuk bacaan Along yang ibu sayang..
Ibu harap Along dapat baca patah demi patah yang ibu ungkapkan khas untuk Along.
Ibu sedih bila dapat khabar tentang kesalahan disiplin yang telah Along lakukan di sekolah. Ibu takkan tanya kenapa Along lakukan begitu. Cuma ibu nak Along fikirkan dan renung kembali apa kesan dari perbuatan itu.
Ingat tak masa Along tingkatan satu dulu, dari satu sekolah ke satu sekolah Along pindah.. Kenapa? Sebab ibu nak letakkan Along di tempat yang terbaik. Mendapat didikan dan suasana yang baik. Alhamdulillah… Along dapat ke sekolah agama. Sekolah yang sentiasa menjaga akademik, akhlak dan rohani setiap penghuninya. Tinggi harapan ibu agar Along dapat terdidik dengan baik di sana.
Tiba-tiba Along lakukan ini. Hancur dan kecewa hati ibu dan abah. Terasa gunung dihempap ke atas kami. Ibu tak salahkan Along sepenuhnya. Mungkin di sini ada juga salah ibu. Ibu lupa untuk pesan pada Along supaya jaga disiplin.. ibu lupa, Along masih kecil yang perlukan perhatian sepanjang masa.
Along, andai masih ada rezeki di sekolah itu, teruskanlah dengan semangat dan azam baru. Ibu abah takkan jemu mendoakan kejayaan Along di dunia dan akhirat. Tapi ingat, itulah peluang terakhir untuk Along meneruskan kehidupan di sana. Andai masih lakukan lagi sebarang kesalahan disiplin, peluang tak akan datang kembali.
Namun, jika ditakdirkan rezeki Along telah berakhir di sana, usah risau. Masih panjang lagi perjalanan yang perlu dilalui. Masih ada simpang yang boleh disusuri dengan matlamat yang masih sama iaitu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Along anak ibu,
Dirikanlah solat taubat.. mohon ampun pada Allah kerana telah mengecewakan ibu dan abah. Mohonlah dengan Allah, agar hati kami tetap menyayangi Along hingga akhir usia kami. Doakanlah moga guru-guru Along dapat memaafkan kesalahan Along. Doalah semoga hati Along teguh untuk terus berada di jalan yang benar. Muhasabahlah sayang..
Kami percaya, Along anak yang baik. Pada Along kami sandarkan setinggi-tinggi harapan untuk menjadi contoh kepada adik-adik. Kami akan tunaikan semua permintaan Along. Andai Along minta bulan dan bintang pun kami akan usahakan semampu kami. Maafkan ibu dan abah andai kami tidak sempurna di mata Along.
Usah ulangi kesilapan itu lagi. Jadilah anak yang baik. Ibu abah sayangkan Along.
– Ibu
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit