Ujian Untuk Ke Syurga

Assalamualaikum semua. Aku kenalkan nama aku, Hana. Apa yang hendak aku luahkan adalah perkara yang sangat menyesakkan jiwa, membebankan hati aku sebagai seorang wanita.

Aku sudah berkahwin selama 8 tahun dan dikurniakan sepasang anak yang masih kecil. Alhamdulillah keadaan kewangan kami stabil dan aku bersyukur dengan apa yang kami ada.

Suami aku, Azman (bukan nama sebenar) menghadapi masalah lemah tenaga batin sejak kami kahwin.

Aku tidak diberi nafkah batin berbulan-bulan, dan setahun mungkin boleh dikira guna jari tangan sahaja itupun masih berbaki.

Mungkin ada yang bertanya, macam mana boleh ada anak? Kami buat rawatan (IUI).

Ya, itu sahaja cara yang ada kerana suami memang tak mampu.

Setelah 8 tahun, aku mulai penat dan rasa cukup tersiksa. Bertahun-tahun aku cuba redha, terima kekurangan suami tetapi aku insan biasa yang punya keinginan.

Sering hatiku memberontak, menyalahkan takdir kenapa aku tidak membuat keputusan yang betul. Kami bercinta selepas kahwin, kenal hanya beberapa bulan. Mengapa bertahan?

Suami seorang yang baik, tidak berkira dan mementingkan keluarga walaupun ada kekurangannya.

Aku pun bukannya sempurna. Itu yang membuatkan aku bertahan dan tidak menuntut fasakh walaupun aku tahu Islam membenarkan.

Aku dah banyak kali suruh suami diet kerana berat badannya yang obese, bersenam tetapi hanyalah hangat-hangat tahi ayam.

Aku dah putus asa dan kadangkala menjadi benci kerana sikap acuh tak acuh dia. Tetapi kerana dirinya seorang suami dan ayah yang bertanggungjawab, aku pujuk hati untuk bertahan.

Entah aku bod** atau aku terlalu mengharap syurga atas kesabaran aku.

Kadang-kadang aku rasa hubungan kami lebih kepada bersahabat dalam perkahwinan, bukan pasangan yang seperti digambarkan dalam perkahwinan sebenar.

Mesra kami hanya luaran tanpa melibatkan perasaan yang lebih mendalam.

Adakah ujian ini aku akan tanggung sampai mati?

Adakah aku bertahan kerana masih sayang atau hanya kerana rasa tidak mahu anak-anak hidup dalam keluarga berpecah-belah?

Adakah aku perlu anggap ini ujian untuk ke syurga?

Atau aku insan tidak bersyukur?

Dikurniakan suami yang baik, anak-anak yang cerdik walaupun dengan cara IUI, rezeki yang sentiasa mencukupi, ibu ayah yang sentiasa berada di sisi, cukup semuanya.

Dan kini perasaan aku semakin terbeban dan tersiksa.

Aku kini ibarat menunggu masa untuk dipanggil kembali, agar hilang segala beban di hati.

Aku mohon semua mendoakan aku agar aku tidak terpesong untuk melakukan dosa, terus bersabar dan mendapat ganjaran syurga asbab reda aku terhadap suami yang tidak dapat memberi nafkah sebaiknya.

Sedikit selingan, kepada lelaki di luar sana, jika isteri bermasalah sudah pasti anda akan cari alasan untuk mencari isteri kedua,

Tetapi tahulah berapa ramai isteri yang terseksa batinnya kerana masalah pada suami dan mereka memilih untuk diam dan bersabar?

Termasuklah soal anak, cuma aku bersyukur masih dikurniakan anak dengan cara perubatan moden.

Banyak isteri memilih berjuang bersama suami yang mempunyai masalah daripada memilih meninggalkan mereka.

Terima kasih sudi membaca luahan aku yang tidak seberapa, banyak lagi yang aku pendam tetapi tidak sesuai untuk diluahkan kerana melibatkan hal dalaman keluarga.

Doakan aku kuat, jadi ibu dan isteri yang solehah, yang dikurniakan kekuatan yang kesabaran yang tinggi oleh Allah swt. 

Sekian..

Isteri yang luarannya happy, dalamannya ma**,

– Hana (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *