Assalamualaikum semua. First of all, terima kasih kepada admin kerana sudi menyiarkan confession ini. Saya nak berkongsi dengan rakan-rakan mengenai tips untuk memilih pakej umrah berdasarkan pengalaman saya sendiri.
Pada Disember 2018, saya dan keluarga telah mendaftar dengan syarikat X untuk menunaikan umrah. Kami mengambil pakej bilik berenam untuk mengurangkan kos. Tambahan pula, kami memikirkan bahawa, tidak mengapalah untuk bilik berasingan suami isteri kerana kita boleh beribadah bersama-sama walaupun duduk di bilik berasingan jantina. Untuk trip Febuari 2019, kami pergi dua pasang suami isteri (kami dua beradik perempuan – saya dan Yong) dan ahli keluarga yang lain akan menyusul pada Mac dan April 2019.
Tiada masalah di dalam penerbangan ke Jeddah. Kami amat berpuas hati. Perjalanan menaiki bas dari Jeddah ke Madinah juga amat selesa. Setibanya kami di hotel di Madinah, kami dibahagikan kepada bilik mengikut pakej masing. Ramai jemaah memilih pakej berdua dan bertiga. Ada juga yang berempat. Bilik kami adalah berlima dengan tiga orang jemaah wanita dari keluarga lain. Dua daripada jemaah tersebut adalah biras (Kak Ani dan Kak Ana) dan seorang lagi wanita berusia 70 tahun (makcik).
Pada malam itu, mutawwif sempat berpesan kepada kami supaya jagakan makcik tersebut. Dia datang berseorangan, tanpa mahram dan sedikit pelupa. Jadi mohon temankan makcik tersebut untuk ke masjid dan sebagainya. Kami berempat bersetuju untuk menjaga makcik tersebut memandangkan kami hanya perlu membawa makcik ke masjid sahaja, apa yang susah sangat. Boleh tambah pahala di sini. Kami boleh berjumpa suami di masjid nanti. Hanya bawa makcik ke masjid.
Pada hari pertama, kami jaga makcik sepenuh hati bagai ibu kami. Memimpinnya ke Masjid Nabawi. Kami perlu memegang tangannya kerana dia pelupa dan tak ingat jalan balik. Pada awalnya kami bergilir dengan Kak Ani dan Ana untuk menjaga makcik. Rupa-rupanya makcik tidak boleh dibiarkan bersendirian dan perlu dipimpin masuk dan keluar bilik. Sibuknya saya menjaga makcik sampaikan saya tak perasan suami saya demam dua hari pertama di Madinah.
Masa kat raudhah, kat masjid Kuba, dengan manusia punya ramai kami terpaksa lindung makcik dari rempuhan manusia. Saya paut tangan kiri makcik, Yong paut tangan kanan, memang jalan berapitlah ke mana- mana..makcik ni pulak mulut, nauzubillah..kata orang memang takde insurans la..
Waktu ziarah ke Bukit Uhud, kami bawa makcik lagi. Saya bawa makcik ke tandas dan tunggu di luar tandas. Lama sangat makcik di tandas. Kakak saya (Yong) mencari makcik, rupa-rupanya tandas ada exit di belakang dan makcik lupa exit yang saya tunggu tadi. Yong berlari ke pasar-pasar Bukit Uhud untuk mencari makcik yang hilang. Saya ke arah bas untuk memberitahu mutawwif. Alhamdulillah ada jemaah kami terjumpa makcik.
Sesampai di bas, suami tanya saya, dia tunggu saya di Bukit Uhud, kenapa saya tak ke sana. Saya jawab, saya tengah cari makcik yang sesat! Makcik ni pula bagitau jemaah lain saya tak tunggu dia. Geramnya saya. Macam melepaskan anjing tersepit pula. Yong naik bas dalam keadaan termengah-mengah dan kepenatan. Kasihan Yong. Dahlah kat Malaysia pun jarang jogging atau bersenam, kat sini kena marathon pulak. Kurang sikit lemak yang Yong kumpul dekat 15 tahun tu..
Seusai kami solat Jumaat di Masjid Nabawi pada hari keempat di Madinah, kami bertolak ke Mekah dengan menaiki bas. Kami berniat di Masjid Bir Ali. Kami telah berbincang turn jaga makcik waktu itu adalah bersama Kak Ani dan Kak Ana. Kami sampai ke Mekah dan menunaikan umrah pada waktu malam. Saya melakukan tawaf bersama Yong. Dan Kak Ani yang memimpin makcik. Kak Ani sudah mula demam pada waktu itu tetapi gagahkan diri juga untuk memimpin makcik. Takut makcik tersesat atau ditolak orang.
Pada keesokan harinya, kami menunaikan tawaf sunat dengan membawa makcik. Kami kasihan melihat Kak Ani yang demam. Sewaktu tawaf pusingan keenam, makcik nak ke tandas dan dia marah-marah tak tahan nak ke tandas. Habis tawaf ketujuh, sewaktu azan Maghrib, kami bawa makcik ke tandas. Selepas selesai hajatnya di tandas, dia tergesa-gesa nak ambil wudhu’ dan solat. Yong minta dia tunggu kami selesai dan solat bersama tapi dia tidak mahu. Dia terus ambil wudhu’ dan hilang lagi sekali. Kali ini dia sesat di Masjidil Haram pula. Saya bagitau Yong untuk solat dahulu baru cari makcik. Kami solat maghrib dan solat hajat. Bagaimana hendak mencari seorang manusia di dalam lautan manusia di Masjidil Haram! Alhamdulillah kami berjumpa dengan makcik. Seperti biasa, dia menyalahkan kami seperti sebelum ini. Sabar aje lah…
Sehari sebelum pulang ke Malaysia, kami nekad untuk tidak bawa makcik. Sudah 9 hari kami jaga dia. Kami mahu beribadah dengan suami masing-masing. Kami mahu buat tawaf sunat dan beriktikaf di Masjidil Haram dari waktu Subuh ke Isyak. Kami hanya pulang ke hotel pada waktu makan sahaja. Makcik memang degil. Walaupun sudah berkali-kali kami pesan jangan keluar bersendirian, dia keluar juga ke masjid untuk menunaikan solat Asar. Sudahnya, dia tak jumpa jalan pulang. Ada pekedai berbangsa Arab yang berjumpa makcik dan telefon mutawwif untuk ambil dia.
Kami berempat bercadang untuk berjumpa founder company di Malaysia untuk menuntut ganti rugi masa dan tenaga kerana kami perlu menjaga makcik. Waktu umrah ini lah waktu khas beribadat kepada ALLAH dan ‘honeymoon’ bersama pasangan kerana kita tidak membawa anak-anak bersama. Tapi lain pula jadinya kerana perlu menjaga orang tua.
Di Malaysia, setelah menerangkan kes kami kepada founder, founder kata mereka tidak boleh bayar ganti rugi. Sekiranya kes ini diberitahu sejak awal lagi, company akan letak makcik di sebuah bilik khas dan dijaga oleh staf mereka yang menetap di sana. Kami terdiam. Kami tidak pernah tahu mengenai prosedur ini. Bukan kami sahaja yang tak tahu, mutawwif pun tak pernah diberitahu tentang prosedur ini. Sekiranya kami tahu, kami tidak akan sanggup untuk menjaga jemaah lain yang tiada kena-mengena dengan kami. Bukanlah kami sombong tetapi dalam kes kami, kami mengabaikan pasangan kami hanya kerana untuk menjaga makcik. Sampai hari ini saya masih terkesan dengan perkara ini.
Pengajaran daripada cerita ini adalah:
1) Jika anda ingin memilih pakej umrah, pilih lah untuk sebilik dengan keluarga anda sahaja. Biarlah bayar mahal sedikit daripada anda ‘dihukum’ untuk menjaga orang lain dengan bayaran bilik yang lebih murah;
2) Jangan terima sekiranya mutawwif minta tolong jagakan jemaah lain terutamanya intensive care seperti kes kami. Minta wakil company untuk jaga sendiri jemaah tersebut. Usah fikir mengenai sabar, redha, dan ujian ALLAH. Kerana sudahnya nanti, diri kita sendiri yang menanggung bila ibadah kita pun tak terjaga. Harga pakej umrah RM5000 ke atas. Kita sudah bersungguh-sungguh kumpul duit dan ambil cuti untuk menunaikan umrah dan beribadat, bukannya mejadi caretaker;
3) kepada anak-anak, jangan lah sampai hati hantar ibu anda yang sudah berumur 50 tahun ke atas menunaikan umrah bersendirian. Benar, mereka tidak perlukan mahram, tetapi sakit mereka akan terpaksa ditanggung oleh jemaah lain. Ini akan menggangu ibadat jemaah lain. Kepada anak-anak makcik, anda berhutang dengan kami;
4) Kepada syarikat pengendali umrah, mohon semak dahulu latar belakang warga emas yang berumur 60 tahun ke atas. Jangan kerana mengejar untung, anda terima sahaja sesiapa yang nak menunaikan umrah. Atau boleh juga letak syarat buat medical checkup atau wajib ada mahram. Perbuatan company seperti dalam kes kami ini boleh menggugat reputasi syarikat dan keberkatan dalam untung syarikat kalian.
Saya berharap satu hari nanti Kementerian Pelancongan dapat membuat satu garis panduan untuk menunaikan umrah termasuk mengenai usia dan keperluan mahram.
Beribadah di Al-Haramain adalah perkara sangat manis yang kami pernah lalui. Tapi kehadiran makcik mencemar kemanisan pengalaman kami. Pahitnya lebih. Kesian kami n suami kami. Semoga Allah jemput kami lagi ke rumahNya.
Sekian, terima kasih.
– Siti Farhan
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit