Hai semua. Terima kasih pada admin kerana menyiarkan cerita ini dan terima kasih juga kepada pembaca yang membaca cerita aku ni.
Tujuan aku adalah untuk berkongsi, mana tahu ada gadis/teruna di luar sana yang mengalami apa yang aku lalui dan jika ada yang berjaya mengharungi, mungkin boleh tinggalkan nasihat dan kata semangat.
Okay begini, ibubapa aku bercerai ketika aku kecil lagi. Umur 7 tahun. Aku ingat lagi ada kawan aku berkata, oh okaylah parents divorced masa kecil. Tak ingat apa-apa.
No babe, sakitnya sama juga dengan parents yang bercerai masa anak2 umur remaja/dewasa. Semua ada keperitannya masing-masing. Untuk aku, ini bermakna aku tak dapat rasa kasih sayang daripada ibubapa serentak.
Ada tahun, aku duduk dengan bapa, ada tahun aku duduk dengan mak. Bila duduk di rumah mereka, hati aku akan kehilangan dan merindui parent yang lagi satu.
Bayangkan perasaan aku ketika itu yang tertanya-tanya kenapa bapa ku tidak pulang ke rumah. Belum campur lagi adik beradik yang akan terbahagi dua. Maka dalam hidup aku, tak pernah rasa keluarga penuh.
Ketika aku 11 tahun, aku selalu menangis dan bercakap seorang diri. Hanya mampu meluah pada kucing aku sahaja. Dia pun macam faham je, tapi mampu Meow balik jelah.
Ketika aku menjejak remaja, mak aku berkahwin lain. Aku tinggal bersama mereka. Perkahwinan itu bertahan lebih kurang 4 tahun kemudian mula goyah apabila bapak tiri aku mula menduakan mak aku.
Kesian betul mak aku ni. Tak bertuah dalam suami. Seorang kaki pukul, seorang lagi kaki perempuan. Resultnya adalah apa? Nah… lahir suatu bentuk mekanisma pertahanan oleh otak aku.
Otak aku ibarat security guard yang menjaga bank. Di dalam bank tersebut mempunyai sebuah peti besi yang mengandungi hati aku.
Sistem keselamatan bank aku sangat canggih, katakan apa sahaja mekanisma; laser, identifikasi biometrik, teknologi pengawasan canggih, robot pengawal dan banyak lagi lah. Semuanya ada dan masing-masing bekerja keras melindungi hati aku.
Daripada apa? Daripada cinta lah.
Pada mulanya, aku tak perasan mekanisma ini. Sebab yelah, belajar lagi. Bila sekolah menengah, aku cakap nak fokus belajar. Bila diploma pun, aku nak fokus belajar. Bila degree pun masih lagi nak fokus belajar.
Bila dah masuk kerja, aku dah macam… Damn, habis dah alasan. Tapi pengalaman bercinta pun tak ada. Orang pun ingat aku lesbian. Pulak dah…
Aku secara tidak sedar reject semua lelaki dalam hidup aku. Belum sempat mereka nak tekan loceng kat bank aku tu, dah kena friendzone. Aku minta maaf banyak-banyak. Bukannya aku memilih atau apa.
Di sebalik wanita ini, terselindung kanak-kanak umur 11 tahun yang menangis ketakutan. Takut disakiti. Walaupun aku tak pernah bercinta dan hati aku masih tidak ada luka atau robek tapi percikan darah orang lain dah melekat kat hati aku ni.
Tapi ini tak bermakna aku tak pernah menyukai mana2 lelaki. Ada saja. Cuma … dari jauh. Dan aku tidak meletakkan harapan tinggi pun, sudah tersuka. Biar jelah, nanti lama-lama hilang lah perasaan tu.
Mana tidaknya, aku selalu melihat mak dan bapak tiri aku bergaduh. Ketika umur aku yang sepatutnya berbual dengan kawan-kawan mengenai crush, aku di sisi mak memujuk dan memberikan kekuatan kepadanya.
Aku membantunya membuat kerja rumah setiap hari dengan harapan dapat mengurangkan bebannya. Aku menolong emakku berniaga sejurus pulang dari sekolah. Aku menjadi matang sebelum umurku.
Perkahwinan mak aku diuji, penceraian hampir di hujung tanduk, namun bapak tiri ku enggan ceraikan bini baru nya. Dan mak aku memberikan peluang kedua buat masa depan anak-anak. Tapi, parutnya masih terasa. Kepercayaan sudah bukan 100% lagi.
Aku pula, haa semakin di simbah dengan darah. Kalau dulu kena percik je, ni kena rendam terus. Aku menangis sendirian.
Tengok mak menangis, aku menangis. Mengenangkan adik beradik kecil, aku menangis. Asyik menangis jelah kerja aku, tapi sorok-sorok masalahnya. Mungkin kerana itu, defense mechanism aku menjadi sangat ketat.
Bila terdengar lagu Because of you by Kelly Clarkson , memang aku menangis sebab lirik dia, sebijik menghentam aku, macam peluru pistol.
Paling sakit adalah liriknya yang berbunyi “Because of you, I don’t know how to let anyone else in, because of you I am ashamed of my life, because it’s empty. Because of you I am afraid . . .”. So, kalau lagu tu keluar kat spotify, aku akan skip.
Aku tak berdendam dengan bapa-bapa aku, apatah lagi mak aku. Apa yang mereka lakukan, bukan aku yang patut jatuh hukum. Tapi, aku akui kesannya memang terasa dan masih berat tertanggung sehingga kini.
Sekarang, aku sedang memikirkan bagaimana nak ada healthy defense mechanism. Aku tahu aku kena fix ini dulu sebelum aku mempunyai perhubungan kerana percayalah, jika aku paksa juga,kelak lelaki itu juga akan tersakiti.
Aku pasti, aku akan mencari kesalahan dia supaya aku boleh kembali meringkuk ke dalam my safe bubble.
One of the solution, is of course lah semuanya berbalik pada Allah. Allah yang jaga hati kita kan, maka Allah lah yang akan menyembuhkannya.
Kedua, aku bercadang nak pergi kaunseling lah. Aku review dah kaunseling online ni. Nampak menyakinkan dan worth every penny. Next month kot, InshaAllah.
Apapun aku masih tidak berhenti berdoa dikurniakan jodoh yang baik, taat perintah Allah, setia, mencintai dan menerima ku seadanya, melengkapi aku dan mampu menjagaku.
Nampak tak, bare minimum je yang aku mintak ni. Walaupun sebenarnya, aku tak nak pun kahwin. Dah ready jadi andartu jaga mak sampai tua. Tapi, doa jugaklah.
Moga2 aku dan juga mereka yang masih bujang di luar sana dikurniakan pasangan yang memberikan kerahmatan dan keberkatan dan bukannya datang dalam hidup sebagai suatu ujian. Setakat gaduh pasal buang sampah tu, okaylah.
Buat masa sekarang ni, aku cuma pekakkan telinga bila ada mulut2 yang bising, “Kenapa single lagi? Bila nak berpunya? Kau memilih sangat ke ni?”
Ada sesiapa yang senasib dengan aku yang ada happy ending ke utk di share? Sbb aku pessimist sangat mengenai cinta :(
– Bank Pilihan Anda (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit