Uniknya Sarawak II

Untuk part I, (https://iiumc.com/uniknya-sarawak/).

Terima kasih admin sebab siarkan coffession aku yang sebelum ni dan aku mohon maaf pembaca sekalian atas kesegautan aku. Ada sedikit kekangan untuk jadikan sebagai draf. Alhamdulillah, kenyang makan nasi minyak orang Oya, Dalat.

Ok pembaca sekalian, aku sambung entri aku yang sebelum ni…

Mak aku akhirnya boleh lepas naik kapal terbang walaupun notes nya terhilang sebab pihak imigresen ada data keluar masuk dalam sistem mereka.

Tahun ni dah masuk tahun ke-7 aku di Sarawak ni. Hanya tinggal Limbang dan Kapit yang belum aku explore. Aku ada dua keluarga angkat.. satu kat Dalat dan satu lagi kat Bintangor.

Dulu, aku dimomok oleh kawan-kawan aku yang orang Sarawak ni tinggal atas pokok ! Bila aku tengak depan mata aku sendiri kehidupan di Bumi Kenyalang ni, momokkan itu hanyalah sekadar momokkan. Realitinya, kehidupan kat Sarawak sama sahaja kehidupan di Semenanjung.

Aku ada mention sebelum ni, sekolah aku dapat posting tu majoriti penduduknya etnik Melanau. Etnik Melanau ni mostly sumber pendapatan mereka hasil daripada tebang pokok rumbia (bahasa Melanau rumbia ni ialah Balau). Pengangkutan utama nak pergi ke sekolah aku ni of course la pengangkutan air.
Nasib baik housemate aku ni orang Dalat. Housemate aku ni la sampai sekarang dah macam family aku dah kat Dalat ni.

Moment kedua yang masih terpahat dalam ingatan aku hingga kini masa pertama kali aku naik perahu nak ke sekolah dari jeti. Waktu tu, aku dengan ayah aku jek. Housemate aku yang bawak perahu tu ye. Perempuan beb bawak perahu ! Nak naik perahu ni ada caranya. Ayah aku terus terjah masuk perahu tu macam nak naik motor maklumlah pertama kali nak naik perahu.

Tetiba, aku dengar bunyi glupppp ! (cuak dah aku masa ni) Ok, separuh seluar ayah aku dah basah dek kerana tak dapat nak balancekan badan masa masuk perahu. Tapi, ayah aku buat muka slumber jek! Rupanya, masa naik perahu tu, kita sebagai newbie ni kena la pelan-pelan masuk perahu dan tak leh la berdiri lama sangat.

Dalam 20 minit naik perahu tu, sampai laa kat jeti sekolah aku… Allah SWT itu Maha Adil tau. Masa housemate aku nak berhentikan perahu tu, aku tengok perahu tu makin jauh dari jeti. Aku cuba la capai tali yang ada kat jeti tu supaya perahu lebih rapat ke jeti dan senang la kami naik.

Alih-alih, aku pulak jatuh dalam sungai. Rasanya ni musibah sebab aku tahan gelak dalam hati waktu ayah aku jatuh tadi (ampunkan anakmu ni papa). Selesai aku lapor diri waktu cuti sekolah, kami ke pekan Dalat dan sehinggalah family aku balik Semenanjung.

Hari persekolahan pun bermula dan aku bersemangat la nak memulakan tugas. Dalam seminggu pertama tu, aku mintak la sorang murid aku ni ajar aku cakap Melanau. Ayat pertama yang diajarnya “ Kabut kaau bilem” (punggung kamu hitam) dan aku tak tanya maksudnya terus ke bilik guru.

Aku pun apa lagi, action la dengan housemate aku yang aku pandai cakap Melanau. Aku pun ulang semula ayat yang murid aku ajar tu, terus satu bilik guru ketawa! Baru la aku tahu maksudnya setelah housemate aku perjelaskan. Minggu pertama dah kene sakat haha!

Aku duduk serumah dengan dua orang lagi cikgu Non Muslim yang aku panggil Kak Sue dan Kak Mona waktu tu. Satu hari waktu lunch, aku tengok atas meja makan ada sesuatu dalam bekas tupperware yang mak murid beri pada Kak Sue. Kami makan lunch sama-sama. Itu lah kali pertama aku melihat dan merasa ulat sagu (orang Melanau panggil Mulong). Waktu tu aku tak tahu yang ada fatwa berkenaan ulat sagu. Untuk pengetahuan pembaca sekalian, Kak sue telah memeluk agama Islam beberapa tahun yang lepas. Alhamdulillah!

Tiap kali hujung minggu, aku akan ikut housemate aku balik rumah family nya kat Dalat. Melalui housemate aku ni la aku banyak kenal keunikan-keunikan yang ada kat Sarawak ni.

Tahu buah dabai? Kat Sarawak ni popular kalau kat kedai makan, menu nya nasi goreng dabai. Mak housemate aku kini merangkap mak angkat aku, kalau makan buah ni kiteorang makan dengan kicap. Mula-mula buah dabai ni kita rendam dulu dalam air panas, toskan then letak kicap. Ya Rabbi, sedapnya ! Buah dabai ni sejenis buah yang bermusim dan ada gred-gred nya sendiri. Buah dabai warnanya memang asal hitam.

Aku ni memang jenis suka mencuba dan aku praktiskan mind set aku untuk lebih terbuka serta cuba menerima sesuatu yang baru. Pembaca jangan bimbang ya, aku masih tahu batas agama aku.

Selain buah dabai ni, aku memang hantu buah engkalak (orang Melanau panggil tebulus). Buah engkalak sama macam buah dabai, sejenis buah bermusim cuma berbeza dari segala aspek macam bentuk dan warna. Buah engkalak ni sebelum nak makan, kena rendam dalam air panas jugak. Tapi, kepala buah engkalak tu kene ketuk sampai tercabut ‘kepala’ buah tu. Letak garam sikit then gaulkan sehingga sebati. Buah engkalak ni lebih berlemak berbanding buah dabai. Nanti korang datang Sarawak, cubala rasa !

Mulong dah pernah try, tapi tepung nya belum merasa. Masa sambutan hari guru sekolah aku, parents sediakan linut. Linut ni sebenarnya dalam bahasa Melanau dan kalau Melayu Sarawak panggil ambuyat. Linut ni cara makannya kene guna garfu atau chopstick.

Bahan-bahan sampingan selalunya ulam-ulam dan paling penting mesti ada sambal belacan baru lah ‘ong’ ! Linut ni dari cara penyediaannya tak susah pun. Tuangkan air panas pada tepung sagu tu dan gaul cepat-cepat sehingga jernih. Tapi, tak semua orang pandai buat linut dengan sebaiknya eventhough orang Sarawak sendiri. Aku tahu makan jek haha!

Bila makan ulam-ulam ni, aku perasan yang family housemate aku ni kan mesti wajib ada sambal pusuk (ikan bilis). Pertama kali aku cuba , terus aku jatuh hati dengan sambal pusuk tu. Simple jek tapi kesedapannya tu buat ko tambah nasi berpinggan-pinggan. Tak heran lah dari aku start posting berat aku 55kg sehingga la sekarang membesar dengan jayanya ! Nak resepi, boleh google sambal pusuk Sarawak.

Guru besar aku ada buat makluman yang nazir-nazir nak datang melawat sekolah. Kami pun bertungkus lumus la buat persiapan menerima lawatan pihak nazir. Ada petua orang dulu-dulu, nak pikat hati suami, kena pikat perutnya. ! chewah ! So, kami semua staf pun mengamalkan petua tersebut. Antara menu yang kami sediakan sempena lawatan nazir ni ialah umai dan udang galah. Aku ni pulak first time dengar umai ni.

Umai ni ada banyak jenis. Ada umai ikan, umai ayam, umai udang dan umai obor-obor. Dalam semua variasi umai ni, aku paling suka umai ikan. Ikan yang digunakan untuk buat ni pon bukan ikan sebarangan tau. Mak angkat aku selalu guna ikan pirang. Umai ni makanan tradisional orang Melanau. Kalau korang suka makan sushi, in sha Allah korang boleh makan umai.

Ok, obor-obor pulak. Aku mula kenal umai obor-obor ni masa aku balik rumah mak angkat aku kat Bintangor. Macam mana aku boleh ada mak angkat kat Bintangor, yang tu aku cerita lain kali. Obor-obor ni kalau tak pandai pilih, memang rasa masin yang amat ! cara buat umai obor-obor dengan umai ikan tak jauh beza pon. Sekarang ni, umai obor-obor dah jadi faveret aku sehinggakan aku dah tahu nak buat umai obor-obor ni.

Sarawak ni memang sinonim dengan laksa Sarawak, Mi kolok, ayam penyet, kek lapis Sarawak dan macam-macam lagi. Korang datang la Sarawak kalau ada peluang.

Mase kat Bintangor, selain umai obor-obor, mak angkat aku ajak makan kat pasar Bintangor.

Pernah makan tumpik? Aku yang memang tak pernah makan even tak pernah dengar, terus la ajak mak angkat aku order tumpik. Tumpik ni macam lempeng kelapa cuma bezanya tumpik ni pakai tepung sagu. So, selalu kalau aku balik Bintangor, memang aku pergi makan tumpik ni. Kedai tumpik ni namanya kedai tumpik Abg Haji (aku lupa dah nama belakangnya) yang memang satu-satunya tumpik yang ada kat situ. Tumpik kosong ada, tumpik udang pun ada.

Bila makan tumpik ni, kita akan dihidangkan sekali bersama dengan gula apong. Gula apong ni macam gula melaka la. Kedai pakcik ni memang popular sehinggakan ada orang dari Kuching sanggup datang menempuhi perjalanan darat selama 6 jam. Betapa nyaman gilak rasa tumpik tok!

Haa.. ni baru cerita keunikan makanan kat Sarawak ni. Belum lagi budaya, perayaan dan lain-lain.

Last but not least. Masa aku tengah tulis entri ni, aku tengah makan buah longan kristal. Cuba search dalam google nanti bagi pembaca yang tak tahu. Family angkat aku yang kat Dalat ni ada tanam pokok buah longan kristal ni. Sekarang ni sedang musimnya dan aku apa lagi, makan lah sepuas hati.

Ok, buah longan kristal ni bentuknya ala-ala bujur. Tapi, kulitnya keras ! kalau nak makan, corfirm kene ketuk macam ko pecah kan biji getah ! Isinya sangat tebal dan of course la manis. Yang pasti, buah longan kristal ni takde kat Semenanjung. Abah gitau tadi, dekat Facebook ada sorang dari Kelantan nak order 50kg. Tapi apakan daya, memang tak dapat la nak pos abg oi !.

Orait pembaca sekalian, cukuplah setakat ini ceritera pahit manis aku. Yang mana kurang tu, aku mohon maaf. Tahun ni aku ada isi EG- Tukar. Aku harap pembaca sekalian doakan aku semoga permohonan pindah aku nanti diluluskan (Amin !). Aku masih belum puas explore Bumi Kenyalang tapi atas faktor kedua-dua orang tua aku makin dimamah usia dan kurang sihat.

Dari asalnya tak nak pilih Sarawak, kini.. aku jatuh hati dengan Bumi Kenyalang ni. Itu lah orang tua-tua cakap, tak kenal maka tak cinta! Terima kasih untuk semua pengalaman yang terukir di sini.

Sekian, terima kasih. Assalamualaikum.

– Ateh (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *