Universiti Kehidupan

Aku menulis ini bukanlah untuk membalas atau berhujah. Cuma bila nama syarikat ini disebut-sebut di ruangan komen (walaupun confessor tak sebut secara khusus) hingga mengundang sesuatu yang negatif, aku rasa aku perlu juga menulis.

Berhari-hari aku tahan penulisan ni di dalam draft sebab aku takut aku cuma mengeruhkan keadaan dan entah apa admin akan terbitkan penulisan aku ini atau tidak.

Tapi, di sini aku cuma ingin berkongsi, sisi kehidupan yang memang tak akan aku dapat di tempat lain.

Sedia maklum tentang sebuah syarikat/jemaah yang sejak mutakhir ini disebut2 biarpun tak dinyatakan jelas namanya syarikatnya tapi aku ingin bercerita tentang syarikat tempat aku membesar pula sekarang ini.

Syarikat di mana pengasasnya sudah meninggal dunia dan menjalankan sistem ekonomi Islam yang sangat baik di seluruh dunia.

Inilah kisahku, yang membesar di sebalik tembok yang tidak kelihatan tapi keberadaannya dirasakan. Aku tak pandai bercerita. Mana yang tersinggung, yang tak senang, aku minta maaf awal-awal.

Sudah sejak sekian lama aku diberhentikan dari syarikat atas asbab aku tidak lagi dapat memenuhi tuntutan tugasan yang tidak perlulah aku nyatakan di sini. Pasangan aku juga diberi pilihan secara baik untuk meneruskan khidmat atau keluar dari syarikat.

Tapi sejak aku tidak lagi bersama syarikat itu, sedikit sebanyak aku merasa sebuah kehilangan. Ada rindu yang pasang surut di hati.

Orang yang berpengalaman di dalam syarikat pasti tahu aku bercakap benar tentang diriku yang bukan lagi ahli syarikat kerana sangat mustahil bagi ahli syarikat untuk menulis respon individu untuk isu-isu sebegini.

Aku bersyukur kerana sangat beruntung dipertemukan dengan insan baik2 dalam syarikat walaupun banyak kali juga berpengalaman dengan individu2 tertentu yang pastinya kerana atas masalah individu, bukan syarikat.

Aku juga beruntung punya mak ayah yang tidak silu menunjukkan kasih pada kami. Walaupun ayah berpoligami dan kami adik beradik ramai tapi kami merasa cukup dengan apa yang ada.

Mak memang garang habis tapi bila kami balik bercuti, diperiksa keperluan kami satu persatu. Dibebel tentang bab kesihatan dan akhlak. Ayah pula tak banyak suara, senyum kerling2 mata sambil makan bersama di meja, sederhana. Sekali sekala belanja makan di luar.

Walau jauh di asrama, tak ada telefon untuk berhubung tapi bila berjumpa ada saja pesan ayah dan mak. Kalau dulu adik ada kudis, mak lah yang ubati sampai sembuh, tak dibiarkan.

Bila aku sudah tidak bersama syarikat, ayah banyak pesan jangan tinggal Allah. Ayah menangis sedih sebab tahu di luar ini pergaulan aku akan menjadi bebas. Mak banyak support aku walaupun aku dulu selalu minta maaf sebab tak dapat bagi duit belanja macam anak orang lain.

Tapi mak kata, jangan abai solat sebab yang tu nanti mak perlukan bila mak mati. Doa anak soleh. Mak nak jumpa balik anak-anak mak kat Akhirat. Sebab bila dah di luar syarikat dah tak ada yang memastikan solat awal waktu dan solat berjemaah.

Aku akui, dua perkara itu sukar untuk aku jaga bila dah menjalani hidup sendiri. Aku masih bergelut untuk meneruskan jadual itu biarpun dulu bertahun-tahun di dalam syarikat, saban hari kami solat bersama di awal waktu.

Aku hairan ada yang kata kami tak ada baca Al Quran sedang kami yang di tahap staf ini kadangkala terketar bila waktu baca Al Quran bersama pelajar. Tasmid memang menusuk ke jantung lagi2 bila ada pelajar yang bantu betulkan.

Kadangkala jadi imam, kena baca kuat-kuat. Memang berdegup jantunglah sebab lepas solat nanti pelan-pelan kena panggil ke belakng surau, ditegur bacaan yang berterabur.

Lagilah bila waktu Ramadan. Dari lepas Subuh sampai terang tanah bertadarus. Rindunya di saat itu, makan bersama di dalam dulang. Kadangkala ada waktu hilang sudu, makan bubur bersenduklah dengan tangan sambil masing-masing ketawa berkongsi 1 sudu yang berharga.

Bila beraya, penuhlah beramai-ramai solat raya sampai ke atas padang. Di sesetengah tempat, beraya di masjid mukim masing-masing.

Ada juga yang pulang raya secara berjadual agar premis sentiasa terjaga. Bergotong royong, memasak bersama-sama, rewang jangan cakaplah, menusuk kalbu. Tua muda semua ada tugasan masing-masing.

Pernah kami dijadualkan masak kuah kacang. Ke hulu ke hilir berguru dengan orang-orang lebih tua. Tiba-tiba, malam raya kuahnya tak menjadi!

Akhirnya bertakbirlah kami sambil menangis. Macamana nak bagi beratus orang makan kuah kacang rasa pelik abadi macam tu? Sampai dah tak lalu nak pandang baju raya.

Sedih, sedih. Tapi tiada siapa yang salah menyalahkan. Masing-masing mengaku salah masing-masing dan aku perasan bila berlaku perkara macam ni, kami akan dididik untuk muhasabahkan diri.

Pasti ada salah silap kami yang lepas-lepas yang belum ditaubatkan. Kami satu team tersedu sedan di musolla.

Tiba-tiba, waktu nak dipanaskan, pemimpin atas kami bantu kacau dan tambah itu ini, alhamdulillah sedap juga akhirnya! Berpelukanlah kami, terasa raya lebih bermakna. Rasa macam ada emak yang membela si anak yang tak pandai memasak haha!

Oh ya, kami ni baju raya pun syarikat yang belikan. Siap bagi duit keperluan jika nak beli apa-apa persiapan raya dan wang untuk pulang ke kampung.

Jika ada 10 anak, 10 anaklah yang ditanggung syarikat. Ada yang sesetengahnya ditanggung sewa, bil-bil utiliti dan juga kenderaan, mengikut keperluan masing-masing.

Perkahwinan kami juga dipersiapkan, disediakan keperluan, MUA, baju sampailah ke pelamin. Perkahwinan kami juga berdaftar seperti biasa dan kami juga diwajibkan mengikuti kursus kahwin.

Bahkan saban tahun ada sahaja kursus kahwin untuk semua golongan yang dah berkahwin termasuklah yang dah berpuluh tahun. Bimbingan sampai bila-bila.

Vaksin?

Aku tak pasti di tempat lain tapi tempat aku bertugas kali terakhir sebelum diberhentikan, kami berjadual beramai-ramai untuk vaksin memandangkan cawangan kami mempunyai agak ramai staff berbanding cawangan lain.

Syarikat uruskan kenderaan, pergi bersama-sama tak perlu nak susah2.

Ada waktu, menumpang bersama kereta kawan2. Bab perancangan anak, bagi aku itu hak individu. Ada je yang pakai pil perancang.

Kalau aku pun anak berjarak-jarak. Tapi ada juga anak yang ramai, rapat-rapat. Tak pernah sesiapa paksa aku beranak ramai dan tak ada yang persoalkan anak aku jarak-jarak usianya.

Kelas Fardhu Ain setiap minggu, diajar oleh ustaz bertauliah yang aku yakin tidak tersasar dari mana2 kitab Feqah yang aku belajar di luar syarikat waktu kini.

Diikuti pula peperiksaan Fardhu Ain sebulan sekali, tua muda semua kena masuk exam sebab Fardhu Ain, semua individu kena lulus.

Bukan macam Fardhu Kifayah. Kami staff muda2 ni, membawang dengan makcik2 dah taraf nenek pasal soalan Fardhu Ain. Jadi akrab sampai kadangkala boleh pulak jeling2 dalam dewan peperiksaan.

Habis periksa semua duk kecoh geleng kepala bila masing2 tengok buku nota masing2.

Yang tua2 pun berlari kat kita tanya, “eh, soalan terakhir tu jawapannya A atau B?”

Lepas tu sama-sama berdebar ambil keputusan peperiksaan. Sama-sama geleng bila tengok nama corot, sama-sama nak menangis bila sikit lagi nak dapat 100%. Rupanya dah tua pun sama je perasaan nak exam tu haha

Yang tua jadi rujukan, yang muda berkongsi cerita. Ya Allah, aku rindu suasana periksa waktu tu.

Kemudian, dari kecil aku duduk dalam syarikat, syahadah dan bacaan dalam solatnya tiada yang tersasar. Sumpah! Memang sama.

Bahkan, setiap awal tahun, akan ada saja tasmik makna bacaan solat. Tua atau muda, semua kena. Setahun 1-3 kali. Kadangkala tengah berjalan-jalan, tiba-tiba seorang ustazah tegur suruh baca makna Al Fatihah. Gagap terus!

Aku juga terhutang budi, kerana didikan guruku mengajar aku mengenal Nabi iaitu Rasulullah. Bagaimana kami ditekankan untuk selawat setengah jam di saf. Solat sunat taubat untuk yang masbuk dan yang tidak tahajud.

Kami ‘dipagar’ dari hiburan yang bukan-bukan. Tak ada istilah drama atau minat-minat artis dalam kalangan kami. Syarikat mempunyai saluran TV dan beribu nasyid yang mendidik jiwa.

Antara yang paling mahal bagi aku, didikan rasa malu antara lelaki dan wanita yang bukan muhram. Nak berdiri jarak 1 meter pun terasa segan sekali. Lagikan pula nak berbual tanpa ada topik penting. Tiada gurau senda, tergedik sana sini.

Cuma, sifat individu itu berlainan dan masing-masing punya kelemahan. Ada yang terlantang suara, ada yang jalannya kasar, ada yang kadangkala terlepas jua tawa hilainya serupa hilang pedoman. Tapi itu semua atas individu. Masing2 sedang membaiki diri.

Bila waktu senang, sama-sama senang. Waktu susah, sama-sama susah.

Ada kawan yang senang sikit, selalu masak-masak di rumah yang sedap-sedap, bawa makan bersama waktu di premis. Ada yang bertukar-tukar hadiah. Ada yang susah, sama-sama dibantu.

Waktu zaman sekolah berasrama, aku ada kawan yang mak ayahnya macam tak peduli pun pada dia. Bayangkanlah, nak balik raya pun mak dia kata tak payah. Nanti susah nak kena jemput kat stesen keretapi.

Bukan sekali ya, tiga empat kali jadi begitu. Cuti sekolah, raya korban, raya Aidilfitri. Duit belanja memang tak bagi.

Semua sekolah tanggung. Kami ni ada yang tak balik raya sebab sebahagian ada yang mak ambil lewat, ada yang memang mak ayah dia duduk dekat situ jadi kami akan berayalah bersama guru2 yang giliran pulang rayanya lewat sikit.

Memang seronok sangat waktu tu sebab asrama tak ada orang tapi malam2 seram haha! Kadang2 terdengar suara orang meriah2 macam asrama waktu penuh dengan pelajar, bila naik, tak ada sesiapa.

Setiap bulan ada sambutan hari lahir. Sambut beramai-ramai siap ada video individu-individu yang disambut hari lahirnya. Bertukar-tukar hadiah. Yang berjauhan dengan mak ayah pun tak terasa sangat sebab kepimpinan di kawasan tugasan pun dah jadi macam mak ayah.

Setahu aku, tiada budak-budak yang dijadikan staf/ bekerja di premis. Yang ada budak praktikal, umur 18 tahun yang masuk ke premis pilihan selepas kelas seperti biasa di waktu pagi.

Aku waktu itu nak pilih premis jahitan tapi sayang dah penuh. Dapatlah masuk ke praktikal bakeri menekap mazola dan membuat roti.

Lepas kelas terkedek-kedeklah dengan kawan pergi ke premis masing-masing. Belajar serba serbi perniagaan.

Bahkan ada kawan-kawan aku yang keluar dari syarikat terus dapat jana income ambil tempahan kek dan juga jahitan. Mungkin tak mewah, tapi perlahan-lahan membaiki hidup, meneruskan langkah tanpa menoleh ke belakang.

Oh ya, aku rindu saat bersama-sama memasak di dapur. Potong memotong, siang ikan, kacau kuah sambil bernasyid bersama. Berbual itu dan ini. Sama-sama kacau sekawah bihun.

Bayangkanlah, satu kuali kecil pun susah nak rata, inikan lagi sekawah. Senduk pun dah serupa pendayung sampan!

Kalau cas handphone di surau, memang takkan hilang. Aku pernah tertinggal handphone, dari pagi sampai ke malam, bila datang untuk ambil dah tak ada! Rupanya ada orang yang simpankan sebab dah penuh baterinya. Kawan aku yang seorang tu, duit letak saja di almari berhari-hari.

Alhamdulillah tak hilang. Tapi masalah selipar tertukar susah nak elak haha. Dah ramai sangat kadang-kadang sebelah lain, sebelah lain. Terpaksalah masukkan gambar selipar di group Whatsapp, mencari belahan jiwa yang hilang.

Di dalam syarikat juga, malu sangat jika berlebihan dari orang lain. Nak sinsing lengan baju tunjuk gelang emas pun segan. Sebab kita tahu ada kawan yang tak berkemampuan. Tak nak ada yang terasa hati. Semuanya hidup bersederhana. Jika ada lebih, berlapang dada nak berkongsi.

Aku berpeluang merasa duduk di beberapa tempat berlainan. Memang ada di sesetengah tempat, ahlinya yang culas bekerja, ada yang pecah amanah, ada yang pernah naik kaki tangan pada anak orang, susah nak senyum dengan orang tapi bagi aku itu semua masalah individu.

Dalam satu keluarga, tak semua sama perangainya. Hatta jika ada 4, 5 orang anak, pasti ada seorang yang ‘advanced’ sedikit perangainya. Inikan lagi pula jika sebuah syarikat yang ada beratus-ratus staf?

Menjadi ahli dalam syarikat ini bukan bermakna terus jadi baik. Masing-masing sedang membaiki diri.

Dari syarikat ini jugalah anak-anak aku jadi penyejuk hati. Bacaan solat lancar dalam pelatnya walaupun belum bersekolah. Yang dah besar sikit, tertib je. Mau menangis aku bila aku tengah marah-marah, anak aku pesan, “Allah akan tolong nanti kalau kita doa.”

Pernah aku pakaikan anak perempuan aku yang tadika dengan tshirt lengan suku, dia kata malu. Rasa terpukul betul aku waktu tu.

Sudahlah kecil2 macam tu, pandai pula buat kerja rumah. Ikat langsir walaupun senget benget, sapu sampah walaupun penyapu sama tinggi dengan dia haha comel.

Tapi waktu anak aku dah mula tak bersekolah dalam syarikat, satu hari dia balik rumah dan pertama kali aku dengar dia cakap ‘Bodoh!’

Dia kata kawan cakap macam tu kat dia. Aku tak salahkan sekolah, kawan dia atau sesiapa, sebab aku tahu di luar syarikat, aku tak akan dapat lagi tapis dengan siapa anak aku berkawan.

Aku cuma mampu berdoa dan usaha agar dapat mendidik anak aku memahami mana yang baik dan buruk.

Aku juga ada abang yang bekas ahli syarikat. Dia pernah berpesan padaku, waktu itu kerana aku sedang tersinggung dengan seseorang. Dia kata, “Nak cakap apapun, jangan dikata orang yang dah kenalkan kita pada Allah dan Rasulullah.”

Jika guru yang mengajar kita huruf dan nombor pun kita perlu doakan dan maafkan kesalahannya, lagilah guru yang mengenalkan kita pada Pencipta kita, tempat kita akan kembali kelak, meninggalkan semua tinta kita ini di dunia.

Ada kawan-kawan aku yang juga bekas ahli syarikat yang merasa sedih dengan isu sekarang. Kenapa perlu berlaku begini? Mungkin juga bukan syarikat ini yang dimaksudkan. Jika ya, aku mohon maaf sekali lagi.

Bagi aku, inilah Universiti Kehidupan tempat aku belajar dan membesar. Dulu aku jahat dan masih lagi jahat sekarang tapi ada sesuatu yang terisi dalam dada untuk aku teruskan kehidupan. Aku sedang belajar memulakan hidup dari bawah sama seperti kalian semua.

Apa yang aku nampak dari hal yang berbangkit ini, kita memang tak boleh pukul rata. Jangan kerana sebelah mata yang tertutup, kita palingkan terus wajah kita dan tulikan telinga.

Untuk yang tidak tahu menahu dan hanya mendengar, kita tak boleh terus menghukum.
Jangan kerana tindakan orang terhadap kita menjadikan hilangnya keyakinan kita pada Allah.

Bak kata netizen mengenai tulisan2 yang tersebar di media sosial, “Baca boleh, percaya jangan,” termasuklah dengan penulisan aku ini. Kalian bebas menilai.

Ampun maaf dari aku,

– Sandi (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *