Untuk Anda Yang Ingin Curang

Hi semua, terima kasih kerana membaca. Dua hari lepas newsfeed saya dilalui oleh artikel dari Peah bertarikh 27 Jan 2020 mengenai rakannya Azura yang dikatakan mempunyai skandal di tempat kerja. Boleh baca confession berkenaan di sini, (https://iiumc.com/curang-ditempat-kerja/).

Banyak komen yang mengakui fenomena ini kerap berlaku di tempat kerja mereka dan saya juga akui perkara ini kerana ia hampir terjadi kepada saya. Saya ada satu pengakuan untuk diceritakan untuk kakak/abang/adik di luar sana yang mungkin mengalami perkara yang sama.

Nama saya L, seorang perempuan bekerjaya, umur di saat saya menaip karangan ini hampir mencecah 40. Tetapi cerita yang saya akan kongsikan ini berlaku hampir 6 tahun yang lepas.

Ketika itu saya dan suami memasuki tahun ke-8 perkahwinan. Sedikit latar belakang mengenai kami; kami berkahwin di usia yang muda, malah bertunang ketika masih di universiti. Saya dan dia bukan cinta pertama masing-masing, tetapi di saat awal perkenalan, ‘chemistry’ kami sangat kuat dan kami membuat keputusan bertunang di tahun akhir pengajian ijazah, dan berkahwin 3 tahun kemudian.

Kami dikurniakan sepasang anak yang comel, sihat dan pintar. Rumahtangga kami adalah tipikal, semuanya berkisar tentang dua orang yang membina partnership untuk hidup bersama, mencari duit dan kemewahan untuk memberikan keselesaan dan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak.

Saya menjawat jawatan professional di sebuah syarikat swasta yang sangat dikenali, manakala suami mewarisi perniagaan keluarga di bandar selatan tanah air, di mana letaknya rumah pertama kami.

Masuk usia ke-8 perkahwinan, saya ditawarkan jawatan yang lebih tinggi di HQ terletak di ibu negara. Pertukaran ini bersifat sementara dan syarikat menjanjikan yang saya akan dibawa kembali untuk mengetuai bahagian selatan tanahair selepas beberapa tahun.

Suami sentiasa memberi sokongan, walaupun ada ketikanya kerjaya memerlukan saya meninggalkan keluarga berminggu lamanya untuk lawatan kerja ke dalam dan luar negara. Tetapi kerana dia sentiasa menyokong, saya mengambil keputusan untuk menerima tawaran tersebut. Dan beginilah cerita ini bermula.

Saya memandu setiap minggu ke ibu negara dan pulang ke selatan pada hujung minggu. Kami adalah pasangan yang rajin bersukan dan merupakan fitness enthusiast, malah aktiviti sukan lah yang menemukan kami pada awalnya. Jadi walaupun berjauhan dan meninggalkan keluarga, saya masih meneruskan stail kehidupan seperti biasa.

Aktiviti sukan dan sosial saya menyebabkan saya rapat dengan jejaka A. Beliau berusia lebih tua, seorang duda dengan seorang anak perempuan. Kami pada mulanya berkawan dan bertukar cerita mengenai sukan dan anak-anak. Saya sangat menyenangi A, dan kerana beliau juga berseorangan ketika itu, kami banyak meluangkan masa bersama pada lewat petang di gym dan running track.

Suami saya tahu tentang kami, saya tahu dia cemburu namun dia juga mempercayai saya secukupnya. Kami tidak pernah bergaduh, tapi hubungan kami mulai mendatar kerana jarak dan masa, walaupun kami masih dapat melaksanakan tanggungjawab kami sebagai ibubapa dengan sempurna.

Masuk bulan ke-7 persahabatan saya dengan A, A membuat pengakuan bahawa dia mahukan saya lebih dari kawan. Ketika itu, saya mula mempersoal diri sendiri, tentang apa yang saya telah lakukan bersama A.

Saya tahu A melayan saya dengan istimewa, dan saya telah membenarkan ia berlaku. Ketika itu saya berada di persimpangan. Bulan-bulan berikutnya bagaikan mimpi, indah seperti dibuai cinta tetapi dihantui perasaan bersalah setiap kali saya menghubungi keluarga dan pulang di hujung minggu.

Ia berlanjutan sehingga A mengajak saya meninggalkan suami untuk bersama dengannya. Ketika itu saya tersentak dan kembali ke dunia nyata. Saya perlu membuat keputusan.

Bersama A membuat saya rasa muda dan dihargai seperti di zaman awal percintaan, tetapi akhirnya saya membuat keputusan yang cinta saya adalah milik suami dan anak-anak kami. Saya tidak mahu meruntuhkan sebuah perkahwinan dan merosakkan kebahagian anak-anak demi mementingkan perasaan sendiri ketika itu.

Ya, akhirnya saya membuat keputusan yang saya tidak memerlukan cinta baru. Apa yang saya dan kami perlukan adalah kehangatan dalam perhubungan dan bersama kembali.

Saya memohon untuk ditukarkan semula tetapi tidak dibenarkan, jadi ketika itu saya nekad meletakkan jawatan dan kembali ke selatan tanahair untuk membetulkan keadaan kami. Saya menceritakan semuanya tentang A kepada suami.

Saya masih ingat, ketika itu suami cuma memeluk saya dan mengatakan yang dia cuma mahu membuat saya bahagia, dan jika saya lebih berbahagia dengan orang lain, beliau sanggup melepaskan saya pergi. Ketika itu saya menangis semahu-mahunya, malah keperitan dan tangisan itu lebih hebat dari tangisan mengiringi pemergian arwah bapa suatu ketika dahulu.

Saya memohon maaf, dan suami saya masih menjadi seorang lelaki yang saya telah kenali bertahun-tahun lamanya- masih seorang yang pemaaf dan sangat penyayang.

Kini 6 tahun telah berlalu dari peristiwa itu. Suami saya boleh membuat lawak mengenai perkara itu di hadapan anak-anak, tentang bagaimana daddy hampir kehilangan oleh mommy.

Syarikat tidak menerima perletakan jawatan saya, dan akhirnya akur dengan permintaan saya untuk ditukarkan ke tempat asal. Membaca isu viral yang seringkali melalui laman facebook membuatkan saya sedar yang saya bernasib baik kerana membuat keputusan yang betul 6 tahun lepas.

Sejak peristiwa itu, saya dan suami memastikan kami mempunyai cukup masa bersama berdua tanpa anak-anak, dan meluangkan masa lebih kerap bersama keluarga. Hubungan kami kembali hangat malah kami menjadi lebih rapat dari sebelumnya.

Suami sememangnya mengamalkan agama lebih baik dari saya, tetapi peristiwa itu menyedarkan saya bahawa saya bukanlah isteri yang baik untuk suami, dan kesedaran itu lebih mendekatkan diri saya dengan-Nya.

Situasi, tekanan, harapan dan jangkaan seseorang itu mungkin sentiasa berubah seiring dengan masa, tetapi tidak orang yang kita pernah kenali. Dialah manusia yang pernah membuat hati kita bergetar suatu ketika dahulu, dan dia masih orang yang sama, jika kita sendiri tidak merubah tanggapan itu.

Dan kebanyakan masanya, cinta itu sudah berada di depan mata. Cuma kita terlalu bodoh untuk tidak memegangnya.

– L.H (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *