Untuk Confessor Yang Kakakku Babysiter

Salam semua… Aku tak pandai tulis-menulis tapi aku harap confessor yang tulis pasal kakak dia jadi babysitter tu (https://iiumc.com/kakak-ku-babysitter-anakku-konflik-upah-vs-suami/), bacalah pengalaman aku. Jadikan pengajaran.

Aku pun sama macam kau. Kakak aku jaga anak aku. Alasan aku ambil kakak sebab tak nak anak aku kena dera je. Adik-beradik aku semua belajar tinggi-tinggi.

Kakak aku nombor dua ni je belajar setakat diploma. Pun sama jugaklah, jenis orang lembut baik hati. Tak sambung belajar walaupun dia paling bijak antara semua sebab arwah ayah aku jatuh sakit strok.

Orang baik memang kita suka ambil mudah. Sebab kita dah biasa dia buat baik. Tak ada rasa pelik ke apa, tambah pula jumpa dengan aku yang tak baik ni.

Masa awal dapat anak, aku fikir rumah tangga aku, anak, harta benda aku dengan karier aku. Aku tak fikir pasal orang. Sebab tu aku paksa kakak aku tinggal arwah ayah aku yang sakit, ikut aku jaga anak aku dekat KL.

Aku cakap mak aku sorang dah boleh jaga, buat apa ramai-ramai. Aku pujuk mak aku. Mak aku sayang cucu, takut cucu kena dera, kena bunuh. Dia pujuk kakak aku jaga anak aku dekat KL. Aku cakap aku bayar lah. Bukan free.

Kakak aku niat dia nak duit boleh bagi mak ayah aku je. Sebab aku tahu kakak aku selalu mengadu kesian dekat mak ayah, tandas sempit nak betulkan tak ada duit. Padahal anak-anak ada tujuh, enam orang kerja besar. Balik raya bersusun kereta besar. Tapi nak besarkan tandas pun kedekut.

Kakak aku yang paling susah, tak ada duit tu yang fikir. Yang lain besarkan rumah dekat bandar, besarkan kereta. Aku kutuk diri sendiri jugak, aku salah seorang yang bodoh tu.

Ringkas cerita, aku bagi kakak aku RM500 sebulan. Aku kata jaga anak sorang je, pukul 7 sampai 6. Awal-awal tu ye lah. Masuk bulan kedua, aku dengan laki aku dah selesa sangat ada kakak aku jadi bibik cum babysitter anak.

Kerap aku melencong tengok wayang lah, karaoke, beli barang dapur lah siap dinner laki bini. Balik rumah anak aku dah tidur. Sabtu Ahad je aku pedulikan anak.

Ada opismate aku aka BFF aku tegur, kata aku bayar murah gila. Patut bagi seribu sebulan. Aku gaduh dengan BFF aku sebab menyibuk. Aku siap bangga dekat kakak aku, simpanan aku dengan anak aku cecah ratus ribu. Yelah, gaji aku puluh ribu.

Aku bagi kakak aku RM500, kalau nak masak tengah hari tak cukup barang dia jalan kaki bawa anak aku beli dekat kedai runcit bawah rumah. Aku tak rasa nak ganti pun balik duit dia sebab aku rasa aku dah bagi duduk free, makan free, bil free. Biarlah dia beli jugak barang basah.

Sampai satu hari, kakak cakap nak ajak aku share duit besarkan tandas rumah ayah aku. Aku marah sangat sebab aku rasa tak boleh kacau duit gaji aku sebab aku nak simpan untuk bersara dan anak aku masuk universiti besar nanti. Aku suruh kakak aku buat makanan pek, jual dekat rumah. Aku tolong iklankan dekat FB kondo aku.

Sejak kakak aku berniaga, rumah dah tak bersih macam dulu. Balik kerja aku kena mengemas. Laki aku dah geleng kepala dan komplen. Masak pun dah jarang, aku dengan laki aku kena bungkus makanan. Dulu selalu masak, sekarang dah sibuk.

Aku biarkan je kakak aku buat dua kerja. Aku cakap dekat laki aku biar je lah, nanti kakak aku minta aku bayar pulak duit betulkan jamban ayah.

Laki aku pun setuju sebab dia pun tengah jimat kumpul deposit nak beli Vellfire. Laki aku langsung tak nak tolong bab bagi duit kat family aku. Aku okey je sebab aku pun tak nak tolong. Aku dah bagi kakak RM500 tiap bulan, mak ayah RM500. Aku rasa dah cukup.

Tiba-tiba aku tengah meeting dekat ofis, laki aku call suruh aku balik tengok kakak aku. Jiran bagitahu kakak aku jatuh. Aku fikir anak aku je masa tu, sikit pun aku tak risau kakak aku.

Sampai rumah aku tengok kakak aku tak ada, jiran dah bawa pergi hospital. Kakak aku pengsan masa tengah masak. Mujur pintu tak tutup. Jiran depan rumah dengar anak aku nangis sejam, dia pelik sebab tak pernah anak aku nangis-nangis. Rupanya kakak aku dah pengsan.

Kakak aku koma, pembuluh darah kepala pecah. Doktor cakap stres melampau, badan letih dan tak cukup rehat. Kakak aku koma lima hari, lepas tu meninggal. Hari kakak aku meninggal tu, baru aku sedar aku zalim dengan kakak aku.

Adik-beradik aku yang lain datang serang aku. Dekat bilik mayat, sorang-sorang datang herdik aku. Kenapa lepas kakak aku mati baru semua nak datang maki aku, masa kakak aku minta tolong betulkan tandas ayah semua tak nak bagi. Sama je dengan aku.

Sebulan kakak aku pergi, ayah aku sedih sangat. Ayah aku menyusul pergi jugak. Kehidupan aku pulak tunggang-langgang. Aku terpaksa ambil banyak cuti sebab anak aku tak nak duduk taska. Tiga bulan lepas kakak aku meninggal, anak aku sakit on off.

Aku gaduh besar dengan laki aku sebab dia asyik mengelak jaga anak. Aku ada meeting malam, minta jaga anak pun dia tak boleh jaga. Tengah meeting anak bising nangis tepi kaki. Bos aku dekat US dah buat muka. Last-last apa pun tak boleh buat.

Bos suruh settle anak aku dulu baru masuk meeting. Laki aku selamba tidur membuta. Aku nangis teruk tiap kali hadap susah jaga anak sorang, jaga rumah, jaga laki. Aku teringat kakak aku.

Sekarang duit aku banyak, boleh upah bibik, bayar agen bila-bila je. Tapi satu bibik pun tak ngam. Ada je masalah. Anak aku dah umur lima tahun tapi tak boleh cakap.

Dulu masa kakak aku ada, dia boleh cakap je. Sekarang susah nak dengar dia cakap. Doktor cakap anak aku trauma dan macam ada gangguan perasaan. Yelah. Dia rindu Mak Ngah dia. Mak Ngah yang jaga dari merah. Entahlah, hidup aku sekarang berserabut.

Laki aku nak tambah anak, padahal anak sorang pun dia tak nak jaga. Nak anak perempuan pulak. Aku cakap selagi anak aku tak sembuh trauma dia, aku tak nak beranak. Laki aku cakap nak kahwin lain. Pergilah, aku kata. Biar senang hidup aku anak-beranak, senang nak urus.

Mata aku bengkak menangis baca cerita confessor “kakak aku babysitter” tu. Sesungguhnya adik-beradik baik tu memang wujud satu dalam sejuta. Tapi entah kenapa mesti ada yang nak ambil kesempatan dengan mereka.

Aku sekarang betul-betul menyesal. Kalau aku boleh putar masa, aku nak mewahkan kakak, ayah dengan mak aku. Sekarang aku ada mak je. Itu pun mak dah tak berapa nak cakap dengan aku. Aku tahu mak marah dekat aku sebab aku punca kakak aku mati.

Aku harap jangan ada yang ulang silap aku. Bagilah hak mereka. Bayarlah titik peluh pengorbanan mereka. Kalau mampu, bagilah selayaknya biar beribu sebulan. Duit boleh dicari. Bila jadi macam aku, duit berjuta pun tak boleh hidupkan kakak aku, tak boleh sembuhkan trauma anak aku.

Aku menyesal…

– Biskut Gula Merah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

3 Comments

  1. Syukur Allah dah bagi kesedaran kt awak, masih ada ruang utk menebus kesilapan lalu….

  2. menangis saya baca. semoga arwah kakak & ayah awak ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

  3. Manusia.. belum terkena.. lupa diri. Padahal tuhan bagi elok dah akal fikiran nak pilih mana yg elok dgn tak elok. Dah terkena baru nak tersentak.. tapi tak pa la.. confessor pun dah sedar diri. Cuma tu lah.. kena hidup dengan rasa bersalah sampai ke sudah. Allah itu adil kan? Bukan nak menunding jari.. peringatan untuk diri ini juga.

    Anak tu usaha la hantar theraphy/OT. Awak pun kena jumpa Dr. /kaunselor juga. Anak tu tak ada siapa dah melainkan awak. Kalau mak pun rebah.. kesian dekat anak. Dulu dia ada mak Ngah. Ayah dia pun tak boleh harap sampai ke sudah. Moga Allah mudah kan jalan awak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *