Assalamualaikum, buat pembaca setia IIUM Confession. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih andai apa yang saya ingin sampaikan ini, dapat disiarkan.
Terlebih dahulu biarlah saya bercerita sedikit tentang kehidupan saya. Biarlah terlebih dahulu saya ceritakan, sedikit mengenai keluarga kami,
Ayah saya mempunyai isteri lain selain daripada mak dan mempunyai seorang anak perempuan dan dia 9 tahun tua daripada saya.
Mak saya juga pernah berkahwin lain dan saya mempunyai abang tiri yang tua 15 tahun dari saya. Kehidupan kami nampak bahagia dari luar tetapi pada hakikatnya adalah disebaliknya.
Ayah inginkan kehidupan yang terbaik untuk kami sekeluarga tetapi ayah tidak mampu. Tipu jika tidak bersedih kerana diketika itu saya masih kecil, untuk membantu dari segi kewangan.
Disebabkan kesempitan wang, boleh dikatakan kurang lebih 7 kali kami berpindah rumah.
Paling lama pun untuk satu-satu tempat hanya bertahan 2 tahun.Sejak daripada peritiwa berpindah -randah, saya dapat fahami bahawa harta benda memang tidak akan kekal selamanya.
Dari titik tolak berpindah-randah itulah saya semat dalam diri, andai ada peluang untuk berbakti, biarlah walau pada sesiapa sekalipun saya akan lakukan, saya akan seboleh-bolehnya akan berusaha untuk membahagiakan orang yang saya kenali.
Menginjak umur 18 tahun, ayah yang menjadi tulang belakang keluarga telah pergi meninggalkan kami sekeluarga.
Peristiwa yang paling sedih adalah apabila hanya mampu, mendengar kepergian ayah hanya melalui telefon, kerana diketika itu saya memasuki Pelatih Latihan Khidmat Negara, di kem Kota Kinabalu.
Perasaan ketika itu, adalah kosong terkejut dan tidak menyangka seawal itu ayah akan pergi meninggalkan kami sekeluarga.
Perasaan paling sedih adalah sewaktu saya sedang mengambil ujian kereta, dan disitu saya terlihat arwah ayah yang sedang berdiri sambil tersenyum memandang ke arah saya.
Allahuakbar sedih, hanya tuhan sahaja yang tahu. Saya menggelamun sehingga naik ke atas tanjak sisi jalan.
Saya kenang, dan berkata dalam hati bahawa {“Yah, walau ayah dah tak ada lagi dengan adik, adik akan tetap bahagiakan ayah sampai syurga”). Kata-Kata itu saya semat dalam hati sehingga sekarang.
Waktu arwah ayah pergi, saya tidak berpeluang untuk menyambung pelajaran, dan tingkat tertinggi pelajaran saya hanyalah diploma sahaja.
Tetapi perancangan Allah tetap yang terhebat,
Walau saya tidak mempunyai pelajaran yang tinggi, tetapi berkat doa mak, saya tetap mendapatkan pekerjaan sebagai seorang setiausaha di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur, berdasarkan pengalaman pekerjaan saya yang berbagai sebelum ini.
Katalah, pekerjaan apa yang tidak pernah dilakukan, customer service untuk produk komunikasi, perunding hartanah, pelbagai pekerjaan yang saya pernah lakukan.
Saya terkenang kembali waktu susah dahulu. Pernah tunggu bas sehingga 40 minit, pernah makan nasi tanpa lauk, pernah pakai baju yang sama ulang-ulang sampai lusuh, sebab tak ada duit nak beli baju, kalau pakai seluar pun sama, selagi boleh pakai memang pakai.
Mak memang bekerja, tetapi untuk peluang nak membeli itu tiada. Mak harus survived dengan duit yang ada, untuk kami sekeluarga mulakan kehidupan baru tanpa seoarang yang bernama ayah.
Setelah onak dan duri yang saya lalui, saya boleh katakan yang kesusahan dan keperihan hidup itulah yang telah menjadikan siapa diri saya yang sekarang ini.
Setiap kali gaji, saya akan utamakan keperluan keluarga dahulu, dan perasaan paling indah adalah dapat membahagiakan keluarga saya yang kurang berkemampuan untuk membeli perbelanjaan rumah.
Kadang-kadang saya akan pergi kedai dan memberikan makcik barang keperluan rumah.
Satu kata-kata makcik yang terkesan hingga kini adalah “Na, andai ayah masih ada, dia mesti tumpang gembira sebab, na berusaha nk bahagiakan keluarga walaupun gaji tak semewah mana”.
Ya, dan sebab itulah, disetiap apa yang saya berikan saya niatkan umpama arwah ayah yang memberikannya.
Dan bicara tentang formula redha, saya sendiri seakan tergagap untuk berbicara tentang, sedang diri sendiri masih bersoal jawab dengan hati sendiri. Apakah diri ini sendiri sudah benar-benar redha atas ketentuan Ilahi?
Hanya hati sendiri ada jawapannya, Redha? Jujur saya katakan memang bibir mudah melafaz redha. Aku redha. Tapi hakikat hati sendiri yang tahu. Redha itu payah nak dapat.
Mungkin kita mula belajar untuk redha, tapi dalam tempoh belajar untuk redha itu pasti ada ujian untuk melihat keteguhan iman kita pada Allah.
Kita manusia biasa, bukan kita tak pernah berusaha untuk redha namun hakikat untuk mendidik hati sendiri itu jauh lebih payah dari mendidik hati orang lain, kadang ego kononnya aku redha.
Tetapi sementelah melalui kehidupan yang penuh berliku, saya jujur katakan disetiap kehilangan itulah akan mendidik untuk membentuk diri kita yang sekarang ini.
Untuk arwah ayah, “Naa janji akan tetap cuba berbakti walau jasad kita tidak bertemu tetapi ayah tetap “hidup” dalam jiwa ini. Walau kita dah berlainan dunia, walaupun sebesar zarah Naa akan tetap cuba berbakti yah”.
– Hana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit