Usaha Seorang Penganggur

Assalamualaikum pada semua para pembaca.

Aku adalah seorang graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian dan latihan praktikal pada bulan Ogos 2022. Alhamdulillah latihan praktikal yang memberi banyak input ilmiah untuk diri aku.

Aku ingin berkongsi perjalanan kisah ku yang dimana pengangguran itulah satu perkara yang hina di mata keluarga ku terutama ayah aku.

Setelah menamatkan latihan praktikal, seorang kenalan menawarkan kerja pada syarikat dia bekerja kepada ku. Tanpa membuang masa aku memohon pekerjaan tersebut dan melalui temuduga seperti calon-calon yang lain.

Temuduga berlangsung benar-benar setelah 3 hari aku menamatkan latihan praktikal ku. Sewaktu sesi temuduga aku memberitahu untuk bermula bekerja 2 minggu daripada tarikh temuduga sebagai persiapan mental dan fizikal.

Alhamdulillah aku diterima bekerja malangnya, mereka mahu aku masuk bekerja dengan kadar segera walaupun aku sudah menyampaikan hasrat aku untuk bermula 2 minggu daripada tarikh temuduga tersebut.

Bukan apa, aku benar-benar di fasa yang sangat penat atau istilah zaman sekarang dikenali “burn out”. Aku perlukan ruang untuk bertenang selepas latihan praktikal ku. Tanpa berfikir panjang, aku bersetuju untuk kemasukan segera dan bermula bekerja.

Pada awalnya, aku anggap kesukaran yang berlaku adalah perkara normal bagi lepasan graduan seperti aku. Tapi 2 minggu berturut-turut aku menangis kerana masih belum mampu beradaptasi dengan keadaan di sana.

Aku tidak mendapat tunjuk ajar yang menyeluruh dan aku rasa terkapai-kapai bila berada di pejabat. Aku tidak tahu untuk rujuk siapa pada waktu itu. Hampir 2 bulan aku menanggung beban itu dan mental aku seperti didera kerana tiada pertolongan sesiapa disitu.

Akhirnya aku tewas. Aku mengambil keputusan untuk berhenti kerja setelah hampir 2 bulan bekerja di situ. Mana tidaknya mental aku semakin memburuk, menangis dan badan ku juga semakin susut kerana tertekan akan keadaan di pejabat.

Bukan satu keputusan yang mudah untuk aku memutuskan berhenti kerja tapi aku berdoa, tahajud meminta petunjuk dan bertanya pendapat dengan rakan-rakan lain.

Rata-rata mereka menyuruh aku mementingkan kesihatan mental terlebih dahulu dan memberi pesanan bahawa rezeki itu milik Allah, InsyaAllah masih banyak peluang untuk aku di luar sana.

Hari ini masuk hari yang ke-24 aku menganggur. Ibu ku yang ku gelar Umi adalah wanita yang hebat, penyabar dan sering menjadi penguat aku di saat aku dalam kesedihan.

Aku akhirnya menitiskan air mata di hadapan Umi pada hari pertama aku bergelar seorang penagnggur dan mengucapkan kata maaf kerana tidak mampu menjadi anak yang kuat untuk bertahan dan masih tidak mampu membahagiakannya pada usia ini.

Aku memulakan pencarian kerja baru dan beberapa temuduga telah aku lalui tapi masih belum direzekikan Allah untuk aku mendapat pekerjaan lagi. Ayah adalah insan yang sering bertanya aku bila aku mahu mula bekerja semula.

Aku kadang-kala terfikir adakah ayah tidak memahami situasi aku yang masih cuba untuk memulihkan mental aku daripada segalanya bahkan memaksa untuk aku bekerja secepat yang mungkin.

Aku mempunyai beberapa perancangan sekiranya dalam tempoh sebulan aku masih tidak dapat mencari pekerjaan aku akan mula membuat kerja sambilan di tempat kerja ku semasa aku bergelar pelajar.

Timbul persoalan di benak fikiran ku, adakah ayah malu sekiranya aku hanya kerja di kedai-kedai biasa? Adakah ayah rasa aku adalah bebanan terbesar buat dirinya? Aku cuma perlu waktu untuk berehat sejenak daripada kelehan belajar dan latihan praktikal ku.

Tiada istilah rehat bagi diriku sepanjang aku bergelar pelajar. Aku bekerja setiap kali cuti semester menjelang dan mengorbankan cuti hari raya dengan bekerja bagi menampung perbelanjaan belajar ku sendiri.

Bahkan dalam aku belajar kadang-kala aku cuba membahagikan masa dengan bekerja separuh masa. Aku tidak membuat pinjaman pendidikan. Oleh itu, aku perlu bekerja keras untuk membayar yuran pengajian menggunakan keringat ku sendiri.

Kerana itu aku benar-benar mahu rehat sejenak kerana aku sangat lelah. Akan tetapi ayah sering bertanya adakah aku sudah mendapat pekerjaan baru hampir setiap hari.

Satu soalan yang aku ingin lemparkan adakah aku seorang yang lemah dan kalah dalam perjuangan ini?

Pinta ku cuma satu, doakan aku mendapat pekerjaan selayaknya secepat yang mungkin dan bahagiakan umi & ayah. Sekian coretan hati daripada aku.

– Mendung (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *