Utusan Buat Nana

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada membaca luahan Nana disini, (https://iiumc.com/luahan-aku-tentang-lelaki/) dan saya tertarik untuk membalasnya.

Mungkin sebagai perkongsian rasa, dan mungkin juga sebagai motivasi buat Nana dan seluruh yang membacanya.

Saya Taha (bukan nama sebenar), yang pada tahun ini usia saya hampir 30 tahun. Saya lelaki biasa yang dilahirkan dari sebuah keluarga miskin yang juga memiliki konflik, drama air matanya sendiri.

Mungkin konfliknya tidak sama seperti Nana, namun keluarga saya tetap memiliki konflik tersendiri yang sukar untuk diceritakan disini.

Demikianlah saya membesar sebagai lelaki yang memberontak, berakhlak buruk dan memiliki sisi hitam yang tersendiri.

Namun begitu, ibu saya merupakan seorang yang sangat mementingkan pendidikan terutama pendidikan agama.

Kami adik beradik tak dibenar bergaul tak tentu hala. Kami tak dibenar bermain di padang bola, di luar kawasan rumah, bimbang bercampur dengan orang-orang yang tidak baik.

Saya tak pernah mengalami pengalaman bercinta sehingga saya berumur 14 tahun. Pada umur tersebut saya mula jatuh hati pada rakan sekelas saya. Perasaan suka itu terbit seiring dengan perasaan suka ambil tahu, suka berbual, rapat, berhubung secara maya dan seumpamanya.

Namun setelah saya turun ke kelas tercorot dari kelas kedua, saya mula diabaikan perempuan sekelas saya itu.

Lebih parah rasanya, apabila dapat tahu, yang dia telahpun bercinta dengan seorang senior kami, sering bertemu dan lain-lain. Sejak itulah saya mengerti apa erti kecewa. Remuk dan luluh hati dibuatnya.

Habis sekolah menengah saya kenal seorang lagi perempuan. Kami rapat sejak sekolah lagi. Selalu berhubung, berbincang. Antara keluarga juga rapat. Dia ada sesekali datang ke rumah saya, bertemu ibu dan saya pun pernah sesekali ke rumahnya.

Sejak kami rapat, dan menjadi kawan baik, saya tersalah meletak perasaan padanya. Walaupun saya tak pernah meluah perasaan, namun dari gerak gerinya, respon dan bahasa badannya, saya tahu yang saya tidak bertepuk sebelah tangan.

Namun begitu, fikiran saya meleset apabila hampir saya masuk ke univerisiti dia mengirimkan saya sekeping kad jemputan kahwin. Di atas kad itu tertera namanya dan suaminya.

Kali kedua, rasa jiwa seperti dikoyak-koyak. Di hari persandingannya, kami saling bertentang mata di pintu gerbang pengantin. Dia berpimpinan tangan dengan suaminya, manakala saya cuma menatap sebuah perasaan yang menjadi milik orang.

Lauk yang dihidang tak langsung dijamah, air manis terasa tawar. Pulanglah saya seperi lelaki tak bermaruah.

Saya lupakan kisah itu. Saya sematkan dalam lipatan sejarah.

Bila menjengah ke usia pengajian tinggi, saya mula berkenalan dengan seorang perempuan dari Fakulti Pengajian Islam. Kecil molek orangnya, sopan santun tingkah lakunya, wataknya menarik. Berkarisma, berkepimpinan tak kurang wajahnya sedap dipandang.

Kami berkenalan dari seorang Ustaz, memandangkan itulah permintaannya. Kami bertaaruf dengan syarat tidak saling berhubung kecuali pada hal-hal yang penting.

Selama hubungan kami, tak pernah berhubung sama ada di whatsapp, SMS, panggilan telefon apatah lagi hendak berjumpa dan dating berfoya-foya. Kami kekal dengan hubungan kami sehingga tamat pengajian di universiti.

Namun begitu, hubungan kami diuji. Setelah tamat pengajian, saya mendapat tawaran kerja sebagai pekerja kontrak sementara di ibu kota Kuala Lumpur. Tak sampai 5 bulan bekerja saya mengalami kemalangan jalanraya.

Separuh tubuh saya gagal berfungsi. Hampir tidak mampu bergerak. Makan minum, mandi, buang air, semuanya diurus orang. 7 bulan lamanya terlantar di hospital. Umpama orang yang cacat.

Kontrak saya terpaksa dibatalkan kerana cuti sakit saya terlalu lama. Pihak syarikat tak mampu menanggung liabiliti seperti saya.

Punca pendapatan mula tiada. Wang simpanan yang selama ini saya simpan untuk tujuan perkahwinan habis sedikit demi sedikit diguna buat berubat dan mengharungi hari-hari yang mencabar itu.

Sejak dari itu saya mengalami kemurungan. Tambah murung lagi apabila ‘si dia’ tak pernah bertanya khabar sejak kemalangan apatah lagi mahu datang menziarah.

Emosi saya mula menjadi tidak stabil.

Saya mula merasakan hubungan kami tidak memiliki komitmen. Saya lebih merasakan, komitmen lebih banyak tertumpu di belah pihak saya.

Saya yang terlebih beria-ria, terhegeh-hegeh hendakkan dia. Menabung sejak dari zaman universiti, buat macam-macam kerja sambil belajar.

Macam-macam bisnes dibuat untuk capai matlamat simpanan perkahwinan. Sanggup tak tidur malam, sebab fikirkan matlamat nak kahwin selepas habis pengajian. Sanggup tolak lamaran kawan-kawan perempuan sekelas kerana setia pada si dia.

Tapi ketika saya diuji, usahkan batang hidung, ucapan kata-kata semangat pun tak pernah muncul di paparan skrin telefon. Hubungan seperti apa jika begitu, fikir saya.

Sejak itu, saya membuat keputusan yang paling berat dalam hidup saya iaitu memutuskan hubungan dengannya.

Alasannya untuk saya ringankan beban fikiran saya yang sudah terlalu overload. Tambahan pula di ketika itu, ada cerita tidak enak tersebar dalam kalangan keluarga saya tentang saya.

Katanya saya pernah merosakkan anak orang yang juga merupakan kawan sepengajian saya di universiti dahulu. Khabar angin itu tidak terhenti diperingkat kekuarga sahaja malah sampai ke kawan-kawan terdekat. Huru-hara dibuatnya.

Dia akur dengan keputusan saya walaupun agak kecewa dengan sikap saya yang tak ajak berbincang terlebih dahulu. Saya lebih dahulukan perasaan lebih dari rasionalisme.

Kami jarang berhubung, sebab itu perkara tu berkalu. Saya lebih kepada menghukum dengan sangka-sangkaan sendiri, tanpa berkomunikasi dengan baik.

Tambahan keadaan mental yang belum stabil, ego yang tinggi, itulah jadinya. Padahal kalau dibincang elok-elok, mungkin khilaf yang sedikit itu mampu diatasi.

Saya ingatkan dengan memutuskan hubungan itu, keadaan mental saya lebih terurus, masalah selesai, rupanya semakin berat. Keputusan yang dibuat saya itu memakan diri.

Saya mengalami kemurungan melampau. Mula merasa sedih, gangguan insomnia mula datang. Berbulan lamanya. Tubuh mula menyusut. Kesihatan meruncing. Saya yang dulu ceria, menjadi seorang yang pendiam, sedih, buntu, anti-sosial dan bengis.

Satu malam, dalam keadaan separuh sedar saya berdiri di atas kerusi. Di hadapan saya ada seutas tali yang diikat kemas ke syiling rumah. Tangan saya memegang gelung tali tersebut, seperti hendak memasukkan tengkuk ke dalam lilitan tali.

Saya hampir tidak sedar dan lupa bila saya ikatkan tali disitu. Bila saya alihkan kerusi dan mula berdiri disitu.

Alhamdulillah, sempat datang lintasan-lintasan hati yang menghalang saya dari melakukan hal tersebut. Setelah sedar, saya melutut di lantai, rebah dengan seribu rasa kecewa, sedih, hampa dan buntu. Entah mana arah tuju. Seperti tiada jalan keluar dari masalah ini.

Cerita-cerita buruk sudah melata, mana mahu ditaruhkan wajah saya, menahan malu dari fitnah yang berterbangan.

Sejak dari itu, saya muka mendapatkan rawatan kesihatan mental dari hospital berdekatan. Saya mengambil ubat-ubatan, hadir temujanji dan menjalani beberapa sesi rawatan tertentu.

Alhamdulillah, saya beransur-ansur pulih sekarang bahkan telahpun mendaftar sebagai pelajar Ijazah Sarjana di sebuah universiti disini.

Melalui kisah yang saya lalui, berat hendak menelannya, sakit hendak mengharunginya, namun disebalik ujian yang berat itu pasti ada seribu hikmah yang tak diketahui isinya.

Saya pasti, Nana juga merasakan perkara yang sama. Peristiwa yang berlaku meninggal bekas yang mendalam.

Kesimpulannya, saya ingin bagitahu pada Nana, bahawa Nana tak keseorangan dalam soal ini. Masih ramai yang nasib sebangsa kita. Dikecewakan berkali-kali.

Sehingga hari ini, saya mengalami trauma dan anxiety yang melampau bila hendak memulakan hubungan baharu. Bukan tidak ada, ada orang yang cuba saya berkenalan tapi tak boleh pergi jauh. Mungkin persepsi buruk saya terhadap wanita terlalu menebal.

Sehinggakan kalau saya melihat kawan-kawan perempuan yang saya kenal, saya mula merasa menyampah, benci dan marah. Sama juga dengan perempuan-perempuan lain.

Kalau ada yang cuba datang, tanya khabar acah-acah caring, saya akan mula serabut dan tertekan. Macam-macam perasaan yang datang menghantui saya.

Paling takut, peristiwa hitam seperti bu**h d**i itu bimbang berulang. Bahkan kalau soalan tentang kahwin berlegar, saya akan jawab yang saya rela mati kebujangan.

Bagi saya, untuk menjadikan hidup sempurna dan bahagia tak semestinya perlukan teman hidup. Cukuplah kita meletakkan prioriti yang utama pada diri kita sendiri.

Sayang diri kita sebelum kita sayang diri orang lain. Kerana diri kita lebih layak menerima bahagia daripada kita sendiri berbanding orang lain.

Selflove dan selfish adalah dua perkara yang berbeza dengan niat dan matlamat yang berbeza.

Sejarah-sejarah hitam begini dia tidak menimpa sejenis kaum sahaja. Ianya boleh terjadi pada semua kaum, baik laki-laki mahupun perempuan.

Bila kita dijarah kisah silam yang teruk, kita membuat kesimpulan mudah kaum bagi orang yang mencarik episod hidup kita itu bersalah, kaum kita selalu menjadi mangsa. Tak, buang jauh-jauh pemikiran begitu.

Yang penting, dalam hidup kita bukanlah dimana kita bermula tetapi dimana kita berakhir. Kisah silam tetaplah kisah silam, biarkan ia berlaku, jangan dikenang. Melangkahlah ke depan. Bina kemajuan demi kemajuan buat diri sendiri.

Jangan bimbang kalau tak seiring kawan-kawan. Kita ada kisah kita sendiri yang tak sama seperti orang lain.

Apa kisah kalau kita kahwin lebih lewat dari kawan-kawan kita yang lain. Apa yang dikisahkan kalau kita lambat ‘bahagia’ dan lambat ‘berjaya’ dari orang lain. Sebab akhir sekali kita akan tetap menuju jalan yang sama, akhirat.

Wallahu’alam.

Inilah sedikit coretan yang mungkin panjang, tapi moga memberi inspirasi dan pengajaran.

Ikhlas dari lelaki yang masih tersakiti,

– Taha (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *