‘Valid’kah Perasaan dan Apa Yang Aku Rasa Ini?

Assalamualaikum. Aku sebenarnya agak kusut dan aku terasa ingin meluah. Sekadar meluah di samping ingin meng-validatekan perasaan yang aku rasa sekarang.

Sebab aku rasa serba salah dengan perasaan aku. Tak tahu samada aku patut rasa macam tu atau hanya aku yang melebih-lebih.

Penulisanku sangat panjang dan caca marba. terima kasih untuk yang sudi baca sehingga habis.

Aku kenalkan diri aku, seorang wanita. Umur hujung 30an, berkahwin dan masih belum mempunyai anak. Bekerjaya, alhamdulillah cukup seadanya rezeki Allah bagi.

Aku dikatakan anak angkat ataupun anak tidak sah taraf. Kenapa ‘dikatakan’? Sebab namaku berbintikan ayahku sekarang, namun ayah dan mak tiriku kata aku bukanlah dari benih ayahku.

Kata mereka, ibu kandungku yang kata begitu. Tiada bukti klinikal, hanya kata-kata sahaja untuk tetapkan aku bukan anak kandung ayah.

Sejauh mana kebenarannya aku tak tahu. Raut wajahku serupa benar dengan ayahku. Makcik-pakcik kandungku pula mengatakan kejamnya ayahku kerana tidak mengaku aku anak dari benihnya.

Malah aku berkahwin pun berwalikan hakim kerana ayahku tegar katakan aku bukan anaknya walaupun berbintikan dia.

Ayah dan ibu tiriku tidak mempunyai anak, hanya ada anak angkat yang dipelihara sejak bayi. Aku? Aku tinggal dengan atok dan nenek di sebelah ayah.

Aku juga dilarang kerap berjumpa keluarga ibu kandungku malah kerap dikatakan mereka menghantar sihir padaku. Ibu kandungku?

Wallahualam aku pun tak tahu dia di mana sejak umurku 15 tahun dia menghilang. Aku tidak mencarinya kerana aku mahu menjaga hati ibu tiriku. DNA test juga tidak aku lakukan sebab menjaga hati mereka.

Aku kusut, kerana semakin lama aku rasa aku letih dalam perasaan aku. Perasaan yang aku sebenarnya diambil kesempatan, emosi ku terasa dibuli oleh ibu tiriku. Aku mula rapat dengan ibu, ayah dan adik-adik sejak aku masuk ke uni.

Ibu tiri kerap katakan, walaupun mereka tidak memelihara aku sejak kecil, aku perlu ingat siapa yang sering keluarkan duit dan beri pada atok dan nenek untuk menjagaku.

Aku pada masa itu hanya mengangguk. Kehidupan aku dari kecil tidak indah, dibiarkan berseorangan sejak kecil dan melalui waktu-waktu dan zaman tidak diiktiraf sebagai anak malah dikatakan anak kepada seorang j***ng sangat menyakitkan.

Sejak aku rapat dengan mereka yang aku memangnya anggap keluargaku, aku rasa sangat sayang pada mereka. Ibu, ayah dan adik-adik walaupun mereka sering katakan kami semua tiada pertalian darah namun kami semua adalah keluarga.

Ya, keluarga.. walaupun kadangkala terdapat perbezaan rasa sayang yang aku dapat rasa, namun ibu selalu katakan sayangnya pada aku dan adik-adik sama.

Cuma ibu tak ingat yang ibu sendiri pernah katakan padaku yang jujurnya memang dia sayangkan adik-adik lebih dari aku.

Sejak aku bekerja aku memang selalu lebihkan keluarga. Sehingga pernah blacklist dan orang bank datang ke tempat kerja menuntut hutang. Kerana ibu sering meminta aku wang, ataupun membuat pinjaman untuk dia berniaga.

Dek kerana sayangkan keluarga, aku turutkan. Malah ketika ibu ayah tiada wang untuk beli barang sekolah adik-adik, aku buat cash advance untuk beli keperluan adik-adik.

Tapi adakalanya aku makan hati. Terasa dipergunakan..cuma aku cepat-cepat padam sebab ini sahaja keluarga yang aku ada. Ibu selalu pesan, kalau dapat bonus jangan lupa bagi pada dia. Kalau dapat duit lebih, jangan lupa beri pada dia juga.

Selama hampir 7-8 tahun bekerja, aku tidak pernah menghadiahkan diri aku apa-apa. Sebab atas dasar sayang pada keluarga, aku serahkan semua. Adakah aku bodoh? Tapi aku sanggup jika itu mampu beli kasih sayang buat aku.

Setiap tahun, hari lahir ibu, ayah dan adik-adik aku sambut. Aku belanja makan, belikan hadiah. Namun tiada apa pada hari lahir aku. Malah aku juga yang belanja makan. Tiada hadiah untuk aku. Kadang terasa sedih. Tapi cepat-cepat aku tepis.

Ada sekali ayah dapat duit tambahan, ibu dan adik-adik dapat beli telefon baru. Tapi aku? Tiada apa pun. Ya, sebab aku dah bekerja. Aku pun tidak harap dibeli apa-apa, cuma apa salahnya bertanya. Jika aku dianggap anak, mengapa bila perlukan duit sahaja baru nampak aku siapa.

Bila aku dah makin sedih, ada sahabat menasihati aku untuk sayang diri sendiri. Sejak itu aku mula travel, sayang diri. Ibu marah juga aku, katanya membazir pergi travel luar negara semua tu. Aku tiada harta lain, cuma hutang jahat yang pernah aku buat untuk ibu.

Nak beli rumah pun ibu tak bagi sebab nak aku buat rumah di kawasan rumah ibu ayah saja. Aku terlalu naif, mengikut kata ibu sebab sayang.

Aku tak pasti ibu nampak aku ni macam mana sebenarnya. Aku rasa kemuncaknya perasaan bila segala rasa aku simpan makin memburuk. Macam mana ibu biarkan aku terkontang kanting sediakan keperluan ketika keluarga bakal suami nak datang merisik.

Dari malam ke pagi aku sorang-sorang memasak memenuhi kehendak ibu yang nak sediakan hidangan untuk 20-30 orang bakal datang. Permintaan yang last minute, sambil menangis aku sediakan.

Belum lagi bertunang dan berkahwin, macam-macam yang aku lalui. Sedih tapi aku masih begitu kerana sayang.

Tapi semua makin memburuk bila ibu makin taksub dengan kawan-kawan. Malah kawan berpolitik (walapun parti politik yang tidak popular pun) sanggup ibu pergi dalam keadaan kaki yang sakit. Pergi ke sana ke sini, edar flies, join hi-tea dan macam-macam lagi.

Aku tak sangka sampai sanggup ketepikan aku yang aku ingatkan dianggap sebagai anak.

Masa awal tahun baru ini, aku dapat kebenaran polis untuk merentas negeri 2 hari 1 malam bagi menguruskan pertunangan adik aku, aku dah siap-siap katakan pada ibu.

Aku masa tu dah lebih 4 bulan tak berjumpa keluarga dan aku ingin kan masa ini digunakan sepenuhnya memandangkan selepas itu entah bila lagi berpeluang balik ke kampung.

Bila aku telefon ibu, katanya dia ada event dengan kawan-kawan dia. Aku cuba pujuk ibu, aku katakan bukan senang untuk dapat balik sekarang ni dan aku harap ibu dapat batalkan pergi event tu untuk spend masa bersama.

Ibu dah selalu bersama kawan-kawan, jadi aku nak masa bersama keluarga.

Kata ibu, tak boleh sebab dah berjanji. Aku masa tu terasa sangat sedih.Malah ibu katakan aku ni cepat sentap sebab aku terasa bila ibu tak nak cancelkan event tu.

Event politik kot dan itu lebih penting dari spend masa dengan aku yang dah lebih 4 bulan tak jumpa. Balik untuk 1 malam je pulak tu – itu yang aku fikir dan itu buatkan aku sedih sangat.

Aku jadi emosi. Teringat semua kesedihan aku dengan ibu. Ibu yang taknak teman aku di hospital ketika demam denggi, dibiarkan aku keseorangan selama 11 hari di hospital. Hanya datang melawat untuk 1 hari. Ibu yang hanya menitip kata jangan lupa bagi wang kalau bonus.

Ibu yang lebih pentingkan adik – adik bertunang semua ibu sediakan. Aku? A-to-Z aku perlu sediakan semuanya walaupun adik dah kerja dan lelaki.

Ibu yang sering tinggalkan aku ketika aku sekolah rendah berseorangan di rumah dan bawa adik berjalan ke sana sini. Pada aku, ibu sangat pilih kasih dan aku mula rasa jauh hati.

Sekarang ibu jatuh sakit. Tapi ibu masih begitu malah lebih teruk, ibu macam benci bercakap dengan aku. Entahlah.. adakah hanya kerana aku berpangkat anak, seorang ibu dihalalkan untuk buat macam tu dengan aku?

Walaupun ibu tiri atau ibu angkat entah aku tak tahu. Aku sendiri tak tahu. Aku rasa kusut sebab ikut hati aku, aku nak lari dan tak nak lagi hubungi ibu demi menjaga hati, emosi dan mental aku sendiri.

Boleh tak kalau aku nak lari? Aku tak nak contact keluarga aku buat masa ni sebab aku tahu akan lebih menyakitkan hati aku lagi.. aku tak kuat, aku dah penat jadi kuat…aku tak tahu valid dan boleh ke aku berperasaan macam ni?

– Ky (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *