Wahai Anak Anakku

Apabila catatan ini ditulis, ibu kini, jiwa nya rapuh. Rapuh kerana terasa bersalah terhadap kalian, kerana luka yang ibu rasa semasa kecil, membebani hidup kalian. Ibu kuat, ibu sakit, ibu rasa jiwa yang kosong.

Ibu yang dulu tidak kenal erti kasih sayang, ibu yang tidak pernah rasa pelukan mesra si ayah. Ibu yang rasa betapa toksiknya dalam keluarga sendiri, yang keluarga itu sebenarnya dipanggil bahagia, tetapi tidak bagi ibu.

Wahai anak-anakku,

Semoga apa yang ibu cuba ajari kini, kalian faham dan mengerti. Masih lagi ibu cuba mengawal rasa amarah, tekanan, dan rasa yang terlalu ingin marah sekiranya kalian buat silap.

Ternyata kalian masih lagi fasa kanak-kanak di mata ibu, sedangkan kalian sudah semakin dewasa untuk mengerti. Yang tidak sepatutnya ibu rasa semuanya mesti ikut apa yang ibu mahu. Ternyata kalian sudah semakin luas pemandangan.

Wahai anak-anakku,

Setiap pelukan ibu, setiap kasih sayang, setiap ciuman, setiap rasa yang ibu luah pada kalian, betapa ibu sangat menyayangi kalian. Tidak seorang, kalian nyawa ibu. Maafkan ibu jika kalian ada terguris hati.

Ibu berlawan dengan emosi sendiri. Adakalanya ibu tersasar. Maaf atas keterlanjuran sikap, maaf atas keterlanjuran kata-kata. Tapi ibu mahu kalian tahu, doa ibu sentiasa mengiringi kalian.

Kini anak-anak ibu menginjak dewasa. Adakala kalian meminta, masih ingin baring di riba, meminta lauk kegemaran, masih lagi tidak malu mencium pipi ibu, memeluk ibu dengan erat. Masih lagi ibu ingat hangat pelukan kalian terhadap ibu.

Anak-anak ibu,

Setiap dari kalian tidak pernah terlepas doa dari ibu. Setiap langkah kalian, setiap perjalanan kalian, doa ibu sentiasa mengiringi.

Andai ibu tiada nanti, panjatkanlah doa agar kemaafan yang ibu minta diperkenankan.

Maafkan ibu sekiranya memang ada khilaf ibu membesarkan kalian, menjadikan kalian kadangkala memberontak. Tapi rajuk kalian tidak lama, sebentar akan ada ketukan di bilik, ataupun ada selitan kad kemaafan dari kalian.

Anak-anak ibu, hiduplah baik-baik, hiduplah dengan penuh rasa syukur, hiduplah dengan rasa gembira. Jadikan Al-Quran panduan hidup, jadikanlah solat tunggak utama dalam kehidupan seharian.

Buat anak-anak ibu,

Semoga sentiasa dalam rahmat Allah, sentiasa bahagia, dipertemukan jodoh yang baik-baik seiring akhlak yang mulia, diberikan kesihatan yang baik.

– Sunflower (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *