Wajarkah Benci Ibubapa

Assalamualaikum admin dan pembaca. Saya harap perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua yang membacanya. Kebelakangan bulan ini saya telah membaca beberapa confession tentang anak yang mempunyai ibu bapa yang ‘tidak baik’.

Saya juga ada terbaca komen mengatakan, hanya anak yang mempunyai ibu bapa seperti ini sahaja yang akan faham mengapa mereka membenci ibu bapa mereka dan orang luar tidak akan faham perasaan anak seperti ini.

Marilah kita sama-sama memperingati. Ada yang mungkin sedia maklum dan ada yang mungkin tidak tahu. Jadi, saya akan berkongsi semula tentang kisah ini.

Tentang Nabi Musa a.s yang bertanya kepada Allah, siapakah jirannya di syurga. Kemudian Nabi Musa terus pergi kerumah pemuda tersebut untuk mengetahui sebabnya.

Setelah sampai dan dijemput masuk dalam rumah, pemuda tersebut masuk ke bilik dan keluar membawa seekor babi betina. Memandikannya, kemudian lap dan cium. Setelah itu, pemuda tersebut melakukan hal yang sama kepada babi jantan yang berada dalam bilik.

Nabi Musa pun hairan dan bertanya kepada pemuda tersebut mengapa dia memelihara haiwan tersebut sedangkan agama melarang.

Pemuda itu menjawab, “Sebenarnya kedua khinzir itu adalah ibu bapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi khinzir yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah.

Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibu bapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi khinzir, aku tetap melaksanakan tugasku.”, sambungnya.

“Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.”, tambah pemuda itu lagi.

Selaras dengan surah 2 ayat 83, dan surah 6 ayat 151:

“…. berbuat baiklah kepada kedua ibu bapamu”.

Surah 19 ayat 14:

“Dan orang yang berbakti kepada kedua orang tuanya, bukanlah dia orang yang sombong lagi derhaka.”

….

Apakah pelajaran yang telah kita dapat dari dalil dan kisah diatas? Walau betapa besarnya dosa ibu bapa kita, sudah diperintahkan untuk kita berbuat baik dan berbakti pada mereka. Jangan salah faham, ada beza antara taat dan berbuat baik.

Taat – ikut bulat-bulat apa yang mereka suruh.

Berbuat baik – menjaga dan melakukan perbuatan baik pada mereka.

Dalam dalil hanya diperintahkan untuk berbakti dan berbuat baik, bukan taat sepenuhnya. Jadi kalau ibu bapa kita ‘kurang baik’, jangan lah kita ikut. Tidak kira lelaki mahupun perempuan, tidak kira yang sudah berkahwin atau tidak, kita diperintahkan untuk berbuat baik dan berbakti pada kedua orang tua.

Dalam ayat tidak menyatakan spesifik jantina, jadi ini termasuk anak perempuan. Bukan sahaja anak lelaki. Walau kita dihina, walau dibenci, berbuat lah kebaikan kepada mereka.Tidak akan rugi satu sen, kerana setiap sen itu akan dikira diakhirat kelak.

Saya faham perasaan mereka, tapi janganlah kita terlampau fikirkan perasaan dendam. Ini kisah saya, ibu bapa saya minum arak.. mereka abaikan saya dari kecil, ambil dadah dan berseronok. Selalu minta wang pada saya. Dari zaman sekolah lagi, memang saya benci pada orang tua saya.

Duit yang saya dapat hasil bekerja dari sekolah, semua diserahkan pada mereka. Selepas berkahwin, saya anggap saya sudah mempunyai keluarga yang saya idamkan. Saya menjauh dari ibu bapa dan hanya fokus besarkan anak-anak. Saya tidak lagi memberi wang kepada mereka.

Sehinggalah waktu saya dapat khabar ibu bapa saya meninggal dunia disebabkan kemalangan motor. Saya tidak rasa apa-apa. Tapi bila saya datang dan uruskan pengebumian mereka, Orang-orang kampung berbisik mengatakan mereka adalah orang yang baik-baik.

Saya hairan, dan lepas mendapatkan info, rupanya mereka telah lama meninggalkan dunia gelap itu dan bertaubat. Tidak lama selepas saya berkahwin.. sehingga saat ini, perasaan saya sungguh tidak dapat digambarkan. Setiap hari saya tertawa dalam menangis.. fikirkan berdosa nya saya.

Semasa mereka hidup, saya tidak berbakti kepada mereka. Saya abaikan mereka. Berdosakan saya? Hanya Allah saja yang tahu. Semoga taubat saya pula diterima oleh Allah. Sudah tak tertanggung rasa menyesal dalam diri.

Surah 18 ayat 103:

“Mahukah Allah S.W.T khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal perbuatannya?”

Surah 18 ayat 104:

“Orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, adalah orang yang sedang menyangka bahawa mereka sedang berbuat sebaik-baiknya.”

Hargailah ibu bapa kita semua semasa mereka hidup. Sayangilah mereka, peluklah mereka, selagi mereka hidup. Jangan menyesal sesusah mereka pergi. Tentang dosa mereka, itu bukan urusan kita. Asalkan kita sudah melakukan apa yang telah diperintahkan, itu sudah cukup.

Semoga bermanfaat.

– Anonymous (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *