Wajarkah Saya Angkat Bendera Putih

Assalamualaikum wbt. Sekali lagi saya mahu meluahkan tentang kehidupan saya yang tidak stabil ini. Diharap pihak admin sudi siarkan agar sedikit belengu kekusutan minda ini dijernihkan lagi.

Jika ada yang berkelapangan untuk mencuri masa membaca kisah saya ini semoga berlapang dada kerana pastinya ada yang tak kena. Maklumlah saya ada penyakit mental dan saka.

Sebenarnya satu isu yang agak ketara berlegar di ruang media kini adalah tentang kesan negatif pandemik Covid19 yang telah membawa negara kita dikenali di seluruh dunia.

Tetapi disebalik itu banyak kejayaan baru yang tercipta seperti pemberian vaksin besar besaran dan pembelian dalam talian yang meningkat.

Apa yang saya nak sampaikan… jika dimusim PKP ini banyak kes hilang kerja, penderaan, perceraian, tekanan, bunuh orang, bunuh diri… yang sebenarnya ini bukanlah benda baru di negara kita..

Saya bercerai bukan sebab PKP. Sebab utama dia ambil dadah. Dari awal kahwin perangai dia memang lain, saya sangka dia ada penyakit murung juga tapi sebenarnya dia dah lama cuba benda tu.

Saya tertarik membaca kisah ‘jadilah wanita bahagia’ oleh seorang bakal dr yang sangat sabar hidup dengan suami yang bukan sahaja mengambil dadah bahkan OKU dan penghidap HIV.

Tetapi katanya arwah suaminya itu seorang yang berpendidikan tinggi dan ada kelebihan tertentu yang menarik dia untuk kekal setia walau terpaksa bekorban jiwa raga.

Jika saya, dia sekadar pembantu bengkel yang sering buat perangai. Perangai malas. Satu perangai kurang adab yang sangat tidak disukai oleh keluarga saya adalah… merokok. Dengan bahagia boleh merokok depan-depan orang. Merokok dalam rumah.

Sabarnya saya bab rokok ni bila dia pernah merokok dalam bilik. Tiup ke tingkap. Masa tu ada anak kecil dan saya mengandung. Juga masa dalam kereta. Atau di kedai makan bahkan saya tahan malu sewaktu dia merokok di meja kenduri.

Saya rasa orang yang ada di situ bukan sahaja membenci perokok bahkan isteri perokok yang ada disebelah.

Saya salalu pesan dan tekankan kepada anak lelaki saya jangan merokok. Haram. Bawa penyakit. Walaupun dia masih kecil saya bimbang dia akan rasa merokok ini ok sebab ayahnya merokok.

Bab dadah tadi, saya pernah juga pujuk hati agar terus kekal bersamanya kerana pernah menonton rancangan penagih yang dah pulih kerana sokongan keluarga isteri dan anak…

Saya rasa saya perlu lalui pengorbanan ini terutama merasakan anak-anak sangat rapat dengan ayahnya. Rutin ayahnya membawa anak jalan-jalan.

Tetapi bab tanggungjawab lain ke laut melainkan tanggungjawab memuas nafsu di bilik tidur. Keputusan untuk bercerai berat walaupun sebabnya dah bergunung.

Bayangan asmara tu yang sulit nak dilupa. Rindu urutan dia yang first class tu, tapi demi masa depan yang lebih cerah, benda tu boleh saja dilepaskan. Sekurangnya dah pernah merasa, tapi jujurnya malam pertama tidaklah seindah khabar.

Taubat tak mahu mencari pengganti di dunia kerana menguruskan diri dan anak-anak pun tunggang langgang. Nak menguruskan laki pula, dengan memikirkan soal penerimaan keluarga dia, yang saya sudah serik.

Cuma, saya berdoa agar anak-anak tidak melalui hidup cacar marba mama ayahnya ini. Agar bertemu jodoh terbaik.

Antara lain sebab kuat untuk bercerai adalah penerimaan keluarga mentua. Kami sama-sama banyak kekurangan. Ipar duai hebat-hebat. Sindiran, hinaan dan dipulaukan sangat menekan perasaan.

Ibaratnya kami ni ada Saka, jika saya ke rumah keluarganya saya jadi buntu tak pandai apa. Bila dia duduk di dalam keluarga saya dia jadi dungu tak buat apa. Saka bertemu saka memang panas.

Itu cerita dulu, cerita sekarang ni saya dah mula panik dan tertekan dengan peranan saya sebagai anak dan ibu yang gagal. Saya ibu tunggal 5 anak yang duduk dengan mak ayah.

Puncanya, rutin harian saya teruk. Saya suka tidur lewat dan bangun lewat. Jahatkan selalu tinggal solat Subuh, jika solat Subuh saya akan sambung tidur sehingga jam 10. Anak-anak bangun lagi lewat. Tak hairanlah mereka tak siap tugasan Pdpr. Sarapan memang jarang buat selalunya beli.

Kerana selalu tidur lepas subuh ni, memang selalulah mimpi… mimpi bab baby dan anak kecil sangat banyak… mimpi binatang bisa juga ada.

Bangun lewat qadakan solat dan dhuha. Tahu antara perkara yang sangat menguntungkan dan menenangkan adalah jika dapat bangun tahajut dan solat sunat subuh…  dapat pula lazimi zikir dan Quran lagilah jadi ubat dan pembuka banyak pintu rezeki…

Tapi inilah penyakit yang malu jika orang tahu, tinggal solat.

Kain baju pun jenis yang malas sangat nak lipat. 5 bakul lima anak. Lepas basuh masuk bakul pakai semula. Baju berkedut. Bukan ada nak pergi mana pun. Jika bukan PKP memang tak ke mana juga.

Sikap kurang disiplin mamanya ini terbawa ke anak, mereka memang susah nak mengemas. Bersepah barang mereka di rumah tok ni. Jika ada pembantu rumah berbaloi sangat.

Pernah waktu awal bercerai rasa mahu beri separuh anak untuk suami atau keluarganya jaga kerana rasa tertekan menguruskan ragam mereka dan gagal mendidik dengan baik, tapi sayang anak, tak mahu berpisah.

Untuk elakkan tertekan saya tak kisah sangat dengan pencapaian mereka. Anak sulung lelaki darjah satu dari awal tahun baca Iqra satu sampai tengah tahun Iqra satu.

Bila tahu anak saudara, anak kawan dah mampu masuk Quran seawal 5 tahun rasa tercabar juga, cemburu. Rasa yang tidak didukung tindakan.

Bab puasa pun begitu… Ramai anak orang yang sudah berjaya puasa penuh darjah satu anak saya tak mampu. Yelah dah saya bangun sahur pun malas.

Bab Pdpr, saya ambil mudah. Tak hantar tugasan anak. Anak pun jenis yang susah nak diajak buat kerja sekolah. Asyik ingat main dan handset saja. Bila cikgu dah mula bertanya datanglah rasa bimbang dan tekanan tu. Stress ala-ala burn out gitu.

Saya ni tiada pendapatan. Suri rumahlah kononnya… Pernah cuba telefon JKM nak mohon bantuan anak tapi bila dia kata akan siasat hantar orang tengok kami saya rasa tak apalah.

Rumah mak ayah ni besar, makan alhamdulillah cukup dan jika setakat musang king tupai king tu ayah boleh saja beli. tapi bab makan saja kami mewah bab lain tak. Saya dan anak-anak tak ada seurat emas, cincin kahwin pun dah digadai.

Duit raya anak-anak pun saya habiskan belanja tak menyimpan… tapi saya tak ada hutang sebab tak ada kereta dan rumah. Memikirkan masa depan yang kurang dari orang boleh menyebabkan tekanan dan murung. Sering rasa diri ini kurang dari orang yang berjaya ibarat langit dengan bumi.

Dunia tanpa sempadan kini menceritakan banyak kisah orang lain yang pernah kering poket akhirnya mampu jadi jutawan… Jadi saya yakinkan diri mesti akan dapat segala impian tu.

Cuma perlahan sangat dan kadang kala berundur.. semoga saya dan keluarga diberikan kesihatan yang baik, usia panjang yang diberkati, ilmu yang bermanfaat dan akhirnya dari diri yang layak menerima zakat ini mampu membayar zakat.

Minda subsidi ni sangat diperlekeh orang. Pernah ada saudara yang mengatakan kami B40 ni sebenarnya malas. Bila tengok viral kisah hidup orang susah rasa sedih… saya tak mahu jadi begitu.

Jika saya mahu angkat bendera putih bukan sebab tak ada beras… tapi tak ada duit. Wajarkah saya angkat bendera putih.

Perkara yang saya syukur sekarang ni ada tempat tinggal, makanan dan keluarga ibuayah dan anak-anak yang masih sihat. Kerana ada mereka yang nyata diuji tiada perkara itu namun ada perkara lain untuk disyukuri.

Baiklah, mungkin ada perkara yang mahu diulas oleh pembaca… selain nasihat sabar dan jadi rajin. Orang yang kelihatan tidak bermaya itu kadangkala bukan kerana dia malas tapi ada gangguan dalaman yang masih belum terungkai.

Sekian, wassalam. Terima kasih.

– Sis Lara J (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *