Assalamualaikum, aku Queen, terima kasih Admin sudi siarkan artikel ini. Sedikit pengenalan, aku wanita berusia 30 an, sudah berumahtangga dan memiliki cahayamata. Kisah yang nak ditulis ni bukan kisah rumahtangga aku.
Mungkin ada yang ‘triggered’ dengan tajuk dan fikir bahawa aku hendak menghina kaum wanita. Sabar dulu! Aku harap pembaca semua berfikiran terbuka dan membaca tulisan aku hingga akhir sebelum membuat kesimpulan.
Tulisan aku berkisar tentang wanita-wanita disekeliling aku yang membentuk aku menjadi aku. Tiada niat nak menghina sesiapa. Aku hanya bercerita melalui sudut pandang aku dari kecil hingga dewasa. Jika ada nilai dalam kisah aku ini, aku harap kalian jadikan teladan.
Kategori wanita-wanita yang hadir dalam hidup aku terdiri daripada:
1) Lemah diperlakukan lelaki.
Sejak kecil aku tengok nenek aku begitu lemah dan takut kepada arwah atuk. Arwah atuk kaki perempuan dan kaki pukul.
Aku sendiri lihat arwah atuk memukul dan memaki nenek dihadapan anak dan cucu-cucu. Semua anak-anak termasuk mak aku hanya berdiam diri jika arwah atuk ada dirumah.
Arwah atuk beristeri ramai, anak pun ramai. Kebanyakan berkeliaran tak terjaga. Nenek aku sentiasa aku nampak lemah dikawal suami dan bila arwah dah tiada nenek dikawal anak bongsunya.
Segala urusan harta dan sebagainya ditentukan oleh anak bongsunya. Nenek punya pendekatan.. biarlah.. Tak apalah.. Tak tahulah..
2) Pendera dan narsisistik.
Mak aku kawin muda, umur 16 tahun dah dikahwinkan oleh arwah atuk. Mak kata, kalau mak aku tak nak kahwin dia akan bunuh mak aku. WaAllahu’alam. Itu yang mak ceritakan.
Mak aku ni masa aku kecil dia dera secara fizikal. Aku anak kedua dari 5 beradik. 3 daripada kami lahir rapat-rapat. Selang setahun. Jadi aku ni selalu jadi mangsa sebab 2nd child disorder aku.
Along ni masa umur beberapa bulan kena demam panas. Bertarung untuk hidup mak kata. Jadi mak sangat overprotective terhadap along.
Bila aku lahir, aku kena ambil alih tugas along. Segala tanggungjawab diletakkan atas bahu aku. Manakala adik ketiga aku lelaki pertama dalam keluarga. Jadi dia anak emas permata.
Mak aku punya tahap mendera ni bukan setakat pukul kaki tangan. Ditumbuk, ditampar, guna hanger, tali pinggang, pinggan mangkuk, kayu beruti dan kasut tinggi adalah makanan rutin bagi aku.
Tak kiralah siapa yang buat salah, mak kata “angah ni kepala” kalau yang lain tu buat mesti sebab ikut angah.
Bila aku meningkat remaja, mak aku punya narsisitik tu memang dah tak boleh disembunyikan lagi. Dia punya terancam dengan kehadiran aku memang tak dapat disangkal lagi tak cukup fizikal, dia dera emosi aku.
Dia cakap aku ni anak gampang, anak sial, neraka ni tempat aku. Dia kata dia tak nak lahirkan aku, dia dah makan macam-macam untuk gugurkan aku tapi aku ni liat sangat nak mati.
Dia selalu bandingkan aku dengan along. Kalau dia beli baju raya, dia belikan yang cantik-cantik untuk along. Bila aku tanya kenapa aku tak ada, dia kata aku ni gemuk, kalau pakai apa pun tak cantik.
Bila aku belajar pandai, masuk sekolah bagus dan dapat keputusan bagus, dia ugut nak berhentikan aku sekolah. Dia larang bapak bagi duit untuk sekolah aku. Dan kalau aku tak buat kerja-kerja dalam rumah, dia tak bagi aku makan.
Bila aku masuk U dan tak bersetuju dengan pendapat dia, dia kata aku ni belajar ja pandai-pandai tapi aku jadi anak derhaka. Menyulah api neraka untuk aku.
Bila aku dapat kerja bagus dan duduk di KL. Dia cerita kat jiran-jiran yang aku ni duduk KL buat benda tak baik dibelakang dia. Dia kata aku suka duduk sendiri sebab kalau aku bawak jantan balik pun dia tak tahu.
Bila aku dah kawin dan tak setuju dengan pendapat dia, dia kata jangan nak berlagak baik sangat. Dia tahu aku ni berzina dengan laki aku sebelum berkahwin.
Which is aku pegang tangan pun tak pernah dengan suami aku sebelum berkahwin. Bukan nak berlagak suci. Tapi alhamdulillah, Allah SWT pelihara aku.
3) Curang.
OK, ini menarik sebab mak aku sendiri curang dengan bapak aku lepas 30 tahun berkahwin. Macam aku cakap lah. Dia kahwin muda. Bila anak-anak semua dah besar, dia kata bapak aku dah tak perhatian, banyak habiskan masa kat kedai kopi (which is true).
Jadi dia curang dan dengan jujurnya dia beritahu bapak dan kami semua apa yang dia buat dibelakang bapak.
Masa mak aku ceritakan segala detail perbuatan dia. Dia sikit pun tak nampak menyesal. Bahkan aku pulak yang triggered sampai depressed akibat apa yang dia buat. Aku betul-betul kecewa.
Masa ni aku dah kahwin dan ada anak. Aku rasa macam terhempas kebumi, dada rasa dihimpit, rasa amat terhina.
Selain mak aku, jiran aku pun seorang wanita curang. Bila lantai dengan suaminya, dia lari kerumah mak.
Kebetulan masa tu aku tengah cuti semester, bila aku dengar segala cerita ni, aku rasa benar-benar sedih dan terhina. Kenapa wanita boleh jadi sebegini hina. Hanya kerana keseronokan sementara.
4) Perampas suami orang.
Masa aku duduk di KL, aku ada seorang housemate. Dia seorang guru. Malas nak cerita panjang, dia beritahu dia bujang. Tapi masa dia minta aku temankan dia ke pejabat agama, dia kantoi nak cari daftar nikah dia di Thailand.
Dia kahwin dengan suami orang. Itu tak menjadi masalah. Tetapi sikap selamba dia yang mengatakan dia kawin dengan lelaki tu walaupun dah tahu dia dah kawin sebab bini dia sakit dan tak boleh puaskan suami dia lagi.
5) Mudah menyerah diri.
OK, ini kisah suami sendiri. Masa ni kami dalam fasa bertunang. Di awal perkenalan, kami tinggal berjauhan. Aku di KL, dia di Utara. Masa mula berkawan, suami memang pernah beritahu, dia ada adik angkat yang belajar di Melaka.
Mulanya kami cuma berkawan biasa, kami berkenalan melalui forum agama. Tak lama selepas tu, mak mentua bersungguh-sungguh nak meminang aku.
Memandangkan aku tahu dia ada kawan perempuan selain aku, aku bincang dengan suami. Dia kata dia akan taat dengan pilihan keluarganya.
Aku pun berpindah ke utara selepas 2 bulan bertunang. Masa ni dia banyak berdiam diri dan termenung. Dalam tempoh sebulan keadaannya semakin withdrawn.
Satu hari tu suami (masa ni masih bertunang) mengajak aku keluar untuk membeli persiapan nikah. Masa ni dia menangis teresak-esak dan meminta maaf berkali-kali. Aku yang keliru cuma boleh mendengar.
Aku ambil masa yang lama untuk hadam apa yang berlaku. Nak dipendekkan cerita, suami berkawan rapat dengan dua perempuan, aku dan F. Tetapi mak dia hanya berkenan dengan aku kerana menurut maknya, aku lebih bersopan dan menjaga adab (bukan aku yang cakap, mak dia).
Mak mentua tak suka F sebab F suka telefon suami tak kira masa, dan bergayut tengah-tengah malam dengan suara yang sangat manja. Mak mentua kata, perempuan yang baik tak akan suka-suka telefon anak teruna orang malam-malam buta.
Sebab tu mak mentua bersungguh-sungguh nak meminang aku waktu tu. Kiranya aku ni menantu pilihan mak dia lah. Bila suami beritahu yang mak dia macam lebih sukakan aku, F mengambil tindakan yang terlebih advance.
F sanggup menipu mak ayahnya. Dia katakan yang cuti belajarnya ditangguhkan. Sedangkan F sebenarnya datang ke Utara untuk bertemu suami. Gigih dia datang dari Melaka ke Utara. Ketika ni tinggal beberapa minggu sebelum pertunangan kami.
F mengajak suami aku menonton filem di pawagam dan dia minta suami aku temankan dia hingga ke hotel.
Macam mana aku tahu semua ni. Ya, suami aku mengakui semuanya ketika sesi menangis teresak-esak tu. Masa tu juga suami aku beri segala akses handphone, media sosial dan emailnya supaya aku sendiri boleh menyiasat kata-katanya.
Jadi aku baca segala text perbualan mereka, serta segala email yang dihantar F. Sejujurnya aku memang tak pernah sangka seorang wanita sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki seorang lelaki.
Melalui teks itu juga aku membaca bagaimana suami berusaha menolak rayuan dan menasihati F.
Ya, mereka berada di bilik hotel yang sama. Tapi suami dan F sendiri mengakui bahawa suami aku tidak menidurinya. Aku tak pasti sama ada iman suami yang kuat ketika itu atau Allah SWT menghantar malaikat untuk melindungi suami ketika itu.
Disebabkan kesungguhan suami aku yang berlaku jujur ketika itulah, aku masih sanggup meneruskan perkahwinan ini. Walaupun hati aku remuk membaca segala text yang dihantar F. Tetapi aku bangga dengan ‘self control’ suami aku selama ini.
Alhamdulillah sehingga kini rumahtangga kami baik-baik sahaja. Dan suami tak pernah terlibat dengan mana-mana wanita selepas perkahwinan kami. Tolong doakan rumahtangga kami baik-baik hingga kehujung nyawa kami.
Ya. Inilah 5 golongan wanita yang hadir dalam hidup aku sehingga aku sendiri takut menjadi wanita. Aku takut jika aku gagal menjadi wanita yang baik.
Aku masih tercari-cari contoh wanita yang manakah yang patut aku ikuti. Setakat ini, kisah-kisah wanita hebat yang diceritakan Allah didalam Al-Quran seperti Asiah (isteri Firaun) dan Maryam (ibu Nabi Isa) adalah dambaan aku.
Walaupun aku mungkin tak mampu menjadi mulia seperti mereka, janganlah aku tergolong dikalangan wanita yang hina. Aku mohon kalian doakanlah aku menjadi wanita yang baik untuk suami dan anak-anak aku. Terima kasih banyak kerana sudi membaca.
– Queen (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit